{[[' ']]}
']]}
Tahun  2012 disifatkan sebagai tahun perkahwinan buat kalangan selebriti  tempatan. Apa tidaknya, sebanyak 24 majlis perkahwinan melibatkan  selebriti terkenal tempatan telah dilangsungkan sepanjang tahun ini.
Menariknya, ada di antara selebriti ini  yang memilih untuk mendirikan rumahtangga dengan pasangan hidup dari  kalangan orang biasa dan ada pula yang senang memilik rakan selebriti  sebagai sebagai teman hidup mereka.
Walaupun 2012 cuma berbaki kurang  seminggu sahaja lagi, namun masih ada majlis perkahwinan selebriti yang  belum dilangsungkan iaitu penjaga gawang nombor satu negara, Khairul  Fahmi Che Mat yang memilih model jelita, Nor Leuniey Natasha sebagai  isterinya selepas pelbagai kontroversi membabitkan jejaka tersebut  hangat diperkatakan sebelum ini.
Apapun, portal Murai ingin membawa anda  menyorot kisah perkahwinan selebriti tempatan kita sepanjang 2012 dan  anda mungkin dapat menilaikan sendiri perkahwinan siapa yang paling  grand, perkahwinan siapa yang paling simple dan perkahwinan siapa yang  paling mengundang kontroversi.

Ash & Sherry Merlis
Membuka tirai 2012, Sherry Merlis dan Ash  daripada kumpulan Gabba Gabba telah melangsungkan pernikahan pada 1  Januari 2012. Tanpa sebarang gosip atau cerita panas mengenai  kedua-duanya di media, perkahwinan mereka juga telah diadakan dalam  suasana yang sederhana. Mereka difahamkan hanya bercinta selama enam  bulan sebelum disatukan. Perkahwinan ini  adalah perkahwinan kedua bagi Sherry dan juga Ash. Sebelum ini Sherry  Merlis pernah berkahwin dengan Esma Daniel, manakala Ash pula dengan  dira Abu Zahar.

Ally Iskandar & Farah Lee
Masjid Kristal di Kuala Terengganu  menjadi saksi penyatuan personaliti TV3, Ally Iskandar bersama gadis  pilihannya, Norfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee pada  20 Jan lalu. Penuntut Universiti INHA di Korea Selatan ini telah berjaya  memikat hati Ally yang sebelum ini menemui kegagalan apabila  pertunangannya dengan peserta Gadis Melayu, Nur Aishah Zainal putus di  tengah jalan.
Yusry Abd Halim & Lisa Surihani
Jika sebelum ini dia pernah menyatakan  hasratnya untuk tidak lagi menerima mana-mana cinta, Yusry Abd Halim  akhirnya telah memperisterikan aktres jelita, Lisa Surihani pada 23  Februari yang lalu selepas 5 tahun menduda. Menurut Yusry juga, hanya  Lisa satu-satunya wanita yang berjaya membuka pintu hatinya untuk  kembali bercinta dan mendirikan berumahtangga. Majlis pernikahan mereka  telah berlangsung di Hotel Marriot, Putrajaya dan resepsi indah kedua  mereka telah diadakan di Putrajaya International Convention Centre  (PICC) tiga hari selepas diijabkabulkan.

Anna Raffali & Naim
Selang dua hari majlis pernikahan  pasangan Yusry dan Lisa, tiba pula giliran penyanyi yang popular dengan  lagu Tolong Ingatkan Aku, Anna Raffali diijabkabulkan dengan jejaka  pilihannya, Ahmad Aznaim Abdullah. Aznaim juga merupakan pengurus  peribadi kepada Ana atau nama penuhnya Ana Nurhidayah Mohd Raffali.  Memilih untuk bersederhana, pasangan ini telah bersanding pada hari yang  sama di Masjid Al- Hidayah, Jalan Melawati yang juga lokasi pernikahan  mereka.

Adda (Butterfly) & Ridzuan
Walaupun cuba menyembunyikan  perkahwinannya dengan seorang duda, Adda daripada kumpulan Butterfly ini  akhirnya mendedahkan statusnya setelah bergelar isteri pada 30 Mac  lepas. Bekas kekasih kepada Mamat Sepah itu menjelaskan sebab mengapa  dia tidak menjemput media adalah kerana permintaan keluarga lelaki  tersebut. Namun begitu, jodohnya bersama duda tersebut hanya bertahan  selama 17 hari sahaja.
Azza Elite & Azlan
Setelah 7 tahun hidup solo selepas perkahwinan pertamanya dengan bekas suami pertama Camelia, MohdEhsan Tun  Ahmad Zaidi Edruceg agal bertahan, bekas anggota kumpulan Elite, Azza  atau Azzarima Zawari akhirnya telah memilih Azlan Zulalily, jejaka 9  tahun lebih muda darinya sebagai pasangan hidupnya. Pramugara  penerbangan tambang murah Air Asia tersebut telah selamat dinikahkan  dengan pelakon tersebut pada 1 April 2012 di Masjid Bukit Antarabangsa,  Ulu Kelang.
Natasha Hudson & Carleed Khaza
Aktres jelita Natasha Hudson telah  menjadi pilihan penyanyi hip hop, Carleed Khaza atau Mohd Khalid Kamal  sebagai pasangan hidupnya. Mereka telah selamat bernikah pada 12 April  di Masjid Wilayah, Jalan Duta. Dua tahun menyulam cinta bersama, Carleed  berkongsi ceritanya apabila dia telah memohon petunjuk untuk jodohnya  ketika menunaikan Umrah dan hatinya kuat mengatakan Natasha adalah calon  terbaik permaisuri hatinya. Carleed sebelum ini pernah menghasilkan  single berjudul Jika Ku Boleh Ubah Dunia dan menampilkan Natasha  didalamnya.
Fasha Sandha & Rizal Ashram Ramli
Setelah melalui pelbagai fasa dalam  hubungan cinta mereka, akhirnya Fasha Sandha telah disunting dan sah  bergelar isteri kepada Rizal Ashram Ramli atau lebih dikenali sebagai  Jejai. Memilih untuk melangsungkan majlis pernikahan di Hotel Crowne  Plaza pada 27 April, majlis resepsi pula telah berlangsung di Tasoh Lake  Resort, Perlis pada 3 Jun. Sebuah lagi majlis resepsi dijadualkan  berlangsung di Jakarta tetapi setelah Fasha disahkan mengandung, majlis  tersebut telah dibatalkan. Lokasi pernikahan pasangan ini antara yang  menjadi bualan sebelum ia disahkan melalui kad undangan yang diedarkan  kepada pihak media yang terpilih sahaja.

Awal Ashaari & Scha Al Yahya
Hubungan cinta pasangan romantis Schawal  yang menjadi pujaan ramai ini akhirnya berakhir ke jinjang pelamin. Scha  dan Awal meneruskan senarai selebriti terkenal yang melangsungkan hari  bahagia mereka dalam tahun 2012. Memilih tarikh 4 Mei 2012, pasangan ini  dinikahkan oleh bapa Scha Al Yahya sendiri, Syed Mahadzir Syed Kechik  Al Yahya di Pullman Putrajaya Lakeside. Majlis resepsi pula berlangsung  pada 6 Mei di PICC. Pihak Astro yang menjadi penyiar rasmi telah  menghasilkan program khas Seia Sekata Schawal sempena penyatuan dua hati  ini.

Nurul Wahab & Eric Depp
Penyanyi berkulit hitam manis, Nurul atau  nama penuhnya Noorulhuda Abd Wahab yang juga bekas isteri kepada  komposer Ajai ini telah memilih jejaka Perancis, Eric Depp sebagai teman  baru dalam hidupnya setelah hidup solo selama beberapa tahun. Pasangan  ini selamat disatukan dalam upacara akad nikah serba ringkas yang telah  diadakan di Duchess Place, Jalan Ampang pada 6 Jun 2012. Majlis resepsi  pasangan ini telah diadakan di sebuah lokasi indah di Pulau Bali pada 14  Jun lalu dan hanya dihadiri teman rapat penyanyi tersebut.Difahamkan  lokasi berkenaan merupakan antara 10 tempat resepsi perkahwinan yang  terbaik di dunia.
Irma Hasmie & Redza Syah Azmeer
Setelah memilih untuk berhijrah dan  mengubah penampilan dengan imej berhijab, Irma Hasmie telah bertemu  jodohnya di hadapan Kaabah ketikamenunaikan umrah pada awal tahun 2012.  Pasangannya, Redza Syah Azmeer merupakan seorang ahli perniagaan dan  mereka telah melangsungkan pernikahan mereka pada 29 Jun lalu bertempat  di Dewan Persidangan Putrajaya. Walaupun dilanda kontroversi mengenai  pendedahan status sebenar Redza Syah selepas bernikah, namun ia tidak  menjejaskan ikatan perkahwinan tersebut.
Asiahtunakma Abdullah & Farih Hamshi
Graduan rancangan realiti Akademi  Fantasia musim ke-3, Akma telah disunting oleh seorang Eksekutif  Petronas, Farih Hamshi Datuk Haji Mohd Fatmi dan bergelar isteri pada 30  Jun 2012 yang lalu. Akma atau nama penuhnya Asiahtunakma Abdullah tidak  menunggu lama selepas bertunang hampir dua bulan sebelum dinikahkan  oleh bapanya sendiri di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras.
Ella & Azhar
Satu perkhabaran gembira diterima awal  tahun 2012 apabila ratu rock, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila  Aminuddin akhirnya mengumumkan bahawa dia akan mengakhiri zaman solonya.  Jejaka yang berjaya mencuri hatinya, Azhar Ghazali adalah seorang  juruterbang Firefly dan pasangan ini telah bertunang dan terus  dinikahkan pada 7 Julai dengan mas kahwin RM50,300. Pasangan sempoi  berjiwa rock ini berjaya menyembunyikan hubungan cinta mereka lebih  sembilan tahun dan Azhar merupakan adik angkat kepada Amy Search.
Izreen Azmindar & Riza
Tanpa sebarang perkhabaran atau kisah  cintanya dihebah-hebahkan di media, Izreen Azmindar Mohd Aznam telah  mendirikan rumahtangga dengan seorang jurukamera produksi, Muhamad Riza  Baharuddin pada 30 Ogos lepas di Country Golf Resort, Jitra Kedah.  Lokasi penggambaran drama Tentang Dhia menjadi titik permulaan bibit  cinta mereka sebelum mengikat tali pertunangan selama sebulan,  sehinggalah mereka kemudian mengambil keputusan melangsungkan  perkahwinan.
Diana Danielle & Farid Kamil
Selepas dikejutkan dengan berita  pertunangan pasangan Farid Kamil dan Diana Danielle yang dilakukan  secara tiba-tiba, sekali lagi mereka membuat kejutan apabila mengumumkan  bakal berkahwin lebih awal daripada yang dirancang sebelum ini. Mereka  yang telah bercinta hampir 3 tahun itu telah sah bergelar suami isteri  pada 3 November bertempat di Hotel Flamingo manakala majlis resepsi  mengambil tempat di Taman Ekuestrian Putrajaya pada 1 Disember lepas.
Lee Chong Wei & Wong Mew Choo
Jaguh badminton negara, Dato’ Lee Chong  Wei yang juga merupakan pemain nombor satu dunia akhirnya menamatkan  zaman bujangnya pada 9 dan 10 November lalu. Setelah 11 tahun menyulam  cinta dan penantian lebih sedekad itu pasti dinantikan Wong Mew Choo  yang juga pemain badminton negara untuk bersatu dengan ahli sukan pujaan  ramai itu. Berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, majlis selama  dua hari tersebut telah dihadiri ramai VVIP termasuk Yang di-Pertuan  Agong.

Hairie Othman & Dalia Diana
Hero kacak, Hairie Othman yang kini  dilihat giat menceburi dunia politik turut menamatkan status dudanya  dengan gadis pilihan Dalia Diana Ruslan pada 16 November lalu. Khabarnya  suri baru di hatinya itu merupakan anak kepada VVIP dan juga aktivis  politik. Majlis resepsi pasangan ini telah diadakan di Dewan Semarak  Kayangan Felda, Kuala Lumpur. Ini merupakan perkahwinan kedua Hairie dan  dia memiliki tiga orang anak daripada perkahwinan terdahulu.
Betty Benafe & Bruce Darghous
Ibtisam Abu Bakar Benafe, 33, atau Betty  Benafe kini sah bergelar isteri kepada jejaka berketurunan Arab, Bruce  Darghous itu pada 10 Disember 2012 dalam majlis akad nikah yang  berlangsung di Villa Kempas, Johor. Manakala persandingan pula telah  berlangsung pada tarikh 12.12.12 yang diadakan di Danga Bay Convention  Centre. Pasangan ini telah diarak menaiki cruise daripada Nusajaya ke  Danga Bay Marina sebelum bermulanya majlis resepsi tersebut.
Suki Low & Jeremy Chong
Juara program realiti One In A Million  musim pertama, Suki Low mengabadikan tarikh 12.12.12 sebagai episod baru  dalam hidupnya setelah melangsungkan perkahwinan dengan ahli perniagaan  Jeremy Chong yang juga merupakan eksekutif muzik. Suki atau nama  sebenarnya Low Sook Yee telah dirai dalam majlis resepsi serta  perkahwinan yang di Pulau Pinang dan disusuli dengan sebuah jamuan malam  sempena perkahwinan itu di atas kapal SuperStar Libra tajaan Star  Cruises.
Acong Sweetchild & Marya Zuraida
Vokalis kumpulan Sweetchild, Acong atau  nama penuhnya Ahmad Fauzi Manan 39, telah memperisterikan Marya Zuraida  pada 15 Disember yang lalu di kampung halaman wanita tersebut di Sungai  Petani, Kedah. Mereka berjumpa pada 14 tahun dahulu di Kuantan ketika  Sweetchild membuat promosi album dan kemudian terputus hubungan dan atas  kuasa teknologi mereka mula berhubung semula sejak dua tahun lalu  menerusi Facebook.
Fazurina & Haikal
Pelakon wanita yang popular menerusi siri  Dunia Anita, Siti Fazurina Mohd Famir atau Fazurina 30, telah  menamatkan zaman bujang dengan penuh kontroversi apabila dikatakan  bernikah tanpa pengetahuan keluarga di Masjid Jamek, Sungai Pinang,  Pulau Pinang pada 20 Disember 2012. Perkara ini telah menggemparkan dan  mengejutkan ramai pihak terutama adik beradiknya yang mengecam perbuatan  aktres ini.
DJ Cza & Aimi Nadhirah
DJ Cza atau Ceza Mutyara yang juga adalah  bekas anggota kumpulan Ahli Fiqir telah selamat mendirikan rumahtangga  dengan gadis pilihannya iaitu Aimi Nadhirah.Pasangan ini telah  diijabkabulkan di Putrajaya pada Khamis 20 Disember 2012, manakala  majlis resepsi mereka telah diadakan di The Duchess Palace, Jalan Ampang  pada malam 23 Disember 2012. DJ Cza antara pasangan pengantin yang  tidak ketinggalan mengabadikan tarikh 20.12.2012 sebagai hari penyatuan  dengan insan tersayang.
Anne Ngasri & Sumali Reduan
Anne Ngasri telah mengejutkan industri  hiburan apabila mengikat tali pertunangan dengan seorang ahli politik  kelahiran Johor, Mohd Sumali Reduan pada 11 November lalu. Berita ini  mendapat liputan ramai kerana bekas kekasih Anne Ngasri iaitu penyanyi  Aliff Aziz dikatakan kecewa selepas mendengar berita tersebut. Anne dan  Sumali kemudian berjikah pada 22 Disember 2012 di Benut Pontian dan  kemudian melangsungkanmajlis perkahwinannya di tempat yang sama pada  keesokan harinya.
Khairul Fahmi & Leuniey Natasha
Menutup tirai senarai perkahwinan  selebriti tahun 2012, pasangan Khairul Fahmi atau Apex dan Leuniey bakal  disatukan pada 28 Disember ini di kampung halaman mereka berdua iaitu  Kelantan. Penjaga gawang yang sebelum ini dikaitkan dengan ramai wanita  itu akhirnya telah memilih Leuniey yang turut sama membintangi iklan  komersial Simplysiti. Tiga resepsi bakal diadakan dimana dua di Kelantan  dan satu di Kuala Lumpur. Murai telah menjadi portal rasmi sempena hari  bahagia pasangan ini.
Kredit Sumber: MummyNemo
Kredit Sumber: MummyNemo
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Post a Comment