{[['']]}
KUALA LUMPUR: Sekian lama mendiamkan diri, pelakon Nadia Mustafar, 35, tampil memberikan penjelasan untuk membersihkan namanya atas segala tuduhan berhubung kes saman fitnah dengan pelakon Lisdawati sebelum ini.
Dia akui lega apabila kes tersebut telah selesai pada 27 Jun lalu setelah Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Yong Zarida Sazali meminta Lisdawati menarik semula saman itu ekoran beliau tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes itu.
Lisdawati
"Sebelum ini saya rasa lebih baik berdiam diri tetapi setelah kes ini selesai, peguam Siti Noor Julaini Mohd Shahar nasihatkan saya untuk membersihkan nama jika saya rasa berada di pihak yang benar.
"Saya akui sebelum ini saya kurang ilmu undang-undang tetapi selepas melalui kes ini, banyak perkara yang saya pelajari dan lega kerana semuanya telah berakhir," katanya dalam satu sidang media di Redbox, Pavilion, di sini, Isnin.
Jelas Nadia yang turut menafikan muflis seperti yang didakwa, biarpun telah memenangi kes tersebut tidak bermakna dia mahu mendabik dada sebaliknya berharap tiada lagi kes melibatkan mahkamah.
Malah pelakon filem Senario Asam Garam dan Jangan Tegur ini juga sanggup menerima maaf daripada Lisdawati sekiranya wanita itu menghulurkan salam perdamaian.
“Saya tiada masalah jika dia mahu berdamai semula dan tentang hutang dia dengan saya boleh dibawa berbincang kerana saya tidak terlalu menagih hutang itu.
“Tetapi jika dia ingin memfail semula kes ini ke Mahkamah Tinggi, saya hanya mampu membela diri,” ujar ibu kepada tiga orang anak ini.
Kehadirannya di situ turut ditemani oleh anak-anaknya iaitu Mia Qaisara, 3, Qaliff Izham, 2, Qaiem Quzey Izham, 5 bulan, dan suaminya Hazil Izham Ismail, 37.
Sepanjang berhadapan dengan kes tersebut, Nadia akui tidak tertekan dan hanya menjalankan kerjanya seperti biasa.
“Saya masih menerima tawaran berlakon dan menjalankan perniagaan kedai makan di Central Market pada awal tahun ini.
“Baru-baru ini, saya baru sahaja menyelesaikan penggambaran drama Suria Di Cordoba yang turut dilakonkan oleh Lisdawati tetapi kami tidak bertemu dalam babak yang sama,” katanya.
Tambahnya: “Bagaimanapun, kami berjumpa dalam satu majlis selepas selesai penggambaran drama tersebut pada dua minggu lalu dan bersalam-salaman sebagai tanda hormat antara satu sama lain.”
Dalam akhbar sebelum ini melaporkan Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, 33, mendakwa, Nadia dengan niat jahat telah memberikan wawancara yang mengandungi perkataan memfitnah kepada wartawan majalah Media Hiburan, Hanif Abdul Ghani.
Wawancara tersebut didakwa berlaku sekitar Januari 2005 dan Nisdawati mendakwa, majalah berkenaan telah menyiarkan wawancara itu dalam keluaran mereka bertarikh 8 hingga 14 Januari 2005.
Isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu mendakwa, dalam erti biasa artikel itu antaranya bermakna dan difahamkan bermaksud bahawa dia telah meminjam wang, berhutang dan gagal menjelaskan hutang yang dikatakan itu kepada Nadia yang dinamakan sebagai defendan.
Bagaimanapun, Nadia dalam pernyataan pembelaannya bertarikh 18 Mei lalu menyatakan bahawa artikel tersebut tidak mempunyai unsur ftnah, sebaliknya meminta agar orang yang berhutang untuk menjelaskan hutangnya.
Nadia juga menyatakan bahawa dia tidak pernah sekali-kali menyebut nama Lisdawati dan menyifatkan tuntutan tersebut sebagai tidak munasabah, mengaibkan, remeh dan menyalahgunakan kuasa mahkamah.
Sehubungan itu, Nadia memohon agar mahkamah menolak saman tersebut dengan kos.
Post a Comment