Latest Post :
Recent Post

Abby Fana selesa sendirian



STATUSNYA sebagai ibu tunggal kepada dua anak tidak semudah dijangka, apatah lagi gelaran itu digalasnya sejak 16 tahun lalu.

Bagaimanapun bagi Habshah Omar atau lebih dikenali sebagai Abby Fana, segala pahit manis perjalanan itu memberinya warna kebahagiaan.

Rambut sama hitam, hati siapa tahu. Coretan hidupnya atas apa jua yang berlaku ditelan sebagai ketentuan Ilahi. Tidak langsung segala bebanan itu dipancarkan pada wajah mahupun karakternya sebagai figura awam.

Abby Fana tetap terkenal sebagai wanita yang penuh dengan personaliti yang disenangi serta bijak bergurau.

Namun jauh untuk mengalah, penyampai radio Sinar FM ini tetap gigih meneruskan hidupnya berbekalkan niat yang satu – ikhlas mencari rezeki untuk membesarkan anaknya.

Kini dia mampu tersenyum melihat anak sulungnya, Mohd Afiq Nazrin, 19, melanjutkan pengajian muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Begitu juga si bongsu, Mohd Adli Nazrin, 18, juga menuntut di institusi sama di Melaka dalam jurusan Seni Reka.

“Hidup ini ibarat gelanggang perlawanan, yang mana kita yang mencongak jalannya. Begitu juga dengan saya yang mungkin tersilap atau terlepas pandang sehingga adanya kegagalan.

“Apa yang terjadi bukan sesuatu yang dirancang. Bagaimanapun saya lebih selesa menganggap ia satu ketentuan buat saya meskipun ibarat segelas racun yang perlu disedut.

“Saya akur dan terima sebaik mungkin bukan saja untuk diri saya, malah untuk dua zuriat saya yang banyak memberi inspirasi dan sokongan,” katanya yang turut mengacarakan Malaysia Hari Ini di TV3.

Selebriti berusia 43 tahun ini bagaimanapun tidak terfikir untuk menamatkan status ibu tunggalnya. Sebaliknya isu kerjaya dan komited terhadap anak membuatkan perasaan itu langsung tiada.

“Terus terang saya katakan, saya tidak pernah terfikir untuk mencari pengganti. Bukan terlalu memilih atau tiada keserasian, sebaliknya rasa janggal untuk mula sekali lagi.


“Tempoh saya hidup sendirian membesarkan anak adalah terlalu panjang dan itu cukup memberi keselesaan selama ini.

“Saya akur jodoh dan rezeki adalah ketentuan-Nya, namun kita sebagai insan perlu berusaha ke arah itu. Sebaliknya saya tidak meletakkan usaha atau mencari alternatif seperti bersosial.

“Saya lebih selesa duduk di rumah dan meluangkan masa dengan anak. Merekalah teman saya dan itulah hidup buat saya selama ini. Malah kami anak-beranak banyak lakukan aktiviti bersama seperti bercuti, membeli-belah dan ke gimnasium.

“Bagaimanapun bila mereka tinggal di asrama, baru rasa sunyi itu datang. Malah kini saya lebih banyak kelapangan untuk melakukan aktiviti sendiri.

“Jadi kawan yang banyak membawa saya ke pusat kecantikan, refleksologi dan karaoke. Baru sekarang saya kembali ke zaman muda semula,” katanya.

{[['']]}

‘Gosip itu aibkan kami’



JUJUR pasangan ini, hati siapa tidak terguris dek kontroversi yang melanda keluarga mereka. Malah, bahtera yang dibina kira-kira 12 tahun lalu juga hampir musnah semata-mata gosip liar berkenaan.

Bukan sekali dua cerita mengatakan si suami bertindak curang dengan menikahi wanita lain terpalit dalam hidup mereka. Namun bagi Zulkefli Majid (Zul) dan isteri, Ismaliza Ismail (Isma), mereka perlu sabar menangani kerenah ‘industri’ ini.

Paling terasa, selepas Akademi Fantasia musim ke-7 (AF7) melabuhkan tirainya, cerita berkenaan kembali melingkari kehidupan ibu dan ayah kepada lima anak ini. Tambah memilukan, Zul dikatakan pula berkahwin dengan gadis yang juga anak kepada ketua pertubuhan dakwah.

Jelas Zul, semua itu hanya khabar angin semata-mata. Malah setiap cerita yang dilemparkan kepadanya dan keluarga tidak berasas sama sekali.

“Sebaik Isma menamatkan pertandingan AF7, saya diaibkan dengan cerita kononnya saya berkahwin lain. Lebih menarik, wanita berkenaan adalah anak sulung kepada seseorang yang rapat dengan saya.

“Bagaimanapun cerita itu tidak benar. Saya tidak tahu dari mana mereka peroleh cerita begini. Lagipun gadis berkenaan baru berusia 13 tahun. Takkan pula saya mahu berkahwin dengan gadis yang belum cukup umur?

“Ada juga yang berkata berita itu disampaikan sendiri oleh ‘isteri muda’ saya. Bagi saya ia langsung tidak masuk akal. Malah ayah kepada gadis berkenaan juga tergelak besar bila saya menyampaikan cerita ini kepadanya,” katanya.

Tambah Zul, sebelum ini dia pernah dikaitkan dengan seorang artis, malah cerita mengenai perkahwinannya dengan artis berkenaan juga tersebar luas satu ketika dulu.

“Perkara ini berlaku sebelum Isma menyertai AF7 lagi. Malah ada juga yang berkata saya mengabaikan dua anak hasil perkahwinan pertama dulu (sebelum Isma).

“Namun ingin saya jelaskan isu mengenai berkahwin lain tidak pernah wujud dan berita mengatakan saya mengabaikan dua anak itu juga tidak benar.

{[['']]}

Krisdayanti dibenci peminat, ‘dipulau’ anak sendiri!





Umum sedia mengetahui, rumah tangga yang dibina selama 13 tahun antara penyanyi jelita, Krisdayanti (KD) dan komposer, Anang Hermansyah sudah berakhir secara sah Khamis lalu.

Sebelum itu, timbul pelbagai spekulasi mengenai perceraian mereka dan yang paling hangat diperkatakan ialah kecurangan KD terhadap Anang yang didakwa turut disaksikan dua anaknya.

Bagaimanapun, KD yang ditemui ketika majlis pelancaran album barunya, ‘Aku Wanita Biasa’ di ibu kota, Jumaat lalu, menjelaskan, punca sebenar penceraian mereka bukanlah disebabkan orang ketiga seperti yang digembar-gemburkan media Indonesia.

KD berkata, sudah takdir jodohnya dengan Anang hanya setakat ini saja dan apa yang berlaku dalam rumah tangganya itu biarlah dia, Anang dan Tuhan saja yang tahu. Tidak menyesali dengan apa yang terjadi, KD berkata, penceraian itu berlaku atas kehendaknya sendiri dan Anang telah pun menceraikannya dengan talak satu, bukan talak tiga seperti mana yang didakwa media Indonesia. Bagaimanapun, pasangan ini sebenarnya pernah bercerai pada tiga tahun lalu.

Tidak mahu isu penceraiannya dengan Anang itu terus membelenggu dirinya, KD berkata, dia tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan ingin meneruskan kehidupan baru.

Hakikatnya, tidak sukar untuk mendekati dan mendalami isi hati penyanyi yang bertaraf ‘Diva’ ini kerana satu demi satu persoalan dirungkai tanpa jemu. Ikuti temu bual Sinar Harian bersama KD yang pernah popular dengan lagu, ‘Mencintaimu’ dan ‘Menghitung Hari’ ini.


Bagaimana dengan kehidupan KD setelah kembali ‘single?

Sebenarnya saya belum terbiasa dengan kehidupan ‘single’ ini, ialah kerana baru beberapa hari saja saya mendapat gelaran itu. Apa pun, insya-Allah saya akan cuba mengharungi masa datang dengan sebaik mungkin. Apa yang berlaku adalah ketentuan Allah dan saya tak ‘bisa’ menghalangnya. Saya akan teruskan kehidupan seperti biasa, dengan semangat baru dan mahu melupakan segala masa lalu. Tetapi kenangan manis dengan Anang tak akan saya lupakan sampai bila-bila pun.

Sebelum bercerai, KD berdepan dengan pelbagai tomahan, jadi bagaimana KD menghadapinya?

Dua bulan saya mendiamkan diri, tapi ia tidak bermakna saya salah atau kalah. Tapi saya fikir ada baiknya saya ‘diam’ untuk beri ruang pada diri sendiri berkikir dan menelaah atas apa yang terjadi. Saya diam juga untuk menghormati proses persidangan (mahkamah). Tapi dalam tempoh itu, saya dianggap seperti penjenayah yang melakukan kesalahan besar. Ke mana saja saya pergi pasti diburu wartawan sehinggakan saya berasa trauma untuk keluar rumah. Apa pun, saya harap penceraian saya dan Anang dapat menghentikan segala mimpi negeri ini.


Adakah punca sebenar penceraian kalian dan adakah kerana ‘orang ketiga’ seperti mana yang didakwa media Indonesia?

Saya tahu wartawan di Malaysia banyak membaca kisah saya dari apa yang dilaporkan oleh media di Indonesia. Tapi itu semua tidak benar dan ‘gosip’ semata-mata. Sepanjang dua bulan ini, saya tidak pernah memberikan apa-apa kenyataan pun.

Perpisahan saya dan Anang tidak ada kena mengena dengan ‘orang ketiga’ dan saya tidak mahu menyalahkan sesiapa pun dalam hal ini kerana penceraian ini adalah pilihan saya. Bukannya saya tidak bahagia dengan Anang, tapi kami sudah ‘tidak cocok’ untuk tinggal bersama lagi.

Mana-mana rumah tangga pun pasti berdepan dengan konflik. Malah sejak tiga tahun lalu, hubungan kami sentiasa bermasalah dan saya dapat rasakan kami tak boleh bersama lagi. Setelah pulang dari Umrah pada Ogos lalu dan membuat solat Istikharah, akhirnya saya dapat petunjuk dari Allah SWT. Saya mempunyai keberanian untuk berterus-terang pada Anang yang saya ingin berpisah dengannya.


Bagaimana pula dengan gosip yang mengatakan anda ada menjalinkan hubungan dengan jejaka bernama Rahul dan dialah punca penceraian?

Saya tak ada hubungan dengan Rahul. Dia adalah penaja konsert saya di Timur Laste tidak lama dulu. Saya kenal dengannya pun atas urusan kerja dan saya tak sangka, timbul macam-macam gosip pula tentang kami.


Khabarnya anak-anak (Titania Aurelie, 11, dan Azriel Akbar, 9) yang kini di bawah jagaan Anang, telah memulau anda?

Memang mereka tak mahu berjumpa dengan saya, dan sudah dua bulan setengah kami tidak bertemu. Semua barang yang saya hadiahkan pada mereka, dipulangkan semula. Malah surat dan khidmat pesanan ringkas (SMS) pun tidak berbalas. Sebagai ibu yang melahirkan mereka, memang saya berasa kecewa, tapi saya tidak menyalahkan mereka, kerana saya percaya mereka di pengaruhi oleh orang lain. Saya tidak percaya mereka begitu membenci sayang, terutama Azriel yang begitu rapat dengan saya.

Buat masa ini, biarlah mereka tinggal bersama Anang, dan saya tidak mahu menambahkan lagi konflik yang ada. Lagipun itu juga kehendak mereka. Tapi saya tidak akan melepaskan tanggungjawab saya sebagai ibu mereka dan setiap saat saya sebenarnya saya teringin untuk berada di sisi mereka. Saya harap suatu hari nanti, mereka akan terima saya.


Anda juga dibenci peminat sendiri?

Rakyat Indonesia seramai 80 juta orang, jadi sudah tentu saya tak boleh puaskan hati semua orang. Saya juga tak boleh halang kemarahan mereka dan terpulang pada mereka untuk menghakimi saya. Tetapi saya percaya, bukan semuanya membenci saya, kerana masih ada yang menyokong saya sehingga ke hari ini. Apa pun kita perlukan masa dan suatu hari nanti mereka pasti akan dapat terima. Saya juga akan cuba memberikan karya yang terbaik untuk mendapatkan kembali kepercayaan mereka terhadap saya dan cuba kekalkan prestasi yang terbaik.


Boleh jelaskan hubungan anda dengan Anang dan khabarnya Anang tidak mengizinkan anda menyanyi lagu-lagu ciptaannya?

Saya dan anak-anak sudah diambil, takkan lagu-lagunya juga ingin diambil? Apa pun, kami harus profesional dalam hal ini. Soal kerja, ia tidak harus dicampuradukkan dengan emosi. Saya juga pada mulanya keberatan untuk menyanyikan lagu Anang, tapi atas komitmen saya nyanyikan juga. Saya harap boleh kekalkan hubungan baik dengan Anang walaupun kami sudah berpisah. Perkara remeh-temeh ini tidak perlu dipanjangkan.


Bagaimana anda meneruskan kehidupan tanpa suami dan anak-anak di sisi?

Seperti yang saya katakan tadi, saya masih belum biasa menjalani kehidupan baru ini. Memang pada mulanya agak sukar untuk meneruskan tanpa suami dan anak-anak di sisi, tetapi saya harus bersyukur pada Allah SWT dan berserah kepada-Nya. Lagipun ini adalah untuk kebaikan kami bersama. Saya akan terap berusaha membina kehidupan baru dan berjuang baik dalam karier. Tapi soal jodoh, masih terlalu awal untuk saya fikirkannya.
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger