{[['']]}
APABILA cerita perkahwinan senyap-senyap tanpa undangan rasmi tiba ke meja media, bekas selebriti sukan RTM yang popular digelar Kiki itu tidak berniat menyembunyikan perkahwinan kali ketiganya.
Dua tahun menjanda setelah kegagalan perkahwinan kedua pada September 2008, pemilik nama sebenar Nurul Alis Aidil Akhbar, 35, itu selamat dimiliki James Mitchell, 40, pada 30 Oktober lalu.
Cerita perkahwinan Kiki yang hanya dihadiri teman-teman serta keluarga terdekat itu cuma tersebar di Internet. Pasangan tersebut diijab kabul di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Di sebalik perkahwinan dengan James yang memilih nama Islam Qais Abdullah, ibu kepada Shamal, 14, Sophea, 9, dan Sonya, 6, itu menyimpan gejolak rasa yang cukup mendalam.
Menjalani tempoh solo selama dua tahun, hatinya ibarat dedaun kekeringan setelah lapan tahun mahligai bersama suami kedua roboh ekoran tiada persefahaman.
Hampir-hampir dia menolak cinta dan perkahwinan seterusnya dalam hidup. Fokus Kiki hanyalah kepada perlumbaan kereta, karier pengacaraan dan anak-anak yang sedang memerlukan perhatian.
Sementelah pula, lelaki baru itu bukan daripada bangsa sendiri. Skeptikalnya mendaki tinggi. Mampukah lelaki yang baru mengenal Islam itu memimpin dirinya menjadi isteri terbaik di dunia dan akhirat?
Sensasi Bintang: Kenapa anda berahsia tentang hari bahagia bersama Qais Abdullah?
NURUL ALIS: Sebenarnya saya memang tidak mahu kelihatan beria-ria sangat mahu berkahwin. Seganlah, lagipun ini perkahwinan ketiga buat saya. Saya sendiri tidak merancang apa-apa untuk perkahwinan ini. Sudah lama saya terfikir nak kahwin lagi tapi asyik tertunda sahaja sebab sibuk dengan jadual kerja dan aktiviti sukan anak-anak.
Untuk perkahwinan ini, saya serahkan semua urusan di tangan orang lain, tapi kami gembira. Yang paling gembira ialah Qais. Dapat juga dia merasa diarak dengan kompang dan bersanding ikut adat Melayu.
Mana-mana perkahwinan pun ada risiko tetapi berkahwin dengan lelaki yang baru memeluk Islam serta berbeza budaya sangat berisiko.
Bagaimanakah Kiki mendapat keyakinan diri?
Saya pernah jadi lembik, trauma dan serik untuk berkahwin selepas bercerai dengan bekas suami kedua dulu. Hati saya kering, tertekan mental dan fizikal hingga saya hilang berat badan daripada 49 kilogram (kg) kepada 43kg.
Lepas jumpa Qais, saya tak berharap kami akan berkahwin sebab saya pasang prinsip, jodoh jangan dicari tetapi Qais membuatkan saya tersentuh dengan kesungguhannya.
Kesungguhan yang bagaimana?
Saya kenal dia di litar go-kart di Shah Alam, sejurus selepas habis edah. Tidak lama kemudian, dia dipindahkan ke Kuwait untuk bertugas di sana.
Dari situ Qais berfikir, kenapa dia didekatkan dengan Islam, kenal wanita Muslim dan kemudian dihantar kerja di negara Muslim. Dia sanggup tinggalkan peluang karier di sana untuk balik di Malaysia dan berdekatan dengan saya.
Satu lagi sebab dia bersungguh-sungguh mahu memeluk Islam adalah kerana tertarik dengan budaya dan cara hidup orang Islam.
Dia peluk Islam pun di rumah saya sambil disaksikan ibu saya pada malam tahlil arwah untuk bapa saya yang baru meninggal dunia ketika itu.
Qais sudah setahun bergelar Muslim iaitu sejak Julai 2009. Dia sanggup dipulaukan oleh sanak-saudaranya yang rata-rata berbangsa Yahudi di Australia kerana memilih Islam sebagai agamanya.
Dua perkahwinan terdahulu gagal dan kali ini perjuangannya Kiki kelihatan lebih besar.
Ya. Itulah yang saya pernah terfikir. Jodoh pertama saya diatur oleh keluarga, jodoh kedua pula tidak seperti yang dimahukan dan kali ini, pada usia yang semakin bertambah ini, saya harapkan ini perkahwinan yang terakhir.
Qais sendiri sudah ada dua orang anak hasil perkahwinan pertamanya. Saya sendiri ada tiga orang anak, jadi kami merancang banyak perkara.
Kami mahu sama-sama belajar, sama-sama membaiki kesilapan dan saling menuju keseimbangan hidup, bukan lagi untuk dunia tetapi akhirat juga.
Alhamdulillah, saya lihat Qais benar-benar mahu menjadi Muslim yang baik, seboleh-bolehnya dia menjaga solat lima waktu.
Post a Comment