Latest Post :
Recent Post

Kim Kardashian Dilarang Sedut Lemak

Kim Kardashian dan Kanye West 





PENYANYI rap Kanye West tidak membenarkan kekasihnya Kim Kardashian menjalani pembedahan sedut lemak yang dikenali sebagai 'Tummy Tuck' selepas proses bersalin nanti.

Menurut laporan portal The Sun, ini kerana Kanye masih lagi trauma dengan kematian ibunya, Donda, pada tahun 2007 yang juga menjalani pembedahan plastik pada ketika itu.

"Kim ingin kembali langsing seperti dahulu dan ingin menjalani pembedahan 'Tummy Tuck'. Namun Kanye pula melarang Kim berbuat demikian kerana masih lagi trauma dengan kematian ibunya.

"Malah Kanye siap berkata kepada kekasihnya bahawa dia tidak kisah dengan perubahan tubuh badan Kim walaupun semakin membesar selepas bersalin nanti," kata sumber.

'Tummy Tuck' merupakan sebuah pembedahan yang membentuk perut menjadi lebih langsing. Selama ini Kim sering tidak senang dengan bentuk tubuhnya sepanjang kehamilannya.

{[['']]}

Hubungan Intim Ahmad Dhani Dan Mulan Jameela Terus Jadi Tanda Tanya

Mulan Jameela bersama anaknya, Syafiya dan Ahmad Dhani. 

Rahsia pernikahan yang terus disembunyikan Mulan Jameela dan Ahmad Dhani Prasetyo semakin terkuak, namun pasangan ini bagaikan tidak pernah peduli pandangan masyarakat terhadap hubungan mereka.
Kukuh mempertahankan pendirian untuk tidak berkongsi hal peribadi, namun ketika ibu Mulan, Titi Aisyah menutup mata buat selama-lamanya di Pondok Indah, Jakarta Selatan pada 8 Mac lalu, rahsia yang selama ini tersimpan kemas perlahan-lahan menguak.

Saat jenazah ibunya dibawa kediamannya, Safeea anak perempuan yang disebut-sebut sebagai buah cinta antara Dhani dan Mulan yang kini berusia dua tahun kelihatan begitu mesra dalam pelukan ibu pengasas band Indonesia berpengaruh, Dewa 19 itu.

Memakai baju putih dan celana merah jambu, Safeea didukung erat oleh ibu Dhani ketika jasad ibu Mulan dikafankan untuk disemadikan.

Dhani ketika ditemui media Indonesia di Kebon Jeruk, Jakarta Barat pada 15 Mac lalu, masih bungkam apabila diminta kepastian mengenai kehadiran Safeea.


Kunci mulut

Pemilik Republic Cinta Management itu selesa mengunci mulut dan terus berlalu ketika ditanya mengenai pernikahannya dengan penyanyi Makhluk Tuhan Paling Seksi itu.

Berita pernikahan mereka kembali marak diperkatakan apabila Dhani menjayakan satu sesi fotografi bersama Safeea dan Al, anak pertamanya dengan bekas isterinya, Maia Estianty sebagai penghias muka depan sebuah tabloid.



Selesa kunci mulut ketika ditanya mengenai pernikahan mereka.
 
Januari lalu, Dhani pernah mengumpan sensasi media ketika melontarkan kenyataan mengenai berat badan isterinya.

“Berat badan kamu 40 kilogram? Berat isteri saya 50. Kalau ditanya sudah kahwin berapa kali, iya berkali-kali. Kalau ditanya nikah iya sudah berkali-kali, saya sudah nikah berkali-kali,” katanya meninggalkan tanda tanya kepada umum.

Ketika ibu Mulan dimasukkan ke Rumah Sakit Pondok Indah kerana jangkitan paru-paru, Dhani menunjukkan keprihatinannya dengan berziarah.

Malah, Mulan tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu yang bergegas ke kediamannya sebaik mendapat tahu ibunya menghembuskan nafas terakhir.

“Sempat dia menziarahi ibu saya di hospital. Namun saya ingin berterima kasih kepada Dhani dan juga semua atas perhatian dan kasih sayang yang ditunjukkan,” kata Mulan.

Tidak sembunyi keintiman

Meskipun belum pernah mengeluarkan kenyataan rasmi, Dhani dan Mulan tidak menyembunyikan keintiman mereka di mata umum.

Pasangan itu tampil berdua dalam satu kereta ketika menghadiri resepsi pernikahan Anang Hermansyah dan Ashanty pada Mei, tahun lalu.

Berpakaian serba hitam, Dhani kelihatan santai memegang tangan Mulan meskipun penyanyi Wonderwoman itu dilihat canggung mempamerkan kemesraan mereka.

Bagaimanapun, mereka berusaha menghindari wartawan yang sedang menanti di luar dewan dan Mulan hanya menjawab pertanyaan apabila diminta memberikan ucapan kepada pasangan mempelai itu.


{[['']]}

Prof Madya Dr Harlina Tegur Rozita Che Wan

Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj 



    Aksi romantik Rozita Che Wan dan Zain Saidin yang mencetuskan kontroversi.



Beberapa hari lalu, kecoh mengenai sekeping gambar Rozita Che Wan memakai skirt pendek bewarna biru sambil bersimpul duduk di sebelah kekasihnya, Zain Saidin.

Gambar berkenaan telah menyebabkan Zain terus memadamkan akaun Instagramnya.

Malah, sehari selepas itu, Rozita tampil dengan kenyataan tentang seksi itu adalah hak miliknya.

Susulan dari kontroversi itu, Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Naib Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj telah tampil dengan satu kenyataan.

Adalah diharap perkongsian artikel ini akan memberi manfaat bukan saja kepada Rozita, malah kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Salam ukhuwah.

Atas dasar tanggungjawab dan amanah, Dr Har memberanikan diri mengajukan pandangan terhadap fenomena semasa yang amat membimbangkan – di mana semakin ramai ahli masyarakat yang tidak lagi peduli dan kisah dengan teguran orang lain di sekeliling. Apa yang lebih menyedihkan – apabila alasan yg diberikan berlandaskan hujah hak asasi peribadi, yang dianggap mutlak milik individu. Orang lain dianggap tidak berhak campurtangan dan mempersoalkan keputusan, tindakan dan tingkah laku seseorang itu.

Terbaru, hari ini (21 Mac 2013) terdapat laporan akhbar harian mengenai komen seorang yang dikenali ramai mengenai `hak peribadi’nya utk berpakaian seksi. Beliau juga memberi amaran agar orang ramai jangan terlalu menjaga `tepi kainnya’. Sedih dan sayu rasa hati membaca komen tersebut. Masakan boleh Dr Har buat tak kisah dan membiarkan golongan ini begitu sahaja. Kalau ada yang mahu mengatakan : `Who cares?’, Dr Har jawab
`I do care! A lot!‘

Dalam konteks ini, perlu sangat diperjelaskan bila nak bercakap pasal hak, ada beberapa noktah yang mesti diperhatikan :

Jangan lupa, jauh mendahului hak individu adalah hak Allah SWT yang Maha Agung, Perkasa dan Sempurna. Hak Allah SWT adalah untuk disembah, dipatuhi dan diagungkan. Segala suruhan-Nya adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri, maka pujuklah diri dan relakanlah jiwa untuk patuh, taat dan setia. Larangan yang membawa kemurkaan-Nya adalah untuk keselamatan dan kesejahteraan manusia itu sendiri, maka jauhilah sejauh-jauhnya. Membelakangkan hak Allah, tidak memperdulikan suruhan-Nya – adalah satu manifestasi kesombongan yang luarbiasa!

Janganlah pula terlupa, tubuh badan kita sebenarnya bukan hak milik kita, yang boleh diperlakukan sewenang-wenangnya. Ianya hanya pinjaman sementara, dari Empunya yang tidak pernah terleka. Keindahan tubuh badan ini boleh hilang sekelip mata, semua terpulang kepada yang Empunya. Bukankah kita mengimani adanya Hari Pembalasan di Padang Mahsyar? Khabarnya, itulah saat segala anggota tubuh badan kita akan mengadu perihal penyalahgunaan dan pengkhianatan kita. Mulut yg begitu lantang bersuara semasa di dunia, terkunci rapat semasa ditimbangtara. Tentu sekali kita takkan boleh berkata kepada Tuhan yang Empunya segalanya, `Jangan jaga tepi kainku!’

Jangan lupa, selain hak adanya pula tanggungjawab dan rasa hormat. Tiga aspek ini :Responsibilities, Rights & Respect – 3R, tak boleh dipisahkan. Hak hanya boleh diberikan kpd mereka yg sudah menjalankan tgjwb & peranan mereka dengan baik dan sempurna. Peruntukan hak mestilah pula dihormati. Jangan asyik berhujah dengan hak kita yang itu dan yang ini. Tanyakan pada diri, sudahkah tanggungjawab dan peranan asasi kita sebagai hamba Allah dan khalifah terlaksana? Kalau belum, hak apa sebenarnya yang ada pada dirimu?

Jangan lupa, kita manusia makhluk Allah yg perlu hidup secara berkelompok dan bersosial. Kita manusia lemah, amat saling bergantungan dan perlu-memerlukan. Selain hak individu, ada di sana hak kolektif (jamaĆ­) yang menjadi milik komuniti di sekelilingmu. Bila bertembung antara hak individu kita dengan hak kolektif massa – ketahuilah, hak kolektiflah yang harus didahulu dan diutamakan. Demi sebuah ketenangan hidup yang penuh rasa hormat-menghormati, ayuh kita belajar dari kelompok manusia dulu – mendahulukan hak kolektif dibandingkan hak individu.

Mungkin yang paling mendapat manfaat dari nukilan ini, bukanlah kelompok sasaran yang diajukan teguran.

Tak mengapalah, Dr Har yakin, ada kelompok yang pasti mendapat sedikit peringatan dan tazkirah.

Fazakkir, innafa’atiz zikra : Dr Har akan terus memberi peringatan, sesungguhnya peringatan yang berulang-ulang itu banyak manfaatnya!
Salam ukhuwah :

Dr.Harlina Halizah Siraj ( Dr.Har)
{[['']]}

Pelakon Sanjay Dutt Dihukum Penjara Lima Tahun

Gambar Sanjay Dutt diiringi oleh anggota polis semasa hadir perbicaraan di Mahkamah.
 



NEW DELHI - Mahkamah Agung India semalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap bintang Bollywood, Sanjay Dutt.

Dutt didapati bersalah kerana menyimpan sejumlah senjata api milik kumpulan penjenayah yang terbabit dalam siri serangan bom terburuk di India pada tahun 1993.

Sebelum ini, aktor yang pernah membintangi filem Khalnayak itu pernah menjalani hukuman penjara selama 18 bulan.

"Dia akan menjalani hukuman penjara selama tiga tahun dan enam bulan lagi. Kami akan menunggu salinan penghakiman mahkamah dan kemudian memutuskan tindakan yang selanjutnya," kata peguam Dutt, Satish Maneshinde.

Pada tahun 2007, Dutt dibebaskan daripada terlibat dalam satu siri serangan bom itu.

Bagaimanapun, dia didapati bersalah kerana memiliki sepucuk raifal AK-56 dan pistol.

Aktor yang berusia 53 tahun itu kini menjalani pengambaran filem terbaharunya, Policegiri.

Dutt yang merupakan anak pasangan legenda Bollywood, Sunil dan Nargis Dutt berkahwin dengan kekasih lamanya, Manyata pada Februari 2008.

Dia dikurniakan anak kembar dan seorang anak perempuan, Trishala daripada perkahwinan pertamanya.

Pelakon itu tidak berada di mahkamah ketika keputusan tersebut diumumkan.

Adik Dutt, Priya yang merupakan seorang ahli parlimen kecewa dengan keputusan itu.

Priya enggan bercakap dengan pemberita selepas dia keluar dari mahkamah. - Agensi
{[['']]}

Gambar Sharifah Nadia Dan Bekas Suami Yang Dicederakannya

Gambar Sharifah Nadia Yusnita Abd Haniff dan bekas suaminya, Lob Mahadir Abdul Shukur semasa di majlis perkahwinan mereka dahulu.
 

PETALING JAYA: Pelakon Sharifah Nadia Yusnita Abd Haniff, 32, didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana mencederakan bekas suaminya pada November tahun lepas.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap kecederaan pada Lob Mahadir Abdul Shukur, 40, dengan mencalarkan tangan bekas suaminya itu.

Sharifah Nadia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekiranya sabitkan kesalahan.


Gambar terbaru Sharifah Nadia semasa hadir di Mahkamah Majistret.
 

Sharifah Nadia, yang pernah berlakon dalam filem Diari Romeo, didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Tan Sri Jefry Chin di SK Chee Wen, USJ 1, Subang Jaya pada pukul 10.30 pagi pada 25 November tahun lepas.

Peguam Yusmadi Yusoff mewakili Sharifah Nadia manakala kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shapirra Selamat.

Peguam M. K. Thas merupakan peguam pemerhati bagi bekas suami Sharifah Nadia, yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Majistret Mohd Hezri kemudiannya menetapkan tarikh sebutan pada 22 April ini.

Oleh MAIZATUL NAZLINA
{[['']]}

Zain Saidin Hapuskan Akaun Instagram Demi Maruah Rozita Che Wan

 Zain Saidin dan Rozita Che Wan



PETALING JAYA: Pelakon Zain Saidin membuat keputusan menghapuskan akaun laman sosial Instagram miliknya untuk mengelak cemuhan dan kritikan pengikutnya selepas dia memuat naik gambar-gambarnya bersama Rozita Che Wan.

Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin, 29, berkata, keputusan itu dibuat semata-mata untuk menjaga maruah, nama baik serta imej yang dibawa oleh kekasihnya itu.

"Ya... Saya padam akaun (Instagram) kerana tidak mampu untuk mengawal orang yang beri komen dan kutukan pada setiap gambar yang saya muat naik.

"Gambar-gambar itu hanyalah sekadar gambar biasa sahaja, bukannya gambar tidak sopan. Kalau ada pun mungkin hanya skirt (Rozita) tertarik sikit semasa sedang duduk," ujarnya kepada ketika ditemui selepas sidang media pelancaran Oh My English! musim ke 2 di Sekolah Wawasan, USJ 16, Subang Jaya di sini pada Rabu.

Dia menamatkan akaun tersebut pada malam Isnin lalu selepas gambar bersama Rozita, 40, dikecam kerana wanita itu dituduh berpakaian seksi.

Dalam pada itu, ditanya tentang perancangannya selepas berumah tangga kelak, Zain berkata dia tidak pernah merancang untuk mendapat anak memandang faktor usia Rozita.

Bagaimanapun dia menyerahkan perkara tersebut kepada Allah.

"Selepas berkahwin nanti saya merancang untuk buat bisnes agar kehidupan kami lebih stabil. Kalau boleh biarlah Rozita berehat dan kerja ikut kemampuan dia.

"Dari segi perancangan keluarga dan anak pula saya tidak meletakkan harapan atau perancangan, kita hanya serahkan kepada Allah," katanya.

Dalam pada itu menerusi Oh My English! musim kedua ini, Zain tetap memegang peranan serupa iaitu sebagai cikgu Henry Meddleton .

Rancangan itu akan disiarkan pada setiap Ahad pukul 7.30 malam bermula 31 Mac ini menerusi Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Mustika HD (saluran 134).

Terdahulu media sebelum ini melaporkan Zain dan Rozita, telah membuat pengakuan terbuka mengenai hubungan mereka dan berhasrat untuk mendirikan rumah tangga pada hujung tahun ini.

Pasangan ini memberitahu akan mengadakan sidang media tentang perkahwinan mereka selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.


Oleh KEMALIA OTHMAN
{[['']]}

Rozita Che Wan Tidak Mahu Masyarakat Terlalu Menjaga 'Tepi Kainnya'

Che Tah berpesan agar masyarakat jangan terlalu menjaga 'tepi kainnya'.



Kejelitaan yang dimiliki aktres, Rozita Che Wan, tidak perlu dipertikaikan lagi. Meskipun usianya sudah mencecah 40 tahun, wajah dan susuk badannya setanding anak dara di luar sana.

Tambahan sejak akhir-akhir ini, pelakon Kiah Pekasam ini dilihat semakin berani tampil dengan pakaian dan imej yang terlalu seksi.

Menerusi laman Instagram kekasihnya, Zain Saidin, ibu kepada dua anak ini dikritik hebat berikutan gambar yang dimuat naik agak keterlaluan.


Inilah gambar kontroversi yang menjadi bualan peminat- peminat dunia hiburan tanahair.


Mengenakan skirt pendek berwarna biru sehingga menampakkan sebahagian pahanya, aksinya yang manja bersama aktor Oh My English itu turut menjadi bualan.

Malah, penampilan dan aksi mesra mereka dalam sebuah majalah baru-baru ini turut mengundang rasa kurang senang segelintir pihak.

Bercakap kepada Sinar Harian, aktres yang mesra disapa Che Ta ini tampil mempertahankan dirinya. Enggan mengambil pusing setiap pandangan mahupun kritikan yang diterima, Che ta berkata, itu adalah hak masing-masing.

Dia juga menyedari mengenai macam-macam kritikan yang dileparkan kepadanya. Bahkan dia tahu ada pihak yang melabelkannya sebagai tak sedar diri memandangkan umurnya yang sudah meningkat.

Namun Che Tah berkata ia tidak kisah dengan kritikan-kritikan itu kerana penampilan seksi itu adalah haknya. Dia juga berpesan agar masyarakat jangan terlalu menjaga 'tepi kainnya'.



- mD
{[['']]}

Bapa Aidil Zafuan Kecewa Dengan Tindakan Rita Rudaini

Bapa Aidil Zafuan, Abd Radzak Salleh (kanan) bersama peguam, Noor Ariff ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah, semalam.
 

SEREMBAN – Pelakon, Rita Rudaini Mokhtar, 37, gagal menghantar wakil  jawatankuasa pendamai bagi proses permohonan cerai dengan suaminya, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, 26, seperti mana diarahkan Mahkamah Syariah, sebelum ini.

Kegagalan Rita itu mengundang rasa kecewa bapa Aidil, Abd Radzak Salleh, 64, yang hadir di mahkamah, semalam bagi mewakili anaknya.

“Saya sebagai orang tua, saya mahu perkara ini diselesaikan dengan baik, tetapi tindakan Rita yang tidak menghantar wakil menyebabkan saya kecewa.

“Saya berharap masalah mereka ini dapat diselesaikan segera kerana lagi banyak masa diambil, lagi banyak cerita yang tidak baik timbul,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Syariah, semalam.

Kegagalan Rita itu menyebabkan mahkamah menetapkan satu lagi tarikh iaitu 3 April ini untuk Rita menghantar nama wakilnya dalam jawatankuasa berkenaan.



Peguam Aidil, Noor Ariff Delia Ramli berkata, beliau ada menerima surat daripada peguam Rita kelmarin yang memberitahu bahawa wakil pelakon itu tidak dapat hadir kerana berada di luar daerah.

“Sebenarnya, jika tidak dapat hadir sekali pun, pihak Rita boleh menghantar nama wakilnya itu kepada saya atau mahkamah dan proses ini boleh diteruskan.

“Apa yang berlaku sekarang satu lagi tarikh terpaksa ditetapkan berikutan kegagalan pihak defendan menamakan wakil mereka dan sekiranya beliau masih gagal lagi saya akan mohon kepada mahkamah supaya perbicaraan terus dijalankan tanpa perlu menunggu keputusan jawatankuasa pendamai,” katanya.

Pada 25 Februari lalu, mahkamah mengarahkan satu jawatankuasa pendamai ditubuhkan selepas permohonan cerai Mohamad Aidil dibantah Rita.

Dalam jawatankuasa tersebut, kedua-dua pihak dikehendaki menghantar seorang wakil yang terdiri keluarga terdekat untuk mencari jalan penyelesaian sebelum hasil perbincangan itu dikemukakan kepada mahkamah.

OLEH HAMIZAH BASIR
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger