{[['']]}
PETALING JAYA: Pereka fesyen Hazree Wahid, 29, masih belum menerima permohonan maaf daripada pelakon Fasha Sandha yang gagal mengayakan baju rekaannya pada Pertunjukan Fesyen Cheongsam Green, yang diadakan Selasa lalu.
Kata Hazree, sehingga kini, dia masih menunggu Fasha meminta maaf mengenai perbuatannya itu untuk memperbaiki semula persahabatan mereka.
“Saya masih menunggu kata-kata maaf daripada dia agar boleh perbaiki hubungan kami, tapi belum ada apa-apa lagi mesej daripada dia.
“Malah dia pula seperti marah kepada saya dan membuang saya dari dalam senarai rakan BBM telefon Blackberry miliknya.
“Pagi semalam (Rabu), dia menyerahkan baju Anugerah Skrin 2010 yang digayakannya melalui pemandunya sahaja,” ujar Hazree yang membelanjakan hampir RM1,500 untuk menghasilkan pakaian Ceongsam tersebut.
Dalam pada itu, kata Hazree dia tidak menyangka kejadian itu berlaku kepada dirinya memandangkan dia sudah biasa berurusan dengan Fasha selama ini.
“Sebelum ini dia tidak pernah menimbulkan sebarang masalah ketika bekerjasama dengan saya, dia juga merupakan artis yang saya hormati kerana berdisiplin.
“Saya juga sudah beberapa kali bekerjasama dengan dia, malah saya sentiasa menyangkal pendapat segelintir orang yang menganggap artis ini bermasalah,” katanya.
Biarpun agak kecewa dengan tindakan artis tersebut, Hazree tidak menolak kemungkinan untuk memaafkan dan bekerjasama dengan pelakon Chinta itu lagi.
“Saya tidak terlalu menyalahkan dia kerana mungkin dia mempunyai alasan tersendiri, jika dia minta maaf dengan ikhlas dan bukan melalui pengurus atau orang lain saya akan memaafkan dan bekerjasama semula dengannya,” kata Hazree.
Post a Comment