Latest Post :
Recent Post

Dira Abu Zahar Tidak Lari Dari Wartawan


SECARA fizikalnya si pengacara dan pelakon itu nampak lasak. Menggemari motosikal berkuasa besar sudah cukup untuk menggambarkan bahawa dia bukan seorang wanita yang penakut kepada cabaran.

Apabila diteliti pada dalamannya pula, Dira Abu Zahar nampak kuat. Banyak kontroversi yang melanda dirinya, tetapi ditelannya bulat-bulat.

Biarpun dihambat cerita-cerita negatif, Dira tetap tegar percaya bahawa pahit manis merupakan asam garam yang harus dilaluinya sejurus bergelar orang popular.

"Biarpun cerita baik dan buruk keluar tentang diri ini, saya tidak takut dan sudah lama bersedia. Saya terima segala perkara (kontroversi) kerana percaya bahawa ia sudah termaktub dalam 'kontrak' setelah bergelar selebriti.

"Apabila cerita kontroversi melanda saya tidak pernah lari daripada wartawan kerana faham akan situasi seperti ini," katanya yang baru-baru ini tampil dengan filem Chow Kit.

Sebelum ini nama Dira masih samar, namun setelah menjadi pengacara rancangan hiburan popular, Melodi, namanya tiba-tiba meletup.

Tidak cukup dengan itu, nama Dira bertambah popular setelah tersebar cerita kes pergaduhannya di pusat hiburan saat setahun bergelar pengacara rancangan itu.

Kini nama Dira sudah dikenali. Kontroversi yang terpalit membuatkan namanya lebih melekat. Sayangnya, dek cerita negatif itu dia direhatkan daripada mengacara rancangan tersebut.

Bahkan, kontroversi itu turut dikaitkan dengan keengganan pihak produksi menyenaraikan Dira untuk mempromosikan filem Chow Kit yang membariskannya sebagai bintang utama.
{[['']]}

Saiful Apek Tetap Tuntut Hutang Dari David Teo

SAIFUL APEK tetap akan meneruskan tuntutan terhadap haknya walaupun terpaksa berjuang di mahkamah.

PERKATAAN 'sedekah' yang diulang sebut oleh penerbit terkenal, David Teo sebanyak dua kali dalam sebuah program sensasi televisyen terhadap Allahyarham Bob Kuman mencetuskan polemik.

David yang sering mengeluarkan kenyataan celupar kali ini menyebabkan Saiful Apek hilang sabar. Sahabat baik Bob Kuman itu meluahkan perasaan tidak puas hatinya dalam laman sosial Twitter dan Facebook. Apek menyelar David dan menuntut tauke Metrowealth International Group Sdn. Bhd. (MIG) itu memohon maaf secara terbuka.

Tuntutan Apek itu mendapat pelbagai respons termasuk media arus perdana. David akur dengan kecaman Apek dan membuat satu kenyataan menerusi e-mel, Khamis lalu.

Masih tidak puas hati dengan bahasa David yang dianggap kurang beradab, Apek kemudian tampil dengan tuntutan-tuntutan sampingan termasuk memperjuangkan isu bayaran tertunggak berjumlah RM200,000. Dakwa Apek, bayaran itu sepatutnya dilangsaikan David hasil kutipan filem lakonannya dalam filem Lady Boss dan Anak Mami Kembali, lima tahun lalu.

Permohonan maaf David sebelum ini dianggap belum cukup untuk membasuh luka dan hina terhadap keluarga Allahyarham Bob. Tidak sahaja hutang lakonan dan pelaburannya, pelawak itu turut menuntut David membayar tunggakan puluhan artis serta kru yang lain.

"Tanggungjawab nombor satu saya ialah menuntut David supaya membayar hutang maaf secara terbuka, bukan menerusi e-mel tetapi menerusi media elektronik.

"Dia (David) keluarkan kenyataan menerusi media elektronik jadi permohonan maaf juga harus dengan media elektronik. Memang David tiada hutang duit dengan arwah Bob, dia cuma ada hutang maruah kepada arwah dan keluarga arwah. Itu sahaja," jelas Apek saat dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.

Sensasi Bintang juga difahamkan Apek bersama sekumpulan artis serta kru penggambaran akan mengadakan sidang media tergempar. Selain itu, Apek didakwa akan mengemukakan bukti-bukti penyelewengan pemilik rumah produksi gergasi itu.

Boleh namakan artis yang akan hadir untuk menuntut hak mereka nanti?


SAIFUL APEK: Terlebih dahulu saya minta maaf, saya tak boleh nak nyatakan di sini. Biarlah mereka hadir dulu ke sidang media berkenaan dan barulah masyarakat akan tahu dengan sendiri. Jika tidak dapat, saya memang mahu merakamkan luahan mereka untuk dipertontonkan kepada media pada sidang media berkenaan.

Adakah David Teo digesa hadir ke sidang media berkenaan?

Saya memang tak jemput tapi kalau David dan pihaknya ada rasa tanggungjawab, maka kehadiran mereka dialu-alukan.

Masalah ini nampaknya sudah berlarutan daripada satu isu kepada satu isu, apa sebenarnya tuntutan Apek?

Nombor satu, saya mahu tuntut hutang maruah dan permohonan maaf secara terbuka. Minta maaf menerusi e-mel tidak beri erti. Cara David bercakap kepada Melodi lain, dan cara dia hantar e-mel juga lain. Memandangkan David dan MIG ada masalah dengan ramai artis dan kru penggambaran, sidang media itu juga akan perjuangkan soal bayaran yang selama ini tidak diketahui pihak luar. Ramai yang takut mahu buka mulut sebab sayangkan periuk nasi.

Kenapa tak guna persatuan atau peguam untuk selesaikan soal bayaran itu?

Saya tak berniat nak ketepikan persatuan seni dalam soal ini. Media sudah buat hebahan dan saya yakin persatuan sudah sedar perkara ini. Saya amat berbesar hati jika ada pihak persatuan yang mahu turun padang bersama-sama saya nanti. Soal peguam pula, saya memang sedang berbincang dengan peguam. Saya sudah lantik peguam yang baharu untuk kendalikan kes ini. Kes saya dulu pernah dibicarakan di mahkamah, tapi hingga ke hari ini, saya sendiri tidak tahu apa statusnya.

Anda sendiri ada hubungi David berhubung isu bayaran itu?

Saya sudah puas saya turun naik pejabat MIG, sekarang tak guna lagi berdiam diri. David sendiri tidak hubungi saya, tapi seorang stafnya ada menghantar pesanan menerusi Twitter seolah-olah memperlekehkan saya. Tak mengapalah, saya berani kerana benar.

OLEH: TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
{[['']]}

Rozita Che Wan Tidak Abaikan Anak Walaupun Sibuk

 Rozita Che Wan bersama anaknya Ammar Effendy, 16, dan Aniq Ezzra, 14.


Nama Rozita Che Wan antara selebriti tidak asing lagi dalam industri hiburan Malaysia. Bukan sahaja terkenal dengan kejelitaan, tetapi peranan ibu kepada dua anak remaja tidak pernah sesekali diabaikan.

Wanita berstatus ibu tunggal ini juga turut dikenali kerana lakonan mantapnya dalam beberapa drama hebat seperti Kiah Perkasam, Sesuci Cinta Sofia, Anissa, Iparku Diva dan Goyang Syafiq.

Malah, biarpun ramai pelakon pelapis membanjiri industri, Rozita masih mempunyai tempat dan populariti tersendiri. Nyata, ibu kepada Ammar Effendy, 16, dan Aniq Ezzra, 14, ini mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Semakin sibuk dengan kerjaya, aktres yang berasal dari Alor Setar, Kedah ini mengakui bersyukur kerana masih diterima dalam dunia seni tanah air.

Jelas wanita yang usianya telah pun menginjak ke angka 41 tahun ini, rezeki yang diterima tidak pernah putus sejak bergelar pelakon.

“Alhamdulillah, saya selesa dengan kehidupan kini, saya tidak mempunyai masalah untuk menguruskan kehidupan dan membesarkan anak-anak. Yang penting makan dan minum mereka sentiasa ada.

“Sekarang pun, baru sahaja habis satu penggambaran, sudah ada tawaran lain yang menanti. Bagaimanapun, selain berlakon saya juga tidak lupa memberikan tumpuan kepada perniagaan yang dijalankan. Harapan saya, keduanya mampu berjalan dengan seimbang,” ujarnya ramah ketika dihubungi Zass.

Berbicara mengenai karier dan anak, Rozita menegaskan, komitmen yang diberikan kepada karier bukanlah alasan dia mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.

Jelas aktres popular ini, anak tetap menjadi keutamaan dalam kehidupannya.

“Saya telah berkecimpung dalam bidang seni agak lama, malah sejak kecil anak telah biasa dengan kerjaya saya. Jadi, faktor tanggungjawab tidak pernah timbul.

“Sepanjang membesarkan mereka saya sentiasa memberikan yang terbaik, saya mahu mereka tahu saya sentiasa menyayangi mereka.

“Doa saya, hubungan dengan anak-anak kekal mesra, lagi pun setakat ini saya tidak pernah ada masalah dengan mereka,” katanya.

Diusik dengan pertanyaan adakah dia masih mempunyai waktu untuk bersama anak, jelas Rozita kesibukan bekerja tidak pernah membatas waktu untuk bersama anaknya.

“Memang saya sibuk dengan pelbagai penggambaran drama dan acara-acara lain. Bagaimanapun, saya masih berkesempatan berjumpa mereka.

“Selalunya, habis sahaja penggambaran saya akan terus pulang ke rumah. Jadi dapatlah saya meluangkan masa dengan mereka.

“Bila ada masa terluang atau cuti panjang, saya akan membawa makan malam selain bermain boling,” katanya.

Jelasnya juga, dia turut mengamalkan menyuap makanan kepada anak-anak untuk mengeratkan hubungan mereka.

“Anak saya memang macam tu, walaupun sudah berusia belasan tahun tetapi mereka tetap mahu disuapkan. Kalau tak suap nanti merajuk pula,” katanya mesra.

Tegas dengan anak

Tugas yang digalas sebagai seorang ibu dan pelakon tidak pernah meletakkan Rozita untuk menjadi ibu yang sambil lewa terhadap kehidupan seharian anaknya.

Menurut Rozita, apa sahaja yang dilakukan anaknya perlu mendapat keizinannya terlebih dahulu. Malah, Rozita mengakui sangat tegas apabila berhadapan dengan anak-anak.

“Memang saya manjakan mereka. Apa sahaja yang diminta pasti saya berikan. Bagaimanapun, masih ada batasnya.

“Saya tidak mahu mereka berasa terlalu mudah untuk mendapatkan sesuatu. Setiap yang saya berikan perlulah ada balasannya.

“Misalnya, saya letakkan syarat supaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Jika tidak, jangan berharaplah untuk meminta apa-apa daripada saya. Bukan hendak lokek dengan mereka, tetapi biarlah berpada-pada,” katanya.

Mahu anak jadi pilot

Bercerita mengenai masa hadapan Ammar dan Aniq, Rozita mengakui sebagai ibu, dia sentiasa mengharapkan yang terbaik bagi kedua anaknya itu.

Ujarnya, sudah menjadi lumrah hidup setiap ibu di dunia menginginkan anak mereka berjaya dalam kehidupan masing-masing.

“Saya juga seperti ibu lain yang ingin melihat anak berjaya. Buat masa sekarang saya lihat mereka sangat berminat untuk menjadi juruterbang dan saya sendiri gemar dengan cita-cita mereka.

“Mungkin selepas tamat persekolahan, saya akan menghantar mereka untuk mendapatkan pendidikan yang lebih khusus dalam bidang itu,” katanya.

Ditanya adakah dia membenarkan anaknya untuk melibatkan diri dalam bidang seni, Rozita berkata, dia tidak pernah menggalakkan anak-anak untuk menjadi sepertinya.

“Terus-terang saya katakan biarlah anak terlibat dalam karier yang lebih profesional. Bukan tidak bagus menjadi artis namun sebagai lelaki mereka memerlukan satu kerjaya yang lebih menjamin masa hadapan.

“Kalau anak perempuan, saya tidak kisah. Kerana perempuan boleh hidup dan bergantung kepada suami, sebaliknya lelaki tidak. Sampai bila mereka hendak bergelar pelakon. Itu pegangan saya,” katanya.

Anak tahu siapa saya: Rozita

Kontroversi yang melanda Rozita tidak kurang hebatnya. Bahkan ada sahaja khabar angin mengenai dirinya sejak terbabit dalam bidang ini. Pun begitu, dia dilihat cukup tabah dan tenang menghadapi kontroversi yang berlaku.

Namun bagaimana pula penerimaan kedua anaknya? Ditanya berkenaan perkara itu, tegas Rozita Ammar dan Aniq tahu siapa ibu mereka.

“Alhamdulillah, anak-anak sentiasa percayakan saya. Saya tiada sebarang masalah hendak menerangkan kepada mereka. Lagi pun, apa yang saya lakukan saya kongsi bersama mereka.

“Sepanjang bergelar selebriti memang ada perkara yang boleh melukakan hati dan perasaan mereka. Bagaimanapun saya lihat mereka tenang dan dapat menerimanya dengan baik.

“Saya yakin mereka sudah matang dan tahu apa yang benar. Lagi pun, sebagai anak mereka sentiasa menyokong saya. Cuma, saya harap anak-anak tabah berdepan dengan khabar angin dan gosip yang didengar mereka,” katanya.
{[['']]}

Siti Sarah Kurang Yakin Untuk Rakam Lagu Selepas Bersalin

 Siti Sarah Raisudin

PETALING JAYA: Sejak melahirkan anak pertama, Uwais Alqarni, pada Disember tahun lalu, penyanyi Siti Sarah Raisuddin mengakui dia kurang yakin untuk merakamkan lagu baru buat masa ini.

Sarah berkata, dia merasakan vokalnya kurang mantap seperti sebelum ini dan hal itu mungkin terjadi kerana kesan daripada melakukan pembedahan ketika melahirkan Uwais.

"Buat masa ini, saya belum bersedia untuk menyanyi walaupun bakal muncul dengan 'single' lagu terbaru yang masih lagi sedang dalam pembikinan oleh komposer Aidit Alfian.

"Memang saya rasa vokal kurang mantap. Sukar untuk saya gambarkan bagaimana rasanya ketika merakamkan suara, tak macam dulu. Perut saya seperti berangin saja.

"Walaupun orang kata menjadi perkara normal untuk seorang wanita yang lepas bersalin, salah tanggapan itu kerana vokal yang bagus mampu bertahan sehingga usia 63 tahun jika tahun teknik penjagaannya," katanya.

Tambah Sarah, dia berharap vokalnya kembali mantap sebelum merakamkan lagu tersebut.

Sementara itu, ditanya bagaimana kehidupannya sejak lima bulan bergelar ibu, Sarah cukup bahagia dan seronok menjaga anak kecilnya itu bersama suami, Shuib (Sepah).

"Setiap kali melihat wajah Uwais, saya rasa bersyukur sangat kerana memilikinya. Malah walaupun masih kecil lagi, dia sudah pandai mengambil hati saya dan Shuib.

"Selamatlah, dia tidak banyak ragam apabila saya dan Shuib sibuk bekerja, tetapi apabila dia bersama saya, bukan main lagi dia nakkan perhatian," seloroh pelakon filem Man Sewel Datang KL ini.

Man Sewel Datak KL bakal menemui penonton bermula 31 Mei ini.

Oleh: FERIDE HIKMET ATAK
{[['']]}

Hafiz AF Disantau Dalam ‘Mania’??


SHAH ALAM: Penyanyi Hafiz Suip (Akademi Fantasia 7) menolak sekeras-kerasnya dakwaan kononnya dia disantau ketika bersaing dalam program Mania beberapa minggu lalu sehingga menjejaskan prestasi persembahannya.

Pemilik nama penuh Mohd Hafiz Mohd Suip, 22, ini berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak berasas kerana dia percaya semua peserta yang bertanding dalam program tersebut bersaing secara sihat dan tidak melibatkan sebarang taktik kotor.

“Saya nafikan dakwaan itu. Saya tidak fikir ia (santau) berlaku sama sekali. Alhamdulillah, keadaan saya baik dan tiada apa-apa yang pelik dialami.

“Mungkin orang melihat prestasi saya agak merosot beberapa minggu lalu kerana tekanan yang dihadapi dalam pertandingan Mania tetapi ia tiada kaitan dengan perbuatan khianat pihak tertentu,” jelasnya kepada mStar Online, baru-baru ini.

Penyanyi lagu Awan Nano itu berkata, sebagai umat Islam dia sentiasa berserah dan berlindung kepada Allah dalam mencari rezeki dan dia percaya sebarang penganiayaan hanya akan berlaku dengan keizinan-Nya.

“Kalau benar ada yang berniat jahat untuk melakukan begitu, adalah lebih baik dihentikan saja. Bukan saja perkara itu berdosa, malah ia tidak mendatangkan manfaat kepada sesiapa pun.

“Saya tidak ada hak untuk membalas, biarlah Tuhan saja yang membalasnya. Saya percaya setiap perkara hanya berlaku dengan izin-Nya,” katanya.

Dalam pada itu, Hafiz berkata dia semakin merasai tekanan menjelang persaingan minggu separuh akhir (minggu kesembilan) Mania pada malam Sabtu ini.

Katanya, pada peringkat ini cabaran bukan saja melibatkan aspek pemilihan lagu dan persembahan, bahkan ia turut bergantung kepada tuah seseorang penyanyi itu berdasarkan undian peminat.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, pertandingan ini menjadi lebih mencabar kerana ia tidak diadili oleh juri profesional, sebaliknya bergantung kepada penilaian penonton yang mengundi.

“Menerusi kaedah begini, apa keputusan pun boleh terjadi. Yang bagus boleh tersingkir jika nasib undian tidak menyebelahi,” terangnya.

Oleh: WAHIDUZZAMAN
{[['']]}

Saiful Apek Tuntut RM200,000 Dari David Teo


KUALA LUMPUR: Pelawak terkenal, Saiful Apek, 43, melancarkan ‘perang’ terhadap produser, David Teo dengan mendakwa penerbit filem terkemuka terbabit gagal melunaskan pulangan pelaburan RM200,000 filem Lady Boss dan Anak Mami Kembali kepadanya selepas dia yang membintangi kedua-dua filem berkenaan melaburkan wang hasil lakonannya RM100,000 sejak 2005.

Katanya, selain isu berkenaan perkara lain dibangkitkan adalah kegagalan David menyiapkan album nyanyiannya sedangkan kontrak dimeterai setahun ditandatangani pada tahun yang sama.
sebelum   selepas

Menurutnya, berikutan tidak berpuas hati dan tidak mempunyai saluran memperjuangkan haknya, dia tampil membuat kenyataan di laman sosial facebook dan twitter sehinggalah menyedari menerima kritikan hebat pengguna rangkaian sosial berkenaan.

Saiful berkata, Ahad ini jam 2 petang, dia dan lebih 50 selebriti yang mahu menuntut hak masing-masing terhadap David dengan mengadakan sidang media bersama bukti dan dokumen yang pernah ditandatangani bagi menerangkan keadaan sebenar.

Katanya, pada 2005, dia ditawarkan membintangi filem Lady Boss dan Anak Mami Kembali dengan bayaran RM100,000 sebelum wang itu dilaburkan semula dalam kedua-dua filem berkenaan.

Oleh: Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
{[['']]}

Gambar Fasha Sandha Dan Jejai Berbulan Madu Di Pulau Redang


Ramai artis yang memilih destinasi luar negara untuk berbulan madu.

Contohnya seperti Awal dan Scha yang berbulan madu di New York.

Lisa dan Yusry yang pergi berjalan-jalan sekitar Eropah.

Namun berbeza bagi Fasha dan Jejai yang memilih destinasi untuk berbulan madu mereka hanya di dalam Malaysia iaitu di Pulau Redang.















Pasti Fasha dan Jejai pun sangat gembira dapat menghabiskan masa menikmati keindahan Pulau Redang dalam suasana romantis di sana,sambil di sulami dengan aktiviti memancing yang menyeronokkan.

Jom terjah beberapa keping gambar berbulan madu Fasha dan Jejai yang penuh romantik di Pulau Redang.


Kredit Gambar: Facebook We Love Fasha Sandha & Rotikaya.Com
{[['']]}

Jamal Abdillah Akui Pernah Mencipta Lagu Mengenai Ganja



Tahniah kami ucapkan pada Jamal Abdillah kerana masih lagi mewarnai industri hiburan tanahair dan juga kerana singlenya yang berjudul “Aku Maafkan Kamu” bersama Malique telah mencatat jumlah tontonan yang mengejutkan di laman Youtube.

Untuk pengetahuan, Jamal Abdillah telah meraikan hari lahirnya yang ke-53 pada 7 Mei lepas dan semalam, dia telah dikejutkan dengan parti harijadi yang dirancang oleh pihak Warner Music di Restoran Dareen, Solaris Mont Kiara. Kejutan ini turut diserikan lagi dengan persembahan mantap oleh beberapa orang peminat setia Jamal Abdillah.

Dalam pertemuan OHBULAN! bersama penyanyi yang cukup dikenali dengan vokalnya yang mantap ini, Jamal Abdillah telah mendedahkan beberapa perkara yang kami pasti bukan setakat umum tidak tahu malahan peminat dan orang yang juga rapat dengan dirinya.

Terkejut juga kami apabila mendapat tahu bahawa Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah pernah mencipta lagu berinspirasikan marijuana atau lebih dikenali sebagai ganja. Jamal yang pernah menjalani pemulihan dadah selama 5 tahun di Rumah Pengasih telah mengakui bahawa dia ada menyimpan lirik lagu berjudul “Kuhidu Bunga Berbisa” yang merujuk pada daun ganja.

“Tajuk lagu ini adalah berkenaan dengan sejenis bunga popi (opium) yang ditukar oleh manusia menjadi sesuatu yang beracun,” jelas Jamal Abdillah mengenai tajuk lagu tersebut.

Walaubagaimanapun, Jamal masih belum berfikir samada lagu itu akan dilancarkan secara rasmi kepada umum atau hanya akan disimpan secara peribadi olehnya.

Dalam pada itu, Jamal turut memberitahu bahawa dia tidak akan bersara dari dunia muzik walaupun umurnya semakin meningkat.

“Harapan saya, saya ingin berada di persada seni ini sehingga bila-bila. Saya tak mahu bersara,” tegas Jamal Abdillah.

Semoga Jamal Abdillah akan terus menghiburkan para peminat dengan lagu-lagunya yang sentiasa menjadi siulan ramai.

Kredit Sumber: www.ohbulan.com
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger