Latest Post :
Home » , , , » Faezah Elai nafi ada skandal dengan suami orang

Faezah Elai nafi ada skandal dengan suami orang

{[['']]}


GARA-GARA cinta lokasi yang dikatakan terjalin antara aktres popular, Faezah Elai, 28, dengan pengarah drama terkenal, Heykal Hanifah, 37, rumah tangga sutradara yang banyak menghasilkan deretan drama bersiri itu termasuk Dalil Cinta, khabarnya berantakan.
Difahamkan, Faezah dan Heykal kononnya mula menjalin hubungan ‘teman tapi mesra’ apabila kedua-duanya bekerja sama menerusi drama bersiri popular, Asmara yang kini bersiaran di TV3. Drama lain arahan Heykal termasuklah Cinta Balqis, Laila Asikin dan Noktah Erna, manakala Faezah baru saja menjayakan drama arahan Heykal, Dalca Mami Georgetown. Faezah juga bakal membintangi filem terbarunya, Halilintar akhir bulan ini dan drama bersiri arahan Heykal, Asmara 2 awal tahun depan.
Gosip Faezah dan Heykal menjalin hubungan terlarang kini tersebar luas di beberapa blog dan laman web hiburan. Terbaru, ruangan pojok Alkisah... kelolaan Raja Nurfatimah Mawar, terbitan B*POP 21 November lalu, menerusi artikel ‘Faezah Elai main cinta suami orang?’ turut melaporkan khabar angin yang sama.

Antara lain gosip berkenaan melaporkan Faezah dan Heykal pernah dillihat berdua-duaan di lokasi penggambaran apabila gerak geri mereka dikatakan seperti pasangan kekasih. Selain itu, mereka juga pernah menghadiri satu majlis, namun sebaik terserempak dengan kru dan rakan artis, kedua-duanya melarikan diri!

Perkahwinan Heykal bersama isterinya, Rosmanizawani Nadzir atau Jaja, 37, yang juga bekas kaki tangan syarikat rakaman antarabangsa, EMI Music Malaysia selama 12 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata – Luqman Hakim, 10; Sarah, 8, dan Luq Adam, 11 bulan.

Pun begitu, penulis dimaklumkan oleh sumber, Heykal lulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, kononnya baru saja menceraikan Jaja dengan talak satu, kira-kira tiga minggu lalu! Menerusi risikan, dalang yang bertanggung jawab menyebarkan cerita kononnya Faezah dan Heykal mempunyai ‘skandal’ ialah bekas teman lelaki Faezah sendiri iaitu Azad Jazmin Johnlouis Jefri, 34, yang kini muncul menerusi filem terbarunya, Ngangkung terbitan MIG.
Difahamkan, Jaja pernah menghubungi Azad untuk bertanyakan kesahihan hubungan sulit yang terjalin antara Faezah dan suaminya apabila kesempatan itu khabarnya digunakan Azad untuk menokok tambah cerita, sekali gus mengiyakan lagi ‘skandal’ Faezah bersama Heykal.

Faezah yang ditemui di Bangsar, Kuala Lumpur, Isnin lalu menafikan dia bermain cinta dengan suami orang, merujuk sebagai Heykal Hanifah seperti dilaporkan ruangan pojok Alkisah..., baru-baru ini.

Dia menjelaskan, hubungannya bersama Heykal hanyalah antara pelakon dan pengarah selepas mereka bekerjsama menerusi drama bersiri, Asmara. Tambahnya, hubungan berkenaan tidak pernah melangkaui batasan sehingga wujud perasaan cinta antara mereka.

“Dakwaan mengatakan saya dan Heykal pernah dilihat berdua-duaan di lokasi penggambaran, ia karut! Perkara itu boleh dirujuk kepada kru produksi Asmara, mereka tidak pernah melihat saya dan Heykal bermesra! Kami bertemu sekadar berbincang soal kerja. Tidak dinafikan, hubungan saya dan Heykal baik kerana selepas Asmara, saya turut berlakon satu lagi drama arahannya, Dalca Mami Georgetown. Namun, saya sedia maklum, Heykal sudah berkeluarga. Sekalipun baik dengannya, saya bukan manusia jenis suka ambil suami orang!,” katanya tegas.

Pun begitu, tanpa berselindung, Faezah mendakwa, cerita kononnya dia mempunyai ‘skandal’ dengan Heykal bermula daripada mulut Azad Jazmin. Akuinya, dia pasti segala-galanya berpunca daripada Azad apabila seorang sumber pernah memaklumkan kepada beliau, aktor berkenaan pernah mengiyakan dirinya memang ada ‘skandal’ bersama Heykal.

“Jika Azad ada masalah dengan Heykal, selesaikan sendiri, tak perlu nak babitkan diri saya. Hubungan saya dan Azad sudah lama berakhir, jadi dia tak perlu lagi mengganggu kehidupan saya,” katanya lagi.

Menceritakan insiden kononya dia dan Heykal melarikan diri dari sebuah majlis selepas terserempak dengan kru dan rakan artis, beliau menjelaskan memang benar dia menghadiri majlis rumah terbuka seorang persoanliti TV, namun tidak pernah melarikan diri, kecuali Heykal yang tidak mahu ikut serta selepas menyedari kehadiran Azad pada majlis sama.

“Saya hadir ditemani keluarga, Heykal pun ada di situ. Saya masuk dan bertemu tuan rumah, sebaliknya Heykal berpatah balik apabila ternampak kelibat Azad. Saya difahamkan, Heykal dan Azad ada masalah. Jadi, dakwaan saya dan Heykal lari dari majlis, cerita itu tidak benar!,” jelasnya.

Heyqal dakwa Azad dalang bawa cerita

HEYKAL ketika dihubungi B*POP mengakui, pada awalnya persahabatan dia dengan Azad baik selepas bekerjasama menerusi drama bersiri Cinta Balqis, namun selepas satu pertengkaran berhubung tawaran berlakon yang tidak berkesempatan dijayakan Azad bersama teman wanitanya, Eira Syazira Suhaimi, hubungan beliau bersama aktor berkenaan menjadi tegang.

“Apabila saya ternampak kelibat Azad pada majlis rumah terbuka personaliti TV berkenaan, saya tak jadi masuk, saya terus balik. Namun, Faezah tetap menghadiri majlis berkenaan. Kalau saya ada ‘skandal’ dengan Faezah, buat apa kami nak bertemu pada majlis keramaian seperti itu,” terangnya.

Ditanya sejauh mana hubungannya bersama Faezah, Heykal mengakui antara dia dan aktres berkenaan memang berkawan baik atas dasar profesionalisme, namun untuk menjalin hubungan cinta seperti digembar-gemburkan di internet mahupun menerusi ruangan pojok baru-baru ini, dakwaan itu tidak benar sama sekali.

Heykal yang berasal dari Kulim, Kedah, menjelaskan dia diberitahu Jaja bahawa Azad pernah mengiyakan beliau memang ada ‘skandal’ bersama Faezah selepas isterinya itu menghubungi aktor berkenaan untuk mengetahui sejauh mana kesahihan gosip itu.

“Dialah (Azad) dalang yang bertanggung jawab menyebarkan cerita berkenaan (skandal bersama Faezah),” kata Heykal tanpa berselindung.

Bagaimana pula dengan desas-desus yang mendakwa Heykal sudah melafazkan cerai terhadap Jaja baru-baru ini, dia menjelaskan, perkara itu terlalu peribadi untuk diperkatakan secara terbuka.

“Namun, apa yang boleh saya beritahu, buat masa ini, hubungan saya dan isteri, tidak elok. Kami sedang berusaha memperbaikinya demi keharmonian rumah tangga dan masa depan anak-anak,” katanya seperti cuba menyembunyikan sesuatu.

Azad yang dihubungi Rabu lalu, masih berada di Pulau Pinang selepas kematian adiknya baru-baru ini, menafikan sekeras-kerasnya dia adalah dalang yang bertanggung jawab menyebarkan fitnah kononnya Heykal dan Faezah menjalin hubungan cinta.

“Memang benar saya dan Heykal ada masalah berhubung soal kerja, namun saya bukanlah dalang yang menyebarkan cerita kononnya dia dan Faezah ada ‘skandal’ seperti didakwa mereka berdua. Saya tak nafikan, Jaja ada hubungi saya bertanyakan kesahihan hubungan cinta suaminya bersama Faezah. Saya tak tahu apa-apa kerana hubungan saya dan Faezah sudah lama berakhir.

“Saya hanya beritahu Jaja, apa yang saya nampak pada majlis rumah terbuka personaliti TV berkenaan yang turut dihadiri Faezah dan keluarganya bersama Heykal, itu saja. Namun, sebaik terpandang kelibat saya dalam rumah itu, mereka tak jadi masuk. Saya tak tahu kenapa. Kepada Faezah, janganlah cari publisiti murahan seperti ini. Saya ada banyak kerja lain lagi,” katanya. Oleh Zubir Mohd Yunus

Share this article :

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger