Latest Post :
Home » , , , , » Fouziah Gous Mencari Lelaki Matang Yang Memahami Dirinya

Fouziah Gous Mencari Lelaki Matang Yang Memahami Dirinya

{[['']]}


USIANYA bakal mencecah 30 tahun, namun Fouziah Gous belum berasa terdesak untuk mencari pasangan hidup.Malahan dia seakan-akan membayangkan belum ada perancangan untuk menamatkan zaman solonya kerana mahu memberi tumpuan kepada kerjaya seni.
Begitupun, gadis ini sudah menetapkan lelaki sudah berusia bukanlah pilihannya. Dan, kriteria penting pada lelaki yang dicari ialah benar-benar memahami dirinya sebagai seorang artis.

“Saya tak ada letakkan sasaran nak bila kahwin, tetapi kalau sudah jodoh Insya-Allah, saya akan menerimanya. Bukan impian saya untuk kahwin dalam majlis yang gah dengan tajaan sana sini, cukup sekadar buat apa yang patut dan wajib saja.

“Nak cari yang berduit ini senang saja tetapi nak cari yang betul-betul boleh terima dengan ikhlas dan faham kita memang susah. Tetapi kalau dapat yang kaya itu bonus, namun bagi saya lebih suka lelaki yang matang walaupun fizikalnya nampak muda,” katanya.

Meminati lelaki yang pandai dan mempunyai banyak ilmu pengetahuan merasakan akan memberi kelebihan kepadanya serta boleh membimbingnya kelak.
Memiliki pakej yang lengkap dengan ketinggian yang ideal serta susuk tubuh yang langsing menjadi daya penarik kepada Fouziah untuk kekal dalam bidang seni.






Dia adalah antara yang tersenarai dalam undian peringkat awal Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular, sudah lima lima tahun dalam dunia lakonan tetapi menganggap dirinya masih baru dan perlu mempelajari lebih banyak lagi selok belok dunia lakonan.

Berasakan perjalanan seninya masih jauh untuk merangkul sebarang penghargaan, Fouziah beranggapan anugerah hanya sebagai bonus kepada seseorang artis dalam menghargai bakat yang dimiliki.

“Belum rezeki lagi kerana kalau kita tengok pelakon senior, ada antara mereka mengambil masa lama untuk mencapai sesuatu tahap yang membanggakan. Bukan mudah untuk bakat kita dihargai dan bukan senang nak bagi orang nampak kelebihan kita.

“Macam saya sendiri yang masih baru, ia memerlukan masa yang lama. Bukannya hari ini keluar orang sudah nampak bakat kita jadi kena selalu asah dan tingkatkan lagi bakat yang ada,” jelasnya.

Tidak mahu dianggap keterlaluan, Fouziah berasakan cukup sekadar dihargai peminat serta tawaran berlakon yang diterima.

Bukan kemenangan yang ditagihnya, sebaliknya menaikkan namanya dalam industri agar mampu duduk sebaris dengan pelakon hebat lain yang sudah mencipta nama dalam dunia seni.

“Sekarang sedang menjalani penggambaran drama 13 episod dengan Erma Fatima dan baru selesai penggambaran telefilem Senyawa. Selepas itu, drama 14 episod, Trilogi Cinta pada Februari dan baru siap filem terbaru Hantu Bukit Cina. Saya mula berlakon dengan Erma Fatima dalam drama Bicara Dari Tuhan sejak tahun lalu,” katanya.

Merasakan satu pengalaman berharga yang tak mungkin dilepaskan bekerja di bawah Erma Fatima menyuntik semangat baru dalam bidang lakonan bagi Fouziah.

Malah, menganggap Erma sebagai idola seninya, banyak tunjuk ajar dan pengalaman yang ditimba Fouziah ketika bekerja di bawah Erma.

“Erma banyak memberi peluang kepada saya termasuk drama Tahajjud Cinta dan saya seronok bekerja dengannya kerana dia tak loket ilmu dan sering memberi tunjuk ajar.

“Malah, peluang berlakon di bawah arahan Aaron Aziz memang sesuatu yang baru dan dia tahu apa yang dia nak. Sebagai orang baru dia tak segan silu terima pendapat kita,” katanya.

Bergandingan dengan Siti Saleha dalam telefilem sulung Aaron Aziz, Kekasih Awal dan Akhir banyak mengajar Fouziah bermain dengan emosi dan perasaan dendam.

Sering membawakan watak antagonis sebelum ini mengajar Fouziah menjiwai watak dengan lebih berkesan, malah Fouziah mengimpikan watak yang lebih mencabar kredibilitinya sebagai pelakon.

Terpesona aksi Angelina Jolie

BIARPUN kelihatan berperwatakan lemah lembut dan feminin, tetapi Fouziah sebenarnya mempunyai impian untuk memikul peranan lasak dan ‘ganas’ termasuk membabitkan aksi bergaduh.

Sudah lama menunggu peranan yang diimpikan itu kerana selama ini dia hanya ditampilkan dengan watak lemah lembut dan baik sedangkan ia tidak dapat membantu menjadikan dirinya sebagai pelakon serba boleh.

“Saya minat aksi, ada banyak adegan gaduh atau lawan. Kalau diberi peluang nak bawa watak tapi setakat ini belum tercapai. Asyik dapat watak antagonis, kejam dan gadis kampung tapi tidak ada aksi lasak.

“Nak juga merasa watak yang lebih mencabar kerana saya tak nak dilihat hanya berupaya bawa watak yang sama, agak klise,” katanya.

Tidak mahu watak aksi yang hanya menampilkan aksi gaduh seperti gengster, Fouziah mahu mencabar dirinya mencuba watak lebih berat dari itu dengan lebih mencabar.

Sering melihat aksi Angelina Jolie menjadi daya tarikan untuk mencuba aksi sedemikian yang sukar serta di luar kotak pemikiran artis lain.

“Mungkin sebab jiwa saya sebenarnya lebih meminati watak sedemikian jadi nak uji mental dan fizikal saya dalam watak ini. Sudah banyak watak yang saya bawa jadi apa salahnya saya mencuba watak sebegini pula. Sebagai pelakon kita kena berani mencuba pelbagai watak baru boleh berjaya,” katanya.

Info:
NAMA PENUH: Nor Fouziah Mohd Gous
USIA: 29 Tahun
TARIKH LAHIR: 11 Disember 1982
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Bongsu daripada lima beradik
KERJAYA: Model dan pelakon
PENDIDIKAN: Diploma Kesetiausahaan dari Kolej Sistematik, Kuala Lumpur
DRAMA: Sangga Saadah, Qa'naah, Cinta Medik, Impak Maksima The Series, Otai The Series, Pencak Akhir, Anak Mami, Enigma, Kain Ketat Isabella, Sutera Maya, Kasihmu Di Bulan Ramadan, Puisi Untuk Anis, Kepulangan, Sutera Maya dan Spa Q 2
FILEM: Bujang Senang, Malaikat Maut, Skrip 7707, Otai, Rasukan Ablasa, Sifu & Tongga, Dua Hati Satu Jiwa & Rasuk.

Busana, aksesori dan kasut: Shoes, Shoes, Shoes, Bangsar
Solekan: Tiar Zainal

Oleh Muhamad Fairoz Azizan

Share this article :

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger