Latest Post :
Recent Post
Showing posts with label Artis Menang. Show all posts
Showing posts with label Artis Menang. Show all posts

Pelakon Faizal Hussien Enggan Mendabik Dada

Faizal Hussien menjulang trofi kemenangan bagi kategori, Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25)




Jika kebanyakan artis memilih untuk lebih selektif setelah berjaya menggenggam trofi di anugerah berprestij, namun tidak bagi pelakon hebat, Faizal Hussein.

Walaupun berjaya menjulang trofi kemenangan bagi kategori, Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25), namun anak kepada pasangan pelakon popular, Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail ini enggan mendabik dada.

Malah, Faizal, 45, mengakui, dia tidak akan menolak sebarang tawaran yang diberikan selepas ini sekiranya tidak bercanggah dengan jadual yang sedia ada.

"Buat pengetahuan anda, sebelum ini saya pernah bekerja dengan pengarah dan produksi yang teruk. Namun, saya ambil pendekatan positif dengan memberi sepenuh komitmen terhadap kerja lakonan saya.

"Tidak kira karya itu kecil atau besar, buruk atau atau bagus, jika pelakonnya berjaya menjadikan ia sebagai karya yang bagus, penonton tetap akan suka.

"Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk memilih tawaran baik drama mahupun filem. Apa yang penting, saya mahu memecah dominasi yang watak utama bukan hanya untuk pelakon muda," kata bapa kepada dua cahaya mata ini.

 Kembali meraih kepercayaan

Kemenangannya di FFM25, baru-baru ini benar-benar membuka mata pihak produksi dan pengarah tempatan.

Mengakui banyak menerima tawaran watak berat yang mencabar dan pelakon utama, Faizal berkata, bakatnya mula berjaya meraih kepercayaan industri.

"Ramai yang menganggap, pelakon yang sudah berusia sukar mendapatkan peluang lakonan sebagai watak utama.

"Namun, saya berterima kasih kepada pengarah filem, Bunohan, Dain Iskandar Said, apabila percaturannya ternyata membuka mata banyak pihak.

"Walaupun pada saat-saat akhir, watak saya bakal ditukarkan kepada orang lain, namun Dain tetap mempertahankan saya," katanya yang bakal muncul menerusi filem arahan, Hashim Rejab, Longkai.

20 tahun tidak dicalonkan

Mengakui anugerah tersebut adalah pengiktirafan pertama buatnya di FFFM sepanjang tempoh 30 tahun menapak dalam industri lakonan, Faizal pernah dicalonkan pada tahun 1993, menerusi filem, Kanta Serigala.

Faizal turut berseloroh, kemenangannya pada malam itu hanyalah kerana ketiadaan pencalonan daripada pelakon hebat yang juga sifunya, Eman Manan.

"Kalau Abang Eman ada, tentu saya kalah malam ini," katanya sambil ketawa.

Menurut Faizal, setelah hampir 20 tahun, barulah namanya kembali dicalonkan menerusi Bunohan.

"Walaupun Abang Eman tak ada, namun saya tidak mengharapkan kemenangan.

"Sejak awal lagi, saya sudah pasang niat, kehadiran saya pada malam itu hanyalah untuk bergembira bersama isteri dan anak-anak.

"Namun, saya meletakkan harapan tinggi buat Bunohan kerana ia adalah filem yang bagus dan paling berat yang pernah saya lakonkan," katanya yang terpaksa gelapkan badan dan dijemur tengah panas terik untuk menjayakan watak Ilham.
{[['']]}

Syafie Naswip Ingin Merasai Kehidupan Seperti Remaja Lain

Syafie yang meraih pelakon Pembantu lelaki terbaik menerusi filem Songlap pada Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25).


PUTRAJAYA: Pelakon Syafie Naswip mengakui dia kini sudah mula memberi ruang kepada dirinya untuk merasai kehidupan seperti remaja lain bersosial dengan teman-temannya.

Syafie, 21, berkata, sebelum ini, dia sering memberi fokus kepada pelajarannya di sekolah serta karier lakonan sehingga terpaksa membiarkan zaman kehidupan remajanya hilang begitu sahaja, malah ditinggalkan rakan-rakan kerana kesibukannya itu.

"Dulu susah, saya terpaksa fokus pada pelajaran di sekolah dan kerja-kerja lakonan sehinggakan nak meluangkan masa bersama rakan-rakan pun tak sempat.

"Sekarang ini, sudah tiba masanya saya beri ruang pada diri untuk bersosial. Bukan sosial berbentuk negatif, tetapi positif. Saya mahu merasai zaman remaja saya seperti rakan-rakan lain," katanya.




Bagaimanapun tambah Syafie, dia kini sudah pandai menguruskan masanya agar dapat melakukan pelbagai aktiviti-aktiviti yang diminati.

Dalam pada itu, Syafie yang baru sahaja meraih pelakon Pembantu lelaki terbaik menerusi filem Songlap pada Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) juga bakal melanjutkan pelajaran tidak lama lagi.

"Di usia muda sebegini banyak benda yang saya ingin lakukan termasuklah menyambung pengajian saya di bidang yang sesuai.

"Namun saya akan memberi fokus kepada karier lakonan sebelum belajar. Lagipun kerjaya saya sedang berkembang.

"Malah lakonan saya sudah mula mendapat kepercayaan pengarah-pengarah untuk mengambil saya berlakon dalam filem atau drama terbitan mereka," ujarnya.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
{[['']]}

Johan & Zizan 'Juara Maharaja Lawak Mega 2012'

Zizan (kiri) dan Johan Juara Maharaja Lawak Mega 2012 yang berlangsung di Johor Baru.


Gelaran naib juara pula dimenangi oleh kumpulan Jambu yang disertai oleh Yus dan Tauke.


 
JOHOR BARU: Selepas sembilan minggu bertanding, gelaran juara Maharaja Lawak Mega 2012 (MLM 2012) menjadi milik kumpulan Jozan yang dianggotai Johan dan Zizan apabila mereka diumumkan juara dalam acara yang berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB), di sini malam Jumaat.

Kemenangan Jozan melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 dan trofi sumbangan Astro.

Dalam pada itu, Johan yang sebelum ini tidak dapat menyertai pertandingan berkenaan sejak dua minggu lalu akibat kecederaan ligamen membuat kejutan apabila muncul pada persembahan pusingan pertama.

Kemunculan Johan telah menggamatkan stadium yang dihadiri oleh hampir 5,000 penonton.

Gelaran naib juara pula dimenangi oleh kumpulan Jambu yang disertai oleh Yus dan Tauke. Mereka berkongsi hadiah wang tunai sebanyak RM250,000 berserta sebuah trofi.

Sementara itu kumpulan Shiro (Shahrol & Ajak) mendapat tempat ketiga dan mereka menerima hadiah berupa wang tunai RM150,000 berserta sebuah trofi.

Bagaimanapun Boboi (Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik & Nabil) yang pernah bergelar naib juara MLM 2011 sebelum ini terpaksa akur dengan kedudukan di tangga keempat.



Lawak Johan dan Zizan berjaya membawa tuah kepada mereka.
 

Mereka mendapat wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi.

Manakala kumpulan tunggal dari Indonesia iaitu Saywho (Eko, Bocil & Vicha) berada di tempat kelima. Mereka mendapat hadiah iaitu wang tunai RM15,000 berserta trofi.

Kesemua peserta peringkat akhir dikehendaki membuat dua persembahan bertemakan konsep bebas dan komedi muzikal.

Para peserta telah diadili dengan sistem pemarkahan yang masing-masing mewakili 70 peratus daripada juri tetap dan selebihnya undian penonton di rumah.

Empat juri tetap yang mengadili peserta pada MLM2012 akhir itu terdiri daripada Awie, Wulan Guritno, Najib Ali dan Lisa Surihani.

Ia dihoskan oleh Datuk AC Mizal.

Sementara itu mengulas kemenangan mereka, Jozan berkata, ia adalah rezeki buat mereka berdua dan tidak pernah meletakkan harapan untuk menang.

Bagaimanapun ia adakan berkat sokongan para peminat yang sentiasa menjadi pendorong untuk mereka memberikan persembahan mantap pada setiap minggu.

"Tanpa peminat yang tidak jemu memberikan sokongan kejayaan ini tidak akan bererti dan kemenangan ini adalah untuk mereka semua," jelasnya ketika ditemui selepas acara itu.

Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh bersama Pengurus Saluran Premium Astro, Nizam Sani dan Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai.

Pertandingan Maharaja Lawak Mega 2012 bersiaran secara langsung menerusi saluran Mustika HD (134) dan Astro Warna (132).

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
{[['']]}

Golden Globe Awards'13: Ben Affleck Menang Besar

Ben Affleck 


Filem Argo arahan dan lakonan Ben Affleck memenangi Filem Terbaik anugerah Golden Globe ke 70 pada kemuncak acara pra-Oscar Hollywood yang diadakan di sini pada Ahad (waktu tempatan).Affleck turut memenangi Pengarah Terbaik untuk filem itu.

Karya berkenaan berkisar tentang misi ejen perisikan Amerika Syarikat untuk membebaskan enam diplomat negara itu yang mendapat perlindungan di kediaman duta Kanada di Tehran, Iran semasa krisis pada tahun 1979.

Filem Steven Spielberg Lincoln hanya mampu membawa pulang satu anugerah sahaja iaitu melalui kategori Pelakon Lelaki Terbaik - Drama (Daniel Day-Lewis) walaupun mendapat pencalonan terbanyak iaitu dalam tujuh kategori.

Kegagalan Spielberg merangkul anugerah filem terbaik dan beberapa kategori utama lagi telah mengejutkan banyak pihak dan pemerhati filem Hollywood.

Sebaliknya, Affleck telah membuat kejutan besar dengan merangkul dua anugerah utama termasuk pengarah terbaik.

Ia adalah kemenangan berganda pertama untuk Affleck dalam anugerah edisi ke-70 ini.

Affleck dengan segera memberi penghargaan di atas kemenangannya itu kepada para diplomat dan juga ejen rahsia yang telah berkorban atas nama negara termasuklah karakter sebenar yang dimainkannya menerusi filem tersebut."Anugerah ini adalah mengenai Tony Mendez. Dia adalah hero Amerika yang sebenar termasuklah bala tentera Amerika yang telah berkorban dan berkhidmat di luar negara," ujar Affleck.

Bagaimanapun filem itu turut menerima kritikan yang tidak kurang hebatnya kerana Affleck dikatakan telah mencampur adukkan fakta dengan karya fiksyen khususnya tentang peranan CIA dalam membebaskan para diplomat Amerika yang dijadikan tebusan dalam insiden sebenar itu.

Namun begitu kemenangan Argo dilihat sebagai menebus maruah filem tersebut apabila ia tidak disenarai pendekkan untuk pencalonan pengarah terbaik dalam Anugerah Oskar yang akan berlangsung pada 24 Februari depan.Sementara itu bagi kategori drama pula, Homeland dipilih sebagai drama terbaik anugerah berkenaan pada kali ini.

Homeland turut mencipta kejayaan apabila dua pelakonnya iaitu Damian Lewis dan Claire Danes masing-masing diumumkan sebagai aktor dan aktres terbaik.

Berikut ini senarai penuh pemenang Golden Globe 2013.

KATEGORI FILEM:

1. Filem Terbaik : Argo

2. Filem Komedi/Muzikal Terbaik: Les Miserables

3. Pengarah Terbaik: Ben Affleck – Filem Argo

4. Aktor Terbaik Drama: Daniel Day-Lewis – Lincoln

5. Aktres Terbaik Drama: Jessica Chastain – Zero Dark Thirty

6. Aktor Terbaik Muzikal/Komedi: Hugh Jackman - Les Miserables

7. Aktres Terbaik Muzikal/Komedi: Jennifer Lawrence - Silver Linings Playbook

8. Pelakon Pembantu Terbaik Lelaki: Christoph Waltz - Django Unchained

9. Pelakon Pembantu Terbaik Wanita: Anne Hathaway - Les Miserables

10. Filem Luar Terbaik: Amour

11. Lakon Layar Terbaik: Django Unchained

12. Skor Asal Terbaik: Life of Pi

13. Animasi Terbaik: Brave

KATEGORI DRAMA TV:

1. Drama Siri Terbaik: Homeland

2. Aktres Terbaik: Claire Danes - Homeland

3. Aktor Terbaik: Damian Lewis : Homeland

4. Drama Muzikal/Komedi Bersiri Terbaik: Girls

5. Pelakon Wanita Muzikal/Komedi Terbaik: Lena Dunham - Girls

6. Pelakon Lelaki Muzikal/Komedi Terbaik: Don Cheadle - House of Lies

7. Mini Siri/Filem Terbaik: Game Change

8. Aktres Mini Siri/Filem Terbaik: Julianne Moore - Game Change

9. Aktor Mini Siri/Filem Terbaik: Kevin Costner - Hatfields & McCoys

10. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Maggie Smith - Downton Abbey

11. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Ed Harris - Game Change


Sumber: AFP
{[['']]}

Hafiz Dedah Rahsia Menang Vokal Terbaik AJL


   

Bukan saja penyanyi Aizat yang melakar sejarah tersendiri pada Anugerah Juara Lagu ke-27 AJL, malam kelmarin. Tidak kurang hebat, Hafiz Suip turut mengekalkan rekod peribadinya apabila untuk kali ketiga berturut-turut menggondol RM10,000 beserta trofi Vokal Terbaik. Kemenangan tersebut diraih hasil penyampaian penuh memukau menerusi lagu Ku Akui. Lagu ciptaan komposer Ajai itu juga turut memenangi tempat ketiga dan meraih RM12,000 beserta trofi.

Bertemu juara Akademi Fantasia (AF7) ni sewaktu di sidang media sejurus usai siaran langsung AJL27, Hafiz menyifatkan kejayaan yang diraih sebagai penyuntik inspirasi untuknya terus berada dalam industri seni ini.

"Saya bersyukur ke hadrat Illahi di atas pemberian yang saya tak boleh lupakan ini. Juga sokongan berterusan dari ibu dan bapa saya, amat saya hargai. Sejujurnya kemenangan ini memberi inspirasi untuk saya terus berada dalam industri seni ini", ujarnya yang turut berentap bersama pasangan, Adira menerusi lagu Ombak Rindu pada malam itu.

Kongsi Hafiz lagi, sebenarnya dia kerap menghadiri kelas vokal oleh guru vokal yang tidak asing lagi, cikgu Shafi.

"Saya selalu ikuti kelas vokal dengan cikgu Shafi. Sebab kadang-kadang kita ni lupa teknik pernafasan dan sebagainya. Jadi, kelas vokal ini macam ulang kaji untuk saya praktikkan apa yang saya pernah belajar dulu," katanya.

Dalam pada itu Hafiz memberitahu kemenangan ini juga sebagai satu cabaran dalam memberikan yang lebih baik buat peminat industri hiburan tempatan. Penyanyi berusia 22 tahun itu berazam mahu menjadikan anugerah yang diraih sebagai 'trademark' untuk dirinya sendiri agar lebih berusaha untuk menampilkan persembahan vokal yang lebih mantap pada masa akan datang.

Mengulas mengenai kemenangan lagu Ku Akui, Hafiz mengakui cukup suka akan lagu ini. Katanya, lagu yang nmebawa tuah kepadanya itu bukan sahaja sekadar lagu tentang percintaan tetapi juga perjalanan hidup seorang insan seni.

Cipta Lagu Untuk Album Baru

Sementara itu dalam perkembangan lain, Hafiz memberitahu dia bakal melancarkan album kedua berjudul Hafiz dalam masa terdekat ini. Memuatkan sebanyak sembilan buah lagu, album tersebut masih mengunapakai khidmat dan kreativiti komposer Ajai juga beberapa komposer terkenal lain.

Menariknya, untuk atrwork kali ini Hafiz tampil dengan taruhan genre baru, lari sedikit daripada genre yang sinonim dengannya sebelum ini iaitu Balada dan Pop.

"Apa yang boleh saya katakan, album ni bergenre alternatif. Saya mencabar diri saya dengan memcuba sesuatu yang baru dengan lari sikit daripada genre Balada dan Pop.

"Selain tu, dalam album ni ada satu lagu ciptaan saya berkolaborasi dengan sepupu saya. Ni juga percubaan pertama saya dalam penciptaan lagu. Lagu tu berjudul Mungkinkah," ujar Hafiz sebelum mengakhiri perbualan.

- mD
{[['']]}

'Terukir Di Bintang' Muncul Juara Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27)

Aizat sedang menerima hadiah yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.




PERSEMBAHAN Aizat menyanyikan lagu Terukir Di Bintang ciptaan sepenuhnya Yuna (gambar kecil) pada Anugerah Juara Lagu Ke-27 (AJL27).


INFO: Pemenang/Hadiah AJL27
* Juara - Terukir Di Bintang (Trofi dan wang tunai RM35,000)
* Naib Juara - Idola (Trofi dan wang tunai RM15,000)
* Tempat Ketiga - Ku Akui (Trofi dan wang tunai RM12,000)
* Persembahan Terbaik - Black & RJ (Trofi dan wang tunai RM10,000)
* Vokal Terbaik - Hafiz (Trofi dan wang tunai RM10,000)



Kuala Lumpur: “Apabila saya dipilih menyanyi lagu ini, saya rasa macam bermimpi. Saya cuma fikir dia (Yuna) adalah kawan saya dan saya bersedia membantunya,” kata penyanyi Aizat Amdan yang menggantikan Yunalis Zarai menyampaikan lagu Terukir Di Bintang yang muncul juara Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27) di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Dengan kemenangan itu, Yuna selaku komposer dan penulis lirik yang tidak hadir berikutan berada di Amerika Syarikat berjaya membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai keseluruhan RM35,000.

Naib juara dimenangi lagu Idola ciptaan Audi Mok serta lirik, Azlan yang dinyanyikan oleh Azlan & The Typewriter sekali gus membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM15,000.

Penyanyi Mohd Hafiz Mohd Suip (Hafiz) menang kategori Vokal Terbaik buat kali ketiga berturut-turut dengan menerima trofi dan wang tunai RM10,000. Dia bersama komposer Ajai turut merangkul trofi tempat ketiga melalui lagu Ku Akui membawa pulang bersama wang tunai sebanyak RM12,000.

“Saya bersyukur pada Tuhan dan ini juga adalah sokongan ibu bapa saya. Lagu ini banyak memberi inspirasi pada saya,” kata Hafiz.

Bagi pemenang kategori Persembahan Terbaik pula dimenangi penyanyi Black bersama RJ menerusi lagu Teman Pengganti dengan menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000. Lagu Ombak Rindu nyanyian Hafiz dan Adira menang anugerah Juara Mobile Xpax.



Persembahan mantap Hazama & Amy Search dalam lagu Simetri .



Aksi Jimmy Palikat dan One Nation Emcee dengan lagu Anak Kampung.


Lagu lain yang turut bertanding ialah Patah Seribu (Shila Amzah), Amir Jahari (Tanpamu) dan Anak Kampung (Jimmy Palikat dan One Nation Emcee), Pelangi Senja (Stacy), Andai Ku Bercinta Lagi (Mojo), Lagu (Bedroom Santuary) dan Simetri (Hazama & Amy Search).

Hadiah disampaikan Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.

Persembahan 12 finalis AJL27 diadili 10 juri profesional iaitu komposer Azmeer selaku ketua juri dibantu Aubrey Suwito, Helen Yap, Eddie Marzuki, Acis, Yasin Sulaiman, Ramli Sarip, Edrie Hashim, Ad Samad dan penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang.

Acara bertemakan Ekspresi Seni dimeriahkan dengan persembahan hiburan dari barisan penyanyi terkenal tanah air iaitu Misha Omar, Ziana Zain, Faizal Tahir, Royal Air Force, penyanyi rock Ramli Sarip, Man Kidal, Aris Ariwatan, Joey BPR dan Rahmat Mega. Gandingan pengacara pada malam itu ialah Faizal Ismail dan Cheryl Samad. Tidak ketinggalan, gandingan hos yang mengacarakan segmen 'Purple Carpet' yang menampilkan trio iaitu Kamal Adli, Miera Lyana dan Sazzy Falak. 


Saksikan persembahan hebat Aizat mengalunkan lagu Yuna  'Terukir Di Bintang' pada malam final AJL 27



Oleh Nor Akmar Samudin dan Ramlah Zainal
{[['']]}

Uchop Muncul Juara 'Vokal Bukan Sekadar Rupa'





SHAH ALAM: Peserta Mohamad Yusof Ahmad (Uchop) , 28, anak kelahiran Jeniang berjaya meraih gelaran juara musim kedua program realiti Vokal Bukan Sekadar Rupa (Vokal) malam Rabu yang diadakan di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, disini.

Kemenangan Uchop yang dikatakan mempunyai cara nyanyian yang versatil oleh juri, Hattan dan Ziana Zain sekaligus melayakkan peserta kelahiran Kuala Lumpur itu membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 beserta sebuah trofi.

"Saya bersyukur dan tidak sangka dapat menjuarai pertandingan ini.

"Moga menerusi wang tunai yang dihadiahkan, saya dapat menggunakannya sebaik mungkin, InsyaAllah," katanya selepas pertandingan tersebut.

Gelaran naib juara pula dimenangi oleh Mar atau nama sebenarnya Marlleynney Fane J.L Paul,25 sekaligus menerima hadiah kemenangan sebanyak wang tunai sebanyak RM30,000 beserta sebuah trofi.

Pada pertandingan tersebut, kedua-dua peserta perlu melalui tiga cabaran dimana yang pertama, Mar dan Uchop perlu membawakan persembahan solo.

Mar membawakan lagu medley iaitu Semua Isi Hatimu nyanyian 3 Suara dan Sesuatu Janji (Taufik Batisah). Manakala Uchop menyanyikan lagu Dipenjara Hidup dan Opera Hidup nyanyian penyanyi asalnya, Awie.

Seterusnya, tugasan kedua pula mereka membawakan lagu baru ciptaan khas oleh komposer Ajai iaitu Maafkanlah Cinta (Mar) dan Yuzai pula menghasilkan lagu buat Uchop berjudul Biar Jujurlah Padanya.

Cabaran terakhir pula, Mar dan Uchop mengharungi segmen 'battle' dimana kedua-dua mereka akan membawakan lagu pilihan sendiri.

Sementara itu, pentas Vokal turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi hebat iaitu Saleem, Zamani, Hattan dan Ziana Zain.

Sepanjang 12 minggu pertandingan berlangsung, format permakahan Vokal dibahagikan kepada dua iaitu 50 peratus daripada juri manakala 50 peratus lagi menerusi SMS.Pada pertandingan 'Vokal Bukan Sekadar Rupa' musim pertama, juaranya telah dimenangi oleh Asmidar.

Konsert tersebut bersiaran menerusi saluran TV3, setiap Rabu, pukul 9 malam.
{[['']]}

Shila Amzah Menang Lagu Terbaik AIM 19

Shila memberitahu kejayaannya pada AIM 19 adalah sesuatu yang manis kerana pertama kali diiktiraf di negara sendiri. 


SHAH ALAM: Lagu Patah Seribu nyanyian Shila Amzah diangkat sebagai Lagu Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik 19 (AIM 19) yang berlangsung di Stadium Melawati di sini malam Sabtu.
Shila mencipta sejarah untuk dirinya sendiri apabila kali pertama menerima pengiktirafan di negara sendiri selepas menjadi juara dalam pertandingan Asian Wave 2012 pada 17 September lalu.
Lebih bermakna apabila karya berkenaan adalah hasil ilham Shila sendiri daripada penulisan lirik sehingga penciptaan lagu.
"Saya amat terharu dengan kemenangan ini. Ia adalah kejayaan pertama saya di negara sendiri " katanya selepas menerima trofi kemenangan daripada penyanyi terkenal, Datuk Hattan.
Patah Seribu turut dinobatkan sebagai pemenang dalam kategori Lagu Pop Terbaik menewaskan karya lain seperti Jagalah Diri (Jaclyn Victor) dan Terukir Di Bintang (Yuna).


Jaclyn turut membawa pulang dua trofi pada AIM 19 yang berlangsung pada malam Sabtu. 


Sementara itu bagi kategori Album Terbaik jatuh kepada kumpulan Salam Musik menerusi album sulung mereka berjudul Salam.
Mereka menewaskan calon lain seperti Stacy, Nora, Hujan dan Pesawat.
Penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor turut merangkul dua anugerah pada malam itu menerusi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) melalui lagu Counting Days dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik.
Kumpulan remaja, Forteen merangkul anugerah dalam kategori Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu menerusi Seperti Dulu.  


Manakala penyanyi veteran, Jamal Abdillah merangkul trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) dan turut diumumkan sebagai penerima trofi menerusi kategori Lagu Hip Hop Terbaik gandingannya bersama Malique (Too Phat) melalui lagu Aku Maafkan Kamu.
Bagi kategori Artis Baru Terbaik, AIM 19 menobatkan kumpulan Mojo sebagai penerima anugerah tersebut sementara Lagu Rock Terbaik diterima oleh Azlan The Typewriter melalui lagu Idola.
Penerima anugerah lain adalah Noraniza Idris untuk kategori Lagu Pop Etnik Terbaik menerusi lagu ciptaan Edrie Hashim dan Ahmad Fedtri Yahya iaitu Kuasa Cinta.
Anugerah Sri Wirama AIM18 diberikan kepada kumpulan Alleycats atas sumbangan dan kejayaan mereka dalam bidang muzik selama 43 tahun.
Trofi tersebut disampaikan oleh Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim dan Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu ASTRO, Khairul Anwar Salleh.

Mizz Nina merangkul Anugerah Kembara atas kejayaannya menempa nama di peringkat antarabangsa. 
Manakala penyanyi bertaraf antarabangsa, Mizz Nina diangkat sebagai pemenang Anugerah Kembara atas kejayaannya menempa nama di luar negara.
Acara tersebut dihoskan oleh Aznil Nawawi dan Adibah Nor.
AIM 19 turut menampilkan persembahan hebat pada malam itu seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Hafiz menerusi lagu Muara Hati, GX4, Nirwana, Stephen Rahman Hughes dan Forteen.


Berikut adalah senarai penuh pemenang AIM 19:
1. Artis Baru Terbaik
Mojo (Andai Ku Bercinta Lagi)
2. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki)
Jamal Abdillah (Bahagia Sementara)
3. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita)
Jaclyn Victor (Counting Days)
4. Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu
Forteen (Seperti Dulu)
5. Kulit Album Terbaik
Even Odds Sdn. Bhd. - MizzNina (Take Over)
6. Rakaman Album Terbaik
Rahmad Ayob - Nora (Hikmah)
7. Video Muzik Terbaik
Quek Shio Chuan - Yuna (Sparkle)
8. Lagu Pop Etnik Terbaik
Kuasa Cinta (Edrie Hashim/Ahmad Fedtri Yahya) - Noraniza Idris
9. Lagu Nasyid Terbaik
Doa (Gjie 6ixth Sense/Lukhman S) - Nora
10. Lagu Rock Terbaik
Idola (Audi Mok/Dark) - Azlan & The Type Writer
11. Lagu Pop Terbaik
Patah Seribu (Shila Amzah) - Shila Amzah
12. Lagu Hip Hop Terbaik
Aku Maafkan Kamu (Malique/Jamal Abdillah/Tripdizs/Malique) - Jamal Abdillah & Malique
13. Lagu Inggeris Tempatan Terbaik
Counting Days (Aubrey Suwito/Aubrey Suwito/Lin Li Zhen) - Jaclyn Victorr
14. Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara
Sudah Cukup Sudah (Nirwana Band)
15. Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu
Aubrey Suwito (Counting Days - Jaclyn Victor)
16. Album Terbaik
SalamMusik (Salam - SalamMusik)

{[['']]}

'Bunohan' Filem Terbaik,Maya Karin dan Shaheizy Sam Dinobatkan Sebagai Pelakon Wanita Dan Lelaki Terbaik

Maya Karin dan Shaheizy Sam dinobatkan sebagai Pelakon   Wanita dan Lelaki Terbaik Filem pada Anugerah Skrin 2012, malam tadi.


Shaheizy Sam dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Filem pada Anugerah Skrin 2012, malam tadi. 


Pengarah filem Bunohan, Dain Iskandar Said (paling kiri) bersama-sama pelakon-pelakon utama filem'Bunohan'.


BUNOHAN menepati ramalan apabila menggondol kategori Filem Terbaik Anugerah Skrin (ASK) 2012  malam tadi.
 

Filem terbitan Apparant Sdn Bhd dan diarahkan oleh Dain Iskandar Said itu dibintangi oleh Faizal Hussein, Zahiril Adzim, Pekin Ibrahim dan Bront Palarae ditayangkan di pawagam Mac tahun lalu.

Bercakap mengenai kemenangannya itu, Dain berkata, "saya tak sangka menang anugerah ini tetapi saya gembira dengan kemenangan ini."

"Bagi saya dapat tercalon pun sudah cukup baik.

"Saya juga berasa bangga pelakon filem ini, Faizal Hussein turut tercalon bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Filem," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas majlis penyampaian anugerah.

Dain turut menyatakan akan terus membikin filem tetapi kali ini beliau mahu menumpukan kepada genre yang berlainan.

"Kami sekarang sudah memulakan sebuah skrip dan tunggu masa untuk 'shoot' filem ini yang berkemungkinan pada tahun depan," katanya.

Sementara itu, Songlap terbitan Red Communications membolot tiga anugerah utama melalui Anugerah Pengarah Filem Terbaik (Fariza Azlina/Effendee Mazlan), Pelakon Lelaki Terbaik Filem (Shaheizy Sam) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem menerusi lakonan Syafie Naswip.

Drama Di Telapak Kaki Bonda arahan pengarah terkenal, Kabir Bhatia pula memenangi anugerah Pengarah Terbaik Drama dan pelakonnya, Sherie Merlis menewaskan calon pilihan ramai, Norish Karman bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama.

Filem Ombak Rindu yang menjadi fenomena tahun lalu ternyata memberi tuah kepada kedua-dua pelakon wanita utamanya, Maya Karin dan Lisa Surihani apabila masing-masing menggondol anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filem dan Pelakon Pembantu Wanita terbaik Filem.

Pelakon dan pengarah muda, Pierre Andre, 27, pula menerima Anugerah Khas Yasmin Ahmad pada ASK yang sudah memasuki musim ke-14 ini.

Pierre merupakan penerima keempat anugerah khas yang turut pernah diterima oleh Jaclyn Victor, Shaheizy Sam dan Syamsul Yusof pada penganjurannya musim lalu.

Majlis anugerah yang dianjurkan Media Prima ini bertemakan Selami Dunia Fantasi Kami.

Anugerah berprestij yang mengiktiraf karya anak seni tempatan itu diacarakan oleh pasangan pengacara serasi, Neelofa dan Awal Ashari dengan berkonsepkan penceritaan alam fantasi dan dongeng dahulu kala.

Sebelum bermulanya majlis anugerah yang mempertaruhkan 25 buah kategori itu, acara permaidani merah telah diadakan dengan dihoskan oleh Karl Shafek, Dynaz dan Juara Pencarian Hos Pantene Musim kedua, Muhammad Fadzil Ahmad Shukor.

Majlis ini turut dihiburkan dengan persembahan hebat dan bertenaga daripada Datuk M. Nasir, Adibah Noor, Dayang Nurfaizah, Misha Omar, Hafiz, Tomok, Hazama dan Anas Ridzuan.

Antara penyampai anugerah yang terlibat ialah Nabila Huda, Scha Al-Yahya, Zizan Razak, Erra Fazira, Rosyam Noor, Aqasha, Didie Alias, Fahrin Ahmad dan Zahiril Adzim.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Utama Masnah Rais.

Berikut merupakan senarai penuh pemenang ASK 2012:
 

  • Lakon Layar Terbaik Filem: Dain Iskandar Said (Bunohan)Lakon TV Terbaik: Lum Pung Hui (Di Telapak Kaki Bonda)
  • Videografi Terbaik: Aku Mahu Terbang Neon Entertainment Sdn Bhd
  • Laporan Khas/Berita Terbaik: Bom Jangka TV9, Amin Hayat
  • Drama Komedi Terbaik: Elly dan Epit, Red Communications Sdn Bhd
  • Rancangan Realiti Terbaik: Jemputan Umrah
  • Anugerah Artis Harapan Pantene: Putri Balqis (Pelarian)
  • Rancangan Bual Bicara Terbaik: Bella: Labour Day Special
  • Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama: Namron (Parit Jawa)
  • Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama: Sherie Merlis (Di Telapak Kaki Bonda)
  • Rancangan Hiburan Terbaik: Anugerah Bintang Popular Berita Harian 25
  • Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem: Lisa Surihani (Ombak Rindu)
  • Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem: Syafie Naswip (Songlap)
  • Rancangan Dokumentari / Majalah Terbaik: Dunia Tersembunyi (Rambu Solok)
  • Rancangan Muzikal Terbaik: Anugerah Juara Lagu 26
  • Pelakon Wanita Terbaik Drama: Ruminah Sidek (Sepatu Merah)
  • Pelakon Lelaki Terbaik Drama: Abu Bakar Omar (Gincu Ayah)
  • Pelakon Wanita Terbaik Filem: Maya Karin (Ombak Rindu)
  • Pelakon Lelaki Terbaik Filem: Shaheizy Sam (Songlap)
  • Pengarah Terbaik Filem: Fariza Azlina dan Effendee Mazlan (Songlap)
  • Pengarah Terbaik Drama: Kabir Bhatia (Di Bawah Telapak Kaki Bonda)
  • Anugerah Yasmin Ahmad: Pierre Andre
  • Drama Rantaian Terbaik: Jangan Ambil Padang Kami (Suhan Movies & Trading Sdn Bhd
  • Filem Terbaik: Bunohan (Apparat Sdn Bhd)
  • Drama Terbaik: Di Telapak Kaki Bonda (Filmscape Sdn Bhd)
{[['']]}

Sharnaaz Berbangga Dengan Kemenangan Shila Amzah Di 'Asian Wave 2012'

Shila Amzah ketika diumumkan sebagai juara Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai, China, malam Khamis lalu.

PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad memuji penyanyi Shila Amzah dan menganggap dia layak diangkat sebagai juara pertandingan Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai, China pada malam Khamis lalu.

Sharnaaz, 27, berkata, kejayaan tersebut adalah ganjaran Tuhan atas kerja keras Shila selepas 12 tahun bergelar artis serta kesungguhannya membuat persiapan termasuk mempelajari bahasa Mandarin sebelum menyertai pertandingan itu.

"Dia (Shila) memang berhak diangkat sebagai juara pertandingan itu. Saya berbangga kerana usaha dan kerja kerasnya selama ini terbayar dengan kemenangan itu.

"Mungkin ini adalah ganjaran daripada Tuhan untuk dia yang sering dikutuk dan dipertikaikan itu dan ini oleh segelintir pihak di laman Twitter sebelum ini," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Jumaat.

Sharnaaz berkata, dia yang menerima berita itu daripada panggilan telefon ibu Shila, Fauziah Sarman pada malam Khamis, berharap kejayaan itu akan menjadi motivasi untuk kekasihnya lebih fokus pada bidang nyanyian selepas ini.

Sharnaaz dan kekasihnya Shila

“Saya sudah tidak sabar untuk menanti dia pulang ke Malaysia pada 26 September ini. Apa yang saya harapkan kejayaan ini akan membuatkan Shila lebih fokus dan berjaya dalam nyanyian.

“Keberanian dia menyanyi di depan penonton asing dan kesungguhannya sejak dulu lagi begitu membanggakan saya secara peribadi,” katanya.

Mengenai persembahan Shila dalam pertandingan itu yang dimuat naikkan di laman YouTube, Sharnaaz berkata, dia menggemari nyanyian gadis berusia 22 tahun itu ketika menyampaikan lagu Grenade nyanyian asal Bruno Mars.

"Saya kagum dengan persembahan Shila mendendangkan lagu Bruno Mars bertajuk Grenade. Kesungguhannya di atas pentas ketika menyampaikan lagu itu layak dipuji," katanya.

Pada peringkat akhir Asian Wave 2012 itu, Shila berentap dengan 12 penyanyi termasuklah finalis dari China, Korea Selatan, Singapura, Thailand dan India.

Shila yang juga anak kepada penyanyi dan pelakon 80-an, ND Lala berjaya memukau juri dan penonton dengan kekuatan vokalnya mendendangkan lagu Gemilang nyanyian asal Jaclyn Victor, Grenade dan sebuah lagu Mandarin berjudul Zheng Fu (Na Ying).

Pada peringkat awal pertandingan yang berlangsung dari 31 Ogos hingga 6 September lalu, Shila mempersembahkan lagu popular Adele, Set Fire to the Rain dan lagu Mandarin Forever Love (Wang Lee Hom) di samping 30 peserta lain.

Oleh WAHIDUZZAMAN
{[['']]}

Tahniah!! Shila Amzah Juara Pertandingan Asian Wave 2012

Detik-detik kemenangan hebat Shila Amzah.



SHANGHAI- Penyanyi Nur Shahila Amir Amzah atau Shila Amzah, 22, berjaya mengharumkan nama negara dengan menjuarai pertandingan Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai, China bermula jam 8.30 malam tadi. Dengan kejayaan itu, Shila berjaya menewaskan 5 finalis daripada negara China, Korea Selatan, Singapura, Thailand dan India. Berita gembira ini telah disahkan oleh adik Shila iaitu Syahir Hamzah menerusi twitter peribadi miliknya dengan menyatakan perasaan syukur terhadap kemenangan kakaknya itu. Berikut adalah petikan twitter milik adik Shila: Alhamdulillah. @Shilaamzah is a Champion for Asian Wave 2012!! Thanks for you guys for voting :) Lets trending #TahniahShilaAmzah :) Shila Amzah berjaya memukau juri dengan membawakan 3 lagu iaitu Gemilang (Jaclyn Victor), Grenade (Bruno Mars) dan sebuah lagu Mandarin.(MURAI.COM.MY) Berikut adalah video daripada persembahan Shila malam tadi,


{[['']]}

Malaysia Boleh!! Yuna Tercalon Dalam MTV European Music Awards 2012

 
Yuna akan merebut gelaran juara untuk ‘Best Asian Act’ di MTV European Music Aawards 2012 di Festhalle, Frankfurt, Jerman pada 11 Nov.

KUALA LUMPUR, 18 Sept — Yunalis Zarai, atau lebih dikenali dengan nama Yuna, yang popular dengan lagu “Terukir Di Bintang” sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila dicalonkan dalam MTV European Music Awards (EMA) 2012 di Festhalle, Frankfurt, Jerman pada 11 Nov.

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini sebelum ini turut dicalonkan dalam 25th Nickelodeon Kids’ Choice Awards.

Yuna akan merebut gelaran juara untuk “Best Asian Act” di MTV EMA 2012 bersama sama empat calon yang cukup popular seperti Junior, EXILE, Han Geng dan Jolin Tsai.

Pemenang kategori “Best Asian Act” ini akan mewakili Asia dalam voting “Best Act” di seluruh dunia.

Undian yang hanya boleh dilakukan secara atas talian boleh dibuat di mtvema.com/vote sehingga 9 Nov nanti.

Yuna sekarang ini turut aktif di Amerika Syarikat dan dijemput untuk membuat persembahan dalam rancangan-rancangan ternama.

Yuna turut merakamkan semula lagu kumpulan popular Nirvana yang bertajuk “Come As You Are”.

Oleh Mohd Farhan Darwis
{[['']]}

Kumpulan Hujan Juara 'Versus'

 Kumpulan Hujan dinobatkan selaku juara Versus.


SHAH ALAM: Dengan undian sebanyak 50.6 peratus, kumpulan Hujan berjaya merebut gelaran juara pertandingan Versus, yang diadakan secara langsung di Space U8, Shah Alam, malam Jumaat.

Hujan telah mengalahkan kumpulan Go Gerila yang mendapat undian sebanyak. 49.6 peratus sekaligus menerima wang tunai sebanyak RM200,000.

"Alhamdulillah, kemenangan ini hasil daripada usaha kami yang tidak henti-henti sejak menyertai Versus dari minggu pertama.

"Memang kami nak menang sebenarnya, tapi tak sangka memang ia benar-benar jadi realiti kerana sebelum ini markah undian daripada penonton tak tinggi berbanding kumpulan-kumpulan lain," kata vokalis Hujan, Noh, pada sidang akhbar selepas konsert berlangsung.

Pada konsert tersebut, terdapat dua segmen iaitu 'medley Mash-Up' dan persembahan lagu baru.

Bagi medley 'Mash-Up', Hujan membawakan lagu Dan Bila Esok dan Lamunan Terhenti, Black and Parallax (Merisik Khabar dan Sekadar Di Pinggiran), Go Gerila! (Biso Bonar dan Curiga), Sofazr (Basikal dan Inilah Nasibku) dan 6ixth Sence (Warisan dan Fiona).

Aksi Hujan yang membawakan lagu Dan Bila Esok dan Lamunan Terhenti.


Manakala untuk lagu baru pula Hujan membawakan lagu Ke Selatan, Black and Parallax (Aku vs Kamu), Go Gerila (Hadiah), Sofazr (Berakhir) dan 6ixth Sence (Hossi).

Sistem penilaian Versus adalah berdasarkan undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan permarkahan juri profesional.

Ia membariskan penggiat muzik Jennifer Thompson selaku ketua juri, komposer Loque sebagai juri tetap dan seorang jurijemputan mingguan.

Pada setiap minggu, setiap kumpulan perlu menggubah lagu lama yang diberikan mengikut tema tertentu.

Dalam tempoh seminggu, para peserta perlu membuat persiapan dan mempersembahkan lagu tersebut pada konsert mingguan sebagai medan penilaian.

Konsert akhir Versus telah bersiaran langsung menerusi saluran TV9 itu akan diacarakan oleh Aidid Marcello dan Hunny Madu.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
{[['']]}

Zizan Juara 'Super Spontan'



Para finalis Super Spontan (belakang, dari kiri) Tauke, Ropie, Rahim dan Suhaimi. (Depan, dari kiri) Zizan dan Johan.

KUALA LUMPUR: Pelawak Zizan Razak menyambut gelaran juara Super Spontan dengan reaksi sebak pada pertandingan akhir yang berlangsung di Kompleks Studio Merdeka Finas, di sini, malam Jumaat.

Zizan menang dengan 48.7 peratus undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) penonton dan membawa pulang wang tunai RM100,000 serta sebuah Toyata Camry 2.0G.

Tempat kedua pula berpihak kepada Johan dengan 45.4 peratus undian dan memenangi RM50,000 dan trofi.

Tauke (3.3 peratus) berada di tangga ketiga dengan wang kemenangan RM25,000 dan trofi.

Mengulas mengenai reaksinya yang beremosi ketika diumumkan juara sulung program itu, Zizan mengakui terkejut dengan rezeki tersebut.

“Bagi saya yang sudah berpengalaman dengan program berasaskan undian, kemenangan ini adalah sesuatu yang tidak dijangkakan.

“Undian boleh berubah dan bergantung kepada kuasa penonton. Saya tak terfikir akan menang sebab itu saya sebak apabila diumumkan sebagai pemenang,” katanya ketika ditemui pada sidang media program itu di sini.




Zizan sebak dinobatkan sebagai juara Super Spontan musim pertama.


Tiga lagi finalis iaitu Rahim (1.2), Ropie (0.8) dan Suhaimi (0.4) masing-masing menerima hadiah sagu hati sebanyak RM5,000 dan trofi.

Malam akhir itu menyaksikan persaingan secara individu berbanding persaingan di antara dua kumpulan, Angsa Ganas dan Beruang Comel sebelum ini.

Zizan, Suhaimi dan Tauke mewakili Angsa Ganas manakala Beruang Comel membariskan Johan, Ropie dan Rahim.

Ditanya mengenai populariti dirinya yang memberikan kelebihan sehingga menjadi juara, Zizan berkata ia bukan jaminan atau jalan mudah kepada kemenangan tersebut.

“Tidak boleh cakap juga populariti saya memberikan kelebihan untuk menang kerana pada sebelum ini banyak kali juga kumpulan Beruang Comel memenangi undian mingguan kerana komedi mereka.

“Saya percaya undian penonton bergantung kepada tahap kelucuan aksi spontan peserta. Apa pun, saya harus berterima kasih kepada peminat saya dan Jozan atas sokongan mereka,” katanya yang turut mendedikasikan kejayaan itu kepada Johan.

Johan yang bergelar naib juara berkata, dia tidak pernah meletakkan sebarang harapan untuk bergelar juara dalam sesuatu pertandingan atau acara yang membabitkan undian SMS.

Namun, katanya dia percaya turut mempunyai peluang untuk merebut tempat di antara tangga kedua dan seterusnya.

Johan bergelar naib juara.
 
“Bagi saya sokongan penonton sama ada menerusi undian atau dengan tepukan pada persembahan saya sekali pun adalah memadai.

“Tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk bergelar juara apabila sesuatu pertandingan atau acara membabitkan undian SMS tetapi saya percaya peluang untuk berada di antara naib juara hingga tempat ke-10 itu ada,” katanya.

Berada di tangga ketiga, Tauke berkata dia hanya mampu memanjatkan kesyukuran di atas undian dan sokongan peminat kerana tidak menyangka akan bersaing di pentas akhir.

“Saya amat bersyukur berada di tempat ketiga. Malah, saya dan rakan-rakan lain harus berterima kasih kepada Jozan kerana penyertaan mereka melonjakkan lagi publisiti program ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Saluran Astro Warna Bob Azrai berkata, respons positif penonton terhadap program itu melayakkan ia dilanjutkan untuk musim kedua pada tahun depan.

“Berdasarkan respons penonton, memang logik jika ia disambung untuk musim kedua. Malah, kami baru saja dapat pengesahan program ini akan dilanjutkan ke musim kedua. Kita akan umumkan butirannya nanti,” katanya.

Sebanyak lima segmen permainan dipertandingkan iaitu Beku, Sketsa Dari Topi Puaka, Pilihan Lain, Ciptaan dan Laguku Untukmu.

Tauke bersyukur dipilih sebagai tempat ketiga.

Pada akhir program, sumbangan RM5,000 diberikan kepada mangsa simbah asid iaitu Mohd Rafi Abdul Latiff, 28, bagi meringankan beban untuk belanja rawatan pemulihannya.

Hadiah disampaikan oleh Naib Presiden Bahagian Perniagan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh dan Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani.

Diacarakan oleh Adibah Noor, malam akhir itu turut diterajui Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik dan Amir (Raja Lawak) selaku pengulas.

Pentas akhir Super Spontan disiarkan secara langsung pada Jumaat pukul 10 malam menerusi tiga saluran serentak iaitu Astro Warna (saluran 132), Astro Mustika HD (saluran 134) dan SingTel Mio TV di Singapura.

Kemeriahan pertandingan akhir itu dimulakan dengan segmen Ramalan Super Spontan pada pukul 10 malam selama setengah jam kelolaan Datuk AC Mizal.

Ia berlangsung selama 10 minggu sejak 30 Mac lalu.

Oleh WAHIDUZZAMAN
{[['']]}

Hafiz Juara 'Mania' Bawa Pulang RM500,000

Hafiz (tengah) membawa pulang wang tunai sebanyak RM500,000.


KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz dinobatkan sebagai juara pada konsert akhir Mania di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil di sini, malam Sabtu.

Hafiz atau nama sebenarnya, Hafiz Suib , 22, mendapat undian tertinggi iaitu sebanyak 28 peratus sekaligus menerima wang kemenangan sebanyak RM500,000 beserta trofi.

Menurut bekas juara program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), dia bersyukur dengan kemenangan yang diperoleh walaupun tidak menyangka mampu mengalahkan empat lagi peserta saingannya iaitu Stacy, Jaclyn Victor, Hazama dan Aril.



"Saya terkejut dan pada masa sama gembira dengan anugerah ini.

"Semoga hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 ini dapat saya manfaatkan dengan sebaik-baiknya," katanya pada sidang akhbar selepas konsert berlangsung.

Dalam pada itu, produser yang dipertanggungjawabkan sebagai penerbit Hafiz iaitu Ahmad Dhani turut menerima habuan sebanyak RM300,000.

Sementara itu, Stacy mendapat tempat kedua dengan mengumpulkan undian sebanyak 22 peratus menerima wang tunai sebanyak RM200,000 dan trofi.

Manakala Jaclyn Victor berada di tempat ketiga, setelah berjaya mendapat hasil undian sebanyak 22 peratus, sekaligus memperoleh wang tunai sebanyak RM100,000 beserta trofi.

Hadiah-hadiah tersebut telah disampaikan oleh Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh diiringi Pengurus Saluran Premium Astro, Nizam Sani.

Pada pembukaan konsert tersebut, peserta-peserta yang telah di singkir seperti Adira, Shila Amzah, Akim, Awi Rafael dan Atilia telah membawakan beberapa lagu medley.

Berikut adalah lagu-lagu yang disampaikan oleh para finalis Mania pada konsert akhir sebentar tadi

Empayar Biru

Jaclyn Victor: 1) Arjuna (Dewa) duet bersama Tiar Jinbara
2) Kenangan Terindah (Samsons) + Gemilang (Jaclyn Victor)


Empayar Merah

Stacy: 1) Takkan Melupakanmu (Radja)
2) Cinta (Melly Goeslow & Kris Dayanti) duet bersama Fiq Mentor


Hazama: 1) Saat Ku Idamkan (Amy Search)
2) Kepadamu Kekasih (M.Nasir) duet bersama Datuk Hattan


Empayar Hijau

Hafiz: 1) Beribu Sesalan (3 Suara) duet bersama Sarah Raisuddin
2) I Believe I can Fly (R.Kelly)


Aril: 1) Starlight (Muse)
2) ISabella (Search) duet bersama Ari Lasso


Dua lagenda Superstar iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan kumpulan Wings hadir sebagai artis undangan pada final ini. Datuk Siti Nurhaliza menyampaikan medley lagu-lagu ciptaan para produser muzik Mania manakala kumpulang Wings menyampaikan lagu Peronda Jaket Biru dan Romania.

Konsert Akhir Mania, turut dipancarkan secara langsung ke saluran Astro Ria (104), Saluran HD (188) dan Astro Ria (34) SingTel mio TV.


JUARA MANIA - HAFIZ 'I BELIEVE I CAN FLY'

{[['']]}

Aaron Aziz Menang Bintang Paling Popular Berita Harian 2011


AARON Aziz menunjukkan trofi Bintang Paling Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular serta Nissan Teana 250 XV V6 yang dimenanginya pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 di Arena of Stars, Genting Highlands malam tadi.

GENTING HIGHLANDS: Aktor yang cukup menyerlah lakonannya menerusi filem Ombak Rindu dan KL Gangster, Aaron Aziz memenangi gelaran Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 sebentar tadi.

Aaron, 36, warga Singapura yang mula menjadi pelakon sepenuh masa di negara ini sejak lapan tahun lalu, meraih 87,669 undi. Beliau memenangi gelaran itu selepas mengetepikan saingan kelompok empat artis lain yang mendapat undi tertinggi iaitu Fizz Fairuz, Shaheizy Sam, Fasha Sandha dan Tasha Shilla.
Berikutan kemenangan itu, beliau meraih hadiah utama, kenderaan Nissan Teana 250 XV V6 berharga RM175,0000 tajaan Edaran Tan Chong Motor (M) Sdn Bhd, selain barang kemas bernilai RM250,000 tajaan Rafflesia-Mandalay berserta trofi.

Aaron yang kali pertama berlakon dalam drama tempatan berjudul Summaiyah arahan Erma Fatima pada 2004, juga buat kali pertama memenangi gelaran Pelakon Filem Lelaki Popular ABPBH 2011 apabila menyingkirkan saingan terdekatnya, Shaheizy Sam, selain tiga finalis lain – Adi Putra, Bront Palarae dan Syamsul Yusof.

Bagaimanapun, beliau tewas dalam saingan Pelakon TV Lelaki Popular apabila kategori itu dimenangi Fizz Fairuz.

 Datuk Siti Nurhaliza menang Anugerah Seri Perak.


Trofi Bintang Paling Popular 2011 disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Mohamad Azlan Abdullah, diiringi Pengarang Kumpulan Berita Harian/Berita Minggu, Datuk Mior Kamarul Shahid, pada majlis kemuncak ABPBH 2011 di Arena of Stars, di sini.
Majlis gilang gemilang itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV3, Hot FM dan NSTP e-media.

ABPBH 2011 ialah edisi ke-25 penganjurannya oleh Berita Harian, iaitu acara menggabungkan pengiktirafan berdasarkan undian peminat menerusi borang disiarkan akhbar ini dan SMS untuk artis dan selebriti di negara ini yang terbabit dalam bidang perfileman, drama TV, muzik dan penyiaran.

 SUASANA di Arena of Stars, Genting Highlands ketika persembahan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011.


SENARAI PEMENANG ABPBH 2011

Bintang Paling Popular – Aaron Aziz
Anugerah Seri Perak – Datuk Siti Nurhaliza
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat – Datuk Sheila Majid
Pelakon Filem Lelaki Popular – Aaron Aziz
Pelakon Filem Wanita Popular - Maya Karin
Penyanyi Lelaki Popular – Hafiz
Penyanyi Wanita Popular – Yuna
Pelakon TV Lelaki Popular – Fizz Fairuz
Pelakon TV Wanita Popular – Fasha Sandha
Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular – Jaclyn Victor/Ning Baizura/Shila Amzah
Artis Komedi Lelaki Popular – Johan Raja Lawak
Artis Komedi Wanita Popular – Didie Alias
Artis Baru Lelaki Popular – Johan Ariff As’ari
Artis Baru Wanita Popular – Tasha Shilla
Pengacara TV Lelaki Popular – Zizan
Pengacara TV Wanita Popular – Fara Fauzana
Penyampai Radio Lelaki Popular – Faizal Ismail
Penyampai Radio Wanita Popular – Fara Fauzana

Oleh: Akmal Abdullah
{[['']]}

Senarai Penuh Pemenang Anugerah Oscar 2012

Dari kiri Octavia Spencer,Meryl Streep, Jean Dujardin dan Christopher Plummer.



Anugerah berprestij Academy Awards kali ke- 84 atau dikenali juga sebagai Oscar Awards 2012 berlangsung di Hollywood Carlifonia, hari ini. Acara gilang gemilang yang mengiktiraf karyawan dan penggiat filem Hollywood itu yang berlangsung penuh meriah. Menyaksikan filem bisu hitam-putih ‘The Artist’ menang besar!



Selain dinobatkan Filem Terbaik, karya romantik komedi-drama arahan pengarah Perancis, Michel Hazanavicius itu turut menggondol empat lagi anugerah iaitu dalam kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Skor Original Terbaik dan Rekaan Kostum Terbaik.

Menyusul, filem Hugo juga berjaya menyapu bersih lima trofi sekaligus menguasai anugerah dalam kategori teknikal.


   Wow!! Penampilan seksi Angelina Jolie benar-benar memukau.
                        

Berikut senarai penuh pemenang Anugerah Oscar 2012:

Filem Terbaik: The Artist

Pengarah Terbaik : Michel Hazavanicius (The Artist)

Pelakon Lelaki Terbaik: Jean Dujardin, (The Artist)

Pelakon Wanita Terbaik: Meryl Streep, The Iron Lady

Sinematografi Terbaik : Hugo (Robert Richardson)

Pengarah Seni Terbaik : Hugo

Rekaan Kostum Terbaik : The Artist

Make up Terbaik : The Iron Lady

Filem Bahasa Asing Terbaik: A Separation

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Octavia Spencer (The Help)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Christopher Plummer (Beginners)

Suntingan Terbaik : The Girl with the Dragon Tattoo

Bunyi Terbaik:  Hugo

Best sound mixing : Hugo

Dokumentari Terbaik: Undefeated

Filem Animasi Terbaik : Rango

Kesan Visual Terbaik : Hugo

Skor Original Terbaik : Ludovic Bource (The Artist)

Lagu Terbaik : Man or Muppet (The Muppets)

Lakon Layar Adaptasi Terbaik : Alexander Payne, Nat Faxon, and Jim Rash (The Descendants)

Lakon Layar Original Terbaik : Woody Allen, Midnight in Paris

Short Aksi Terbaik : The Shore

Short Dokumentari Terbaik : Saving Face

Short Animasi Terbaik : The Fantastic Flying Books of Mr Morris Lessmore
{[['']]}

Malek Noor Akan Naik Pelamin Pada 12 Mac 2012

Gambar Malek Noor bersama anak angkatnya.


PETALING JAYA: Bekas juara bina badan Asia, Datuk Malek Noor akan menamatkan zaman bujangnya dengan seorang doktor pakar.
Malek berkata, majlis pernikahannya dengan ibu kepada lima orang anak itu akan diadakan secara sederhana di rumah keluarga perempuan di Kota Baharu, Kelantan pada 12 Mac depan.
Majlis resepsi perkahwinan pula akan diadakan sehari selepas itu di Hotel Renaissance, Kota Baharu.
Menurut Malek, dia amat bersyukur ketika berusia 56 tahun, Allah menemukan jodohnya dengan seorang wanita yang benar-benar mengambil berat terhadapnya selain bersifat penyayang.
“Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana membuka pintu hati saya untuk berkahwin dan menemukan saya dengan wanita yang benar-benar baik untuk dijadikan seorang isteri,” katanya kepada mStar Online di sini, Khamis.
Malek yang masih mahu merahsiakan identiti wanita tersebut berkata, dia mengenali doktor berkenaan yang bekerja di sebuah hospital swasta dekat sini sejak empat bulan lalu ketika membincangkan urusan perniagaan.
Katanya, selepas pertemuan itu mereka sering berhubung sehinggalah wanita tersebut bertanyakan sama ada selesa atau tidak untuk berkawan.
Kata Malek, secara jujurnya dia membalas pertanyaan wanita itu dengan baik sehinggalah timbullah perasaan sayang dalam diri masing-masing.
“Sejak hari itu kami sering memanggil diri kami dengan perkataan “sayang” sehinggalah saya membuat keputusan untuk menjadikannya sebagai isteri,” katanya.
Menurut Malek lagi, dia bertambah gembira kerana kelima-lima bakal anak tirinya yang ada di antaranya sudah bekerja dan berumah tangga boleh menerimanya dalam keluarga mereka.
Sementara itu menurut Malek, dia memilih tarikh 12 Mac 2012 sebagai detik terindah untuk bergelar suami kerana mahu mengimbas perjalanannya ke Tanah Suci, Mekah pada tarikh sama tahun lalu untuk mengerjakan umrah.
Katanya, semasa di Mekah, dia memohon doa kepada Allah agar memberi hidayah kepadanya serta petunjuk termasuklah mengenai calon isteri.
Selepas pulang daripada mengerjakan ibadah tersebut kata Malek, perjalanan hidupnya menjadi semakin mudah sehinggalah dia bertemu dengan wanita berkenaan.
“Wanita itu berjaya mengubah hati saya untuk bergelar suami. Segala-galanya selepas Allah mempermudah doa-doa saya. Syukur sekali,” katanya.
Selain aktif dalam sukan bina badan, Malek pernah berlakon beberapa buah filem termasuklah Ujang (1989), Juara (1991), Rimba Malam (1992) dan Sahabat (1992).
Beliau sebelum ini mengaku tidak pernah melakukan ibadat selama 34 tahun tetapi akhirnya mendapat hidayah selepas mendengar azan Maghrib dari masjid KLCC yang terletak berdekatan rumahnya di sebuah kondominium mewah di kawasan terbabit.
{[['']]}

Hafiz 'Awan Nano' Belum Temui Pengganti Adira

Saat-saat manis Hafiz dan Adira.


PETALING JAYA: Pemenang Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26), Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz, menepis tuduhan gambar dia bersama seorang gadis yang tersebar di Internet adalah teman wanitanya.
Hafiz berkata, buat masa ini dia enggan memikirkan soal cinta atau mencari pengganti baru selepas putus cinta dengan penyanyi Adira baru-baru ini.
"Gadis dalam gambar tersebut adalah kawan saya dan kami saling mengenali hati budi masing-masing, tetapi belum sampi ke tahap bercinta lagi.
"Saya harap orang tidak membuat sebarang spekulasi lagi berkaitan tentang hal cinta. Lagipun saya agak fobialah nak bercinta," selorohnya yang dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Tambah Hafiz lagi, sebagai tanda hormat terhadap gadis berkenaan, dia enggan mendedahkan nama individu yang dilihat begitu mesra dengannya itu.


Hafiz bersama seorang gadis yang dikatakan baru sahaja menjalinkan hubungan cinta dengannya. Foto Ohbulan.com

"Jujur saya katakan, saya tak berani nak bercakap tentang soal cinta apatah lagi mahu dedahkan namanya.
"Nanti orang ingat saya sengaja mahu cari publisiti memandangkan ABPBH2011 (Anugerah Bintang Popular Berita Harian) dah nak dekat. Macam-macam pula pandangan negatif yang bakal saya terima nanti.
"Berkenaan dengan gambar itu, saya tahu ada yang tidak senang dengan saya dan cuba menyebarkannya kepada umum. Bukan apa, saya tidak pernah meletakkan gambar-gambar sebegitu dalam akaun laman sosial milik saya," ujarnya.
Sementara itu, selain turut memperoleh vokal terbaik dalam AJL-26, Hafiz kini sibuk merakamkan lagu terbarunya berjudul Deklamasiku, ciptaan Kuncidemak dan Isduliza.
Hafiz memberitahu, lagu yang berkonsepkan balada tersebut amat bermakna kerana lirik yang ditulis itu menceritakan tentang perjalanan kehidupannya dalam mencapai kejayaan sehingga ke hari ini.
"Deklamasiku berkisar tentang kehidupan saya tentang keluarga, cinta dan karier. Saya harap para peminat dapat menerima lagu ini yang akan disiarkan tidak lama lagi.
"Selain tiu, saya juga sedang mempelajari cara menulis lirik dengan baik daripada Isduliza," tuturnya yang turut merancang untuk menyambung pelajarannya secara sambilan dalam masa terdekat ini.
{[['']]}

Hafiz dinobatkan Sebagai Juara AJL 26

JUARA...M Nasir, Buddhi dan Hafiz meraikan kemenangan mereka. 


KUALA LUMPUR: Lagu Awan Nano nyanyian Hafiz AF7 dinobatkan Juara Anugerah Juara Lagu edisi ke-26 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, malam tadi.
Dengan kemenangan itu, lagu ciptaan Datuk M Nasir dan lirik oleh Buddhi Hekayat itu sekali gus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM35,000 dan trofi.

Manakala lagu Beribu Sesalan (Jacklyn Victor, Ning Baizura dan Shila Amzah) mendapat tempat kedua dan lagu Karma (Faizal Tahir) pula menduduki tempat ketiga. Masing-masing meraih hadiah wang tunai, RM15,000 dan RM12,000 serta trofi.
Bagi kategori Vokal Terbaik, juri sebulat suara memilih Hafiz menerusi lagu Awan Nano yang membolehkan dia menggondol wang tunai RM10,000 serta trofi.

 HEBAT...Alyah memenangi anugerah persembahan terbaik. 

Lagu 'Beribu Sesalan' nyanyian Jacklyn Victor, Ning Baizura dan Shila Amzah mendapat tempat kedua.


Lagu 'Karma' nyanyian Faizal Tahir pula menduduki tempat ketiga.



Sementara itu, persembahan mantap Alyah ketika mendendangkan lagu Kisah Hati berjaya memikat juri sehingga melayakkannya kategori Persembahan Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM10,000 dan trofi.

Lagu lain yang bertanding pada AJL26 kali ini termasuklah Kalau Berpacaran nyanyian Shohaimi Mior Hassan, Ana Raffali & Altimet, Penakut (Yuna), Sedetik Lebih (Jaclyn Victor), Gadis Semasa (Yuna), Cinta Muka Buku (Najwa Latif), Kekanda Adinda (Atilia, Monoloque), Wanita Seluruh Dunia (Projek Pistol), Sungai Lui (Aizat) dan Kisah Hati (Alyah).

Buat kali pertamanya, acara gilang-gemilang itu diadili oleh 30 juri daripada pelbagai latar belakang dalam bidang muzik diketuai komposer terkenal, Azmeer. Malah, Anugerah Juara Mobile yang diadili berdasarkan lagu paling banyak dimuat turun dengan kerjasama Celcom dimenangi lagu Sedetik Lebih ciptaan Edry Abdul Halim. Berbeza dengan AJL pada tahun-tahun sebelumnya, acara kali ini hanya menggandingkan Cheryl Samad dan Faizal Ismail sebagai hos tanpa Ally Iskandar yang kini sedang bercuti selepas melangsungkan majlis perkahwinannya.

Selain menyaksikan finalis yang bertanding, AJL25 turut diserikan dengan persembahan pembukaan oleh Raja Pop, Jamal Abdillah; Raja Rock, Awie dan Ratu Jazz, Datuk Shiela Majid, manakala interlude istimewa mengenai Sudirman, membabitkan Black, Hazama dan Azlan The Typewriter.

Acara pada malam itu disiarkan secara langsung menerusi TV3 serta Hot FM selaku penyiar radio rasmi.

Upacara penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB), Ahmad Izham Omar.

Oleh Nor Akmar Samudin dan Georgie Joseph
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger