Latest Post :
Recent Post

Antara Air Mata Fahrin Dan 'Facebook Benci' Fasha

MINGGU ini dunia hiburan tanah air tidak kurang meriahnya dengan cerita-cerita kontroversi.
Kisah air mata Fahrin Ahmad sehingga ingin menyaman Linda Onn, cerita akaun laman sosial Facebook 'I Hate Fasha Sandha' dan kes bekas madu Noraniza Idris, Mastura Bakar yang bersedia disaman penyanyi itu cukup menarik perhatian.
Fahrin vs Linda
Suatu ketika dulu mereka pernah mengakui sekadar 'teman tapi mesra'. Kini, tiada lagi teman, tiada lagi mesra, yang tinggal hanyalah 'mahkamah'. Begitulah kronologi kisah aktor Fahrin Ahmad dan penyampai radio popular, Linda Onn.
Fahrin membuka tirai minggu ini dengan linangan airmata jantannya. Kekesalan Fahrin terhadap kenyataan dan tohmahan Linda yang melabelnya sebagai kaki pukul lebih mengguris hati aktor sasa ini apabila ada pihak yang bertanya kepada ibunya adakah Fahrin seorang lelaki yang cepat 'naik tangan'.
Justeru, Fahrin mempersilakan Linda untuk tampil dengan permohonan maaf atas kenyataan yang pernah dikeluarkannya di sebuah akhbar sebelum ini.
Linda diberi tempoh hingga Jumaat lalu untuk minat maaf, namun Linda punya penjelasan dan jawapan tersendiri.
Menurut Linda, dia hanya menjawab soalan wartawan dan tidak membuat tohmahan terhadap Fahrin. Kenyataan yang dikeluarkannya adalah benar dan enggan mengulas lanjut.
Malah, Linda tegar dengan keputusannya dan tidak mahu meminta maaf kerana dia tahu kebenarannya. Kesannya, kita sama-sama nantikan dan lihat saja episod saman-menyaman ini yang seterusnya.
Isu Akaun Benci Fasha Sandha di FB
Aktres ini tidak sudah-sudah dipalit pelbagai cerita sensasi. Yang kasihannya, lebih banyak yang buruk daripada yang positif.
Terbaru, sekumpulan individu bertindak mewujudkan akaun khas yang diberi nama 'Saya Benci Fasha Sandha (I Hate Fasha Sandha) di laman sosial Facebook (FB).
Bukan sepuluh atau dua puluh orang, tapi lebih 40,000 pemilik akaun FB yang 'tidak senang' dengan kelibat artis ini sepakat untuk memboikot Fasha dengan aplikasi teknologi moden ini.
Bayangkan Fasha sendiri mengaku kepada mStar Online dirinya terkejut apabila terbaca mengenai berita itu di akhbar.
Tapi, apabila empunya diri ingin melihat sendiri akaun tersebut, ia telah ditutup pula. Tup, tup... sehari dua lepas itu, muncul pula akaun yang bermisikan matlamat yang sama dalam versi baru pula.
Kasihan juga Fasha. Memang secara verbalnya, Fasha akui dirinya tidak melatah dengan isu ini. Tapi, dalam hatinya siapa yang tahu? Dia pun manusia biasa, ada hati dan perasaan.
Beringat-ingatlah Fasha tiap kali melangkah kaki ke mana saja, pasti akan ada mata yang melihat. Jika tidak, mana mungkin cerita-cerita 'panas' anda boleh diketahui ramai hingga mengundang rasa meluat segelintir individu di luar sana.
Apa yang diharapkan, Fasha ambil iktibar daripada cerita ini dan lebih fokus pada kariernya.
Bekas Madu Ratu Etnik Sedia Disaman
Kenyataan berani Mastura Bakar, bekas madu penyanyi etnik kreatif Noraniza Idris atau Kak Ani minggu ini jelas menggambarkan ketegasannya terhadap kes ini.
Walau pun satu Malaysia sedia maklum, kes mahkamah yang berlangsung itu sama sekali tidak melibatkan Kak Ani.
Namun, disebabkan kenyataan berbalas kenyataan dan fakta dimanipulasikan, lantas mengundang salah faham pada beberapa pihak. Akibatnya, isu 'sebut nama dalam mahkamah' pun dibesar-besarkan sehingga Kak Ani 'tidak senang duduk' dengan Mastura.
Orang lain yang hadapi perbicaraan, orang lain pula yang berbalah. Sedangkan puncanya kecil saja. Mastura sekadar menyebut nama Kak Ani ketika proses perbicaraan.
Kak Ani pula 'meledak' kerana tidak selesa mengaitkan namanya dalam urusan keluarga itu. Padanya, dia sudah tidak ada kaitan dengan Mastura mahupun Datuk Mohammad.
Mastura ada penjelasan sendiri. Menurutnya, dia tidak pernah berniat untuk mengaitkan nama penyanyi itu dalam kes tuntutan fasakhnya.
Memandangkan Kak Ani bertindak mencabarnya, lantas terpancurlah kenyataan berikut: "Kalau nak saman, samanlah saya tidak kisah. Saya sebut nama dia sebab hakim suruh bukan kerana saja ingin mengaitkan dia dalam perkara ini."
Apa kesudahannya cerita mereka, sama-samalah kita nantikan. Diharapkan Kak Ani tidak bertindak melulu mengikut perasaan.
Maklumlah, Kak Ani lebih dulu makan garam dan sudah lazim dengan rencah anak seni, takkanlah mudah sangat hendak melenting. Tentu Kak Ani tahu keputusan terbaik untuk selesaikan hal ini.
Takziah buat aktres Zarina Zainuddin sekeluarga atas pemergian adik tersayang, Liyana pada 27 Januari lalu.
{[['']]}

Kecoh Bila Wartawan Itali Meraba David Beckham

Kejantanan David Beckham seperti yang dipaparkan dalam iklan seluar dalam Armani, membuat seorang wartawan wanita Itali terdesak untuk merabanya
GARA-gara ingin tahu kejantanan jaguh bolasepak David Beckham, adakah dia sehebat iklan seluar dalam Armani yang diperagakannya, seorang wartawan TV Itali telah meraba Beckham.
Insiden tersebut berlaku di sebuah hotel di Milan baru-baru ini di mana wartawan dan juga bintang "Le Iene (The Hyenas,)" Elena Di Cioccio pura-pura menghampiri dan menemuramah Beckham.
Sebaik saja selepas menemubual Beckham, Elena, yang bekerja di program berita satira di TV Itali, telah tunduk dan terus meraba Beckham.
Ramai pemerhati yang berada di lokasi tersebut tergamam dengan aksi spontan bintang berusia 36 tahun itu.
Beckham juga turut kelihatan terperanjat dan tergamam hingga tidak terkata apa-apa. Sejurus selepas itu, beberapa pengawal sekuriti bergegas membawa Beckham keluar dari situ.
Bagaimanpun, Elena menjerit ke arah Beckham sambil juara bolasepak itu berlalu pergi dalam keretanya....,"Beckham, anda telah menipu kami semua. Sungguh tidak patut, David!"
Kemudian Elena berlari bertempikkan sambil menjerit kegembiraan kerana dapat apa yang dihajatinya.
Rakaman video Elena berbuat demikian telah banyak dimuat turun di internet hingga video itu diberi tajuk,"wartawan serang Beckham dengan meraba".
Dalam satu temubual dengan The Daily Telegraph selepas insiden tersebut, Elena berkata, dia berbuat demikian kerana ingin memastikan kejantanan Beckham.
"Saya hanya ingin tahu adakah dia sehebat apa yang dia tampilkan dalam iklan seluar dalam Armani itu. Dan saya sudah pun menemui jawapannya. Rupa-rupanya tidak...," jerit Elena kegembiraan.
{[['']]}

Jamal Abdillah Dilepas Tanpa Dibebas Dalam Kes Ugut Bekas Isteri

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas tanpa membebaskan penyanyi Jamal Abdillah daripada tuduhan mengugut bekas isterinya, Fatimatuzahra Samad melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), tiga tahun lepas.
Majistret Norkamilah Aziz membuat keputusan itu selepas Fatimatuzahra yang merupakan saksi kedua pendakwaan gagal hadir untuk memberi keterangan pada perbicaraan hari ini.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim memberitahu mahkamah bahawa Fatimatuzahra tidak hadir hari ini kerana sapina tidak dapat diserahkan kepadanya, dan beliau memohon untuk memanggil saksi pendakwaan ketiga untuk memberi keterangan iaitu pegawai penyiasat kes itu.
Peguam bela Jamal, Ahmad Fariz Mohamed kemudian membantah permohonan pendakwaan dan memberitahu mahkamah bahawa pada 8 Disember lepas, Fatimatuzahra yang merupakan pengadu dalam kes itu dipanggil untuk memberi keterangan, tetapi wanita itu memberitahu bahawa dia tidak berminat untuk memberi keterangan tanpa memberikan sebarang alasan.
"Seperti puan majistret sedia maklum, untuk kes ugutan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, keterangan pengadu amat material berbanding mana-mana keterangan lain. Saksi pertama pendakwaan ialah pegawai penyiasat kes yang sudah beri keterangan. Keterangan saksi pertama dan saksi ketiga (seorang lagi pegawai penyiasat) adalah tidak bermakna dan sia-sia tanpa keterangan pengadu (Fatimatuzahra).
"Pengadu juga pada tarikh sebelum ini mengangkat sumpah dan pastinya beliau tahu hari ini ditetapkan sebagai tarikh sambung bicara. Jika teruskan juga perbicaraan, ia akan merugikan masa mahkamah, saya dan anak guam saya serta saksi-saksi lain.
"Jika pengadu tidak dapat dipanggil hari ini saya pohon supaya anak guam saya dilepas tanpa dibebaskan dan jika pendakwaan berjaya mengubah hasrat pengadu (kemudiannya) bolehlah panggil dan dakwa anak guam saya," katanya.
Siti Syakimah berkata arahan yang diterima daripada ketua unit pendakwaan sebelum ini adalah untuk meneruskan pendakwaan terhadap Jamal walaupun Fatimatuzahra sudah menghantar representasi pada 20 Disember lepas bagi menarik balik tuduhan terhadap bekas suaminya itu.
"Saya percaya saksi kedua pendakwaan (Fatimatuzahra) masih boleh dikesan dan pendakwaan bersedia dengan saksi-saksi lain," katanya.
Ditanya Norkamilah mengapa Fatimatuzahra tidak hadir pada hari ini, Siti Syakimah menjawab saksi itu tidak dapat dihubungi.
Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, Norkamilah kemudian memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Jamal daripada tuduhan kerana mahkamah tidak mempunyai alasan munasabah mengapa Fatimatuzahra tidak hadir sedangkan beliau sudah mengetahui bahawa hari ini ditetapkan untuk menyambung perbicaraan.
Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidullah Ali, 50, didakwa mengugut Fatimatuzahra, 26, menerusi SMS pada pukul 7.44 pagi 30 April 2007.
{[['']]}

Bunga Citra Lestari Yakin Ashraf Sinclair Bukan Lelaki Jenis Cemburu


AKTRES Bunga Citra Lestari (BCL) begitu yakin suaminya, Ashraf Sinclair tidak mungkin cemburu jika melihat dia berlakon dengan pelakon tampan Chico Jerico dalam sinetron "Bayu Cinta Luna".
Kata Bunga, beliau tidak risau kerana yakin Ashraf bukan jenis lelaki cemburu.
"Alhamdulillah dia (Ashraf) kenal Chico, dan sekarang ini, dia bertambah kenal dengan Chico," jelas Bunga seperti yang dilaporkan laman kompas.com.
Menurut Bunga, penggambaran yang sudah berlangsung 100 episod itu tak pernah membuat Ashraf cemburu.
"Di lokasi penggambaran, Ashraf dan Chico saling bercerita dan punya rencana-rencana sendiri," kata Bunga.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu, 'Pernah Muda' itu selesa melihat perhubungan antara Ashraf dan Chico.
Malah dia berharap mereka berdua akan meneruskan persahabatan selepas ini.
"Saya harap mereka akan terus baik. Tidak ada jealous-jealous lagi. Mudah-mudahan mereka akan tetap baik-baik saja," ujarnya.
{[['']]}

Simon Cowell Antara Terkaya Di Britain


PENGKRITIK terkenal Simon Cowell beroleh kekayaan sebanyak 50 juta pound tahun lepas, sekali gus melayakkan dirinya menjadi antara lelaki terkaya di Britain.
Berita Simon termasuk dalam senarai orang kaya baru di Britain itu dipaparkan di majalah OK! baru-baru ini.
Dailystar.co.uk melaporkan tempat kedua diungguli oleh bintang rock Irish U2, diikuti oleh penyanyi terkenal Elton John, 62.
Menurut laporan itu, Elton mendapat kekayaan setelah menjadi artis residen di Caesar's Palace, Las Vegas.
Lain-lain personaliti yang turut disenaraikan di dalam 'Senarai 10 Orang Kaya' Britain ialah Anthony McPartlin, 34, Declan Donnelly, also 34, bintang lagenda Beatles Sir Paul McCartney, 67, dan bintang filem Ewan McGregor, 38. 10.
{[['']]}

Linda Onn Enggan Minta Maaf, Sedia Hadapi Kes Saman


PENYAMPAI radio popular, Linda Onn atau nama sebenarnya Rozlindah Onn, 32, tetap bertegas dengan keputusannya dan enggan meminta maaf kepada Fahrin Ahmad berikutan kata dua yang diberikan bekas kekasihnya itu, Isnin lalu.

Bukan Linda ingin mencari pasal atau sengaja membesar-besarkan hal. Baginya, kenyataan yang diberikan pada akhbar Sinar Harian itu adalah perkara yang sebenar.
Linda yang ditemui di konti Suria FM petang semalam, berkata, dia bersedia untuk menghadapi kes saman itu demi kebenaran.

Dia tidak perlu membalas sebarang kenyataan dan bercerita lanjut kerana semua urusan berhubung kes itu sudah diserahkan kepada peguamnya, Datuk Hazman Ahmad.
"Seperti yang telah diketahui umum, saya sudah serahkan segala urusan kes ini kepada peguam.
"Saya tidak mahu bercerita panjang tentang perkara ini lagi. Semua kenyataan yang saya berikan sebelum ini adalah untuk menjawab pertanyaan yang diajukan oleh wartawan.

"Tiada guna saya mengada-adakan cerita atau membuat fitnah terhadapnya. Saya hanya menyatakan perkara yang sebenar. Kebenaran akan terbukti nanti," ujar Linda penuh keyakinan.
'Episod saman' ini bermula apabila Fahrin memberi kata dua kepada Linda agar membuat kenyataan maaf secara terbuka dalam tempoh seminggu hingga Jumaat ini (29 Januari) atas dakwaan Linda yang mengatakan Fahrin seorang yang panas baran dan kaki pukul.

Selain Linda, tempoh seminggu turut diberikan kepada akhbar Sinar Harian dan The Star atas dakwaan menyiarkan artikel yang mempunyai unsur hasutan sehingga boleh menjejaskan nama baik dan reputasinya sebagai pelakon, pengacara serta duta produk.
{[['']]}

Gambar Mesra Zizie Ezette Dan Bung Mokhtar Tersebar Di Internet.




Gambar mesra Zizie dan suami, Bung yang tersebar di sebuah blog, semalam.
PASANGAN yang pernah mencetuskan kontroversi ekoran 'perkahwinan rahsia' sekitar penghujung tahun lalu, Zizie Ezette dan suami, Datuk Bung Mokthar Radin, sekali lagi menarik perhatian umum apabila gambar mesra mereka tersebar di Internet, baru-baru ini.
Gambar mesra Zizie dan Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan itu dipaparkan di sebuah laman blog pada hari ini (semalam).
Justeru, mStar Online terpanggil untuk menghubungi empunya diri bagi mendapatkan pandangannya berhubung isu itu.
Sebaik diajukan pertanyaan, Zizie sedikit terkejut, namun telah memberikan kerjasama yang baik dalam menjawab setiap pertanyaan.
Menurut Zizie, dia sama sekali tidak menyedari tentang isu tersebut. Dalam nada kebingungan, Zizie kedengaran begitu teruja untuk mengenal pasti ciri-ciri gambar yang dimaksudkan.
Sambil mengakui perkara itu berlaku di luar kawalannya, pelakon wanita itu bagaimanapun lebih selesa mengambil sikap tidak kisah.
PENGANTIN BARU ... Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin, 52, bersama isterinya, Zizie Ezette Abdul Samad, 32, sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini. - Foto Bernama
"Saya betul-betul tidak tahu mengenai penyebaran gambar itu dan tidak pasti gambar yang mana.
"Saya dan suami memang tidak pernah halang atau larang mana-mana individu untuk bergambar bersama atau mengambil gambar kami seandainya terserempak di mana-mana.
"Kami menjalani kehidupan seperti biasa. Kami bebas bergerak ke sana sini tanpa perlu bersembunyi atau sorokkan apa-apa.
'Cerita perkahwinan kami sudah diketahui umum dan tiada apa hendak sorok pun," katanya.
Tambah Zizie, dia juga tidak kisah sekali pun 'gambar mesra' itu tersebar tanpa pengetahuannya. Padanya, mungkin gambar itu diambil oleh peminat ketika mereka berada di tempat awam atau menghadiri majlis.
"Gambar itu tersebar tanpa pengetahuan atau izin saya atau suami. Mungkin gambar itu diambil oleh peminat atau orang awam. Tapi saya tidak kisah. Tiada apa yang hendak disorokkan lagi.
"Kami sudah menjadi suami isteri yang sah. Pada saya tiada apa yang perlu disorokkan lagi. Malah, kami sama sekali tidak pernah berselindung mengenai perkahwinan ini," ujarnya.
Ditanya bilakah dia dan Bung bersedia untuk berkongsi gambar-gambar mereka secara rasmi dengan pihak media, Zizie berkata, perkara itu terlalu peribadi untuk dikongsikan dengan khalayak buat masa ini.

Namun, Zizie juga tidak menolak kemungkinan akan berkongsi cerita kebahagiaan mereka di masa akan datang.
"Buat masa ini, saya minta maaf sangat sebab masih tidak dapat kongsi gambar-gambar atau cerita perkahwinan kami dengan lebih mendalam.
"Harap semua pihak faham kami perlu menjaga hati banyak pihak.
"Bagaimanapun, di satu masa terbaik, saya tidak menolak kemungkinan untuk kami berkongsi perkara ini kepada umum. Tunggulah nanti," ujarnya mengakhiri perbualan.
Ketika diusik dengan pertanyaan bilakah mereka akan berbulan madu, Zizie berkata, dia tidak dapat menjawab soalan itu memandangkan kedua-duanya sedang sibuk dengan tugasan masing-masing.
Zizie yang enggan memaklumkan mengenai butiran lanjut pernikahan mereka termasuklah tarikh nikah, bagaimanapun mengakui dia dan Bung kini sedang bahagia.
{[['']]}

Fasha Tidak Melatah Dengan Individu Yang Membencinya di Facebook



Fasha tidak melatah atau marah dengan isu akaun yang membencinya di Facebook.
NAMANYA tidak pernah surut dengan palitan kontroversi. Terbaru, aktres jelita Fasha Sandha atau nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan dilaporkan telah mengundang perasaan benci segelintir individu sehingga bertindak mewujudkan satu akaun khas di laman sosial, Facebook sejak 25 Disember tahun lalu, sebagai tanda protes terhadap aktres itu.

Seperti yang dilaporkan di sebuah akhbar tabloid tempatan semalam, akaun 'boikot', 'I Hate Fasha Sandha' (Saya Benci Fasha Sandha) itu diwujudkan semata-mata untuk mengumpul sejuta pengguna Facebook yang membenci aktres sensasi itu.

Melihatkan laporan tersebut, Fasha lantas menghubungi mStar Online untuk berkongsi cerita.
Menurutnya, sebaik membaca laporan itu, dia terus mengakses akaun tersebut. Malangnya ia telah pun ditutup.

"Sebaik terbaca laporan itu, saya terus akses Facebook dan ingin lihat sendiri akaun itu, malangnya ia telah pun ditutup.
"Secara rasionalnya, ia tidak memberi sebarang kesan pun pada saya, apatah lagi untuk menutup periuk nasi.
"Bagaimanapun, saya harus ucapkan terima kasih kepada akhbar itu yang menyiarkan artikel tersebut.

"Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada pihak yang menutup akaun itu hari ini (semalam)," katanya.
Fasha lantas ditanya mengenai reaksinya berhubung isu itu. Bagai sudah lazim dengan cerita-cerita kontroversi, Fasha kedengaran cukup tenang dan sekadar berkata, dia tidak dapat menggembirakan hati semua pihak.

Apatah lagi, sebagai seorang pelakon, masyarakat sentiasa memerhati dan mengikuti gerak-geri dan perkembangannya sama ada berkaitan kerjaya mahu pun peribadi.
"Pada saya, isu dibenci atau digemari adalah asam garam kehidupan. Sama ada saya artis atau tidak, tentunya saya tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

"Tetapi, selagi ia tidak memudaratkan saya, saya tidak akan ambil kisah tentang isu akaun itu," jelasnya lagi.
Ditanya adakah dia akan tetap mengambil tindakan undang-undang berhubung isu akaun yang boleh menjejaskan nama baiknya itu, Fasha berkata, memandangkan akaun itu sudah ditutup, dia dan pengurusnya lebih selesa untuk mengenepikan saja perkara remeh-temeh seperti itu.

"Jika benar ia sudah ditutup sepenuhnya, tidak perlulah saya hendak perbesarkan perkara remeh-temeh seperti itu. Lebih baik saya tumpukan perhatian pada karier seni saya," katanya ringkas mengakhiri perbualan.
{[['']]}

Jamal Abdillah Tidak Amalkan Sikap Kacang Lupakan Kulit



Jamal Abdillah masih membuat persembahan secara percuma dalam majlis-majlis konsert amal bagi mengumpul dana untuk Persatuan Pengasih Malaysia.
PENYANYI Jamal Abdillah yang popular dengan gelaran ‘Raja Pop’ tanah air ternyata bukan penyanyi yang bersikap kacang lupakan kulit.
Setelah pulih daripada ketagihan dadah yang menjadi sejarah hitam dalam hidupnya, dia tidak melupakan tempat di mana dia berjaya membebaskan diri daripada najis tersebut iaitu Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih).
Penyanyi berusia 51 tahun itu mula mengambil dadah atas desakan promoternya yang mahu penyanyi itu berjaya dalam sesuatu persembahan dengan menawarkan dadah kepadanya suatu ketika dahulu.
Kini, dia masih membuat persembahan secara percuma dalam majlis-majlis konsert amal bagi mengumpul dana untuk persatuan itu.
Menurut Presiden Pengasih, Mohd Yunus Pathi, Jamal yang menyertai pertubuhan itu secara sukarela untuk mengubah cara hidupnya masih banyak membantu persatuan tersebut.
“Beliau masih berjasa kepada Rumah Pengasih walaupun telah bergelar alumni,” katanya dalam satu temu bual dengan mStar Online semalam.
Malah untuk Hari Raya Korban lalu, Jamal yang bercerai dengan bekas isterinya Fatimatuzahra Samad, 26, pada tahun sama menyedekahkan seekor lembu kepada persatuan itu.
Selain itu, tambah Mohd. Yunus, terdapat lima artis tempatan lagi yang pernah menerima rawatan pemulihan dadah di situ.
Namun, beliau enggan mendedahkan identiti artis-artis yang terbabit kerana adalah prosedur persatuan tersebut untuk tidak mendedahkan identiti klien mereka.
“Kesemuanya hanya menyertai sesi kaunseling sahaja dan berada dalam peringkat awal ketika mendapatkan rawatan.
“Mereka mencuba dadah apabila nama mereka mula meningkat naik.
“Pada mulanya, mereka mengambil dadah untuk kelihatan lebih berkeyakinan di hadapan orang ramai semasa membuat persembahan.
“Tetapi lama-kelamaan apabila mutu persembahan mereka mula terjejas kerana dadah, mereka membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat kaunseling,” tambahnya.
Bayaran yang dikenakan di persatuan terbabit pula adalah RM700 sebulan untuk sesi rawatan selama setahun dan harga tersebut meliputi kos makan dan tempat penginapan mereka di sana.
Manakala kos rawatan untuk kaunseling pula bergantung kepada sesi yang dihadiri.
{[['']]}

Salman Khan Boikot Pengkritik Filem 'Veer'

Salman Khan Boikot Pengkritik 'Veer'
SALAH sebuah filem lakonan Salman Khan, Veer yang dinanti-nantikan ditayangkan di pawagam semalam.
Bagaimanapun, pengkritik filem tidak berpuas hati dengan filem tersebut sehingga tidak menulis tentang kebaikan filem itu.
Perkara tersebut menyebabkan Salman tidak berpuas hati dan menyarankan peminatnya agar tidak merujuk kepada ulasan pengkritik.
Salman menerusi laman web sosialnya berkata: "Bagi saya kritikan itu dibayar dan pengkritik tidak akan menjadi hakim yang baik berbanding penonton. Jadi, pergi ke pawagam dan tonton dahulu. Saya boikot dan meminta penonton tidak merujuk ulasan pengkritik kerana mereka tidak berguna apa-apa. Saya janji Veer tidak akan menghampakan penonton."
{[['']]}

Peguam Fahrin Dah Hantar Notis Kepada Linda Onn




PETALING JAYA: Aktor dan pengacara Fahrin Ahmad berkata, peguamnya telah mengemukakan notis tuntutan kepada bekas kekasihnya yang juga pengacara dan penyampai radio Linda Onn termasuk beberapa syarikat akhbar, semalam.
Tindakan itu dibuat sebagai langkah awal Fahrin untuk membersihkan namanya berikutan Linda mendakwanya sebagai kaki pukul.
Dia juga kecewa dengan penyampai radio Suria FM itu yang berterusan memburukkan namanya sejak percintaan mereka putus dua tahun lalu.
Sehubungan itu Fahrin dan peguam yang mewakilinya, Tetuan Naufal & Co akan mengadakan sidang media di Palace of The Golden Horses pada pagi Isnin ini untuk menjelaskan tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap mereka.
Dalam pada itu, peguam Tengku Naufal ketika dihubungi enggan memberikan sebarang komen sehingga Isnin ini.
“Tunggu saya komen pada Isnin ini,” tegasnya.
Fahrin, pengacara yang popular menerusi program Sehati Berdansa selama tiga musim berturut-turut berkata dia amat sedih apabila Linda mendakwanya panas baran serta ‘cepat naik tangan’.
Lantaran, dakwaan itu telah memberikan kesan negatif kepada kerjayanya sebagai seorang pelakon serta duta Garnier dan Shell.
{[['']]}

Ida Nerina bersetuju untuk diceraikan secara baik.


KUALA LUMPUR: Aktres popular Ida Nerina Hussain melalui peguamnya, Akhbardin Abdul Kadir hari ini bersetuju untuk diceraikan secara baik.
Namun, Ida menafikan dakwaan suaminya, Sha'arin Mohd Razali pernah melafazkan cerai sebelum ini.
“Ida bersetuju kalau bercerai secara baik tetapi dia tidak bersetuju dengan dakwaan Shahrin yang mengatakan dia pernah melafazkan cerai terhadap Ida.
“Jika Shahrin hendak menceraikannya, dia perlu memohon cerai secara baik di mahkamah,” kata Akhbardin di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini.
Ida tidak hadir ke mahkamah kerana masih menjalani rawatan kesihatan di India.
Sha'arin atau lebih dikenali sebagai Shahrin Blackrose dan peguamnya, Mahyuddin Md Zahari juga tidak hadir ke mahkamah.
Akhbardin memberitahu anak guamnya akan hadir pada 25 Februari ini jika sudah sembuh.
Terdahulu Hakim Syarie, Mohd Yunus Mohamad Zin memutuskan kes pengesahan lafaz cerai di bawah Seksyen 55A Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 ini ditangguh pada 25 Februari ini.
Difahamkan, jika Ida tidak hadir ke mahkamah selepas ini, hakim akan memutuskan perbicaraan kes ini tanpa kehadirannya di bawah Seksyen 121 (1)(b) Akta Tatacara Mal Wilayah Persekutuan 1998.
Pada 22 Disember lalu, Akhbardin berkata anak guamnya itu tidak bersetuju dengan permohonan pengesahan cerai yang difailkan oleh Shahrin.
Pada 23 November lalu, Shahrin memaklumkan kepada mahkamah yang dia telah tidak tinggal sebumbung dengan Ida sejak lebih dua bulan lalu.
Pada Hari Raya Puasa kedua tahun lalu, Shahrin didakwa telah melafazkan cerai terhadap pelakon filem ‘Susuk’ dan ‘Anak’ itu.
Episod penceraian itu dilaporkan berlaku akibat pergaduhan yang tidak berkesudahan dan berlanjutan sehingga Shahrin tidak mampu mengawal amarahnya sehingga melafazkan cerai terhadapnya.
Dimaklumkan, selepas Shahrin melafazkan cerai terhadap Ida, beliau telah keluar meninggalkan rumah Ida. Pada 9 Oktober lalu, Shahrin telah mengisi borang pengesahan lafaz cerai di mahkamah itu.
Pada 21 Jun lalu, Ida yang juga bekas tenaga pengajar Akademi Fantasia musim ke-7 ini telah menjalani rawatan membetulkan tulang belakangnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas terjatuh di rumahnya.
Kemalangan itu berlaku ketika menaiki tangga di ruang tamu dalam rumahnya yang terletak di Persiaran Syed Putra, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 3 pagi.
Sebelum ini, pengurus peribadi Ida, Fizaruddin Harun atau Fizar menafikan khabar angin yang mengatakan aktres itu dipukul sehingga menyebabkan dia terjatuh.
Fizar juga mendakwa Ida tidak mungkin terjatuh disebabkan hilang pertimbangan kerana 'mabuk' memandangkan aktres itu baru pulang dari umrah.
Katanya, Ida tergelincir lalu terjatuh apabila sedang menaiki tangga dengan tergesa-gesa.
Fizar juga turut menafikan yang Ida mungkin lumpuh akibat kecederaan tulang belakang yang dialaminya selepas insiden itu kerana sehingga kini doktor belum mengeluarkan laporan itu.
Ida, aktres kelahiran Middlesex, England, dan Shahrin telah berkahwin pada 2 Jun 2006. Ini merupakan perkahwinan kedua bagi pasangan ini.
Pasangan ini tidak mempunyai anak manakala Shahrin mempunyai dua orang anak iaitu Narissa, 14, dan Arman, 8, hasil perkahwinan pertamanya.
{[['']]}

Sandra Bullock Cium Mulut Meryl Streep Kerana Teruja


DUA aktres Hollywood, Sandra Bullock dan Meryl Streep bercium mulut dalam majlis penghargaan filem Critic’s Choice Awards yang berlangsung di Hollywood Palladium. Sandra mencium bibir Meryl kerana terlalu teruja.

Sebelum melakukan aksi ciuman itu, Meryl sebelum itu memenangi kategori Aktres Terbaik menerusi filem Julie & Julia. Setelah aktres berusia 60 tahun itu memberikan ucapannya, giliran nama Sandra Bullock turut disebut sebagai pemenang Aktres Terbaik.

Sandra menerusi pernah berlakon filem The Blind Side kelihatan tidak percaya ketika namanya diumumkan. Lalu, aktres berusia 45 tahun itu berteriak meluahkan rasa terkejutnya.

”Saya tidak percaya,” katanya seperti dipetik menerusi The Sun.

Ketika Sandra sampai ke pentas, Meryl terus memeluknya. Selepas berpelukan, tiba-tiba Sandra terus mencium mulut Meryl.

”Orang yang berada di sebelah saya ini telah memberikan inspirasi untuk saya bekerja lebih baik lagi,” ujarnya di atas pentas.
{[['']]}

Fitnah 'Kekasih Gelap' Zaquan Sangat Mengaibkan - Ayu Raudhah


SUSULAN laporan sebuah akhbar tabloid tempatan berhubung dakwaan cinta songsang pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Abdul Razak, 22, bertarikh 1 Januari 2010, mStar Online terpanggil untuk menghubungi aktres sedang meningkat naik yang juga kekasih hati Zaquan, Ayu Raudhah Che Wan bagi mendapatkan komen dan pandangan lanjutnya berhubung isu tersebut.

Menurut laporan, Zaquan telah didakwa mempunyai hubungan terlarang bersama seorang 'kekasih gelap' kaum sejenis, dipercayai berasal dari Sarawak, yang dikenalinya menerusi ruang sembang di Internet.

Bagaimanapun, akhbar tabloid itu semalam melaporkan, dalang di sebalik penyebaran fitnah itu sudah pun dikenal pasti.

"Dakwaan itu memberikan kesan yang tidak baik bukan sahaja pada Zaquan dan keluarga, malah saya turut terkena tempiasnya. Ia agak keterlaluan dan mengaibkan Zaquan.

"Kesannya amat besar dan mencemar nama baik Zaquan sekeluarga. Sudah tentu masyarakat akan berpandangan serong pada Zaquan. Ini amat memalukannya. Saya terkilan dan kecewa dengan fitnah itu," katanya.

Bercerita lanjut, Ayu mengakui, Zaquan ada menghubunginya sebaik sahaja cerita itu diterbitkan untuk meluahkan perasaan tertekan dan kecewa pemain bola sepak itu terhadap fitnah tersebut.

"Zaquan memang ada menghubungi Ayu sebaik sahaja berita itu keluar. Dia sangat tertekan dan malu dengan fitnah yang melanda. Dia terus balik ke rumah orang tuanya di Seremban untuk berjumpa dengan keluarganya bagi membincangkan lebih lanjut mengenai berita itu," ujar Ayu lagi.

Ayu lantas ditanya adakah kekasihnya itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap hebahan fitnah itu, pelakon siri popular Nur Kasih itu berkata, dia memang ada mendengar bahawa Zaquan ada bertemu dengan peguam berhubung isu fitnah itu.

Namun, sebagai orang luar dia tidak berani untuk memberikan sebarang komen mengenai perkara itu memandangkan pihak keluarga Zaquan belum membuat sebarang keputusan lagi.

"Memang Zaquan sudah berbincang dengan peguamnya berhubung isu fitnah itu. Tapi, saya masih belum tahu keputusan yang akan diambil kerana keluarganya belum buat apa-apa keputusan. Lagipun tidak elok untuk saya komen apa-apa kerana saya orang luar," jelas Ayu.

Ayu yang mengakui telah berkawan dengan penyerang pasukan Negeri Sembilan itu sejak tujuh bulan lalu, amat bersimpati dengan dugaan yang menimpa kekasihnya.

Beralih perbualan kepada perkembangan karier lakonan Ayu, adik kepada aktres Rozita Che Wan ini berkata, dia baru sahaja menamatkan penggambaran untuk sebuah telefilem berjudul Sekam untuk siaran RTM. Menurut Ayu, dia memainkan watak sebagai Mazlin, seorang pembunuh yang membunuh dalam diam kerana ingin membalas dendam. Telefilem arahan Rahim Awang itu turut memerlukan Ayu melakonkan aksi bersilat serba sedikit.

Menyentuh tawaran filem pula, Ayu berkata dia dijangka akan turun ke lokasi penggambaran filem Nur Kasih arahan Kabir Bhatia pada April depan. Selain Nur Kasih, Ayu yang turut terlibat dalam filem Madu Empat (arahan Razak Mohaideen) dan Durian vs Timun (arahan AR Badul) teruja untuk menyaksikan kedua-dua filem lakonannya itu menjengah pawagam pada tahun ini.
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger