Latest Post :
Recent Post
Showing posts with label Artis Cerai. Show all posts
Showing posts with label Artis Cerai. Show all posts

Bapa Aidil Zafuan Kecewa Dengan Tindakan Rita Rudaini

Bapa Aidil Zafuan, Abd Radzak Salleh (kanan) bersama peguam, Noor Ariff ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah, semalam.
 

SEREMBAN – Pelakon, Rita Rudaini Mokhtar, 37, gagal menghantar wakil  jawatankuasa pendamai bagi proses permohonan cerai dengan suaminya, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, 26, seperti mana diarahkan Mahkamah Syariah, sebelum ini.

Kegagalan Rita itu mengundang rasa kecewa bapa Aidil, Abd Radzak Salleh, 64, yang hadir di mahkamah, semalam bagi mewakili anaknya.

“Saya sebagai orang tua, saya mahu perkara ini diselesaikan dengan baik, tetapi tindakan Rita yang tidak menghantar wakil menyebabkan saya kecewa.

“Saya berharap masalah mereka ini dapat diselesaikan segera kerana lagi banyak masa diambil, lagi banyak cerita yang tidak baik timbul,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Syariah, semalam.

Kegagalan Rita itu menyebabkan mahkamah menetapkan satu lagi tarikh iaitu 3 April ini untuk Rita menghantar nama wakilnya dalam jawatankuasa berkenaan.



Peguam Aidil, Noor Ariff Delia Ramli berkata, beliau ada menerima surat daripada peguam Rita kelmarin yang memberitahu bahawa wakil pelakon itu tidak dapat hadir kerana berada di luar daerah.

“Sebenarnya, jika tidak dapat hadir sekali pun, pihak Rita boleh menghantar nama wakilnya itu kepada saya atau mahkamah dan proses ini boleh diteruskan.

“Apa yang berlaku sekarang satu lagi tarikh terpaksa ditetapkan berikutan kegagalan pihak defendan menamakan wakil mereka dan sekiranya beliau masih gagal lagi saya akan mohon kepada mahkamah supaya perbicaraan terus dijalankan tanpa perlu menunggu keputusan jawatankuasa pendamai,” katanya.

Pada 25 Februari lalu, mahkamah mengarahkan satu jawatankuasa pendamai ditubuhkan selepas permohonan cerai Mohamad Aidil dibantah Rita.

Dalam jawatankuasa tersebut, kedua-dua pihak dikehendaki menghantar seorang wakil yang terdiri keluarga terdekat untuk mencari jalan penyelesaian sebelum hasil perbincangan itu dikemukakan kepada mahkamah.

OLEH HAMIZAH BASIR
{[['']]}

Suami Noniswara Dirampas Rakan Artis

Saat indah selepas majlis pernikahan Noniswara dan Rosman.



MENGHARAPKAN panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Mendambakan kebahagiaan berkekalan hingga ke akhir nyawa, namun pelakon, Noniswara mengakui tiada siapa mampu menidakkan ketentuan Tuhan.

Hampir empat tahun mendirikan rumah tangga bersama, Datuk Rosman Ridzwan, 54, akhirnya Nonis atau nama sebenarnya, Noniswara Baharudin, 42, akur dengan kehendak suaminya supaya menuntut cerai.

Menurut wanita kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini, dia amat terkilan kerana kawannya sendiri yang menjadi duri dalam daging memusnahkan hubungannya bersama suami.


"Saya tidak sangka, kawan sendiri sanggup melakukan perkara sedemikian kepada saya. Apatah lagi, dia di kalangan rakan artis juga.

"Saya mengenalinya dengan rapat dan sebelum ini, dia pernah meminta saya untuk cari kawan lelaki untuk dikenalkan kepadanya sedangkan dia memiliki ramai kenalan lelaki.

"Artis itu mula memberi perhatian kepada suami saya ketika saya sibuk dengan kerja-kerja di lokasi. Dia mula meracuni fikiran Datuk dan cuba memburuk-burukkan saya dengan menganggap saya sering mengabaikan suami," katanya yang mendirikan rumah tangga bersama Pengerusi U Mobile itu, pada 1 Ogos 2009.



 Noniswara

Sebelum berkahwin, Nonis punyai tiga anak hasil perkahwinan terdahulu manakala Rosman yang berstatus duda ketika itu memiliki lima anak daripada dua perkahwinan terdahulu.

Kena 'buatan orang'?

Mula menghidu perubahan suaminya sejak enam bulan lalu, Nonis mengakui, dalam masa itu, Rosman mula tiada keinginan untuk pulang ke rumah.

Menurut Nonis, dia cuba untuk menyelamatkan hubungan itu dan turut mendapatkan khidmat perubatan tradisional daripada beberapa ustaz.

"Setelah berbincang dengan suami, dia mengakui yang dirinya mencintai wanita itu dan tidak mahu melepaskannya. Jadi, buat apa saya tunggu lagi jika dia sendiri akui ketika melihat saya, wajah saya menyerupai 'hantu'.

"Saya tidak kisah sekiranya dia ingin kahwini wanita itu dan menjalani kehidupan poligami. Namun dia tak mahu (poligami) dan suruh saya failkan tuntutan cerai. Dia berjanji akan beri kerjasama," katanya kesal dengan tindakan suami gagal hadir pada kes sebutan pertama minggu lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Menurut Nonis, dia memfailkan penceraian terhadap suaminya pada Februari lalu dan sebutan semula kes akan berlangsung pada 26 Mac ini di mahkamah sama.

"Saya berharap agar dia memberikan kerjasama dalam kes ini kerana ia adalah kemahuannya sendiri," katanya.

Pernah dilamar kerabat

Tabah menghadapi apa yang berlaku, Nonis bagaimanapun menepis dakwaan yang dirinya pernah merampas kebahagiaan orang lain untuk memiliki Rosman.

"Tiada istilah rampas suami orang. Saya berkawan dengan Rosman ketika dia berdepan dengan masalah rumah tangga. Ketika itu, dia tidak terurus dan perniagaan mula merudum.

"Setelah dia bercerai dengan kedua-dua isterinya, barulah saya mula bantu dia memulihkan semangat. Setelah melihat kesungguhannya, saya yakin dialah yang terbaik untuk saya walaupun sebelum ini, ada di kalangan Datuk dan
kerabat yang melamar saya," katanya yang kini sedang menjalani penggambaran drama 13 episod, Lara.

Mengakui rezekinya dalam bidang seni semakin murah sejak akhir-akhir ini, Nonis menganggap perpisahan ini adalah jalan terbaik untuk mereka berdua.

"Saya yakin, saya boleh hidup sendiri tanpa dia (Rosman). Lagipun, sebelum ini, memang saya jenis yang berdikari dan tidak mengharapkan bantuan orang lain.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki yang diterima dan ruang saya dalam industri lakonan masih ada. Lagipun, sudah lebih 15 tahun saya berkecimpung dalam bidang lakonan dan ia menjadi mata pencarian saya.

"Saya tidak menyesali dengan apa yang berlaku dan menganggap ianya ketentuan ALLAH SWT. Sebagai manusia, kita hanya mampu berdoa dan mungkin setakat ini sahaja jodoh saya bersama dia," katanya yang turut menerima beberapa tawaran drama selepas ini.

OLEH AKMALIAH RAZAK
{[['']]}

Gangguan Pihak Ketiga Punca Noniswara Tuntut Cerai

Noniswara 



PETALING JAYA: Pelakon Noniswara akhirnya terpaksa menuntut cerai apabila gagal menyelamatkan rumah tangganya sejak tujuh bulan dulu gara-gara ‘gangguan’ pihak ketiga.

Noniswara atau nama sebenarnya Noniswara Baharudin, 43, berkata, dia membuat keputusan tersebut apabila mendapati tiada penyelesaian yang dapat menyelamatkan perkahwinannya dengan Datuk Rosman Ridzwan, 54, yang dibina sejak empat tahun lalu.

"Sepanjang pergolakan rumah tangga kami, saya cuba untuk menyelamatkan perhubungan ini tetapi tiada jalan penyelesaian.

"Selepas membuat perbincangan bersama, suami bersetuju dengan keputusan saya untuk memfailkan perceraian.

"Bagaimanapun, pada kes sebutan pertama minggu lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, dia pula yang tidak hadir," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.

Tambah Noniswara atau lebih mesra disapa Nonis, dia telah memfailkan penceraian terhadap suaminya pada Februari lalu dan sebutan semula bakal berlangsung pada 26 Mac ini di mahkamah yang sama.

Ditanya apakah punca krisis itu kata Nonis, ia disebabkan terdapat orang ketiga yang mengganggu perkahwinan mereka.

"Sepanjang perkahwinan ini, hubungan kami sangat baik namun apabila pihak ketiga itu muncul dalam kehidupan kami, rumah tangga kami jadi kucar-kacir.

"Bagaimanapun, saya reda. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Nak nangis pun tak guna jika tiada penyelesaian.

"Lagipun suami tidak pernah menyuarakan hasrat untuk saya bermadu. Jika dia mahu, mungkin kami boleh berbincang. Apa-apa pun saya terima bahawa jodoh kami tidak kekal lama," ujarnya yang meminta tidak mendedahkan nama wanita pihak ketiga itu.

Nonis dan Rosman telah mendirikan rumah tangga pada 1 Ogos 2009.

Pelakon yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya sementara Rosman pula yang sebelum itu berstatus duda memiliki lima anak daripada perkahwinan terdahulu.


Oleh FERIDE HIKMET ATAK

{[['']]}

Penyanyi Jeslina Hashim Sah Bercerai Talak Satu

Jeslina Hashim dan suaminya, Dion Andrew Vercoe sah bercerai talak satu pada pagi Selasa di Mahkamah Tinggi Syariah.

 
KUALA LUMPUR: Penyanyi Jeslina Hashim, 36, sah bercerai talak satu dengan Dion Andrew Vercoe, 40, pada pukul 9.55 pagi di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, pada Selasa.

Lafaz cerai tersebut dilakukan oleh Dion di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Abdul Karim Wahabdi bawah Seksyen 47, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Kebenaran Penceraian Secara Baik).

Penyanyi lagu Ku Intai Cinta Dalam Rahsia itu turut mengaku berada dalam keadaan suci sebelum lafaz dibuat.

Terdahulu, peguam syarie yang mewakili Dion iaitu Mohd Hafiz Abdul Rashid memaklumkan kepada mahkamah kedua-dua pihak setuju dengan perjanjian penyelesaian berkaitan hak penjagaan anak, mutaah dan hadanah tanpa sebarang pertikaian.

Sementara itu, Mohd Hafiz yang ditemui di luar mahkamah memberitahu kedua-dua pihak bersetuju untuk hak penjagaan bersama terhadap dua anak mereka.



Dion (kanan) dan Jeslina bersetuju dengan perjanjian hak penjagaan dua anak mereka selain mutaah dan hadanah.

"Proses penceraian berjalan lancar dengan kedua-dua pihak bersetuju terhadap perjanjian yang dibuat.

"Anak-anak akan tinggal di bawah jagaan bekas suami di Mont Kiara, namun Jeslina diberi hak lawatan," katanya.

Nafkah sebanyak RM8,333 selama 18 bulan akan diberikan kepada Jeslina, sementara RM5,000 sebagai wang edah.

Dalam pada itu, Jeslina yang berbaju kurung datang ke mahkamah secara berasingan enggan mengulas lanjut sebab penceraian tersebut.

"Punca penceraian adalah hal peribadi antara kami dan maaf saya tidak boleh berkongsi," katanya.

Jeslina dan Dion telah berkahwin pada 21 April 2005 dan mempunyai dua orang anak berusia tiga dan enam tahun.

Pada 20 Februari lalu hasrat Jeslina untuk bercerai secara baik dengan suaminya, di Mahkamah Rendah Syariah di sini terpaksa ditangguhkan ekoran wanita itu dalam keadaan tidak suci (haid).


Oleh KEMALIA OTHMAN
{[['']]}

Michael Douglas Dan Catherine Zeta-Jones Sah Bercerai

Michael Douglas Dan Catherine Zeta-Jones




Aktres cantik, Catherine Zeta-Jones dilaporkan telah sah bercerai dengan suaminya, Michael Douglas, sejak musim panas lalu.

Sebelum ini, Jones, 43, pernah menafikan kemelut rumah tangganya, namun perkahwinan selama 12 tahun itu akhirnya gagal diselamatkan lagi.

Penceraian itu dikatakan berpunca daripada masalah kesihatan Douglas, 68, yang semakin teruk. Namun, Jones menafikan dakwaan tersebut.

"Kami berpisah bukan sebab itu saja. Kami tidak dapat bersama lagi kerana beberapa perkara. Mungkin inilah jalan terbaik," katanya.

Turut dilaporkan, Michael telah berpindah dari rumah yang didiami bersama Jones serta dua anaknya, Dylan dan Carys, serta dikatakan menyewa di kawasan berdekatan.
{[['']]}

Aidil Zafuan Dakwa Rita Rudaini 'Berlakon'

AIDIL Zafuan mengaku sudah tidak sayangkan Rita. 



SEREMBAN - Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Razak meminta isterinya, Rita Rudaini Mokhtar supaya hentikan sandiwara dan segera menamatkan krisis rumah tangga mereka yang berlanjutan sejak lebih setahun lalu.

Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam diberitahu bahawa pelakon jelita, Rita Rudaini Mokhtar pernah dua kali meminta cerai sepanjang tempoh perkahwinannya dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak.


 RITA Rudaini di mahkamah rendah syariah, semalam.


Desakan itu dibuat selepas Rita Rudaini, 37, yang merupakan seorang pelakon membantah permohonan cerai yang difailkan Aidil Zafuan, 26, di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam, dengan alasan masih sayangkan suaminya itu.

"Kalau dia masih sayangkan saya, kenapa dia tidak mengikut arahan saya sebagai seorang suami. Saya bukan meminta dia membuat perkara yang tidak baik.

"Saya harap dia berhenti 'berlakon' seolah-olah masih sayangkan saya, kerana banyak kenyataannya di dalam akhbar sebelum ini mengaibkan saya sebagai seorang suami," tegas pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim itu kepada media sejurus prosiding.

Peguam syarie Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakili Rita mengesahkan perkara itu dan memaklumkan anak guamnya tidak bersetuju dengan permohonan Aidil Zafuan selaku plaintif, malah Mohd Zaidi juga mencadangkan supaya diadakan perbincangan melalui Jawatankuasa Pendamai untuk kedua-dua pihak bersemuka selepas plaintif meninggalkan rumah lebih setahun lalu.
{[['']]}

Rita Rudaini Tetap Saman Suami

RITA RUDAINI bersama dua orang anaknya lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.

RITA RUDAINI sudah lali biarpun setiap kali muncul di hadapan media, pasti gelora rumah tangganya menjadi bahan bicara. Ibu anak dua itu juga langsung tidak terjejas emosinya saat bercerita tentang drama terbaharu lakonannya, Sehangat Asmara bersama Adi Putra. Dia yang masih dibelenggu isu perebutan hak jagaan anak bersama suami, Aidil Zafuan Abdul Radzak.

"November lalu saya sudah berjaya membatalkan perintah kembali taat atau nusyuz yang difailkan oleh Aidil (suami). Sekarang ini, saya ada satu lagi saman ke atas Aidil berkenaan bayaran nafkah bulanan diri saya dan anak-anak.

"Tapi, lepas dia gagal dengan tuntutan kembali taat di Petaling Jaya, Aidil ada failkan semula kes baharu di Mahkamah Rendah Syariah Seremban. Kali ini dia kemukakan permohonan cerai dan penjagaan anak.

"Bagi saya, fail sahajalah kes itu seluruh negara sekali pun, saya akan ikut rentak dia dan pertahankan hak saya. Sebagai ibu, saya akan pertahankan anak-anak saya dan sebagai isteri saya akan pertahankan hak saya. Sebelum ini dia tarik balik permohonan cerai, sekarang dia ingin bercerai pula. Kalau mahu bercerai, saya akan persoalkan apa salah saya. Saya berani sebab saya tahu bahawa saya tidak buat salah," tegas Rita tanpa banyak emosi yang tumpah usai sidang drama Cinta Terhalang di Publika, Mont Kiara, Selalu.

Rita memfailkan tuntutan nafkah daripada Aidil pada 8 November lalu dan kes itu akan disebut semula pada 23 Januari ini (Rabu).

Pada November lalu juga, Rita berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan perintah kembali taat yang difailkan oleh Aidil Zafuan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Krisis rumah tangga Rita dengan pemain bola sepak kebangsaan itu bermula apabila lelaki berusia 26 tahun itu bertindak keluar dari rumah mereka di Damansara, Kuala Lumpur ketika aktres itu pulang ke kampung halamannya di Arau, Perlis bersama anak-anak.

Rita dan Aidil bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki sehingga menyebabkan perkahwinan tersebut timbul pelbagai masalah. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang putera iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.

Berbalik kepada statusnya kini yang secara rasminya masih bergelar isteri kepada Aidil, Rita tidak pernah menghukum semua lelaki sebagai sama.

"Bukan semua lelaki tidak baik. Pasti ada di luar sana yang bertanggungjawab dan menyayangi isteri masing-masing sepenuh hati. Jika pada masa akan datang ditakdirkan bertemu lelaki lain, orang itu mesti lebih menyayangi anak-anak berbanding diri saya," katanya sambil menyuarakan rasa kagum terhadap karakter Zainal Arief (Adi Putra) menerusi drama Sehangat Asmara yang akan memulakan siaran di saluran Mustika HD bermula esok.

"Walaupun mendapat tentangan keluarga, Zainal sangat cintakan isterinya Kamelia. Dia sanggup tunggu sehingga lapan tahun untuk memenangi semula hati Kamelia. Saya juga mahukan lelaki seperti Zainal Arief," katanya.

Menjadi Kamelia Najwa, Rita melakonkan watak wanita yang berdepan krisis rumah tangga dan berlawan kes perebutan anak dengan suaminya, Zainal. Seolah-olah melakonkan realiti sendiri di kaca televisyen, Rita diasak tentang keterbukaannya itu.

"Saya wanita dan ibu yang mengalami situasi yang dialami Kamelia, sudah tentu ia memudahkan saya untuk menghayati karakter. Bagaimanapun, saya mulanya sedikit kekok dengan Adi. Saya risau takut-takut dilabel gatal pula bila pegang-pegang Adi, manalah tahu," katanya ketawa tanpa menafikan kaitan karakter Kamelia dengan dirinya.

Tambah Rita: "Dalam drama itu, kami cuma bahagia masa bercinta sahaja, masuk episod kahwin, saya terus kena menangis di lokasi."

Dalam perkembangan terbaharu, Rita kini kembali berkongsi lokasi dengan pelakon Lisdawati setelah mereka bergaduh di satu lokasi penggambaran, tujuh tahun lalu. Timbul sedikit isu, apabila Rita dibidas oleh Fauzi Nawawi (suami Lisdawati) sebagai bersifat tidak matang kerana membuat permintaan agar lelaki itu tidak berada di lokasi jika ada penggambaran membabitkan Rita. Dalam drama Kerana Sarah itu, Rita melakonkan watak heroin manakala Lisdawati watak pembantu.

"Pernah ada satu babak, saya dan Lisda kena berlaga bahu. Kami tetap buat sebab Lisda dan saya sudah tiada apa-apa masalah. Masing-masing buat hal sendiri di lokasi. Tentang Fauzi, saya memang tak mahu dia ada di lokasi ketika saya ada," tutup Rita enggan membuka kisah lama.

{[['']]}

Ana Dahlia Tidak Mahu Rujuk Kembali Dengan Chef Riz

 Ana Dahlia

  

KUALA LUMPUR – Kurang dari setahun bergelar isteri, pelakon wanita yang berbakat, Ana Dahlia tidak mempunyai hasrat untuk berbaik atau kembali kepada bekas suaminya, Chef Riz.

Seakan-akan fobia dalam melayari bahtera rumah tangga, Ana berfikir tidak mungkin untuk mereka berdua kembali hidup bersama kerana ingin terus maju ke hadapan dalam mencorakkan kerjaya seninya.

Namun, sekiranya sudah tertulis takdir Tuhan untuk dia kembali berbaik dengan anak lelaki Che Wan itu, Ana tidak mampu untuk menolak ketentuan Tuhan.


Chef Riz 


“Namun, untuk bersama dengan Riz semula, mungkin tidak. Tapi, jika Tuhan dah tentukan kami berbaik balik dan memang sudah tertulis jodoh antara kami berdua, saya akan terima.

“Cuma buat masa ini, mungkin tidak rasanya. Saya berazam untuk tahun baru 2013 ini, harap benda yang lebih baik berlaku dalam hidup dan juga karier seni saya,” kata Ana yang dipetik dari laporan portal Gua.com.

Bercerita sewaktu hakim meluluskan prosedur cerai antara mereka berdua, Ana mengakui perasaannya terlalu sedih dan sebak.

Ana berkata, dia kesal kerana manusia tidak pernah berusaha untuk menyayangi insan yang hadir dalam hidup mereka tetapi menyesal setelah insan tersebut hilang.

Kata-kata Ana itu seperti ditujukan kepada Chef Riz walaupun kenyataan itu dibuat secara terbuka dan tidak menjurus kepada individu tertentu.

“Saya rasa sebak, tak tahu nak gambarkan perasaan waktu itu macam mana. Cuma saya sedih kenapa manusia tidak belajar sebelum sesuatu terjadi, kenapa baru nak sayang bila dah tawar hati dan kenapa dari awal tak cuba sebaik mungkin dalam mengekalkan perhubungan.

“Apapun, semua ini ketentuan serta Qada dan Qadar dari Tuhan dan saya terima dengan redha. Apa yang berlaku saya jadikan tauladan. Saya anggap ini dugaan dari Tuhan,” katanya.

Oleh: NAIMAH SHAARI
{[['']]}

Chef Riz Secara Rasmi Ceraikan Ana Dahlia Dengan Talak Satu

Perkahwinan Ana dan Chef Riz gagal dipertahankan apabila mereka membuat keputusan untuk bercerai.
 

PETALING JAYA: Teka-teki mengenai status pelakon Ana Dahlia dan Chef Riz terjawab apabila kedua-dua mereka bercerai secara rasmi dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Selangor dekat sini pada 10 Disember lalu.

Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan, 31, mengesahkan perkara itu secara ringkas ketika dihubungi mStar Online, di sini, pada petang Rabu.

"Benar, kemelut perhubungan kami sudah selesai. Kami telah pun bercerai talak satu secara sah," katanya ringkas kerana sibuk berada di gimnasium.

Keretakan perkahwinan pasangan tersebut mula dihidu pada Oktober lalu selepas Ana dan Riz dikatakan sedang menghadapi masalah rumah tangga walaupun perkahwinan mereka belum menjangkau setahun lagi.

Penceraian itu dikatakan berpunca kerana tiada persefahaman di antara mereka selain perkenalan singkat iaitu selama lapan bulan yang turut menjadi penyebab perpisahan itu.

Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar dan Riz telah diijabkabulkan pada 11 Disember 2011.

Ia adalah perkahwinan kedua buat Ana.

Sementara itu, Ana yang dihubungi pula berkata, dia berasa sedikit sunyi sejak berpisah dengan anak lelaki tukang masak selebriti popular Chef Wan itu.

"Saya berasa sunyi sedikit, mungkin kerana saya tinggal bersendirian. Tetapi kesannya tidaklah teruk mana kerana sebelum ini pun saya tinggal sendiri juga.

"Inilah ketentuan dan takdir Tuhan. Saya terima seadanya dan berharap agar kami dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik, Insya-Allah," tuturnya yang kini sedang sibuk dengan penggambaran drama Kerana Lelaki Itu.

Tambah Ana, walaupun kedua-dua mereka telah bercerai, namun dia tidak pernah menganggap Riz sebagai musuhnya dan masih lagi berkawan seperti biasa.

"Saya tidak pernah memusuhinya, kami kawan seperti biasa. Cuma hubungan kami tidaklah seperti dahulu lagi," ujarnya.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

{[['']]}

Kehidupan Pelakon Wan Sharmila Hambar Kerana Belum Mempunyai Kekasih Hati

Lala masih belum menemui lelaki yang bersesuaian untuk dijadikan sebagai pasangan.


PETALING JAYA: Pelakon Wan Sharmila berkata kegagalan bertemu dengan lelaki yang sesuai menjadi penghalang untuk dia berkahwin semula selepas tiga tahun bercerai.

Pemilik nama sebenar Wan Sharmila Wan Mohamed, 31, berkata, aspek kehidupan peribadinya masih hambar kerana dia belum mempunyai kekasih sehingga kini.

“Kehidupan peribadi (hubungan cinta) masih hambar seperti dulu. Saya masih tidak jumpa lelaki yang sesuai.

“Saya memang hendak bina keluarga dan memiliki anak-anak sendiri kerana saya suka pada kanak-kanak. Saya tidak pasti sampai bila harus menunggu?” kongsinya ketika ditemui mStar Online.

Aktres yang berasal dari Johor Bahru, Johor itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbaharu lakonannya berjudul Spy M di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, petang Khamis.



 Kehidupan peribadi Wan Sharmila masih hambar kerana belum mempunyai kekasih sehingga kini.


Wan Sharmila dan suaminya yang juga penerbit dan pemilik syarikat produksi Radius One iaitu Fazli Baharom bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah Johor Bahru, Johor pada 23 Oktober 2009 selepas tiga tahun berkahwin.

Pelakon yang mesra disapa Lala ini berkata, kegagalan bertemu dengan lelaki baru bukan disebabkan dia bersikap cerewet tetapi ia dipengaruhi kesibukan kerja yang membataskan waktunya berkenalan dengan ramai orang.

“Memang ada ramai yang cuba mendekati tetapi tidak semudah itu saya hendak menjalin hubungan. Bukan kerana saya cerewet cuma dalam mencari pasangan kita perlukan teman yang serasi dan sesuai.

“Sebolehnya saya elakkan suami orang tetapi yang bujang pula ramai yang tak menepati kriteria. Saya tidak kisah umur dan status, asalkan saya berasa selesa dengan lelaki itu,” luahnya.

Mengenai drama komedi aksi Spy M, Lala berkata, dia tidak dapat melaksanakan aksi-aksi lagak ngeri (stunt) dalam dalam drama perisikan itu kerana baru selesai menjalani pembedahan beberapa bulan lalu akibat penyakit yang enggan didedahkan.

“Saya memegang peranan sebagai Salsabila iaitu anak kepada Milah lakonan Sharifah Shahira. Ini adalah drama aksi kedua saya selepas Apa Celop.

“Sayangnya, saya tidak dibenarkan pengarahnya Ramli Long untuk melakukan babak aksi kerana masih dalam proses pemulihan daripada pembedahan akibat satu penyakit kira-kira tiga bulan lalu.

“Saya tidak boleh berlakon lasak kerana akan cepat penat dan tenaga masih kurang. Namun, saya kembali aktif berlakon cuma tidak boleh yang berat-berat,” terangnya yang sedang menjalani penggambaran drama bersiri 20 episod berjudul Debunga Lalang.

Drama Spy M yang turut dibintangi antaranya Sharifah Shahira, Amyza Aznan, Jason Chong, Zalif Sidek dan Ahmad Danial akan ditayangkan bermula 3 Disember depan pada setiap Isnin pukul 9 malam, dalam slot Aksi di TV3.

Oleh WAHIDUZZAMAN
{[['']]}

Aidil Zafuan Disaman Kerana Tidak Beri Nafkah Anak dan Isteri

 Aidil Zafuan

Rita Rudaini bersama anak-anaknya 
 
PETALING JAYA: Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak telah difailkan saman kerana gagal menunaikan tanggungjawabnya memberi nafkah semasa kepada anak dan isterinya, pelakon Rita Rudaini.

Peguam syarie Rita (plaintif), Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain berkata, surat saman telahpun dihantar ke alamat rumah ibu bapa Aidil di Seremban, Negeri Sembilan, namun tiada sebarang maklum balas yang diberikan.

"Sebenarnya kami telah memfailkan saman sejak dua bulan yang lepas tetapi pihak kami tidak mendapat sebarang maklum balas daripada Aidil. Justeru itu kami memohon penyampaian secara tampalan daripada pihak mahkamah.

"Ia merupakan saman gantian dimana pihak kami akan menampal notis saman di rumah Aidil di Seremban, tempat kerja Aidil iaitu di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Angkatan tentera Malaysia (ATM)," katanya.

Zaidi ditemui selepas kes sebutan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, pada Isnin. Beliau hadir seorang diri tanpa ditemani anak guamnya, Rita.

Hakim syarie, Abd Halim Abu Samah telah menetapkan 13 Disember depan sebagai tarikh kes sebutan berkenaan dengan permohonan yang dibuat oleh pihak plaintif.

Sementara itu, Aidil, yang dihubungi mStar Online berkata, sehingga kini dia tidak mendapat sebarang surat saman daripada pihak isterinya itu.

"Walau sesibuk mana sekalipun, saya tidak akan mengabaikan hal-hal berkaitan mahkamah dan jujur saya katakan, saya atau pihak keluarga tidak mendapat sebarang surat saman daripada Rita.

"Kalau ada, sudah semestinya saya akan memberi surat balas atau membawa perkara ini merujuk kepada peguam saya," tegasnya.

Rita, 35 dan Aidil, 25, bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki menyebabkan perkahwinan tersebut menimbulkan masalah yang berpanjangan.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia kira-kira setahun.

Pada Januari lalu Aidil bertindak keluar dari rumah mereka di Damansara dekat sini ketika Rita bersama anak-anak pulang ke kampung halamannya di Perlis.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
{[['']]}

Sah!! Chef Riz Dan Ana Dahlia Sudah Bercerai

Perkahwinan Chef Riz dan Ana Dahlia pada 1 Disember tahun lepas di Taiping, Perak hanya tinggal kenangan.

KUALA LUMPUR – Chef selebriti, Chef Riz, mengesahkan kebenaran desas-desus yang tersebar luas ketika ini bahawa dia sudah pun bercerai dengan isterinya, pelakon Ana Dahlia.

“Ya, saya memang sudah bercerai,” kata anak sulung Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan, 30, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperinci perceraian berkenaan.

Baru-baru ini, pasangan tersebut dikatakan telah mengambil borang permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah di Kajang, Selangor.

Chef Riz mengakui perceraian itu berpunca daripada ketiadaan persefahaman antara mereka sejak melayari bahtera perkahwinan 11 bulan lalu.

Dia juga mengakui perkenalan singkat hanya selama lapan bulan turut menjadi punca keruntuhan rumah tangganya.

Ana Dahlia, 29, yang merupakan pelakon filem Mantra diperkenalkan kepada Che Riz oleh adiknya sendiri, Serina.

“Saya akui kami kahwin terlalu cepat, hanya selepas lapan bulan berkenalan. Selepas berkahwin tidak sampai setahun, kami berdua nampaknya tidak lagi mempunyai persefahaman dan perceraian adalah jalan terbaik buat kami,” ujarnya.

Oleh Yusman Awang
{[['']]}

Nadia Kembali Menyanyi Selepas Bercerai



Masih ingat lagi kepada penyanyi wanita Rock, Nadia yang popular sekitar tahun 1990-an?

Nadia suatu ketika dahulu popular dengan lagunya yang berjudul Salam Untuk Kekasih.

Tetapi, Nadia ‘hilang’ dari dunia nyanyian selepas mendirikan rumah tangga pada tahun 1999.

Suaranya yang lantang itu tidak lagi kedengaran di corong-corong radio.

Selepas hampir 13 tahun menyepi, ternyata rindu dalam bidang nyanyian membuatkan Nadia kembali memulakan kerjayanya yang terhenti.

Berbeza dengan statusnya yang dahulu, Nadia kini sudah pun solo kerana bercerai dengan suaminya sejak dua tahun yang lalu.

“Ya, memang selepas saya berkahwin saya memberikan sepenuh perhatian pada keluarga. Tetapi kini selepas dua tahun menjadi ibu tunggal, sudah tiba masa saya membuat comeback.

“Dahulu bekas suami tidak menghalang sepenuhnya, tetapi saya tahu dia kurang gemarkan saya menyanyi,” kata Nadia yang dipetik dari Murai.com.

Ketika diasak pertanyaan mengenai perkahwinannya yang sudah pun berakhir, Nadia enggan kisah silamnya menghantui kehidupan masa kini.

Nadia memberitahu hatinya masih lagi berasa sakit apabila dipermainkan oleh seorang lalu.

Katanya, walaupun masih lagi digilai oleh ramai lelaki, Nadia mengakui pintu hatinya sudah tertutup
rapat untuk manusia yang bergelar lelaki.

Justeru, pengalaman yang sedih dalam alam perkahwinan membuatkan Nadia mahu lebih berhati-hati untuk mengenali lelaki selepas ini.

“Kalau ingin cakap mengenai hubungan atau lelaki, rasanya buat masa ini saya masih belum bersedia. Memang ada yang bertanya. Ketika masih bergelar isteri juga ada dirisik. Tetapi sekali dah terkena, kini saya mahu lebih berhati-hati.

“Sakit sekarang masih belum terubat dan saya belum terbuka hati untuk mempunyai pasangan sekarang. Masih trauma lagi. Terasa diri sekarang seperti sudah tiada cinta lagi, kosong sahaja,”

Kini, Nadia sudah pun melahirkan single terbarunya iaitu, Hanya Untukmu untuk pengubat rindu kepada peminat-peminatnya.





Oleh: NAIMAH SHAARI
{[['']]}

Hattan Ingin Rujuk Semula Dengan Bekas Isteri Pertama

Hattan



 Arianie Mohd Abidin,bekas isteri pertama Hattan.


“Saya tidak pernah lupakan dia meskipun sudah sembilan tahun berpisah. Setiap hari saya berdoa moga jodoh kami bertaut semula andai diizinkan Tuhan,” ujar penyanyi, Datuk Hattan, 48.

Dia berkata demikian kepada Metro Ahad, hari ini, apabila terdapat desas-desus mengatakan yang dia bakal menyunting kembali bekas isterinya, Arianie Mohd Abidin.

Rockers terkenal kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan itu mengaku, dia sangat memerlukan Arianie di sisinya.

Katanya, hidupnya tidak lengkap tanpa kehadiran isteri, bahkan sebagai bapa dia tidak sanggup melukakan hati putera tunggalnya, Adam Eiman.

“Saya pernah suarakan hasrat mahu dia kembali kepada saya, tetapi dia minta saya bersabar dan bagi dia masa.

“Kini, saya nampak kesungguhannya untuk sama-sama membina kembali keluarga kami,” katanya.

Hattan yang sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Arianie pada 17 Disember 1996 bagaimanapun telah bercerai pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Selepas enam tahun, Hattan berkahwin pula dengan Farah Asyikin Othman pada 11 November dan bercerai pda 12 Januari lalu.

Manakala, Arianie tidak pernah berkahwin lain sejak itu.

Ditanya tentang bagaimana reaksi Adam apabila mendapat tahu Hattan dan ibunya bakal bersatu, dia gembira kerana doanya termakbul.

Menurut Hattan, anaknya itu tidak boleh terima kalau dia atau ibunya keluar dengan lelaki lain.

“Rasa tak senang hati Adam itu saya hanya ketahui selepas kami balik dari menunaikan umrah.

“Saya tanya dia apa yang dia doa apabila di depan Kaabah, dia jawab minta mak atau ayah tak jadi kawin dengan pasangan masing-masing.

“Dari situ saja sedar dan berasa sebak sangat hingga mahu menitik air mata,” ujarnya.

Tambahnya, Adam adalah satu-satnya anak dia dan Arianie, jadi dia mahu lakukan yang terbaik buat anaknya.

Malah, Hattan berkata kesilapan ketika mengemudi rumah tangga sebelum ini membuka mata dan mindanya terhadap banyak perkara.

Ia sekali gus menggerakkan hatinya melakukan transformasi ke arah lebih baik.

Diharapkan niat suci Hattan itu akan dipermudahkan.

Lebih-lebih lagi demi kepentingan anaknya. Insyallah..

Oleh: NURUL NAFISAH MAZLAN
{[['']]}

A. Aida Cerai Ada Sebab

MENGAKUI emosi dirinya terganggu dengan isu perceraiannya kali ini, A. Aida kini hanya mahu menfokus terhadap anak dan bisnesnya.

KEHIDUPAN peribadi pelakon yang kini begitu sukses sebagai pengarah dan penerbit, A. Aida nampaknya tidak selancar pencapaiannya dalam bidang seni.

Tiga kali mencari bahagia dalam sebuah institusi perkahwinan, ia bagaimanapun berakhir dengan episod yang tidak membahagiakan.

Kali pertama berkahwin, Aida bergelar isteri kepada vokalis kumpulan Spring, Ameng, 43, atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail pada 1994. Mereka bagaimanapun bercerai talak satu pada 17 Disember 2003.

Bersama Ameng, pasangan tersebut dikurniakan dua anak iaitu Wan Aleesa, 16, dan Wan Natassha, 11.

Selepas gagal dalam perkahwinan tersebut, Aida tidak serik untuk membina rumah tangga semula. Untuk perkahwinan kali keduanya, Aida memilih seorang anggota polis yang berusia 26 tahun - sepuluh tahun lebih muda daripada dirinya.

Perkahwinan itu tidak dikurniakan anak sebelum mereka akhirnya bercerai.

Tidak berapa lama selepas itu, penerbit drama Halimah Jongang ini sekali lagi mendirikan rumah tangga, juga dengan seorang anggota polis.

Kali ini dia bertemu jodoh dengan Asisten Superitendan Suffian Sulaiman dan dikurniakan seorang anak lelaki, Muhamad Rahul yang kini berusia empat tahun.

Malangnya, kebahagiaan rumah tangga mereka hanya bertahan selama lima tahun sehingga Aida memfailkan perceraian secara baik pada 27 September lalu disebabkan tiada persefahaman antara mereka berdua.

Ikuti temu bual Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang bersama Kosmo! ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri pertamanya untuk TV3, Putera Rayyan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kosmo!: Bagaimanakah Aida berdepan dengan isu cerai pada kali ini memandangkan ia perceraian kali ketiga buat anda?

AIDA: Saya tahu banyak orang bercakap-cakap kenapalah saya selalu bercerai, tetapi percayalah, tindakan yang saya ambil dan segala yang berlaku itu bersebab. Ia bukan satu tindakan dan keputusan yang diambil secara suka-suka.

Bagaimana perkembangan proses perceraian anda sekarang?

Saya kini mengambil jalan menuntut cerai secara fasakh selepas permohonan untuk bercerai sebelum ini tidak mendapat persetujuan (Suffian Sulaiman).

Anda terganggu dengan masalah ini?

Sudah tentu. Terus terang saya katakan, perceraian ini telah mengganggu fokus saya terhadap kerja, terutamanya bidang penulisan skrip. Jika sebelum ini saya ambil masa tulis skrip untuk telemovie hanya dalam masa sehari, sekarang dua bulan pun saya tidak dapat menyiapkan satu skrip.

Perancangan anda selepas bercerai?

Selepas selesai perceraian ini, saya hanya mahu beri tumpuan kepada anak-anak dan perniagaan sahaja. Walaupun saya kini berada dalam masalah rumah tangga, namun Alhamdulillah rezeki saya tidak pernah putus. Perniagaan saya kini semakin berkembang.

Selepas tiga kali bercerai, adakah anda serik untuk berkahwin lagi?

Buat masa ini, saya tidak pernah terfikir untuk berkahwin lagi. Saya sudah sampai satu tahap tidak mahu fikir soal lelaki atau benda lain. Dalam otak saya, hanya ada anak-anak dan perniagaan sahaja. Saya sudah serik dengan lelaki.

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
{[['']]}

A.Aida Tertekan Gara-Gara Kes Cerai

 Barisan para pelakon 'Putera Rayyan'.


PETALING JAYA: Penerbit drama A.Aida mengakui kes penceraiannya dengan suami Deputi Superintenden (DSP) Suffian Sulaiman yang masih lagi dalam proses perbicaraan mahkamah membuatkan tumpuan kerjanya terganggu.

Aida atau nama sebenar Zaidah Awang, 42, berkata, masalahnya itu juga membuatkan dia tidak boleh fokus pada drama yang diterbitkan bawah produksinya iaitu A.Aida Production termasuklah dalam penulisan skrip.

"Bayangkan jika skrip drama yang saya hasilkan biasanya mengambil masa dalam satu atau dua hari, tetapi sejak kebelakangan ini ia mengambil masa sehingga dua bulan.



A. Aida bersama peguamnya. (Gambar Fail)

"Kalau boleh saya tak mahu memikirkan tentang masalah rumah tangga ini, tetapi ia agak sukar. Harap-harap kes (penceraian) ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Aida ditemui pada pelancaran drama Putera Rayyan di Restoran Rebung, di sini, petang Selasa.

Pada 18 Oktober lalu, pelakon itu telah mengemukakan permohonan fasakh terhadap Suffian selepas tidak dapat mencapai persetujuan untuk berpisah secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Jalan Duta, dekat sini.

Aida berkahwin dengan Suffian yang bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Logistik, Bukit Aman Kuala Lumpur, pada 20 April 2007.



 Antara bintang utama Putera Rayyan,(dari kiri) Nad Zainal (Arisa),Kamal Adli (Putera Rayyan) dan Miera Liyana (Anisa).

Mengenai Putera Rayyan drama itu dibarisi pelakon-pelakon popular seperti Kamal Adli (Putera Rayyan), Nad Zainal (Arisa), Miera Liyana (Anisa), Aida Aris (Nora), Zila Bakarin (Tengku Mariam), Lutfia (Tengku Suraya) dan Razali Hussin (Zul).

"Sebenarnya cerita asal drama ini adalah mengenai Bawang Putih Bawang Merah, tetapi ia di olah dengan memberi fokus pada kisah Putera Rayyan yang ada dalam kisah hikayat itu.

"Jadi penulis skripnya Wan Mahani mengembangkan plot cerita Rayyan yang terpaksa mengharungi cabaran dalam perkahwinannya bersama Arisa," tuturnya.

Drama bersiri 23 episod itu bakal menemui penonton setiap hari Selasa dan Rabu bermula 31 Oktober ini.

Ia akan disiarkan pukul 10.30 malam menerusi slot Samarinda di TV3.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
{[['']]}

A. Aida Mohon Fasakh Kerana Tuntutan Suami Melampau

Gambar fail A.Aida bersama peguam syarie, Zulkifli Che Yong.


KUALA LUMPUR: Pelakon A. Aida menyifatkan tuntutan suaminya Deputi Superintenden (DSP) Suffian Sulaiman terhadap beberapa perkara sebelum bersetuju untuk bercerai secara baik adalah keterlaluan dan melampaui batas.

Sehubungan itu A.Aida selaku plaintif terpaksa menarik balik persetujuannya sebelum ini untuk berpisah secara baik dan akan mengemukakan permohonan fasakh terhadap Suffian.

Penarikan permohonan itu dilakukan di dalam kamar di hadapan Hakim Syarie, Ahmad Basyir Yaakub di Mahkamah Syariah Jalan Duta, di sini pada Khamis.

"Kami tidak dapat mencapai persetujuan secara baik walaupun beberapa siri perbincangan telah dilakukan melalui peguam dan beberapa draf cadangan telah dikemukakan tetapi masih tidak mendapat kata sepakat.

“Oleh itu saya menarik balik permohonan cerai secara baik dan akan memfailkan fasakh," ujarnya ketika ditemui di luar mahkamah.

Penerbit drama Halimah Jongang itu bagaimanapun enggan mendedahkan tuntutan tersebut.

Beliau hadir bersama peguam syarienya, Zulkifli Che Yong bagi menarik semula permohonan sebelum ini iaitu untuk berpisah secara baik dan mengemukakan permohonan baru iaitu membubarkan perkahwinan melalui fasakh.

Ia dibuat mengikut Seksyen 52, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Kebenaran Penceraian Secara Fasakh) yang akan difailkan pada 22 Oktober depan.

Sementara itu, Suffian ketika ditemui berkata, pertikaian terhadap tuntutan yang berlaku itu adalah untuk memastikan kedua-dua pihak mendapat keputusan yang adil dan tidak menganiayai sesiapa.

Bagaimanapun kata Suffian, dia tidak akan membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang perkahwinan mereka sebaliknya hanya ingin memastikan cadangan yang dibuatnya dapat memberi keuntungan di antara satu sama lain.

"Saya tidak mahu dia (Aida) atau saya teraniaya dan pertikaian ini adalah untuk mendapatkan keputusan yang adil," ujarnya ringkas.

A. Aida A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 42, berkahwin dengan Suffian yang bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Logistik, Bukit Aman Kuala Lumpur, pada 20 April 2007.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhamad Rahul yang kini berusia empat tahun.

Suffian yang merupakan sorang duda sebelum ini turut mempunyai beberapa orang anak hasil perkahwinan terdahulu.

Sebelum berkahwin dengan Suffian, A. Aida pernah bernikah dengan bekas vokalis kumpulan Spring iaitu Ameng pada tahun 1994 dan berpisah pada tahun 2003.

Hasil perkahwinan itu mereka mendapat dua orang anak iaitu Wan Az Aleesa, 16, dan Wan Azevanatassha yang berusia 11 tahun.


Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
{[['']]}

Kak Engku Enggan Hidup Bermadu

Raja Azura masih tetap jelita walaupun sudah memasuki usia 40'an
KUALA LUMPUR: Penyampai radio Sinar FM dan pelakon Raja Azura tidak akan mencari pengganti di kalangan suami orang kerana prinsipnya enggan hidup bermadu.

Raja Azura, 40, berkata, walaupun dalam agama Islam tidak menghalang kehidupan bermadu namun perkara itu haruslah hadir dengan keikhlasan hati kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah.

"Terus terang jika ingin mencari pengganti, saya tidak mahu cari di kalangan mereka yang sudah berkahwin dan saya tidak mahu hidup bermadu.

"Ia telah menjadi prinsip hidup saya dan rasanya saya bukan insan yang terpilih untuk hidup berpoligami," ujarnya ketika ditemui pada pelancaran program bual bicara Primadona di Astro, di sini pada Selasa.

Selain Raja Azura, program tersebut turut menampilkan Erra Fazira, Ziela Jalil dan Rozita Che Wan sebagai pengacara gandingan.

Ia akan menemui penonton bermula 2 November depan setiap hari Jumaat pukul 9 malam menerusi Astro Prima.

Dalam pada itu, Raja Azura tidak menafikan ada lelaki yang cuba mendekatinya sejak dia berpisah dengan Adzmin Osman. Bagaimanapun dia lebih selesa dengan kehidupan solonya kini.

Malah tumpuannya adalah kepada anak-anak selain kerjaya sebagai penyampai radio Sinar FM.

Raja Azura dan Adzmin berpisah pada 28 September 2010 selepas hampir sepuluh tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Megat Muhammad Raziq,10, Megat Luqman Hakim,9, dan Puteri Mkia Maizurah, 6.

Adzmin merupakan anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof.


Perhubungan Kak Engku dan bekas suami masih baik dan mesra demi kebahagiaan anak-anak mereka.

Sementara itu, Raja Azura memberitahu gembira dapat bekerjasama dan berkongsi pentas bersama tiga lagi rakan artis dalam Primadona.

Walaupun terkenal dengan kepetahan sebagai penyampai radio dan pengacara televisyen, itu tidak bermakna dia akan menguasai program itu.

"Memang saya banyak bercakap tetapi untuk Primadona kita banyak melakukan latihan sebelum membuat rakaman supaya semua pengacara tidak “tenggelam” di antara satu sama lain,” katanya.

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
{[['']]}

Jimmy Shanley Sah Bercerai Dengan Tebus Talak Seringgit



SUBANG - Pengacara Jimmy Shanley Norjahan Saleh mengaku terpaksa mungkir janji dengan ibu mertuanya apabila menceraikan Nursuhaila Eliani Suhaimy secara khuluk (tebus talak) sebanyak RM1 di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.

Jimmy, 32,  sah bercerai talak satu dengan Nursuhaila, 24, di hadapan Hakim Syarie Abd Halim Abu Samah selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk bercerai.

Nursuhaila selaku plaintif bersetuju menggugurkan hak tuntutan nafkah edah, mutaah, tertunggak serta hutang.

Jimmy yang pernah mengacarakan rancangan Trek Selebriti  juga bersetuju untuk tidak menuntut hutang sesama mereka.

Sejurus selesai prosiding, Jimmy yang bergegas keluar dari mahkamah sempat berkata kepada media bahawa dia terpaksa mungkir janji dengan pengasas produk kecantikan Datin Muniroh Kassim supaya tidak sesekali menceraikan anaknya.

"Nak buat macam mana, minat masing-masing berbeza, hobi pun tak sama, biarlah saya cari pasangan di Jannah," katanya.

Sementara itu, Nursuhaila bersyukur keranan kemelut rumah tangganya telah selesai.

Sebelum itu, peguam syarie Sa'adiah Din yang mewakili Nursuhaila memaklumkan ada menerima tawaran daripada Jimmy pada Jumaat lalu untuk bercerai secara tebus talak RM1.

"Sehubungan itu, pihak kami bersetuju supaya kes permohonan cerai secara baik mengikut Seksyen 47 yang difailkan plaintif di mahkamah ini ditarik balik.

"Begitu juga dengan permohonan nusyuz dan kembali taat yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam," katanya.

Bagaimanapun permohonan hadanah iaitu hak jagaan anak  yang difailkan Jimmy di mahkamah tinggi akan diteruskan untuk perbicaraan.

Anak perempuan pasangan itu, Zahrah Shanley yang kini berusia setahun berada di bawah jagaan ibunya, namun Jimmy diberikan hak untuk melawat bila-bila masa.

Sa'adiah berkata, anak guamnya telah memfailkan permohonan tebus talak mengikut Seksyen 49 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

"Pihak-pihak telah tidak tinggal sebumbung selama 720 hari dan tidak pernah melakukan hubungn kelamin sejak itu," katanya.

Perkara itu diakui peguam syarie Mohd Noor Aizan Md Idrus yang mewakili Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Nor Jahan Salleh.

Abd Halim kemudian mengarahkan pasangan itu membaca lafaz khuluk sebelum membenarkan jatuh talak satu bain subra serta mengarahkan Nursuhaila  bersuci edah tiga kali.

Nursuhaila memfailkan permohonan cerai itu pada 25 Oktober tahun lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Permohonan itu dikemukakan selepas Jimmy dan Nursuhaila, 26, mula tinggal berasingan sejak 21 Oktober lalu.

Pasangan itu bernikah pada 1 Oktober 2010 dengan mas kahwin RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahir Nursuhaila pada 31 Januari 1986.
{[['']]}

A. Aida Mahu Teliti Permintaan Suami Sebelum Cerai

A. Aida ditemani peguamnya, Zulkifli Che Yong ketika hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit drama A. Aida akan meneliti terlebih dahulu cadangan yang dihantar suaminya, Deputi Superintenden (DSP) Suffian Sulaiman sebelum kes perceraian mereka diteruskan ke mahkamah.

A.Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 42, berkata, dia menerima permohonan itu daripada Suffian pada Ahad yang menyenaraikan beberapa perkara sekiranya dia benar-benar berhasrat untuk mengakhiri rumah tangga mereka.

"Suffian telah mengemukakan cadangan penyelesaian semalam (Ahad) dan saya memohon kepada mahkamah agar diberikan masa untuk meneliti terlebih dahulu isi kandungan permohonan yang dibuat oleh Suffian itu," katanya ketika ditemui mStar Online di luar mahkamah Syariah Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

Terdahulu, Hakim Syarie Ahmad Basyir Yaakub yang mendengar permohonan A. Aida dalam kamar menetapkan 18 Oktober ini sebagai sebutan semula kes tersebut.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili A.Aida iaitu Zulkifli Che Yong berkata, pada tarikh itu nanti pihaknya akan memohon untuk merekodkan penceraian dan penyelesaian di bawah Seksyen 47, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Kebenaran Penceraian Secara Baik) sekiranya wujud penyelesaian secara baik di antara pihak kedua-dua belah pihak.

"Bagaimanapun anak guam saya akan memohon pembubaran perkahwinan melalui fasakh dan menarik permohonan terdahulu sekiranya Suffian tidak bersetuju dengan draf penyelesaian penceraian yang dikemukakan oleh pihak plaintif," ujarnya.

A. Aida berkahwin dengan Suffian yang bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Logistik, Bukit Aman Kuala Lumpur, pada 20 April 2007.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhamad Rahul yang kini berusia empat tahun.

Suffian yang merupakan sorang duda sebelum ini turut mempunyai beberapa orang anak hasil perkahwinan terdahulu.

Sebelum berkahwin dengan Suffian, A. Aida pernah bernikah dengan bekas vokalis kumpulan Spring iaitu Ameng pada tahun 1994 dan berpisah pada tahun 2003.

Hasil perkahwinan itu mereka mendapat dua orang anak iaitu Wan Az Aleesa, 16, dan Wan Azevanatassha yang berusia 11 tahun.

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger