{[['']]}
Stacy akui rimas masih ramai beranggapan dia pernah jalin kasih sayang dengan bekas rakan seperjuangan Akademi Fantasia
STACY Angie Anam naik muak apabila kerap diajukan persoalan hati membabitkan hubungan cintanya dengan Akim. Puas menafikannya, tetapi persoalan itu juga menerjah penyanyi lagu Kisah Dongeng itu. Perasaan cinta belum berputik dalam hati Stacy. Hubungan baiknya dengan Akim nyata sudah disalah tafsir. Anggapan menjalinkan hubungan cinta dengan Akim membuatkan Stacy rimas kerana hakikat sebenar, mereka hanya teman tapi mesra.
“Saya sudah kerap kali menyatakan pendirian, saya dan Akim hanya teman rapat. Saya akui menyukainya, begitu juga Akim tetapi hubungan kami belum sampai tahap bercinta. Suka dan cinta, dua perkara berbeza. Akim, teman yang paling rapat dengan saya.
“Saya mahu berkawan dengan Akim sampai bila-bila. Tapi, apabila membabitkan perasaan cinta, tentunya situasi sudah berlainan. Jika timbul perselisihan antara kami, saya tidak mahu daripada hubungan rapat akan menjadi musuh. Berlainan jika saya meletakkan Akim sebagai teman rapat tanpa membabitkan perasaan.
“Saya tidak mahu terjebak dengan hubungan cinta pada usia muda. Saya tidak bersedia dan tidak pasti mengenai cinta. Bagaimanapun, janganlah menyalah tafsir hubungan baik saya dengan Akim. Saya sudah bosan apabila diajukan persoalan sama setiap kali bertemu wartawan dan peminat.
“Hubungan baik saya dan Akim tidak sampai merancang untuk berumah tangga. Saya tidak terfikir menjalinkan hubungan lebih serius dengan Akim kerana dia adalah teman baik saya. Perasaan cinta saya ketika ini hanya kepada keluarga dan kerjaya nyanyian.
“Saya tidak mahu berkali-kali bercinta dan putus cinta. Jika terbit rasa cinta saya pada Akim, tentulah ada perasaan rindu yang mendalam. Tapi, perasaan saya biasa saja. Saya memang selesa bersama Akim, kami boleh berkongsi apa saja,” katanya yang kini sibuk mempromosikan album keduanya berjudul Stay-C.
Stacy tidak menafikan dia suka berkawan dengan lelaki Melayu kerana budaya mereka berlainan. “Dulu, saya hanya berkawan dengan kelompok kami di Sabah. Saya tidak pernah berkawan dengan lelaki Melayu. Bila kenal lelaki Melayu apabila berpindah ke Kuala Lumpur, saya dapati mereka jauh berbeza dengan karakter lelaki Sabah.
“Budaya orang Sabah sedikit kasar. Tengok saja saya, kadang kala nampak kasar, tetapi itulah budaya dan karakter yang diterapkan sejak kecil. Bagaimanapun, kasar tidak semestinya jahat. Saya perhatikan lelaki Melayu romantik, jiwang dan selamat. Saya tidak pernah terfikir berkahwin dengan lelaki Melayu, tetapi kalau sudah jodoh, saya terima dengan hati terbuka,” katanya.
Gambar-gambar Nubhan bersama Stacy.
Akim dan Stacy
Pejam celik Stacy bergelar penyanyi sudah empat tahun. Nasibnya agak baik berbanding penyanyi kelahiran Akademi Fantasia (AF) lain. Stacy masih lagi mendapat tempat di hati peminat. Tanpa sokongan syarikat naungannya, Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB), Stacy mungkin terkapai-kapai seperti penyanyi kelahiran AF lain.
“Tidak dinafikan, AESB banyak memberikan ruang kepada saya untuk terus bernafas. Bagaimanapun, tanpa usaha saya sendiri, ruang itu mungkin tidak diperoleh. Saya tidak mahu terlalu bergantung harapan kepada orang lain, saya takut apa yang diimpikan tidak akan menjadi kenyataan.
“Laluan sememangnya tersedia di depan mata tapi saya perlu menggerakkannya sendiri. Apa saja yang dilakukan membabitkan kerjaya nyanyian termasuk rakaman album dan klip video, saya tidak akan menyerahkan bulat-bulat pada orang lain. Saya mahukan kepuasan dalam setiap penghasilannya.
“Bukan bermakna saya cerewet tapi saya kena ambil berat. Ini adalah periuk nasi saya. Saya tahu peminat di luar sana tahu menilai, saya tidak mahu dianggap berada di takuk lama dan membuatkan peminat jemu,” kata anak kelahiran Penampang, Kota Kinabalu, Sabah itu.
Stacy akui kehidupannya dulu dan sekarang, umpama langit dengan bumi. Selepas hampir empat tahun membina kerjaya sebagai penyanyi membuatkan Stacy mampu menarik nafas lega.
“Lega apabila dapat menghadiahkan keluarga sebuah rumah yang selesa. Tahun ini, kami meraikan Hari Krismas di rumah baru. Saya mengumpul duit selama lebih tiga tahun untuk berikan ibu bapa dan adik beradik tempat tinggal selesa di Kampung Tuaran.
“Tidak dinafikan, saya terdengar cakap-cakap, kenapa saya tidak membina rumah untuk keluarga dalam tempoh lebih awal, ada juga mengatakan saya lupa diri, lupa keluarga. Saya hanya tahan telinga mendengarnya.
“Saya bukan lupa keluarga, siapa tidak mahu berikan tempat tinggal selesa untuk ibu bapa, tapi saya perlu kumpul duit terlebih dulu. Ibu bapa dan adik beradik faham keadaan saya, memang lambat saya menyediakan rumah untuk mereka, tetapi sekurang-kurangnya saya tidak mungkir janji. Lambat-lambat pun, akhirnya rumah sudah siap dibina.
“Bukan sedikit duit dikumpul, beratus ribu ringgit juga, tetapi biarlah orang luar menilainya sendiri. Saya tidak mahu beritahu berapa harga rumah baru yang siap dibina pada Ogos lalu, nanti dituduh angkuh pula,” katanya yang menyerlah menerusi lagu Kasanova.
Post a Comment