Latest Post :
Recent Post
Showing posts with label Konsert Hebat Artis. Show all posts
Showing posts with label Konsert Hebat Artis. Show all posts

‘Zombie’ Tawan Stadium Negara

 Penangan The Cranberries pada The Cranberries Live in Malaysia 2012 membuktikan keutuhan mereka sebagai kumpulan berpengalaman lebih 20 tahun di pentas muzik antarabangsa.

KUALA LUMPUR: Penangan kumpulan rock berpengalaman The Cranberries bukan calang-calang dan mereka membuktikan pengalaman adalah kunci bagi persembahan memukau pada konsert The Cranberries Live in Malaysia 2012 di Stadium Negara, di sini, malam Rabu.

Bersaksikan kira-kira 8,000 penonton, kumpulan dari Limerick, Ireland ini mengikat tumpuan para peminat menerusi 22 buah lagu dalam tempoh hampir dua jam konsert itu.

Tirai persembahan dibuka pada pukul 8.40 malam menerusi lagu klasik berjudul Dreams yang sekaligus melonjakkan keterujaan peminat untuk sama menyanyi.

BAGI generasi yang lahir pada era 80-an, grup yang berasal dari Ireland yang dikenali sebagai The Cranberries adalah sebuah grup legenda.

Jelas sekali, tempoh enam tahun mereka membawa haluan masing-masing sebelum ini seolah menyuntik adrenalin kepada Dolores O’Riordan (vokal), Noel Hogan (pemain gitar), Mike Hogan (pemain bass) dan Fergal Lawler (pemain dram) untuk tampil berbisa di pentas.

Pada kunjungan sulung mereka ke Malaysia, kumpulan ini berjaya mementaskan sebuah konsert yang cukup berbaloi untuk terus diingati, khususnya di kalangan peminat yang sudah sekian lama menantikan mereka beraksi secara langsung di sini.

Bukan sekadar pujian kosong, kualiti muzik The Cranberries dan vokal O’Riordan ternyata bergerak seiring pada kelas yang tinggi.


Vokalis Dolores O’Riordan masih kekal menawan dengan imej dan aksi pelik yang disulami mutu vokal bertenaga yang konsisten.

Ternyata, kembara muzik mereka di pentas cukup mengasyikkan dan menggamit memori di kalangan penonton pada era kemasyhuran lagu-lagu popularnya, biarpun O’Riordan tidak kerap berseloroh dengan penonton.

Di sini, pemilihan dan penyusunan lagu-lagu yang disampaikan adalah bersesuaian. Muzik dan ritma rancak dan perlahan saling silih-berganti, memberikan warna dan keseimbangan secara keseluruhannya.

The Cranberries singgah ke tanah air bersempena promosi album terbaru iaitu Roses, tidak hanya memperkenalkan lagu-lagu baru daripada album keenam itu, tetapi konsert itu menjadi lebih sentimental kerana lagu-lagu lama mereka.

Pada pentas itu juga, muzik baru mereka diperdengarkan kepada penonton buat julung kalinya seperti Tomorrow, Raining in my Heart dan Losing My Mind.

Manakala, satu demi satu lagu lama kumpulan itu termasuk Linger, Wanted, Ode to My Family, Free to Decide, Dreaming My Dreams, Animal Instinct, Ridiculous Thoughts dan Salvation, adalah pelengkap kepada aksi ‘emas’ mereka.

Kemeriahan tersebut mencapai kemuncak apabila The Cranberries tiba pada lagu terakhir yang juga karya keramat mereka, Zombie.

Seperti jangkaan, O’Riordan tidak perlu bersusah-payah mendominasi tumpuan kerana penonton ikut menyanyi dari baris pertama hingga terakhir yang jelas membuktikan lagu tersebut adalah lagenda yang terus hidup di hati peminat.

Hampir sudah tidak pernah kedengaran lagi berita tentang mereka selepas tahun 2003, The Cranberries tiba-tiba muncul kembali mengisi dahaga peminatnya pada tahun ini dengan album studio penuh yang diberi judul Roses.


Tidak bernoktah di situ, kumpulan ini meninggalkan pentas buat seketika sebelum muncul semula untuk segmen terakhir, encore dengan empat buah lagu lagi.

Mereka melabuhkan tirai konsert dengan sebuah lagi lagu klasik, Promises yang mengukir senyuman dan kepuasan pada peminat dengan hidangan yang ringkas tapi padat pada malam itu.

Seperkara yang cukup manis, mereka tetap gah dan konsisten seperti 20 tahun lalu. Imej pelik O’Riordan yang disulami mutu vokal yang konsisten masih menjadi aset berharga The Cranberries untuk terus utuh sebagai kumpulan malar segar.

Konsert berkenaan dibawakan oleh The Wonderland dan Sevent Media.

Oleh: WAHIDUZZAMAN
{[['']]}

Gambar-Gambar Sekitar Konsert Justin Bieber Di Stadium Merdeka

http://www.gosipsensasi.co.cc

KUALA LUMPUR: Kuasa dan daya penarik yang ada pada penyanyi remaja popular, Justin Bieber, 17, berjaya memukau kira-kira 17,000 penonton dalam satu siri konsert jelajah My World Tour yang di adakan di Stadium Merdeka, di sini, malam Khamis.
Penyanyi kelahiran Ontario, Kanada ini membuktikan fenomena luar biasanya apabila tiket-tiket untuk persembahan beliau berharga RM98, RM188, RM288, RM358, RM498 dan RM888 habis dijual
Persembahan yang bermula kira-kira pukul 9 malam itu menggamatkan suasana apabila sebilangan besar remaja menjerit-jerit memanggil nama beliau.
Bieber menyampaikan lagu-lagu popular daripada albumnya seperti Somebody To Love, One Time, Never Say Never, Love Me, Pray dan lagu berhantunya, Baby.
Penyanyi Mizz Nina turut diberi penghargaan menampilkan persembahan pembuka tirai konsert berkenaan.



Sebelum tiba di Kuala Lumpur bersama kekasihnya, Selena Gomez, Bieber menemui peminatnya dalam konsert serupa di Singapura pada Selasa lalu.
Beliau kemudiannya dijadual berkunjung ke Indonesia dan Australia untuk siri penjelajahan tersebut.
Turut berangkat menyaksikan persembahan beliau di Stadium Merdeka, Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.


Penyanyi remaja Kanada yang menjadi kegilaan ramai, Justin Bieber membuat persembahan pada konsert pertamanya di negara ini, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.





Sebahagian peminat Justin Bieber yang kebanyakannya remaja, teruja untuk menyaksikan persembahan penyanyi remaja Kanada itu menjelang konsert yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur

Para peminat Justin Bieber sanggup berhujan semata-mata mahu menyaksikan persembahan penyanyi remaja Kanada itu, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Konsert dijangka bermula 8.30 malam

Empat peminat wanita bersama sepanduknya manakala seorang peminat (gambar kanan) menconteng betisnya dengan nama Justin Bieber ketika hadir untuk menyaksikan konsert penyanyi remaja Kanada itu, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

GAMBAR JUSTIN BIEBER BERSAMA SELENA GOMEZ DI KLIA 21 APRIL 2011



{[['']]}

Konsert Keunggulan 33 Tahun Francissca Peter di Istana Budaya hebat dan menghiburkan

http://www.gosipsensasi.co.cc


KUALA LUMPUR: Linangan air mata kegembiraan mengiringi persembahan penutup penyanyi veteran Francissca Peter (Fran) pada sesi pratonton Konsert Keunggulan 33 Tahun Francissca Peter di Istana Budaya, di sini, malam Jumaat.
Menurut Fran yang ditemui pada sidang media selepas itu, kepuasannya beraksi di hadapan penonton yang setia memberikan sokongan telah menyentuh perasaannya sehingga gagal mengawal air mata.
Biarpun persembahan penyanyi lagu Sekadar Di Pinggiran itu dicemari beberapa kesilapan teknikal sepanjang konsert berlangsung, Fran tetap beraksi dengan mutu vokal yang hebat dan menghiburkan.
"Walaupun berlaku beberapa kesilapan teknikal sepanjang konsert ini, tepukan dan sokongan berterusan daripada penonton begitu menyentuh emosi saya.
"Peluang yang diberikan oleh Istana Budaya kepada saya sebagai artis bukan Melayu pertama yang beraksi di sini memberikan kepuasan yang luar biasa," katanya.
Fran memberi persembahan yang mantap sehingga membuatkan para penonton bertepuk tangan tanpa henti.

Dalam konsert yang berlangsung lebih dua jam itu, Fran menyampaikan 33 buah lagu sebagai simbolik kepada 33 tahun penglibatannya dalam bidang nyanyian.
Antara lagu-lagu yang didendangkan termasuklah Kerna Terpaksa, Ku Ke Udara Lagi, Aku Hanya Pendatang, Kau Lilin Cintaku dan banyak lagi.
Tidak hanya tampil berseorangan, penyanyi yang kini berstatus janda itu turut beradu vokal dengan rakan duetnya di era 80an iaitu Royston Sta Maria (Roy) menerusi Bersama Pertemuan Ini, Tak Kenal Maka Tak Cinta dan Siapa Dia Sebelum Aku.

                                                               Airmata kegembiraan Fran

Selain Roy, Fran turut mengundang penyanyi/komposer Imran Ajmain untuk lagu Kehebatan Cinta dan Mirror Mirror On the Wall.
Persembahan Fran diiringi oleh 33 pemuzik orkestra di bawah pimpinan Datuk Haji Ramli MS.
Konsert istimewa itu dipentaskan untuk dua malam sahaja iaitu pada 5 dan 6 Februari ini bermula 8.45 malam di Panggung Sari, Istana Budaya.
Pada konsert tersebut juga, Eye Design selaku penganjur akan menjual kompilasi kesemua album Fran dalam bentuk 'box set' pada harga istimewa.
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger