Latest Post :
Home » , , » Kenali Nadia Heng,Ratu Cantik Dunia Malaysia 2010/2011

Kenali Nadia Heng,Ratu Cantik Dunia Malaysia 2010/2011

{[['']]}


PERTEMUAN pertama dengan Ratu Cantik Dunia Malaysia 2010/2011, Nadia Heng Min Sern (Nadia), 26, membuahkan suasana gamat dengan celoteh dan keramahannya.
Wajahnya bukan sahaja tidak jemu dipandang, malah pesona kata-kata yang memikat ala-ala seorang jururunding sebuah syarikat membuatkan sesiapa yang mendekatinya berasa selesa.
Namun, tidak salah sangkaan yang diberikan kerana dia sememangnya pernah berkhidmat sebagai pegawai perhubungan awam di salah sebuah syarikat swasta di ibu kota selama empat tahun.
Bercerita tentang bulan Ramadan ini, dia yang berdarah kacukan Cina dan Inggeris akui rajin berpuasa sejak dua tahun lalu. Tetapi puasa yang diamalkan Nadia tidak sama seperti puasa orang Muslim kerana dia tidak menikmati sebarang makanan sebaliknya hanya meminum air.
"Semasa mula-mula berhasrat untuk puasa dulu, saya fikir hendak mencuba budaya orang Islam yang akan berpuasa sepanjang bulan Ramadan.
"Saya ingin rasai apa yang mereka rasakan apabila berpuasa dan cuba memahami bagaimana mereka boleh mendisiplinkan diri dengan berpuasa. Tetapi saya hanya tahan untuk puasa makan kerana saya masih perlu minum," katanya kepada OopStarz! ketika ditemui di Menara Star, Petaling Jaya.
Sebalik kisah puasa ini, Nadia juga tidak segan mengaku dirinya sedang bercinta dengan jejaka kacukan Melayu-Australia berasal dari Singapura.
Hubungan mereka bermula sejak empat tahun lalu dan masing-masing belum membuat perancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini.
"Saya rasa hubungan kami seperti masih baru berlangsung. Jadi, saya dan dia belum berani berbicara tentang perkahwinan dan ingin kehidupan masing-masing stabil terlebih dahulu.
"Saya yakin apabila berkahwin nanti, banyak perkara yang perlu dilalui melibatkan tanggungjawab masing-masing," katanya yang mempunyai pasangan kembar, Natalie Heng yang bekerja sebagai wartawan di syarikat akhbar Star Publications.
Beralih kepada topik kecantikan yang menjadi isu utama di kalangan wanita, penerima anugerah Pelajar Cemerlang Komunikasi dan Pelajar Cemerlang Perhubungan Awam dari Kolej Taylor ini memilih idolanya, Angelina Jolie dan Madonna sebagai rujukan wanita cantik di matanya.
Padanya, istilah wanita cantik merangkumi fizikal dan aktiviti seseorang itu. Misalnya dia memilih Ratu Cantik Lina Teoh dan Datuk Michelle Yeoh yang bukan sahaja cantik tetapi berbakat, bijak dan mengharumkan nama Malaysia ke luar negara.
Tentang penjagaan kecantikan, Nadia bukanlah seorang yang terlalu cerewet sebaliknya lebih gemar bersikap sederhana.Gemar makan aiskirm
Amalan kecantikannya dilakukan sama seperti wanita-wanita lain iaitu menggunakan produk asas seperti pembersih muka dan pelembap muka. Kebiasaan dia menggunakan produk Skinz yang serasi dengan kulitnya selepas diamalkan sejak dua tahun lalu.
Cuma yang menariknya dia tidak takut untuk menikmati aiskrim dan coklat yang dielakkan oleh sesetengah wanita.
"Saya kurang bersetuju dengan beberapa persepsi yang mengatakan apabila kita menikmati aiskrim dan coklat akan mempengaruhi kalori dalam badan.
"Jangan bimbang pasal kalori dan hanya menikmati aiskrim mengikut kesukaan tersendiri. Saya suka aiskrim Magnum Classic perisa vanila dan coklat. Lebih seronok apabila dimakan sewaktu masa lapang sambil bersantai di tepi pantai dan selepas berenang.
"Saya merasakan aiskrim bukan sahaja memberikan kenikmatan dari segi rasanya tetapi juga ketenangan dan keseronokan berganda," ujarnya yang sedang mempertimbangkan untuk berlakon filem.
Selain itu, dia memegang kepada petua dan nasihat daripada ibunya yang sudah berusia 60 tahun, namun masih memiliki kulit yang lembut.
Ibunya berketurunan Inggeris dan berasal dari Kent, England manakala bapanya berketurunan Cina dan kini mereka menetap di Port Dickson, Negeri Sembilan.
"Ibu saya mengajar saya untuk menggunakan Vaseline untuk melembapkan bibir dan kulit. Dia juga mengajar saya melakukan rawatan stim muka dengan menggunakan air panas di rumah.
"Selain itu, dia mengajar kami agar menjadikan senaman sebagai budaya gaya hidup. Dia juga sangat mengawal pemakanan kami dari kecil serta menggalakkan budaya memasak di rumah.
"Jadi, saya dan kembar saya jarang menikmati makanan segera di luar dan sekali atau dua kali sebulan baru kami makan di luar," ceritanya yang berkebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan Bahasa Malaysia.



Share this article :

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger