Latest Post :
Recent Post

Saida kakak Siti Nurhaliza failkan permohonan cerai




KUALA LUMPUR: Setelah 14 tahun melayari hidup bersama dan dikurniakan empat orang anak, penyanyi Saida memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik daripada suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri.
Saida yang merupakan kakak kepada penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza memfailkan permohonan itu pada 6 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah di sini, dengan menamakan Mohd Ghazali sebagai defendan. Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Perekutuan 1984 dan kes disebut di hadapan Hakim Syarie, Mohd Suhaily Rosdi pada Selasa.
Bagaimanapun, prosiding tersebut hanya dihadiri oleh peguam syarie, Noor Azlina Che Hasan sebagai wakil kepada bekas peserta Akademi Fantasia Musim Keenam itu manakala Mohd Ghazali tidak diwakili peguam.
Mohd Suhaily menetapkan 20 Disember depan sebagai sebutan semula kes bagi membolehkan pasangan tersebut berbincang bagi mengetahui sekiranya ikatan perkahwinan masih boleh diselamatkan ataupun mereka masih mengekalkan keputusan mahu berpisah.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Saida, 34, dan Mohd Ghazali, 40, mendirikan rumah tangga di kampung halaman penyanyi itu, Kuala Lipis, Pahang pada 14 Disember 1996 dengan berwalikan bapa kandung.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata, Siti Nurunnyssa, 13, Anas, 11, Khalid, 7, dan Siti Nurul Mashitah, 4 tahun.
Saida atau nama sebenarnnya Siti Norsaida Tarudin mendakwa dia dan suami sudah lama tidak bersefahaman dan sehaluan serta perkahwinan itu telah mengalami masalah yang berpanjangan dan tidak boleh didamaikan lagi.
Dia yang bernaung di bawah syarikat milik Siti Nurhaliza juga yakin bahawa matlamat perkahwinan tidak akan tercapai.
Turut dinyatakan, mereka yang beralamat di Alam Damai, Cheras, di sini juga tidak pernah bercerai sebelum ini.
{[['']]}

Lisa Surihani dan Bront Palarae diangkat sebagai pelakon terbaik FFM23.





CERIA...Lisa,Bront bersama trofi masing-masing.



SHAH ALAM: Aktres jelita Lisa Surihani dan aktor, Bront Palarae diumumkan Pelakon Wanita dan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), malam tadi.
Manakala, filem Magika sentuhan pengarah yang baru saja diumumkan Pengarah Harapan, Edry Abdul Halim diumumkan filem terbaik.

SHAMSUL...pengarah terbaik. (Gambar Kanan) REZEKI...Edry (kiri), Norman dan Yusry bersama trofi  Filem Terbaik FFM23.Pelakon dan pengarah muda, Shamsul Yusof pula diumumkan sebagai Pengarah Filem Terbaik menerusi filem ketiga arahannya Evolusi KL Drift 2.


Kemenangan Lisa Surihani (Lagenda Budak Setan) sekali gus membenam harapan pesaing lain yang tidak kurang hebatnya, Jasmine Michael (Estet), Maya Karin (Pisau Cukur), Mislina Mustaffa (Karaoke) dan Putri Mardiana (Santau) untuk membawa pulang trofi yang mengiktiraf bakat dan lakonan mereka dalam dunia perfileman tanah air.

Calon lain berentap untuk Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Esme Daniel (Santau), Farid Kamil (Lagenda Budak Setan), Shamsul Datuk Yusof (Evolusi KL Drift 2) dan Zul Huzaimy (Haq).

Anugerah Filem Pendek Terbaik berpihak kepada Projek Genex (Ainotek Sdn Bhd) yang mengalahkan filem pendek Hargai Sejarah Keluarga (Yellow Pictures Sdn Bhd), Srok (Syaabani Production), Sub Rosa (Nadiah Hamzah) dan The Five Rules (Universiti Teknologi Mara, Shah Alam).

Filem Animasi Terbaik diberikan kepada Buas (Charukphong Anuvong).

Sementara filem Magika arahan Edry menang Anugerah Skor Muzik Terbaik.

Anugerah Penyunting Terbaik jatuh kepada Hisham Jupri menerusi Evolusi KL Drift 2.

Untuk Anugerah Sinematografi Terbaik dan Cerita Asal Terbaik masing-masing dimenangi Raja Mukhriz - Niyang Rapik dan Ahadiat Akashah - Lagenda Budak Setan.

Kategori Lakon Layar Terbaik mengiktiraf hasil karya Jumaatun Azmi - Haq.

Malam kemuncak FFM23 itu dihoskan Sharifah Shahira, Zizan Raja Lawak dan Hezrie Hashim.

Sebelum itu diadakan cara karpet merah yang dikendalikan Raja Farah, Faezah Elai dan Iqram Dinzly.

Konsep malam anugerah itu bertemakan Filem Malaysia Ke Persada Dunia dengan harapan dan matlamat penggiat filem tanah air dapat menghasilkan bertaraf antarabangsa untuk tontonan penonton tempatan sekali gus dapat diperkenalkan di pentas filem luar negara.

FFM23 disiarkan secara langsung di saluran Astro Prima dan TV1, dari jam 8.30 malam hingga 10.39 malam. Tetamu kehormat malam itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Hadirin dihiburkan dengan persembahan selingan lagu dari filem Evolusi KL Drift, lagu medley dari filem Magika nyanyian Mawi dan Diana Danielle dan lagu Tanda Kasih gandingan Lah Ahmad dan Dayang Nurfaezah. Diikuti persembahan Farah Asyikin dengan lagu, ERT dan lagu dari filem Appalam oleh Dr Burn dan Gitaris.

Persembahan penutup oleh Lan The Typewritter menerusi lagu API yang turut diiringi penari Istana Budaya.

Menyemarakkan lagi malam perhimpunan pengiat seni tanah air itu, butik Rafflesia The Pearl Center tampil menaja hadiah untuk pemenang pakaian lelaki dan wanita terbaik serta pereka terbaik FFM23.
Oleh Nor Akmar Samudin
{[['']]}

Watie Elite Tenang Hadapi Masalah Bertimpa


PETALING JAYA: Pelakon Watie (Elite) menghadapi kehidupannya dengan tenang walaupun ditimpa pelbagai masalah termasuklah dikatakan menjadi perampas suami orang.

Lebih parah lagi, dia turut menerima padah apabila tawarannya sebagai duta produk kecantikan di sebuah syarikat turut dibatalkan akibat masalah itu.

Bagaimanapun Watie dapat menghadapi masalah itu dengan tenang dan berpendapat hanya Tuhan sahaja yang memahami perasaannya itu.

“Secara luaran memang nampak tenang tetapi dalam hati Tuhan sahaja yang tahu. Kalau saya tunjuk rasa sedih nanti, orang akan ketawakan saya atau menganggap saya cuba meraih simpati.


“Bagaimanapun, saya berharap kebenaran akan timbul suatu hari nanti,” katanya yang sedang menjalani penggambaran drama 26 episod Dia Bukan Mariam arahan Erma Fatima untuk TV9.

Bagaikan sudah memahami corak ‘politik’ dalam industri hiburan tempatan, Watie menganggap sesuatu kontroversi yang melanda seseorang artis atau selebriti itu pasti memberikan kesan buruk atau sebaliknya.

Bukan berniat hendak memalukan syarikat produk kecantikan yang membatalkan tawaran sebagai duta produk tersebut, sebaliknya Watie seakan geli hati apabila mendengar alasan yang diberikan apabila mengaitkan pembatalan itu disebabkan kontroversi melibatkan rumah tangga aktor Joey itu.

“Mungkin tiada rezeki saya dengan syarikat itu atau ada hikmah lain selepas ini. Pengajarannya, saya rasa susah juga untuk hidup sebagai artis kerana walaupun saya berjalan dengan lurus, orang tetap akan kata saya sebaliknya.

“Bagaimanapun, saya tetap akan meneruskan hidup ini dengan sabar,” ujarnya.


Mengikut perbincangan yang dilakukan sebelum bulan Ramadan lalu, dia sepatutnya dilantik sebagai duta untuk produk baru keluaran syarikat tersebut selepas Hari Raya Aidilfitri lalu.

Bagaimanapun setelah tiada panggilan daripada wakil syarikat itu, Watie terus mendapatkan kepastian sama ada mereka mahu melantiknya sebagai duta atau tidak. Namun, segalanya hampa apabila dia menerima jawapan yang menyedihkan.

“Masa itu (bercakap menerusi telefon) saya berada dalam kereta. Apabila mendengar jawapan (batal menjadi duta), hati saya berasa sedih dan air mata terus mengalir walaupun dalam masa yang sama saya masih boleh tersenyum,” ujarnya lagi.

Mengenai bhubungannya dengan Joey atau Zulkifli Daud, 37, Watie berkata, jika ada jodoh dengan penyanyi Beradu Suratan itu, mereka akan diijabkabulkan selepas selesai kes penceraian Joey dan isterinya, Noraini Nasir.

Noraini telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Jumaat lalu.

Permohonan itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 kerana mendakwa Joey telah melafazkan cerai di luar mahkamah pada Jun lalu.
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ
{[['']]}

Kemelut Rita-Aidil, Cerai Kak Engku & Selebriti Nikah 10.10.10



Kemelut Rita Rudaini & Aidil Zafuan
SEJAK awal Oktober lalu, cerita kurang enak tentang rumah tangga pelakon Rita Rudaini dan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak menjadi buruan media.
Rita sendiri mengaku perkahwinan yang dibina lebih dua tahun itu tidak pernah aman gara-gara campur tangan pihak ketiga.
Bagaimanapun, kedua-duanya saling menyayangi lebih-lebih lagi selepas kelahiran Airit Rayyan Rizqin.
Selain Rita, ahli keluarga Aidil juga memberikan kenyataan mereka bagi menjawab dakwaan tersebut.
Cuma kenyataan daripada mulut Aidil yang masih belum didengar dan lelaki itu akan mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku dalam rumah tangga mereka tidak lama lagi.
Maher Zain.
Maher Zain pernah tersasar
Dalam heboh tentang kemelut rumah tangga Aidil dan Rita, industri seni tanah air dihangatkan dengan kisah penyanyi Lubnan yang sedang popular dengan lagu Thank You Allah, Maher Zain yang kembali ke pangkal jalan yang pernah tersasar dalam kehidupannya.
Penyanyi yang berusia 28 tahun ini tidak malu untuk berkongsi pengalaman hitam bagaimana kehidupannya terpesong sehingga dia pernah terlupa membaca Al-Fatihah pada tiga tahun lalu.
Katanya, perkara itu berlaku kerana dia terlalu sibuk mengejar kepentingan dunia selain terlibat dengan aktiviti sosial kerana terpengaruh dengan rakan-rakan.
Menurut Maher lagi, dia bersyukur kerana Allah telah memberi hidayah kepadanya apabila dia mula sedar dengan kesilapan lalu ketika menyaksikan satu persembahan nasyid di sebuah negara.
Raja Azura cerai
Suhu kehangatan kisah artis semakin bertambah apabila pelakon dan penyampai radio Sinar FM, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin mengesahkan penceraiannya dengan suami, Adzmin Tan Sri Osman.
Biarpun sudah bercerai talak satu, Raja Azura tidak menolak kemungkinan untuk rujuk semula dengan bekas suaminya itu.
Raja Azura dan Adzmin mendirikan rumah tangga pada 10 Mac 2001 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Hakim, 7, serta Puteri Mia Maizurah, 4.
Dua hati bertemu
Aqasha dan Baizura. - Foto oleh SHAARI CHE MAT
Selain itu, mStar Online mahu mengucapkan tahniah kepada selebriti yang memilih tarikh 10.10.10 untuk diijabkabulkan iaitu pasangan penyanyi dan pelakon Firdee Aqasha Rosli, 28, sah bergelar suami kepada Noor Baizura Mohd Sabri, 27, dengan sekali lafaz di rumah pengantin perempuan di Lake Fields, Kuala Lumpur.
Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor sah bergelar suami kepada Dr Halina Mohd Yunos.
Sementara pasangan Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor sah bergelar suami kepada Dr Halina Mohd Yunos dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.
Bienda dan Kamarul.
Turut bergelar suami isteri adalah pasangan penyanyi Bienda atau nama sebenarnya Nor Razlinda Razli dengan produser program Primeworks Studios, Kamarul Zariman Abd Rahman yang bersanding pada 8 Oktober lalu di Ideal Convention Centre, Selayang.
Bagaimanapun, mereka masih merahsiakan tentang tarikh pernikahannya.
{[['']]}

"Anak Lari Takut Balik Rumah Ameng" - A.Aida


A.Aida memberi penjelasan kerana tidak puas hati dengan kenyataan Ameng dalam akhbar Rabu lalu yang menuduhnya mempunyai konspirasi menjatuhkan bekas vokalis Spring itu.
KUALA LUMPUR: Bekas isteri Ameng (Spring) iaitu A.Aida mendedahkan salah seorang anak mereka pernah lari dari rumah tetapi sempat diselamatkan oleh orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak polis dalam kejadian enam tahun lalu.

A.Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang,39, berkata, anak sulung mereka, Wan Aleesya yang sekarang berusia 14 tahun takut untuk pulang ke rumah kerana mendakwa pernah dipukul.
“Ameng gagal menguruskan anak sehingga anak kami pernah lari dari rumah ketika saya membenarkan dia menunaikan haknya untuk menjaga anak. Nasib baik ada orang jumpa anak saya merayau-rayau seorang diri sebelum mereka menolongnya menghantar ke balai polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” ujar A.Aida.
Produser A.Aida Production itu berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media tergempar yang diadakan di Restoran Rebung, Bangsar di sini petang, Khamis.
Sidang media itu dibuat berikutan rasa tidak puas hati A.Aida terhadap Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail,42, yang mendakwa A.Aida dan suaminya, Asisten Superintenden Suffian Sulaiman melakukan konspirasi untuk menjatuhkan kerjayanya seperti dilaporkan akhbar, Rabu.
Mahkamah Majistret di sini pada Selasa lalu memerintahkan Ameng membela diri atas tuduhan memasukan dadah ke dalam badan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda tidak lebih RM5,000 jika sabit kesalahan.
Khusyuk... para wartawan mendengar penjelasan A.Aida mengenai hak penjagaan anak yang selama ini tidak pernah dipedulikan Ameng. Gambar The Star oleh Azhar Mahfof.
A.Aida yang hadir bersama peguamnya Zulkifli Yong Azmi berkata, berikutan kejadian yang menimpa anaknya itu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, Subang Jaya, Selangor telah menasihatinya supaya tidak lagi membenarkan Ameng menjaga anak mereka kerana bimbang masalah serupa berulang.
Bagaimanapun kata Aida, sebagai seorang ibu dia memahami hati seorang bapa dan tidak menghalang untuk Ameng bertemu dengan anak-anak mereka.
Katanya, beberapa minggu sebelum Ameng ditahan pada 4 April lalu, Ameng telah mengambil dua anak mereka termasuk Wan Natasha,9, untuk membawa pulang ke Terengganu.
“Saya tidak halang Ameng bertemu anak-anaknya kerana anak dan bapa tidak boleh dipisahkan. Tetapi saya terkejut apabila Ameng selalu membuat tuduhan kononnya saya tidak memberi kebenaran untuk dia bertemu anak. Itu adalah satu pembohongan,” katanya.
Tambah Aida, selepas berpisah dengan Ameng pada tahun 2002, Aida tidak pernah menuntut sebarang nafkah yang sepatutnya diberikan oleh Ameng kepada dua anak mereka kerana memahami Ameng mempunyai masalah kewangan.
Tetapi apabila dia selalu membuat dakwaan yang bukan-bukan termasuklah menuduh A.Aida dan suami mempunyai konspirasi untuk menjatuhkannya, dia tidak dapat berdiam diri lagi.
Sehubungan itu kata A.Aida dia dan peguamnya sudah bersetuju untuk mengambil tindakan terhadap Ameng iaitu akan mengemukakan saman malu dan menuntut nafkah anak.
“Saya dah bagi peluang kepada Ameng tetapi dia masih memburuk-burukkan saya, jadi, saya terpaksa bertindak dengan mengemukakan saman malu dan tuntutan nafkah anak,” katanya.
Aida menambah, tujuan dia membuat laporan polis terhadap Ameng pada April lalu tiada kena mengena dengan anak tetapi ugutan jenayah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimkan Ameng termasuklah mendakwa mempunyai pistol untuk menembak Aida dan suami.
Bagaimanapun semasa ditahan, polis mendapati Ameng positif dadah sehinggalah dia didakwa di mahkamah atas kesalahan tersebut.
Kata Aida lagi, dia dan suaminya yang bertugas sebagai Ketua Perhubungan Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur tidak pernah campur tangan dalam siasatan polis sebaliknya segala hukuman dan juga keputusan adalah di atas bidang kuasa mahkamah.
Bagaimanapun katanya, jika Ameng merasakan ada konspirasi untuk menjatuhkannya, penyanyi itu boleh membuat laporan polis dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Sebenarnya selama ini saya tiada niat untuk membuat pendedahan ini kerana ia berkaitan keluarga tetapi apabila Ameng tidak habis-habis dengan tuduhannya itu, maka saya terpaksa tampil untuk membela diri,” katanya.
Sementara itu peguam A.Aida iaitu Zulkifli berkata pihaknya akan menyediakan dokumen yang berkaitan saman malu dan juga tuntutan nafkah sebelum difailkan di mahkamah.
Ameng dan A.Aida berkahwin pada tahun 1995 dan berpisah tujuh tahun kemudian.
Ameng kemudian berkahwin dengan Sabariah Zakaria,40, pada tahun 2004 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Wan Amar Haikal yang kini berusia tiga tahun.
Mahkamah menetapkan 25 Oktober ini untuk pihak pembelaan dan pendakwaan mengemukakan hujahan bertulis mengenai kes Ameng itu.

{[['']]}

Fiza 'Elite' Curang Terhadap Suami

 

PERGOLAKAN rumah tangga yang melanda bekas anggota Elite, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau Fiza, 29, yang juga seorang dramatis, semakin goyah apabila suaminya, Ahmed Farriq Zainul Abidin, 30, tampil membuat pendedahan mengenai sikap yang dianggapnya sebagai kecurangan seorang isteri. 


Farriq yang juga seorang ahli perniagaan sebelum ini sekadar mendiamkan diri. Kini, dia perlu tampil menceritakan situasi sebenar apabila sudah banyak pendedahan menerusi media massa sejak kebelakangan ini yang boleh mencalar imejnya, sekali gus dia tidak mahu terus dilabel sebagai suami dayus.
Kemuncak kemarahan Farriq bermula apabila Fiza keluar rumah tanpa kebenarannya pada 17 September lalu untuk bersama ‘kekasih gelapnya’, Malek Marwi, 35 yang juga seorang jurukamera apabila mereka dipercayai pergi bercuti ke dua destinasi - Pulau Langkawi dan Pulau Perhentian.
Sebelum ini juga media melaporkan, Malek yang juga bapa kepada pelakon remaja popular, Erin Malek, 16, dikatakan meninggalkan isterinya, Harryzah Hassan atau Liza, 35, dan anak-anaknya selama beberapa hari tanpa sebarang perkhabaran. Fiza pula rela meninggalkan dua puterinya, Ferra Aryanna, dua tahun lapan bulan dan Feeya, setahun empat bulan di rumah mentuanya semata-mata dikatakan untuk bersama Malek. Pasangan itu dipercayai hanya pulang ke Kuala Lumpur pada 28 September lalu apabila memberikan alasan terbabit dengan penggambaran drama sepanjang tempoh ‘kehilangan’ mereka.

Pun begitu, Farriq yang ditemui B*POP baru-baru ini sempat menunjukkan bukti rakaman menerusi CCTV (rakaman kamera litar tertutup) bahawa Fiza menjemput Malek di kediamannya di Pandan Mewah Heights pada 17 September lalu kira-kira jam 1.50 petang dan kedua-duanya beredar dari situ beberapa minit kemudian.

“Sebagai suami, saya akui gosip didedahkan media massa mengenai kecurangan Fiza bersama Malek sejak akhir-akhir ini adalah benar! Bagi saya, Fiza menipu dan menduakan suaminya adalah satu kesalahan. Kepercayaan saya membenarkan Fiza untuk terus berlakon disalah guna. Sebelum ini saya hanya mendiamkan diri, tapi lama kelamaan, perangai Fiza semakin teruk! Namun, saya akui sudah keluar rumah hampir empat bulan lalu, tapi tindakan saya bersebab kerana perangai Fiza yang semakin menjadi-jadi!

“Sudah beberapa kali saya berjaya menghidu kecurangan Fiza bersama beberapa lelaki termasuk bukti SMS. Bukan setakat itu saja, ibu Fiza juga masuk campur tangan urusan rumah tangga kami sehingga dia pernah tertonyoh hidung saya! Saya ambil keputusan keluar rumah, tapi saya tidak ke mana-mana, sebaliknya menetap bersama ibu dan ayah saya di Gombak, Selangor untuk sementara waktu. Namun, segala perbelanjaan Fiza bersama anak-anak saya sediakan, termasuklah pembayaran ansuran bulanan kereta Fiza dan rumah kami di Damansara, saya jelaskan.
“Sebagai suami, saya menunggu Fiza minta maaf kerana dia pernah melakukan kesalahan beberapa kali. Seorang isteri perlu mentaati suaminya setiap hari. Fiza boleh menemui saya di Gombak dan minta maaf, sebaliknya dia tidak berbuat begitu. Terbaru, Fiza menjalin hubungan dengan seorang jurukamera bernama Malek. Sudah beberapa kali saya berjaya mengesan pergerakan mereka berdua. Pada Ramadan lalu, kedua-duanya dilihat sering keluar bersama dan Fiza menghantar Malek pulang ke rumahnya sekitar jam 3 atau 4 pagi beberapa kali!

“Fiza pula sanggup jadi driver Malek sedangkan kereta itu saya bayar ansurannya untuk kemudahan dia bersama anak-anak, bukannya bersama Malek ke hulu ke hilir. Fiza mahupun Malek sering menganggap perbuatan mereka itu tidak salah kerana sekadar keluar makan bersama, tapi kalau sudah bercuti bersama, apa cerita? Apabila isteri keluar rumah tanpa izin suami, hukumnya berdosa besar, inikan pula sewenang-wenangnya melabel semua perbuatan itu tidak salah!

“Sebagai isteri, Fiza sering mempertikai statusnya kerana saya sudah keluar rumah empat bulan dan kerap memaksa supaya dirinya diceraikan. Tapi, segala-galanya terpulang kepada saya, talak di tangan saya. Apa saja keputusan, saya akan pastikan untuk memperoleh hak penjagaan anak. Biarlah mahkamah tentukan sama ada berlaku nusyuz atau sebaliknya. Saya tak mahu dilabel sebagai dayus!

“Dalam perbualan kami sebelum ini, Fiza mahupun Malek pernah membuat pengakuan mereka menyayangi antara satu sama lain, tapi sebagai seorang kawan, biarlah mahkamah buat penilaian sewajarnya sekiranya perkara ini berlarutan. Saya cabar Fiza dan Malek tampil membuat pengakuan kerana selama ini kedua-duanya terus mendiamkan diri. Saya tak takut kerana saya di pihak yang benar,” kata Farriq.

Fiza pula ketika dihubungi tidak mahu memberikan sebarang komen.

Oleh Zubir Mohd Yunus

{[['']]}

Jimmy Shanley Resah Kahwin Anak Datuk






MENJELANG hari pernikahan, sebelum munculnya tanggal keramat 1 Oktober lalu, segudang perasaan meribut di jiwa bekas pengacara Trek Selebriti, Jimmy Shanley, 31. Dia tahu, melafaz nama Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy, 24, pada acara akad nikahnya, transisi baru sebagai kepala keluarga pasti menunggu di haluan depannya.
Bukan tidak menyiapkan diri seawal mungkin untuk menempuh hidup baru bersama si penangkap hatinya yang merupakan puteri tunggal daripada tiga beradik itu. Jimmy sebaliknya membayang beragam emosi lain turut dirasai oleh setiap bakal mempelai sebelum munculnya hari berbahagia dipertauliahkan gelaran sebagai sang suami.
Tanpa berselindung, penama lengkap Jimmy Shanley Norjahan Saleh itu membuka cerita, entah kenapa dirinya berasa resah gelisah dan gementar malam sebelum diijabkabulkan. Bayangkan, Jimmy sempat melayangkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ibu pengantin perempuan, Datin Muniroh Kassim gara-gara tidak sempurna lelap tidurnya.
“Kononnya saya hantar SMS kepada ibu Suhaila sebab hendak meluah perasaan selepas pulang menghantar kad jemputan kepada seorang teman sekitar 2 pagi. Tapi, dia tidak membalas pula sebab barangkali sudah tidur pada waktu itu. Kerana itu, saya melayan sendiri kebimbangan dalam diri selang beberapa jam sebelum bernikah.


JIMMY mencium tangan ibu mertuanya, Muniroh.



“Rasa berdebar sampai tidak boleh tidur. Malah, saya sempat fikir, ini menjadi malam terakhir tidur seorang diri. Jadi, saya semahunya menikmati saat ini kerana malam seterusnya sudah ada isteri,” kata Jimmy ketika ditemui usai majlis pernikahannya di kediaman Suhaila di Bandar Sunway Rahman Putra, Sungai Buluh, Selangor Sabtu lalu.
Tidak mencuri waktu panjang menyambung bicara, hos bersama Akademi Fantasia 8 (AF8) itu sekali lagi menghantar SMS kepada Muniroh. Tiada lain diinginkan, dia sebolehnya mahu merawat kekecewaan dialami dengan bertebar cerita kononnya Jimmy bernikah dengan Suhaila atas dasar harta.
“Saya tahu ada sebilangan pihak buat spekulasi kurang enak sebelum ini. Dan kerana itu, saya menerangkan semula kepada ibu Suhaila bahawa perkahwinan ini terjalin atas dasar cinta ditambah sudah lama sebenarnya saya memendam hasrat untuk menjadi sebahagian daripada ahli keluarga mereka.
“Ingatkan dapat jadi anak angkat saja, rupa-rupanya tanpa disangka jadi menantu pula,” jawab Jimmy tertawa nakal sambil diperhatikan Suhaila yang lebih banyak mengerling manja belahan jiwanya itu daripada membuka mulut sementelah tidak terbiasa berdepan dengan pihak media.
Ditebak tentang perasaannya selepas melalui tiga kali lafaz akad nikah untuk memperisterikan Suhaila, anak jati Ipoh, Perak itu terang-terangan memperlihat reaksi lega. Biar bibirnya mengungkap kelegaan itu, hakikatnya senyuman terpancar dari anak mata Jimmy, ternyata mengisytiharkan segala-galanya.


SITI NURHALIZA tidak ketinggalan menepung tawar pasangan pengantin pada majlis respesi di Kuala Lumpur Convention Centre, Ahad lepas.



“Siapa saja tidak gembira selepas selamat dinikahkan. Begitupun, ini sekadar permulaan kepada hidup saya dan Suhaila. Biasalah, selepas ini asam garam rumah tangga akan bermula. Dengan saya semakin berusia, harap dapat menjadi lebih matang dalam segala hal. Bahkan, saya kena seimbangkan kehidupan apatah lagi sudah punya isteri.
“Sebaik saja semua selesai termasuk resepsi perkahwinan ini, saya akan membawa Suhaila berpindah ke rumah sendiri di Subang Jaya, Selangor. Cuma, masih terlalu awal untuk saya bercakap tentang perancangan selepas mendirikan rumah tangga,” luah Jimmy yang mahukan lima cahayamata - empat lelaki dan satu perempuan.
Cinta selepas nikah
Dengan tiga kali lafaz, Jimmy selamat bergelar suami Suhaila pada pukul 4.40 petang Sabtu lalu selepas dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah/Jurunikah Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara, Mustafa Kamal Abu Bakar berwalikan bapa pengantin perempuan, Suhaimy Othman.
Jejaka kacukan Melayu-Australia yang kelihatan kacak dengan sepersalinan baju Melayu rona kelabu ilham Rizman Ruzaini itu memberi mas kahwin dan wang hantaran berjumlah RM31,186. Ia sebagai memperingati hari lahir isterinya yang jatuh pada 31 Januari 1986 sambil membawa sembilan dulang hantaran berbalas 11.
Kisah mereka bermula dengan satu bidikan lensa kamera sebagai selebriti dan peminat di Genting Highlands sekitar empat tahun lalu. Kuasa Yang Maha Esa tiada tolok tandingnya. Kemudian, mereka dipertemukan kembali Januari lalu sebelum kedua pihak mengambil kata putus mahu mengikat tali pertunangan pada 11 Jun 2010.
Dalam masa singkat, mereka kini sah menjadi suami isteri dari segi hukum dan agama. Mengenali antara satu sama lain secara serius sepantas kilat, justeru, Jimmy dan Suhaila mahu menjalin cinta selepas hari bahagia mereka.
Bagai menjadi lumrah apabila ada sesetengah pasangan pengantin baru lebih mendalami sesama sendiri selepas melafaz akad nikah.


PENGANTIN lelaki tiba pada majlis resepsi bersama pengantin perempuan dengan menaiki sebuah kereta mewah.



“Dengan tempoh perkenalan kami yang pantas, banyak lagi saya tidak tahu tentang isteri. Sama juga dengan keadaan Suhaila yang belum kenal secukupnya tentang saya,” akui Jimmy yang bakal berbulan madu di dalam negara tidak lama lagi dan memasang hajat untuk menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah pada Februari tahun depan.
Dalam pada itu, Suhaila yang merupakan anak pengasas kepada produk kecantikan Natasha berkata, dia meluah kesyukuran kerana selamat bergelar isteri Jimmy. Biarpun nampak sedikit pemalu dan lontaran suaranya menebal dengan dialek Kedah, dia bagaimanapun cuba berkongsi emosi kepada himpunan pihak media yang duduk di depannya.
“Alhamdulillah, semua berjalan seperti dirancang. Tiada sebarang perbezaan walaupun kami telah disatukan. Jimmy boleh meneruskan kerjaya seni tanpa sebarang masalah manakala saya akan terus bekerja dengan famili. Sebagai isteri, sudah tentu saya akan terus menyokong dia dari belakang,” jelasnya yang memuja sikap humor dan menghormati suaminya kepada orang tua.
Pasangan itu mengadakan resepsi persandingan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Ahad, 3 Oktober lalu manakala sebuah lagi majlis untuk sebelah perempuan di Hotel Park Avenue, Sungai Petani, Kedah (9 Oktober) dan diakhiri dengan pihak Jimmy di Ipoh seminggu kemudian.
Oleh FAIZAL SAHARUNI
{[['']]}

Pergolakan Rumah Tangga Rita Rudaini


PETALING JAYA: Pelakon Ayu Raudhah, 26, mengakui hubungan cintanya dengan Mohd Zaquan Adha Abdul Razak, 24, tidak terjejas kerana berita pergolakan rumah tangga abang kekasihnya, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, 24, dengan pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 35.
Kata Ayu, dia percaya kepada ketentuan jodoh yang telah ditetapkan dan ingin hubungan tersebut diakhiri dengan ikatan yang sah pada awal tahun depan.
"Saya tiada hak untuk beri pendapat tentang pergolakan rumah tangga mereka tapi secara jujurnya cerita-cerita tersebut tidak menganggu perjalanan hubungan kami dan kepercayaan saya kepada Zaquan.
"Setiap perkahwinan ada risikonya dan saya percaya jodoh, pertemuan, ajal dan maut di tangan tuhan. Setiap pasangan suami isteri mesti ada dugaannya tersendiri," ujar Ayu ketika dihubungi mStar Online.
Menurut Ayu, sebagai orang luar dari keluarga tersebut, dia hanya mendoakan yang terbaik agar perkara tersebut tidak berlanjutan sehingga menjejaskan kerjaya kedua-dua belah pihak.
Jelasnya, dia dan Zaquan juga tidak pernah bercerita tentang hubungan rumah tangga pasangan itu dan menganggap ia sebagai masalah peribadi pasangan tersebut.
Dalam perkembangan lain, Ayu memberitahu rombongan merisik daripada keluarga kekasihnya itu masih belum diterima. Justeru dia tidak menafikan jika ia akan di tunda kerana tekanan daripada berita ini.
"Tentang perkahwinan kami, keluarga saya masih menunggu. Mereka beritahu selepas raya ini, namun jika tidak bulan Syawal ini mungkin juga bulan hadapan.
"Saya belum diberitahu tarikh mereka datang lagi. Insya-Allah, perkara baik kebiasaannya Allah akan permudahkan," ujarnya yang sedang menjalani penggambaran drama berjudul Semua Nak A.
Pelakon drama popular Nur Kasih ini mengaku sudah menjalinkan hubungan cinta sejak setahun lalu dan sedang merancang mengakhiri zaman bujang mereka dalam masa terdekat ini.
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger