Latest Post :
Recent Post

Siti Nurhaliza Jalani Rawatan Penyuburan Kaedah Akupunktur


Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa
KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mengaku melakukan kaedah rawatan penyuburan secara akupunktur bagi mendapatkan anak.
Siti Nurhaliza berkata, kaedah rawatan tersebut dilakukan secara kebetulan ketika dia dan suaminya Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa bercuti di London sebelum menunaikan Umrah di Mekah pada Ogos lalu.
"Saya akui ada buat rawatan penyuburan tetapi secara akupunktur dan meminum beberapa herba untuk penyuburan tetapi bukan menjalani rawatan persenyawaan tabung uji atau IVF (In Vitro Fertilisation) atau melalui permanian berhadas (IUI) seperti didakwa.
"Ia hanyalah kebetulan dan bukanlah dirancang kerana kami ke sana adalah sebagai meraikan ulang tahun perkahwinan ke empat kami," ujarnya ketika ditemui mStar Online semasa pelancaran lipstik terbaru SimplySiti, Khamis.
Bagaimanapun, Siti mengaku dia sentiasa berusaha dan berdoa agar dikurniakan cahaya mata sebagai pengikat kasih perkahwinannya yang dibina pada 2007.
"Saya berserah kepada rezeki yang diberikan Allah, sebagai manusia saya sentiasa berusaha untuk mendapatkan cahaya mata.
"Namun begitu saya belum bersedia untuk melakukan rawatan secara serius seperti IVF dan IUI," katanya yang kini masih lagi bercuti dari sebarang kegiatan seninya.
Dalam pada itu, Siti juga menafikan dia membatalkan konsert Semangat Hari Malaysia yang dijadualkan pada 25 September lalu di Pulau Pinang kerana hamil.
"Ia berikutan masalah kesihatan saya yang tidak mengizinkan. Saya dinasihatkan agar tidak terlalu banyak bergerak terutamanya melakukan konsert.
"Alhamdulilah pihak kerajaan negeri dan peminat-peminat saya memahami perkara ini dan sentiasa memberi sokongan kepada saya," katanya.
{[['']]}

Darling Mengaku Guna Dokumen Palsu

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Nasreen Ngasri atau lebih dikenali dengan panggilan Darling diarahkan membayar denda RM15,000 atau berhadapan dengan hukuman penjara selama tiga bulan, selepas mengaku salah atas tuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Jagjit Singh selepas menerima pengakuan salah Darling terhadap pertuduhan alternatif yang ditawarkan kepadanya pada Rabu.
Pada penghakimannya, Jagjit berkata, beliau telah mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan secara panjang lebar oleh peguam Darling dan juga balasan pihak pendakwaan.
"Antara perkara yang saya pertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman adalah faktor bahawa tertuduh adalah pesalah pertama yang telah insaf dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan ini lagi," tambahnya.
Darling, 27, kelihatan tenang semasa hukuman dijatuhkan. Dia hadir dengan ditemani suami, Nur Azlin Rahmat, 34, dan ibu bapa, Ngasri Sain dan Habibah Jaafar.
Terdahulu, peguam A. Khailes merayu mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap Darling yang sedang mengadung dua bulan.
"Tertuduh mengalami tekanan disebabkan kes ini. Dia tidak mendapat kontrak lakonan baru dan menjalani kehidupan sebagai suri rumah tangga sementara kes selesai," katanya.
Beliau menambah, pengadu kes tersebut, Mohamad Ridzuan Mat Hussin yang merupakan bekas rakan kongsi Darling di syarikat Nasridz Pictures Sdn Bhd juga telah menandatangani perjanjian penyelesaian pada 10 Mei lalu.
"Antara terma ialah semua pertikaian antara mereka termasuk kes ini diselesaikan. Pengadu juga telah membuat laporan pada 29 Jun lalu untuk menarik semula aduannya," katanya.
Khailes turut memanggil Mohamad Ridzuan yang mengesahkan bahawa dia telah mendapat semula wangnya berjumlah RM150,000 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank.
Selain itu, Khailes turut memberitahu bahawa Darling membuka akaun baru itu selepas akaun asal syarikat di CIMB Bank dibekukan pengadu.
Turut mewakili Darling ialah peguam Amir Feisal Ariff Mohamad Shukri.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah K.M Abu Bakar pula membalas dengan menyatakan walaupun akaun tersebut adalah akaun syarikat, tertuduh merupakan penandatangan tunggal akaun itu.
"Kesalahan yang dilakukan juga adalah serius kerana melibatkan elemen ketidakjujuran," katanya yang mengendalikan pendakwaan bersama Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandez.
Darling didakwa atas kesalahan menggunakan dokumen "Director's Circular Resolution Nasridz Pictures Sdn. Bhd" yang diketahuinya palsu sebagai tulen.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 16 Ogos 2007 di RHB Bank Berhad, Jalan Tun Razak, Cheras, di sini.
Bagi kesalahan itu, pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 1999 menerusi drama Selamat Hari Jadi Su III itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dia didakwa di mahkamah buat kali pertama pada 6 Februari lalu dan dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Fakta kes menyatakan, polis membuat siasatan ekoran aduan Mohamad Ridzuan, 34, di Pandan Indah, di sini, pada 18 Mac 2008.
Siasatan menunjukkan bahawa Darling telah menggunakan dokumen itu yang mengandungi tanda tangan Mohamad Ridzuan selaku pengarah syarikat bagi membuka akaun syarikat di bank tersebut.
Dokumen itu juga turut mempunyai tandatangan Darling sebagai pengarah dan Mohd khairul Amin A.Ramli selaku setiausaha syarikat.
Bagaimanapun, laporan kimia mengesahkan bahawa tandatangan Mohamad Ridzuan berkemungkinan tidak dibuat olehnya.
{[['']]}

Rita Rudaini Patut Maafkan Keluarga Suaminya


Rumahtangga Aidil dan Rita masih lagi utuh ditambah pula selepas kelahiran anak sulung mereka, Airit Rayyan
PETALING JAYA: Kakak kepada pemain bintang bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abd. Radzak,23, iaitu Ruzie,39, menafikan tuduhan keluarganya tidak boleh menerima perkahwinan kembar pemain bola sepak itu, Aidil Zafuan, 23, dengan pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 37.
Ruzie berkata, pada mulanya keluarga mereka terutama ibu dan bapa tidak merestui hubungan tersebut tetapi lama-kelamaan setelah kelahiran anak sulung mereka, Airit Rayyan Rizqin yang berusia lebih setahun, mereka mula menerima Rita.
"Ingin saya jelaskan, selepas Rita melahirkan anak sulungnya, mak dan ayah saya ada melawat cucunya di hospital. Kiranya mereka dah terima Rita dan Aidil.
"Aidil pun dah balik rumah keluarga kami di Seremban, Negeri Sembilan. Cuma Rita sahaja yang tak pernah nak jumpa kami. Saya pun tak tahu kenapa?
"Sehingga hari ini kami tertanya-tanya sama ada Rita sudah memaafkan kami atau tidak?
"Lagipun keluarga kami dah pun menemui keluarga Rita. Mungkin dia fikir yang kami masih tidak menerima dia sebab kes lama.
"Masa Hari Raya pun dia tak balik ke kampung nenek kami di Kedah kerana Rita beraya di rumah orang tuanya di Perlis. Aidil pun tak sempat nak ke Perlis kerana dia ada latihan bola sepak di Negeri Sembilan," katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.
Ruzie menjelaskan perkara tersebut selepas timbul isu kononnya keluarga lelaki masih tidak merestui perkahwinan Rita dan Aidil ketika kembar pemain bola sepak itu, Zaquan Adha bakal bertunang dengan pelakon Ayu Raudhah.
Menurut Ruzie lagi, sepatutnya Rita sebagai orang yang lebih muda sudah boleh memaafkan keluarganya memandangkan kedua ibu bapanya telah meminta maaf daripada Rita sebelum ini.
Ibu dan bapa Aidil, Azizah Arshad (kiri) dan Abdul Radzak Salleh telah menemui keluarga Rita sebelum ini di sebuah kedai makan. Foto UTUSAN
Dalam pada itu Ruzie turut menafikan gosip yang disiarkan sebuah akhbar tabloid Selasa lalu kononnya Rita menghalau ibu bapa Aidil sewaktu berkunjung ke rumah mereka baru-baru ini.
"Setakat ini, ibu bapa saya belum lagi pergi ke rumah Rita di Kepong, Selangor. Bila masa pula Rita nak halau mereka? Ibu bapa saya cuma berjumpa dengan ibu bapa Rita di kedai makan sahaja sebelum ini untuk berbincang hal keluarga.
"Ada juga gosip mengatakan Aidil tak balik rumah jenguk isteri dan anak. Tapi Aidil sebenarnya telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa.
"Setakat ini Aidil tak pernah tak balik rumah walaupun dia habis latihan pada pukul 2 pagi atau 3 pagi," tegasnya
Bagaimanapun, mengenai masalah rumah tangga Aidil pula, Ruzie berkata, Aidil tidak pernah menceritakan masalah peribadinya dengan keluarga.
Rita dan Aidil telah bernikah pada pertengahan Februari 2008 di Songkhla, Thailand. Perkahwinan itu pada mulanya mendapat tentangan keluarga pihak lelaki.
{[['']]}

Mizz Nina & Noh Kumpulan Hujan Mengaku Bercinta Dalam Facebook


Noh dan Mizz Nina turut berduet bagi lagu Kurnia bagi album terbaru Mizz Nina
 
PETALING JAYA: Seperti umum tahu, vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh dan penyanyi yang sedang popular dengan lagu What You Waiting For, Mizz Nina, begitu berbakat dalam karier nyanyian masing-masing.
Mereka berdua juga berkolaborasi dalam penghasilan album baru Mizz Nina dan turut berduet dalam album tersebut yang berjudul, Kurnia.
Sejak itu, mereka seringkali digosipkan sedang hangat bercinta selepas bekerjasama dalam pembikinan album tersebut, walaupun masing-masing sentiasa menafikan hubungan cinta mereka.
Bagaimanapun, baru-baru ini, mStar Online telah mendapat informasi mengenai akaun laman Facebook mereka yang mengesahkan diri mereka bercinta.
Noh dan Nina masing-masing meletakkan status bahawa mereka sedang bercinta
Ini berdasarkan kepada status pada akaun laman sembang tersebut yang mereka tandakan sebagai sedang bercinta.
Noh meletakkan informasi Facebook miliknya 'In A Relationship With Shazrina Azman'. Begitu juga dengan Mizz Nina yang turut meletakkan status 'In A Relationship With Noh Kublai Khan'.
Apa yang pihak mStar Online ingin mempersoalkan, mengapakah Mizz Nina dan Noh menafikan hubungan cinta mereka kepada umum sedangkan mereka mengesahkan perkara itu dalam laman sembang masing-masing?
Mstar Online menghubungi Mizz Nina iaitu anak kepada Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim itu, untuk mendapatkan penjelasan tetapi dia enggan mengulas panjang.
Dengan nada bersahaja dia berkata: "No comment. Saya tak nak isu ini berbangkit lagi. Kalau boleh saya nak masyarakat fokus kepada kerjaya saya sahaja," katanya.
Noh pula gagal dihubungi untuk menjelaskan perkara itu.
{[['']]}

Kereta Baru Shahir (AF8) Berpusing Lima Kali



Shahir terselamat dalam kemalangan jalan raya pada pukul 6.30 petang, Isnin di lebuh raya Bidor ke Sungkai semasa dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. - Foto oleh SHAARI CHE MAT
 
PETALING JAYA: Kereta jenis Nissan Fairlady berwarna putih milik juara AF8, Ahmad Shahir Zawawi, 22, berpusing sebanyak lima kali sebelum merempuh pembahagi jalan di lebuh raya antara Bidor ke Sungkai, Perak.
Kemalangan pada pukul 6.30 petang, Isnin itu berlaku semasa penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu dalam perjalanan pulang dari rumah keluarganya di Kampar, Perak ke Kuala Lumpur setelah menjalani penggambaran sebuah program terbitan Astro.
Menurut ibunya, Mahanum Osman, 45, tiada apa yang mampu diluahkan selain bersyukur ke hadrat Ilahi setelah mendengar berita anak sulungnya itu selamat daripada kemalangan tersebut.
Dia turut bersyukur kerana insiden berkenaan tidak melibatkan kenderaan dan orang lain.
Katanya, kereta yang berharga sekitar RM180,000 itu baru dibeli oleh Shahir pada bulan Ramadan baru-baru ini.
“Shahir dan kawannya, Aman yang berada dalam kereta itu selamat. Alhamdulillah. Cuma keretanya remuk teruk di bahagian belakang dan hadapan.
“Shahir cuma mengadu sakit-sakit badan dan bengkak sedikit di bahagian kepalanya akibat terhantuk. Dia sudah mendapatkan rawatan doktor dan membuat laporan polis. Alhamdulillah doktor kata dia okey dan memberikan ubat tahan sakit.
“Tetapi dia belum membuat rawatan x-ray. Bagaimanapun, saya berharap supaya dia tidak mengalami sebarang kecederaan dalaman. Sekarang, dia sedang berehat di rumah dan menghantar keretanya ke bengkel,” kata Mahanum ketika dihubungi mStar Online, Selasa.
Bercerita tentang bagaimana Shahir boleh terlibat dalam kemalangan tersebut, Mahanum berkata waktu itu hujan lebat dan cermin kereta Shahir menjadi kabur.
“Air hujan di tepi lebuh raya itu begitu banyak sehingga Shahir merasakan kereta yang dinaikinya itu seperti terapung-apung. Lantas dia menekan brek dan selepas itu keretanya berpusing sebanyak lima kali sehingga melanggar pembahagi jalan.
“Selepas itu terus dia berhenti ke tepi jalan sebelum mendapatkan bantuan. Nasib baik kereta yang lalu-lalang di situ sempat mengelak dan tidak terlibat sama dalam kemalangan tersebut. Walaupun keretanya rosak teruk, tetapi pada saya yang penting Shahir dan kawannya selamat. Saya anggap semua yang berlaku ada hikmahnya,” ujarnya lagi.
Sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, Shahir pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya dan ini merupakan kemalangan besar kedua berlaku dalam hidupnya.
{[['']]}

"Kenapa Sekarang Abby Nak Ungkit?" - Memey Suhaiza

Norman dan Memey belum berbincang tentang wang hantaran lagi.
SETELAHhampir setahun pelbagai kontroversi yang membabitkan Norman Hakim dan bekas isterinya, Abby Abadi senyap tanpa berita, hal rumahtangga mereka yang lepas timbul lagi.
Kali ini, kenyataan mengejut daripada Abby membabitkan hutang wang hantaran berjumlah RM11,111.11 yang masih belum dilangsaikan Norman.
Hal tersebut membuatkan tunang Norman iaitu Memey Suhaiza Suhaimi turut terkena tempias yang memungkinkan reputasi dirinya terhadap keluarga dan peminat terjejas.
Beritahu Memey, dia terkejut apabila Abby menceritakan hal-hal peribadi kepada umum dan meminta pelakon itu untuk selesaikan masalah dia dengan Norman cara baik.
Malah Memey tidak risau jika situasi dialami Abby (tidak terima wang hantaran)akan terkena pula kepadanya.
“Saya harap Abby dapat selesaikan hal-hal peribadi dengan cara baik dan tak perlu buat satu Malaysia tahu.
“Kenapa baru sekarang nak ungkit? Saya tak tahu apa yang sedang dia fikirkan. Bila kami dah bertunang, hal ini pula timbul. Kalau boleh saya nak jernihkan keadaan dan selesaikan elok-elok, jadi tak seronok pula bagi kedua-dua belah pihak.
“Bila hal ini terjadi, tempiasnya terkena pada saya. Dengan keluarga, saya boleh jelaskan, tetapi orang lain macam mana? Saya tak mahu campur tangan sangat walaupun saya tahu hal yang sebenar.
“Apapun, saya tak takut jika wang hantaran saya tidak dibayar kerana saya kenal Norman. Lagipun setakat ini tiada perjanjian mengenai hantaran dibuat antara keluarga kami,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.
Tambah pelakon berusia 22 tahun itu, sebelum ini, Abby pernah menyatakan kepada Memey hasratnya untuk meminta balik hutang-hutang terdahulu Norman.
Malah Memey terkejut bila Abby menyatakan yang Norman tidak pernah memberi nafkah kepada anak-anak mereka.
“Sebenarnya saya dah lama tahu tentang hal ini. Dalam beberapa tahun kami kenal, Abby pernah cakap pada saya yang dia nak balik duit-duit itu dan saya tak faham kenapa dia perlu memberitahu saya. Mungkin dia ingin menunjukkan sesuatu, saya pun tak pasti.
“Cuma saya pelik, kenapa dia kata yang Norman tidak ambil kisah tentang nafkah anak-anak mereka sedangkan saya nampak sendiri depan mata segala perbelanjaan seperti barang-barang dapur serta keperluan lain yang Noman beli.
“Jadi bila keluar kenyataan sebegitu, saya terkejut. Tak seronoklah kalau orang baca, kerana orang luar tak tahu hal sebenarnya tetapi saya nampak realitinya apa yang Norman buat untuk anak-anaknya.,” ujar Memey yang akan mendirikan rumahtangga bersama Norman tahun depan.
Norman dan Abby telah bernikah pada 8 Januari 2002 dan melangsungkan perkahwinan mereka pada 31 Ogos 2002 di Perdana Grand Ballroom, Dewan Felda, Jalan Semarak.
Mereka bercerai pada 18 Disember 2008.
Perkahwinan mereka gagal bertahan kerana dipercayai gara-gara gangguan pihak ketiga iaitu Memey serta kes tangkap khalwat kedua-dua mereka.
Abby Sanggup Bersumpah Norman Bohong
Sementara itu, Abby yang dihubungi berkata, dia geram bila Norman membuat kenyataan di sebuah akhbar yang menyatakan bahawa dia tidak berhutang apa-apa pun dengannya.
Dalam laman social Facebook Abby pula, pelakon itu sanggup bersumpah dengan nama Allah mengenai pembohongan yang dibuat oleh Norman Hakim.
Pelakon drama Marhabbah Delaila itu juga berkata, kenyataan Norman juga bercanggah berbanding kisah sebenar yang berlaku dan menganggap Norman dan Memey telah lama bersekongkol.
“Saya akui yang saya pernah bercakap dengan Memey meminta Norman membayar balik hutang-hutangnya kerana ini sahaja cara yang ada. Ini kerana saya gagal berkomunikasi secara baik dengan Norman.
{[['']]}

M.Rajoli Dalam Kenangan


Allahyarham M.Rajoli dalam kenangan
PEMERGIAN Allahyarham M.Rajoli ternyata memberi kesan yang mendalam buat industri hiburan tanah air.
Bakatnya yang pelbagai mampu membuatkan penonton ketawa dan menangis mengikut watak yang diberikan.
Apalagi dengan gurau senda yang sering menjadi usikannya kepada keluarga dan rakan-rakan, ia pastinya menjadi memori yang indah.
Sepanjang detik-detik terakhir sebelum menghembuskan nafasnya, Allahyarham hanya ditemani isteri, Hashimah Md Din dan anak bongsunya, Muhammad Arif.
Kedua-dua anak beranak itu tenang menerima ketentuanNya.
Arif berkata, tiada apa yang mampu mereka lakukan melainkan mengalirkan air mata sejak pemergian ayahanda tercinta. Apa pun mereka reda dengan pemergian pelakon itu.
"Sebelum itu, sempat juga arwah berpesan, jaga mak dan kalau boleh dia tidak mahu adik-beradik bergaduh.
"Saya bangga dengannya kerana semangatnya yang begitu kuat ketika bertarung nyawa.
"Apapun, saya enggan memikirkan kenangan bersamanya kerana ia akan membuat saya menangis mengenangkannya," katanya.
Hashimah pula berkata, dia sedikit kekok tanpa suaminya di sisi dan terpaksa menerima hakikat bahawa suami tercinta kini telah pergi.
Sani (kanan) sedih kerana tidak dapat melawat M.Rajoli ketika sakit.
Sementara itu, salah seorang ahli kumpulan Kopratasa, Sanisudin sangat sedih dengan pemergian pelakon berusia 64 tahun itu.
Katanya, sepanjang Allahyarham sakit, dia tidak berkesempatan untuk menjenguk pelakon kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu.
"Kalau saya kata sibuk, memang saya tak perlu beri alasan bukan. Tapi itulah, saya terasa sangat bila Sabri Yunus menghubungi saya tentang pemergian arwah.
"Sekali pun saya tak jenguk dia. Saya harap, dia pergi dengan aman," katanya.
Sabri yang merupakan teman artis yang sering bekerjasama dengannya berkata, dia sempat melawat Allahyarham sebulan lalu dan Allahyarham meminta Sabri untuk mendoakannya sembuh agar dapat aktif semula di bidang lakonan.
"Sepanjang perkenalan saya dengannya, dia seorang lelaki yang suka bergurau dan gemar menghiburkan orang-orang sekelilingnya.
"Tambah pula bila kami bekerjasama dalam sitkom Salam Pantai Timur di sekitar tahun 2001 hingga 2005, banyak kenangan manis yang kami kongsi bersama.
"Setahu saya juga, dia tidak pernah marah orang," ujar Sabri.
Ziela kenal M.Rajoli sebelum kahwin lagi
Bagi penerbit drama serta pelakon, Ziela Jalil pula gembira kerana sempat pergi menunaikan umrah dengan Allahyarham bersama rakan-rakan yang lain.
"Kali terakhir saya bertemu dengannya ialah pada hari pengebumian arwah pelakon Syukri Hashim. Cuma dalam tahun ini saja saya tidak sempat menjenguknya.
"Bila mengenangkan arwah, saya kenal dia sebelum saya berkahwin lagi. Waktu itu kami bekerjasama dalam filem Pendekar Mata Satu dimana dia menjadi pembantu Pengarah.
"Saya akui, bekerja dengannya membuatkan kita sentoasa terhibur dengan lawak-lawak spontannya itu," katanya.
{[['']]}

Persandingan Aida Aris Dan Husfarid


Aida dan Husfarid bernikah di kediaman Aida di Taman Sierra Ukay, Hulu Kelang, Sabtu Lepas
MENGIKUT perancangan awalnya, aktres Aida Aris hanya mahu melakukan majlis nikah secara ringkas dan mengikut kemampuannya. Namun gara-gara pelakon Sharifah Shahira meminta Aida bersanding di atas pelamin, terpaksa juga diturutkan idea kawan baiknya itu.
Shahira juga sanggup menaja pelamin yang direka oleh Butik Pengantin Inspirasi Cinta itu yang cantik dihias dengan bunga ros merah segar.
Bagaimanapun wanita itu tidak dapat hadir ke majlis pernikahan Aida dan pasangannya, Husfarid Shaikh Ali @ Shaikh Hussain di kediaman pengantin perempuan di Taman Sierra Ukay, Hulu Kelang, Sabtu sebaliknya hadir pada majlis resepsi pada sebelah malamnya.
Jika mengikut perancangan, mereka mahu disatukan sebelum bulan Ramadan tetapi disebabkan mempunyai masalah dokumen perkahwinan di pejabat agama, maka perkahwinan itu terpaksa ditangguhkan.
“Selepas kami mendapat kebenaran dari pejabat agama pada minggu lalu, terus kami menetapkan tarikh perkahwinan dan membuat persiapan dalam masa seminggu.
Mempelai bergambar bersama-sama dua orang anak Husfarid.
“Ikutkan saya nak buat majlis yang ringkas sahaja tetapi akhirnya perlu menukar rancangan memandangkan majlis ini turut disertai oleh keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan terdekat.
“Saya juga bercadang untuk tidak bersanding tetapi Sharifah Shahira beritahu mesti ada pelamin. Tentang penetapan tarikh nikah ni, setelah berbincang dengan seorang ustazah, dia berkata tiada halangan untuk bernikah pada bulan Ramadan. Lagipun, saya mahu merasai keberkatan dengan bernikah pada bulan ini,” kata pelakon drama bersiri Awan Dania itu.
Ahli keluarga kedua-dua belah pihak turut hadir ke majlis perkahwinan mereka sebagai tanda merestui hubungan mempelai.
Pasangan ini bertemu pada 17 Februari tahun ini dalam majlis hari jadi Aida. Husfarid meminta nombor telefon Aida dan memberanikan diri untuk berjumpa dengan wanita itu ditemani rakan-rakannya selang satu hingga dua minggu selepas itu. Pada bulan April lalu, terus Ketua Pramugara MAS itu nekad untuk melamar Aida sebagai isteri.
Husfarid telah hidup menduda selama tiga tahun dan hasil perkahwinan pertamanya, dia dikurniakan dua orang anak iaitu Farish Nasha, 9, dan Danish Hazin, 7.
“Bagi saya, semua ini ketentuan Allah yang menemukan saya dengan Aida. Bagi saya, Aida bukanlah seorang wanita yang sombong, tidak materialistik, sentiasa merendah diri dan menjadi dirinya sendiri.
“Anak-anak saya juga dapat menerimanya dan saya lihat mereka mudah serasi, alhamdulillah. Saya tak kisah jika Aida mahu meneruskan kariernya dalam bidang lakonan selepas ini dan dia berhak membuat keputusan dalam hidupnya. Saya berharap semoga hubungan ini berkekalan,” kata Husfarid yang berkhidmat dalam MAS selama 16 tahun.
Setelah menjanda selama lima tahun, Aida juga seperti wanita lain yang ingin dicintai oleh lelaki. Sebelum ini, dia pernah berkahwin dengan penerbit program, Bob Azrai namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama dua tahun.
“Hati saya ringan untuk menerima dia (Husfarid) sebagai suami kerana dia betul-betul ikhlas untuk menerima saya sebagai isterinya. Tentang cahaya mata, saya terima dan berserah sahaja kepada rezeki.
“Saya juga tiada masalah untuk bergelar ibu ‘segera’ kepada anak-anaknya kerana saya mempunyai ramai anak saudara. Lagipun, saya sudah biasa berlakon sebagai seorang ibu. Jadi sebab itu saya tak perlu mengambil masa yang lama untuk mesra dengan kanak-kanak,” kata Aida yang baru mengenali anak-anak Husfarid dalam bulan ini.
Selepas ini, Aida akan memulakan kehidupan baru dengan keluarga barunya itu di rumah yang baru didudukinya sejak sebulan lalu.
Menyentuh tentang karier, Aida yang baru selesai menjalani penggambaran filem Senjakala itu dijangka akan membintangi sebuah telefilem selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Pada Hari Raya Pertama nanti, mereka akan beraya di Kuching dan Kota Kinabalu memandangkan Husfarid terpaksa bertugas di awan biru.
Ditanya tentang bulan madu, pasangan ini belum menetapkan lokasi percutian mereka sebaliknya akan memikirkan selepas Hari Raya nanti.
Majlis resepsi mereka berlangsung pada malam tadi di kediaman Aida dengan bertemakan warna merah dan putih. Arefen Zaidin bertindak selaku pereka persalinan untuk majlis nikah dan resepsi kedua-dua mempelai. Seramai 200 tetamu yang dijemput meraikan mempelai terdiri daripada kaum keluarga, sanak saudara dan rakan terdekat.
Buat sementara ini, mereka tidak pasti sama ada akan mengadakan majlis kenduri besar-besaran selepas ini. Yang penting, mereka mahu melaksanakan yang wajib terlebih dahulu.
{[['']]}

Profil Indah Dewi Pertiwi

Biografi Lengkap Indah Dewi Pertiwi

Tempat Tanggal Lahir : Bogor, 30 Januari 1991
Profesi : Artis , Penyanyi Pop dan RnB
Zodiac : Aquarius
Ukuran Bra: -
Tinggi : -
Facebook : indahdp
Twitter : @IDP_Keci
Website : www.indahdewipertiwi.com

Album
2012 – Teman Terindah
2010 – Senandung Ramadhan
2010 – Hipnotis

Awards
Dahsyat 2012 – Terdahsyat Penyanyi Solo Wanita
MURI – Rekor penjualan album tercepat , 18 bulan 2 juta keeping
SCTV Awards 2011 – Album Pendatang Baru Solo Paling Ngetop

Fakta Unik
Tahun 2007 , fotonya memakai bikini pernah beredar luas di internet
Quotes
"Wah kalo pergaulan kita seperti apa, ya balik lagi ke diri kita. Kalo mau bergaul dengan lurus-lurus aja”

{[['']]}

Linda Onn Terkilan

Linda Onn bersama jemaah ketika mengerjakan umrah pada Jun lalu. Gambar Linda bersama sepanduk ini disindir penulis pojok Siti Jarum menyebabkan Linda berasa terkilan. Gambar ihsan blog Linda Onn.
PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Linda Onn terkilan dengan laporan sebuah akhbar Ahad lalu, yang kononnya mendakwa pemergiannya ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah dari 15 hingga 25 Jun lepas seperti hendak menunjuk-nunjuk.
Linda menerusi blognya yang disiarkan pada Isnin lalu berkata tuduhan itu amat mengguris hatinya kerana pemergiannya ke Tanah Suci Mekah adalah ditaja oleh syarikat pelancongan Gemilang Travel yang menjalinkan kerjasama dengan stesen radio Suria FM.
Katanya, sepanjang berada di Mekah, Linda menjalankan tugasan dengan melaporkan segala perkembangan mengenai rombongan tersebut yang mana ia merupakan perjanjian yang telah dimeterai di antara stesen radio itu sebagai radio rasmi dengan ejen pelancongan berkenaan.
“Linda diberi tugasan membuat liputan perjalanan sebelum berangkat, semasa berada di Madinah, Mekah sehinggalah perjalanan pulang Linda ke Malaysia. Semua itu merupakan perjanjian di antara Gemilang Travel dan juga Suria FM.
“Sepanjang mengikuti rombongan itu Linda membuat lintasan secara langsung sebanyak dua kali sehari bagi mempromosi syarikat berkenaan,” katanya dalam blog tersebut.
Ahad lalu ruangan pojok Siti Jarum di dalam Pancaindera, Mingguan Malaysia telah menyindir Linda Onn yang bergambar dengan memegang sepanduk tertulis “Umrah Bersama Linda Onn” seperti memberitahu dia berjaya mengerjakan umrah.
Tindakan itu kata Siti Jarum seperti pendaki yang biasanya memegang sepanduk setiap kali berjaya menawan puncak gunung.
Mengenai tindakannya bergambar dengan memegang sepanduk itu kata Linda ia dibuat bukan atas kehendak dia sebaliknya sepanduk itu disediakan oleh ejen pelancongan atas dasar mempromosikan syarikat mereka.
Ujar Linda sudah beberapa kali dia mengerjakan umrah tetapi tidak pernah pun membawa sepanduk melainkan untuk rombongan umrah anjuran syarikat pelancongan berkenaan.
Katanya, dia tidak sedikit pun terlintas untuk memberitahu telah berjaya melakukan umrah dengan memegang sepanduk itu.
“Bila diminta bergambar sebagai duta kecil, Linda pun bergambar beramai-ramai dengan jemaah yang lain dan tidak terniat untuk menjadikan ia sebagai pengesahan yang Linda berjaya melakukan umrah,” katanya.
Sementara itu dalam satu kiriman SMS kepada mStar Online, Selasa, personaliti ini memberitahu dia benar-benar terkilan dengan sindiran itu kerana ia memperlihatkan seolah-olah dia mempermainkan kerja baik yang dilakukan.
“Linda betul-betul kecil hati. Ini soal ibadat. Kalau soal lain, Linda tak pernah rasa (terkilan) macam ni,” katanya sambil membenarkan mStar Online memetik tulisan di dalam blognya.

{[['']]}

Persatuan Seni Desak Freddie Fernandez Berundur



Zaienal Abidin Omar (tengah) bersama pemimpin persatuan-persatuan seni selepas mesyuarat tergempar mengenai kemelut Persatuan Karyawan di PWTC, Selasa lalu.
KUALA LUMPUR: Pemimpin persatuan-persatuan seni, Selasa, sepakat menolak kepimpinan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez daripada menerajui persatuan itu sebaliknya menyokong ahli seumur hidup Karyawan, Zaienal Abidin Omar untuk mengambil alih kepimpinan berkenaan.
Dalam mesyuarat tergempar yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang Selasa, persatuan-persatuan berkenaan juga mendesak Freddie supaya berundur diri.
Pemimpin-pemimpin persatuan itu ialah Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Datuk M.Daud, Setiausaha Persatuan Artis Cina Malaysia, Ong Peng Chu, dan Timbalan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Mokhtar Abu Bakar.
Turut mendesak Freddie berundur ialah Presiden Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim, Presiden Persatuan Penulis Skrin Malaysia (Swam), Ismail Ahmad dan Presiden Persatuan Artis Veteran Malaysia, Datuk Ismail Hudson.
Hadir sama artis veteran Datuk Aziz Satar.
Dalam mesyuarat yang diadakan itu mereka turut mendakwa sepanjang menjadi Presiden Karyawan, Freddie dikatakan telah melakukan banyak penyelewengan.
Zaienal Abidin akan menentang Freddie bagi merebut jawatan Presiden Karyawan.
“Berdasarkan kepada mesyuarat yang diadakan, pihak kami memang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Freddie dan menyokong Zaienal Abidin untuk bertanding jawatan itu kerana kami mahu industri hiburan ini menjadi aman,” kata M.Daud ketika berucap pada majlis tersebut.
Kemelut Karyawan menjadi semakin tegang apabila pada Ahad lalu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan di Pawagam Mini P.Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) terpaksa ditangguhkan apabila berlaku kekecohan.
Mesyuarat berkenaan diadakan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa- Kuasa Khas) pada 2 Julai lalu mengarahkan satu Mesyuarat Agung di adakan dalam tempoh 60 hari dari perintah yang dikeluarkan.
Zaienal Abidin berkata, dia masih lagi ahli seumur hidup Karyawan yang sah dan layak untuk bertanding jawatan berkenaan.
Katanya, dia mendapat sokongan padu daripada ahli-ahli sehingga kehadirannya dalam AGM tersebut disambut dengan paluan kompang dan bunga manggar menyebabkan Freddie merasakan kedudukannya semakin goyang.
Atas dasar itu ujar Zaienal Abidin dia berhasrat mengambil alih persatuan yang ditubuhkan atas inisiatifnya sebelum ini.
Bercerita mengenai kekecohan yang berlaku Ahad lalu itu ujar Zaienal Abidin ia disebabkan kegagalan jawatankuasa bebas yang dilantik mengendalikan mesyuarat kerana tidak mempunyai pengalaman.
Komen pemimpin-pemimpin persatuan
“Saya tidak sukakan cara Freddie kerana dia gemar melakukan tindakan menentang arus.” - Ismail Ahmad (Presiden Persatuan Penulis Skrin Malaysia - Swam)
“Tak mahu Freddie menjadi duri dalam daging. Bila jadi isu seperti ini, kami mahu pemimpin yang boleh majukan industri kita.” – Mokhtar Abu Bakar (Timbalan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia – Profima)
“Kekecohan yang berlaku tidak begitu manis. Kami bersatu mahu singkirkan Freddie Fernandez.” – Datuk Ismail Hudson (Presiden Persatuan Artis Veteran).
“Kita patut tolong-menolong dalam persatuan tetapi Freddie selama ini banyak memburukkan persatuan sehingga sanggup hantar surat kepada menteri untuk tutupkan persatuan lain.” – Ong Peng Chu (Setiausaha Persatuan Artis Cina Malaysia).
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger