Latest Post :

Fenomena Bieber

{[['']]}
 
Di puncak populariti ketika berusia 16 tahun


BINTANG sensasi remaja kelahiran London, Ontario, Kanada ini diakui antara fenomena pop luar biasa yang dicetuskan oleh laman YouTube. Justin Drew Bieber memulakan langkahnya untuk mendaki puncak populariti pada usia 12 tahun dengan menyertai pelbagai pertandingan nyanyian.
Justin dilihat sebagai simbol kejayaan, contoh terbaik remaja yang berjaya menggapai cita-citanya pada usia belasan tahun.

Semua itu tidak mungkin akan dinikmatinya jika tidak kerana usaha ibunya, Pattie Mallette. Pattie memuat naik video persembahan Justin ketika menyertai satu pertandingan nyanyian di Stratford yang mengangkatnya sebagai naib johan.

“Saya menyertai pertandingan nyanyian Stratford Idol. Kebanyakan yang turut serta mengambil kelas nyanyian dan vokal, sedangkan saya tidak pernah serius menyanyi.


“Saya gemar menyanyi di sekitar rumah. Ketika itu saya baru berusia 12 tahun tetapi memenangi tempat kedua,” katanya.
Kesungguhan memuat naik video pelbagai siri persembahan Justin menyanyikan lagu R&B popular tanpa disangka memacu populariti kepada remaja yang dilahirkan pada 1 Mac 1994 itu.

“Saya memuat naik video nyanyian daripada pertandingan di YouTube kerana mahu kawan-kawan dan keluarga dapat menontonnya.

“Tetapi ia menjadi sebaliknya apabila orang lain menyukai persembahan saya dan mula mengikutinya. Bermula dari situ, saya memperoleh kontrak rakaman,” katanya.

Pada American Music Awards ke-38 yang berlangsung di Nokia Theatre, Los Angeles pada 21 November lalu, Justin mendominasi kemenangan dengan mengenepikan penyanyi senior untuk meraih pengiktirafan tertinggi, Artis Tahun Ini.

Dia menghampakan nama terkenal seperti Usher, Eminem, Lady Gaga, Katy Perry dan Kei$ha untuk menerima gelaran itu selain mencatat sejarah sebagai pemenang terbanyak pada malam berkenaan.

Selain trofi Artis Tahun Ini, Justin turut diumumkan sebagai pemenang kategori Artis Cemerlang, Artis Pop/Rock Lelaki Pilihan dan Album Pop/Rock Pilihan menerusi album, My World.

Justin menewaskan Eminem dan Usher bagi kategori Artis Pop/Rock Pilihan, serta mengenepikan Katy Perry dan sekali lagi Eminem untuk kategori Album Pop/Rock Pilihan.

Penyanyi yang popular dengan lagu Baby dan One Less Lonely Girl itu mencatat sejarah sebagai penyanyi paling muda memenangi anugerah utama American Music Awards yang dianjurkan sejak 1973.

Justin memulakan kerja produksi susulannya Julai lalu bersama penyanyi dan penulis lagu British, Taio Cruz yang menyumbangkan lagu untuk album yang bakal dipasarkan awal tahun depan.

Legenda hip hop, Dr Dre pula menerbitkan dua lagu yang dirakamkan pada Julai lalu.

Remaja bijak itu tidak hanya menyandarkan kekuatan bakatnya kepada nyanyian saja. September lalu, dia muncul dalam siri jenayah terbitan CBS, CSI: Crime Scene Investigation melakonkan watak remaja bermasalah.

Filem 3D yang menceritakan perjalanan hidupnya juga diterbitkan. Produksi arahan John Chu itu dijangka menemui peminat di pawagam pada Februari depan.
Satu impiannya, Justin berharap kejayaannya menjadi contoh kepada peminat muda.

“Saya berharap segala yang dilalui ini akan mempengaruhi orang lain secara positif. Mesej saya setiap kita mampu melakukan apa saja jika meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap usaha itu.

“Saya tidak membesar dalam kemewahan, malah hidup saya penuh kekurangan. Tetapi kesulitan lalu membentuk saya menjadi kuat, bahkan membina karakter saya hari ini,” katanya.

Benar kejayaan tidak sentiasa membentangkan keselesaan kepada seseorang. Justin juga tidak terlepas daripada berdepan sasaran mereka yang kurang senang dengannya.

Namanya dikaitkan dengan petikan video porno yahg diceroboh di YouTube, malah gambarnya pernah diubahsuai menjadi imej lucah selain dikatakan meninggal dunia kerana terbabit dalam kemalangan.

Namun, semua dugaan itu memberi kekuatan kepadanya untuk mencipta lebih kejayaan dan menawan hati jutaan remaja wanita yang tertarik dengan imej baik dan percakapannya yang penuh santun.

INFO:



  • Bakat Justin dikesan pada 2008 oleh Scooter Braun yang secara tidak sengaja menonton video nyanyiannya menerusi YouTube. Scooter kemudian menjadi pengurus Justin dan mengatur pertemuan dengan Usher di Atlanta, Georgia seterusnya menandatangani kontrak dengan Raymond Braun Media Group (RBMG), syarikat milik bersama Scooter dan Usher.



  • Dia kemudian menandatangani kontrak bersama Island Records sebelum muncul dengan single pertamanya, One Time pada 2009. Album studio penuhnya, My World 2.0 dilancarkan di pasaran pada 23 Mac lalu serta menguasai carta single dan album terlaris dengan jualan mencecah tahap platinum iaitu sejuta unit.



  • Justin juga melakar sejarah sebagai artis pertama yang memiliki tujuh lagu daripada album sulung berada dalam carta Billboard Hot 100.



  • Selepas lahir bersama My World, Justin mencipta fenomena YouTube dengan menjadi raja media online apabila 100 juta peminat menonton video persembahannya.



  • Di laman sembang mikro, Twitter namanya dilawati lebih 84,846 kali sehari manakala di Last.fm mencatat lagu nyanyiannya dimainkan lebih 1,854,917 dalam tempoh 24 jam.



  • Tahun lalu, Justin kekal pada kedudukan pertama dalam carta Top 10 Most Tweeted Brands di Ad Age manakala Celebuzz menamakannya sebagai antara Top Ten YouTube Superstars dekad ini.



  • Selepas melancarkan My World 2.0, produksi itu mencatat jualan platinum di Amerika Syarikat dalam tempoh tidak sampai dua bulan dipasarkan.



  • Justin juga menerima 11,000 peminat baru setiap hari di laman Twitter miliknya, selain lagu nyanyiannya, Baby mencatat sebagai lagu hit antarabangsa sekali gus memperkasakan lagi nama Justin Bieber.  



  • Oleh Zul Husni Abdul Hamid

  • Share this article :

    Post a Comment

     
    Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
    Proudly powered by Blogger