Latest Post :
Home » , , , » Penyanyi Lagu Penawar Rindu Menderita Kerana Ketumbuhan Meninggal Dunia

Penyanyi Lagu Penawar Rindu Menderita Kerana Ketumbuhan Meninggal Dunia

{[['']]}
http://www.gosipsensasi.co.cc

ORKID disahkan menghidap ketumbuhan hormon tidak stabil.

 
SECEBIS doa agar kesihatan Datin Orkid Abdullah bertambah baik lebih adalah amat bermakna buat keluarga penyanyi era 60 an itu yang kini terlantar sakit, berbanding sumbangan wang ringgit.

Itulah yang dipohon oleh anak bongsu penyanyi ini, Nur Syafinaz Mokhtar, 31 terhadap peminat ibunya berikutan kesihatan yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

Keadaan Orkid yang disahkan mengalami ketumbuhan hormon tidak stabil, semakin teruk sejak September lalu selepas penyanyi yang popular dengan lagu Penawar Rindu itu pulang dari menghantar anak ketiganya Mohd Noor Shafri bertunang di Segamat, Johor.



Sejak anaknya itu, badan Orkid bertambah lemah menyebabkan dia hanya mampu berbaring. Bagaimanapun menurut anaknya Mohd Noor Shafri, ibunya seorang yang kuat semangat apabila tetap gagah berjalan walaupun cuma untuk seketika.
Tambah Mohd Noor lagi, ketika itu ibunya hanya sempat menyarungkan cincin di jari tunangnya dan selepas itu bergegas balik ke Kuala Lumpur kerana mengadu dirinya tidak selesa selain badannya mula berasa panas.

“Selain berasa panas badan, petanda lain ialah berpeluh, sakit ulu hati dan sakit belakang. Sekarang ibu hanya berbaring, jika hendak duduk, dia memerlukan bantuan untuk menyokong bahagian belakang badannya. Jika tidak, tubuhnya menggelungsur. Saya dan adik bongsu menetap bersama ibu, jadi kami bergilir-gilir menjaga ibu. Mujur saya menjalankan perusahaan katering dan memasak tempahan makanan di rumah. Jadi boleh dikatakan setiap masa saya berada di rumah.

“Jika ibu inginkan sesuatu, dia buat ‘missed call’ ke telefon bimbit kami. Itu isyaratnya ibu mahukan sesuatu dan kami adik beradik akan bergegas ke bilik ibu. Sebelum ini, keadaan ibu boleh dikatakan baik juga. Cuma hari ini keadaannya nampak teruk,” kata Mohd Noor.
Berikutan penyakitnya yang bertambah teruk, Orkid enggan lagi berulang alik ke hospital.

Menurut Mohd Noor lagi, mereka pernah berhabis sekitar RM21,000 untuk seminggu rawatan di sebuah hospital swasta tetapi keadaan ibunya yang disahkan menghidapi penyakit itu pada 2008 semakin teruk.

Orkid kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya dan menjalani pembedahan pertama pada 2008 tetapi dimaklumkan doktor bahawa ketumbuhan itu boleh berulang, dan pada awal 2010, sekali lagi pembedahan membuang ketumbuhan itu dijalankan.

“Doktor mencadangkan supaya ibu menjalani rawatan di sebuah hospital di Amerika Syarikat dan Belanda. Rawatan di sana percuma, cuma kos penginapan perlu ditanggung sendiri. Namun dengan keadaan ibu yang tidak mampu duduk, tentulah sukar kami ke sana apatah lagi perlu menempuh penerbangan berbelas jam. Jadi hasrat itu kami batalkan saja,” kata Mohd Noor.

Orkid dikenali pada 1965 selepas membuat persembahan pertama di peringkat kebangsaan pada majlis sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia. Selain menyanyi, Orkid juga guru. Beliau berkhidmat sebagai guru selama 17 tahun iaitu dari 1968 hingga 1985.

Album pertamanya dirakamkan pada 1966. Sepanjang pembabitannya dalam bidang nyanyian, Orchid sering membuat persembahan dengan diiringi kumpulan The Les Coaters.

Kunjungan rakan ringankan derita

SELAIN beruntung dijaga dengan sempurna oleh anak-anaknya, Orkid beruntung kerana tidak menanggung penderitaan itu sendirian, tetapi turut mendapat perhatian rakan seperjuangan. Menurut Mohd Noor, rakan-rakan ibunya kerap berkunjung dan ia sedikit sebanyak memberi semangat kepada ibunya.

Pada Rabu lalu, Orkid diziarahi oleh ahli Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) diketuai presidennya Datuk Freddie Fernandez serta beberapa teman lamanya, iaitu Datuk Sarimah Ibrahim, Datin Paduka Julie Sudiro, Datuk Aspalela Abdullah, MY Shamsuddin dan Shamsuddin Lamin.

Mereka meluangkan masa kira-kira satu jam bertanya khabar dan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga itu.

Suasana petang itu di kediaman Orkid sedikit bungkam apabila teman yang berkunjung turut merasai penderitaan yang ditanggung keluarga Orkid. Julie Sudiro dan Sarimah nyata tidak dapat menahan kesedihan dan sebak melihat keadaan Orkid. Apakan tidak, tubuhnya yang satu ketika dulu berisi, kini susut dek penyakit luar biasa itu.

Tiupan kata semangat dan doa yang dibacakan Julie Sudiro serta diaminkan tetamu lain, sedikit sebanyak memberikan semangat kepada wanita campuran Arab - Inggeris itu.

Pada kunjungan itu, Freddie dan teman-teman artis turut mengambil peluang menghulurkan derma buat keluarga Orkid yang dikumpul hasil sumbangan ehsan teman-teman, bukan daripada tabung KARYAWAN.

“Ini bukanlah kunjungan pertama kami. Sebelum ini pun KARYAWAN pernah melawat Datin Orkid ketika beliau dirawat di hospital tahun lalu,” katanya yang enggan mendedahkan jumlah wang yang didermakan.
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

.........................................................................................................................................................

 Al Fatihah! Penyanyi Orchid Abdullah Meninggal Dunia

 Rakan artis iaitu Datin Julie Sudiro, Aspalela Abdullah dan Datuk Sarimah Ahmad serta Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez melawat penyanyi Datin Orchid Abdullah di rumahnya di Dataran Ukay, Ampang, 27 April lalu.

KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran Datin Orchid Abdullah, 64, meninggal dunia di Hospital Ampang dekat sini kira-kira pukul 12.40 tengah hari Jumaat.
Menurut anak bongsu Allahyarham, Nur Shafinaz Mokhtar,31, menerusi akaun Twitter miliknya, jenazah akan dimandikan di hospital tersebut dan dibawa ke Masjis Al-Ansar, AU2, Taman Keramat, Kuala Lumpur untuk disembahyangkan.
"Doakan dia (Orchid) dirahmati Allah dan ditempatkan dengan golongan orang yang beriman," katanya pada Twitter tersebut.
Penyanyi yang popular dengan lagu Penawar Rindu itu menghidap ketumbuhan hormon yang tidak stabil atau paraganglioma sejak tiga tahun lalu.
Beliau telah dibawa ke hospital tersebut pada pukul 3 pagi, Khamis.
Setelah tiba di hospital, Allahyarham yang pada mulanya ditempatkan di wad biasa dipindahkan pula ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemeriksaan lanjut.
Selain Shafinaz, Allahyarham turut meninggalkan tiga orang anak yang lain iaitu Nur Shalina, 42, Md. Nor Shareen, 39, dan Mohd. Noor Shafri Mokhtar,35.
Suami Allahyarham Datuk Mokhtar Omar,70, yang sedang dirawat di Unit Rawatan Jantung (CCU) di hospital yang sama kerana komplikasi kesihatan yang serius.
Difahamkan, ibu saudara Shafinaz yang rapat dengan keluarganya, Rogayah Yaakob, 59, juga ditempatkan di hospital sama sejak Jumaat lalu kerana penyakit asma.
Sementara itu, jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Taman Keramat, di sini, selepas solat Asar.
Antara rakan selebriti yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir termasuklah pelakon veteran Datin Umi Kalthum dan Datuk Sarimah Ahmad, penyanyi 60-an Datuk Jeffrydin, promoter persembahan Mas Omar dan penyanyi muda Nadia Aqilah.
Anggota kumpulan marhaban dan zanji yang dianggotai oleh Allahyarham iaitu Kawan turut hadir seperti Aspalela Abdullah, Datuk Yusni Hamid, Zalifah Ibrahim, Hamidah Urip, pelakon Maimunah Ahmad (Mak Jah) dan ramai lagi.


Share this article :

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger