{[['']]}
USOP WILCHA kini mengambil cuti selama sebulan daripada bersiaran sebagai penyampai radio Hot FM kerana sibuk berlakon.
SEJAK kebelakangan ini, semakin kurang suara Syh8 atau nama sebenarnya Syed Mohamad Asri berkumandang di corong radio stesen radio popular Hot FM, sedangkan itulah rutin hariannya setiap pagi, berceloteh menghiburkan pendengar.
Sangkaan awal mungkin kerana rombakan yang sedang dibuat oleh pihak stesen berkenaan. Bagaimanapun dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan radio yang kini menggunakan tagline Muzik Paling Hangat, nama Syh8 tercicir daripada senarai penyampai radio untuk siaran Hot FM AM Krew yang kini hanya tinggal bertiga, Faizal Ismail, Fara Fauzana dan AG.
Mungkinkah Syh8 yang juga popular dengan nama Usop Wilcha disingkirkan daripada stesen radio tersebut, namun jika difikir dengan teliti kontrak Syh8 bersama Hot FM masih berbaki setahun sehingga Jun 2013.
Tidak mahu mengeruhkan keadaan, Syh8, 47, yang mula popular sejak membintangi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah menafikan dia telah meninggalkan stesen radio berkenaan, tetapi menyerahkan nasibnya pada pihak pihak pengurusan radio Hot FM.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Syh8 baru-baru ini.
Kosmo!: Mengapa nama Syh8 tercicir dalam senarai baharu penyampai radio Hot FM AM Krew yang dikeluarkan pihak pengurusan Hot FM? Adakah sudah meninggalkan Hot FM?
SYH8: Saya masih bersama Hot FM, tidak tinggalkan Hot FM, baki kontrak ada masa setahun lagi. Tidak timbul sebarang isu antara saya dengan Hot FM.
Jika begitu mengapa begitu lama anda tidak muncul di radio?
Sekarang saya sedang cuti sebulan. Sebenarnya saya ambil cuti kerana sedang menunggu untuk masuk ke set penggambaran filem Usop Wilca & Werewolf dari Bangladesh dan kebetulan ibu saya meninggal dunia baru-baru ini, sebab itu sudah lama saya tidak muncul di radio.
Adakah terdapat sebarang masalah antara anda dan Hot FM?
Tiada sebarang masalah, jika ada masalah semuanya berpunca daripada jadual kerja saya yang terlalu padat. Walaupun saya bekerja sebagai penyampai radio pada waktu pagi, saya masih sibuk berlakon selepas itu.
Adakah anda terbeban dengan kerja di radio sehingga terpaksa menolak banyak tawaran lakonan?
Sejujurnya, saya telah menolak empat tawaran filem kerana terikat dengan kerja sebagai penyampai radio. Saya rasa tidak selesa kerana asyik ambil cuti untuk berlakon, tidak adil untuk Hot FM. Saya juga tidak selesa asyik menolak tawaran lakonan daripada kawan-kawan, nanti orang tidak mahu ambil saya berlakon lagi dan saya hilang kawan. Bukan terbeban tetapi saya mahu berlaku adil dalam kekangan masa yang singkat kepada semua pihak termasuk diri saya sendiri.
Apakah jalan penyelesaiannya?
Saya pernah berbincang perkara ini dengan pihak Hot FM, mereka memahaminya. Mungkin mereka akan menukar saya ke slot yang lain, kurangkan waktu kerja saya di konti atau lebih sibuk dibelakang tabir seperti program rakaman yang tidak mengganggu jadual penggambaran saya. Memang saya tidak tahu nasib saya lagi kerana masih bercuti sehingga hujung bulan ini, semuanya terpulang kepada pihak pengurusan Hot FM.
Maknanya anda tidak mampu melakukan dua kerja serentak?
Sebelum ini saya bekerja sebagai pengurus komunikasi korporat sebuah syarikat dan saya berhenti pada hujung tahun lepas kerana tidak cukup masa. Ketika mula-mula terima tawaran Hot FM, saya sangkakan mampu melakukan dua kerja serentak, bangun pagi, bekerja di radio dan sebelah petang saya berlakon. Mungkin disebabkan oleh faktor usia, habis sahaja kerja di radio saya penat dan hanya ingin tidur selepas itu. Banyak filem tertunda disebabkan saya, jadi saya kurangkan kerja di radio dan saya boleh berlakon.
Menyesal menerima tawaran penyampai radio?
Tidak, kerana dalam hidup ada dua perkara yang ingin saya cuba. Pertama menjadi penyampai radio dan kedua mempunyai program bual bicara saya sendiri. Mendapat tawaran daripada Hot FM merupakan perkara yang tidak dijangka dan saya bersyukur kerana menjadi keluarga sebuah radio popular tempatan.
Oleh HARYATI KARIM
Post a Comment