Latest Post :
Recent Post
Showing posts with label Saida. Show all posts
Showing posts with label Saida. Show all posts

Benarkah Saida Masih Belum Berpunya??

KAKAK kepada Siti Nurhaliza ini mengakui belum ada lelaki yang melamar dirinya untuk dijadikan isteri buat masa ini.
 

PENYANYI Siti Nursaida Tarudin atau Saida yang merupakan kakak kepada penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza kini memegang status ibu tunggal kepada empat orang anak selepas bercerai dengan suaminya pada Oktober 2011.

Sejak menjanda, banyak gosip hangat yang melanda dirinya termasuklah dia dikatakan bercinta dengan orang kenamaan. Ada juga gosip kononnya dia mahu berkahwin dengan seorang penerbit drama.

Namun, sehingga hari ini Saida, 37, kekal dengan status janda. Ketika ditemui pada majlis Jom Fiesta anjuran Utusan Karya Sdn. Bhd., Bangi, Selangor pada Sabtu lalu Saida mengakui, dia tidak serik untuk kembali bercinta. Ikuti temu bual Kosmo! bersamanya.

Kosmo!: Kenapakah berat badan Saida kelihatan semakin menurun? Adakah kerana susah hati?

SAIDA: Sebenarnya bukan sebab makan hati tetapi saya memang mahu kurus. Sebelum ini berat badan saya 57 kilogram (kg) sekarang 54 kg. Saya kini mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk kekal cergas.

Bagaimanakah dengan kehidupan selepas bergelar janda?

Alhamdulillah, kehidupan saya seperti biasa. Pagi sibuk menguruskan anak sekolah, saya masih memegang jawatan sebagai pengurus akaun di Siti Nurhaliza Production. Pada hujung minggu, jika masa mengizinkan saya akan memenuhi undangan pentas.

SAIDA menegaskan dia kini dalam mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk mengekalkan berat badan.
 

Tidak ada lelaki yang melamar anda untuk dijadikan isteri?

(Ketawa) Setakat ini belum lagi. Saya masih solo, belum berpunya. Bukan tidak mahu berkahwin lagi kerana jodoh ketentuan itu ketentuan Allah tetapi buat masa sekarang, jadual harian saya sangat padat sehingga tidak ada masa memikirkan tentang teman hidup. Paling penting untuk saya buat masa sekarang sudah tentu anak-anak dan kerjaya.

Jika ada yang ingin melamar anda, apakah kriteria utama lelaki pilihan anda?

Paling utama, lelaki itu harus menerima saya seadanya. Maknanya, bukan sahaja menerima diri saya tetapi juga empat orang anak saya. Jika tidak dapat terima anak-anak saya, lelaki itu bukanlah lelaki pilihan. Memang bukan mudah untuk lelaki mendekati saya kerana ke mana sahaja saya pergi pasti akan ditemani ahli keluarga.

Adakah anda meletakkan sebarang sasaran untuk menamatkan zaman janda?

Tiada sebarang sasaran kerana jodoh itu bukan kuasa saya tetapi Allah. Jika ditakdirkan saya menemui jodoh selepas ini, saya akur tetapi tidaklah buat masa sekarang kerana sibuk sangat.

Jika sudah sibuk dengan jadual harian bagaimana pula dengan dengan kerjaya nyanyian?

Mungkin orang sangka saya sudah tidak menyanyi kerana saya sudah tidak muncul di televisyen, akhbar dan majalah. Walaupun sibuk dengan kerja tetap dan mengurus keluarga, minat menyanyi itu sudah sebati dengan diri saya. Memanglah tidak aktif seperti dahulu tetapi setiap hujung minggu pasti saya akan mengadakan persembahan pentas. Tahun lalu saya telah menghasilkan sebuah single berjudul Cinta Kayangan dan jika tiada aral melintang saya akan muncul dengan single baharu.

Oleh HARYATI KARIM
{[['']]}

Saida Sah Bercerai Talak Satu,Tebus Talak RM1,000


KUALA LUMPUR: Penyanyi, Saida sah bercerai talak satu pada Jumaat, selepas menebus talak dengan bayaran sebanyak RM1,000 kepada suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Walaupun menerima bayaran tersebut, Mohd Ghazali yang merupakan seorang ahli perniagaan tetap enggan melafazkan lafaz cerai dan menyerahkan seorang pegawai mahkamah, yang merupakan wakil hakam (penimbangtara) yang dilantik untuk berbuat demikian.
Mohd Ghazali, 41, turut menyifatkan dirinya sebagai seorang suami yang dayus jika menuruti permintaan Saida atau nama sebenarnya Siti Norsaida Tarudin, 35, untuk diceraikan.
Pada prosiding itu, Mohd Ghazali juga menolak saranan yang diutarakan oleh Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi supaya kedua-dua pihak bersalaman dan memohon maaf antara satu sama lain sebelum lafaz cerai dibuat kerana berpendapat perkara itu tidak perlu dilakukan.
Bagaimanapun, Saida menuruti saranan tersebut dan terus menuju ke arah Mohd Ghazali serta menghulurkan tangan untuk bersalaman, namun ia tidak disambut oleh suaminya.
"Sampai hati awak buat macam itu kepada saya," kata Mohd Ghazali manakala Saida yang pernah mencuba nasib dalam rancangan realiti, Akademi Fantasia musim ke-enam hanya mendiamkan diri.
Mohd Ghazali akhirnya akur dengan arahan Mohd Suhaily dan Saida berpeluang mencium tangan suaminya sebelum kembali semula ke tempat duduknya.
Prosiding mahkamah juga tidak berjalan dengan lancar selepas Mohd Ghazali beberapa kali menegaskan bahawa dia tidak mahu Saida membuat sebarang tuntutan terhadap hak jagaan empat anak dan harta mereka, atas dakwaan perceraian itu disebabkan oleh kecurangan wanita terbabit.
Melihatkan kedegilan Mohd Ghazali, Mohd Suhaily seterusnya menasihatkan bekas jurutera kaji bumi itu untuk memfailkan permohonan baru di mahkamah sekiranya berasakan dirinya telah teraniaya kerana setiap individu berhak untuk mendapatkan keadilan.
Mohd Ghazali bagaimanapun, dilihat masih tidak berganjak daripada pendirian itu selagi kemahuannya tidak dituruti meskipun dinasihatkan oleh Mohd Suhaily yang memetik surah Al-Quran.
"Saya masih menghormati encik dan tidak akan menghalau kamu keluar daripada mahkamah ini. Berkenaan harta, mahkamah tiada masalah jika plaintif (Saida) bersetuju dengan permohonan itu.
"Tetapi haram kalau dipisahkan ibu dengan anak-anak mereka. Saya tidak boleh benarkan mahkamah berbuat begitu," tambah Mohd Suhaily.
Saida ketika ditanya mengenai permintaan Mohd Ghazali mengakui dia tidak mempunyai bantahan jika semua hartanya diserahkan kepada suaminya, tetapi akan berasa sedih dalam hal yang melibatkan anak-anak.
Selesai sahaja prosiding mahkamah, Mohd Ghazali bergegas untuk meninggalkan mahkamah manakala Saida yang hadir dengan peguam syarie Ahmad Nazib Johari enggan memberikan sebarang komen.
Pasangan tersebut bernikah pada 14 Disember 1996 di kampung halaman penyanyi itu di Kuala Lipis, Pahang dan dikurniakan empat anak, Siti Nuruunnyssa, 13, Anas, 11, Khalid, 7, dan Siti Nurul Mashitah, 4.
Saida memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik pada 6 Oktober 2010 mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 atas alasan tiada persefahaman selain tidak ditahan dengan sifat suaminya yang menyakitkan hati dan mengongkong.
Pada prosiding 18 Mac lalu, mahkamah juga dimaklumkan antara alasan Saida mahu dilepaskan daripada ikatan perkahwinan yang di materai sejak 15 tahun lalu adalah kerana Mohd Ghazali tidak menghormati arwah bapanya, Tarudin Ismail yang telah meninggal dunia pada 15 Februari 2009.
Mohd Ghazali yang sebelum itu tidak begitu gemar membuka mulut mengenai masalah rumah tangganya, akhirnya bersuara pada 12 Mei lalu apabila mendakwa Saida sedang 'angau' dengan rakan sekerjanya bernama Hafiz Che Mat.
Dia juga mendakwa, pernah berjumpa Saida dan lelaki itu di dalam sebuah kereta di Balakong, dekat sini dan pernah membaca khidmat pesanan ringkas (SMS) perkataan sayang dan rindu pada telefon bimbit isterinya selain bil telefon menunjukkan mereka berbual dalam tempoh berjam-jam.
Mohd Ghazali seterusnya menambah, 'anasir luar itulah' yang telah menyebabkan Saida mahu bercerai dan bertindak keluar daripada rumah kelamin mereka di Alam Damai, Cheras.
Keengganan Mohd Ghazali menceraikan Saida juga menyebabkan mereka melalui proses hakam sebanyak tiga kali dan semuanya gagal mencari jalan penyelesaian dan berpendapat perkahwinan tersebut tidak boleh diselamatkan.
Meskipun telah beberapa kali naik turun mahkamah, Mohd Ghazali tetap berkeras bahawa dia tidak akan melepaskan Saida dan berhasrat mahu membawa isterinya menunaikan umrah, bagaimanapun pelawaan itu ditolak oleh Saida.
{[['']]}

Saida Enggan Pergi Umrah Bersama Suami

http://www.gosipsensasi.co.cc

KUALA LUMPUR: Penyanyi Saida menolak pelawaan suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri untuk melakukan umrah bersama selain masih bertekad dengan keputusannya untuk bercerai.
"Saya minta maaf, bukan mahu melengahkan. Saya tidak dapat menerima pelawaan suami untuk mengerjakan umrah bersama," katanya di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Rabu.
Dia juga memberitahu bahawa masih berniat untuk meneruskan permohonan perceraian secara baik yang difailkannya dengan menamakan Mohd Ghazali sebagai defendan.
Permohonan itu difailkan pada 6 Oktober 2010.


Peguam syarie Ahmad Nazib Johari juga memaklumkan mahkamah bahawa hakam yang dilantik untuk mencari jalan penyelesaian dalam masalah rumah tangga penyanyi tersebut menemui jalan buntu.
Prosiding pada Rabu, berjalan tanpa kehadiran Mohd Ghazali seorang ahli perniagaan yang pernah bergelar jurutera kaji bumi yang dikatakan masih bersedih dengan kematian ibunya pada 4 Jun lalu.
Perkara itu dibawa ke pengetahuan mahkamah oleh peguam syarienya, Amli Embong.
“Saya masih menunggu surat kematian daripada anak guam. Saya ada menasihatkan Mohd Ghazali untuk hadir, namun dia masih dalam keadaan tidak stabil berikutan fikiran terganggu," katanya.
Amli seterusnya memberitahu yang dia mendapat arahan daripada Mohd Ghazali, 40, agar diberi peluang untuk mengerjakan umrah bersama Saida, 35.
“Sebelum ini anak guam saya cuba dapatkan persetujuan plaintif, bagaimanapun gagal selepas dimaklumkan Saida terbabit dengan aktiviti teater yang berakhir pada 6 Jun lalu.




"Mengerjakan umrah ini adalah cubaan anak guam untuk menyelamatkan rumah tangga mereka. Defendan masih mahu teruskan hasrat itu. Oleh itu mohon tetapkan tarikh sebutan lain,” katanya.
Selepas mendengar permohonan tersebut, Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi memerintahkan kedua-dua pihak bertemu dengan hakam yang dilantik oleh mahkamah dalam tempoh dua minggu bermula Rabu.
Beliau juga menetapkan laporan hakam tersebut dikemukakan di mahkamah pada 20 Julai depan.
Mohd Suhaily juga menggalakkan anak-anak pasangan tersebut untuk hadir ke mahkamah bagi menyaksikan apa yang sedang berlaku kepada ibu bapa mereka.
Pada prosiding itu, Saida yang merupakan kakak kepada penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza hadir dengan ditemani oleh kakak iparnya, Rozie Abdul Razak.
Saida atau nama sebenarnya Siti Nursaida Tarudin, 35, dan Mohd Ghazali, 41, mendirikan rumah tangga di kampung halaman penyanyi itu, di Kuala Lipis, Pahang pada 14 Disember 1996 dengan berwalikan bapa kandung.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata, Siti Nurunnyssa, 14, Anas, 12, Khalid, 8, dan Siti Nurul Mashitah, 5 tahun.
{[['']]}

Suami Saida Dakwa Isterinya Sedang 'Angau' Dengan Seorang Lelaki

http://www.gosipsensasi.co.cc
Saida (tengah) berbincang bersama Ahmad Nazib sambil diperhatikan oleh kakak iparnya, Rozie Abd Razak di luar mahkamah. Foto THE STAR/ AHMAD IZZRAFIQ ALIAS
 
KUALA LUMPUR: Suami kepada penyanyi, Saida mendakwa isterinya sedang 'angau' dengan seorang lelaki sehingga menyebabkan rumah tangga mereka yang dibina sejak 15 tahun lalu terabai.
Mohd Ghazali Yahya Zikri seterusnya mendakwa, dia pernah berjumpa Saida dengan lelaki tersebut yang bernama Hafiz Che Mat berada di dalam sebuah kereta di Balakong, dekat sini.
"Saya telah tanya pada lelaki itu jika dia tahu Saida adalah isteri saya? Waktu itu, Saida menjawab lelaki itu mahu memulangkan telefon bimbit miliknya.
"Saya rampas telefon bimbit tersebut dan jumpa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengandungi perkataan seperti sayang, rindu dan sebagainya," katanya di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Rabu.
Lelaki tersebut kemudiannya memberitahu bahawa dia mempunyai bukti iaitu bil telefon menunjukkan Saida yang juga kakak kepada penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza menghabiskan masa berjam-jam untuk berbual dengan lelaki itu.
                                      Mohd Ghazali.(Suami Saida)
Mohd Ghazali seterusnya mendakwa, dia menganggap anasir luar itulah yang menyebabkan Saida mahu bercerai dan keluar daripada rumah kelamin mereka yang terletak di Alam Damai, Cheras, kira-kira sebulan lalu.
Pada prosiding itu, Saida atau nama sebenarnya, Siti Norsaida Tarudin mengakui mengenai kejadian dalam kereta yang didakwa suaminya itu, tetapi menambah hubungan dia dengan lelaki berkenaan sekadar rakan sekerja.
Pada masa itu, Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi berkata: "Industri kerja seperti kamu memang akan berjumpa ramai orang. Tetapi tidak perlulah saya bercakap banyak kerana semua orang tahu tentang hukum hakam".
Mohd Ghazali kemudiannya berdiri dan menambah, dia boleh memahami sekiranya Saida perlu berjumpa ramai orang, tetapi tidak perlu sampai ke tahap untuk memanggil sayang dan mendesak untuk bercerai.
"Bila saya siasat dia tidak mahu mengaku. Tapi bila saya sudah jumpa gambar-gambar dan SMS ada sayang, itu bukan rakan biasa.
"Saya sangat sedih, kecewa dengan isteri saya. Dahulu, dia seorang yang sangat lemah-lembut dan sekarang lupa tanggung jawab.
"Saya harap hakim boleh beri nasihat. Apa salah saya sehingga dia buat begini? Saya kasihankan anak-anak. Mereka sampai tidak pergi ke sekolah. Dulu dia tidak begini," tambahnya.
Selain itu, Mohd Ghazali juga memberitahu, dia tidak melihat masalah besar dalam perkahwinan mereka yang boleh membawa kepada perceraian, sebaliknya hanya masalah-masalah kecil.
Saida pula memberitahu, dia telah meminta cerai sejak tahun 2008 kerana tidak boleh menerima suaminya ekoran tiada persefahaman.
Selepas mendengar keterangan-keterangan yang dinyatakan oleh Mohd Ghazali dan Saida, Mohd Suhaily memutuskan untuk memberi peluang terakhir kepada pasangan tersebut untuk mencari penyelesaian dalam masalah yang dihadapi.
Beliau juga menasihatkan mereka untuk mengerjakan umrah seperti yang dicadangkan oleh Mohd Ghazali yang berhasrat mahu membawa isterinya itu ke Tanah Suci.
Saida yang pernah menyertai rancangan realiti, Akademi Fantasia bersetuju dengan cadangan itu namun memberitahu akan membawa ahli keluarganya bersama.
Pada prosiding sama, Mohd Suhaily memutuskan bahawa wakil hakam pasangan tersebut telah gagal untuk mencapai matlamat bagi menyelesaikan masalah perkahwinan mereka dan memutuskan agar diadakan semula perbincangan.
Sekiranya masih gagal, Mohd Suhaily menetapkan agar pasangan itu dibawa bertemu dengan wakil hakam yang akan dilantik oleh mahkamah.
Kes akan disebut semula pada 15 Jun depan.
Berdasarkan rekod, Mohd Ghazali melantik bapa saudaranya, Shihabudin Alang Mat Piah sebagai wakil hakamnya manakala Saida diwakili oleh seorang rakan, Norhisham Rahmat.
Prosiding di mahkamah bermula selepas Saida memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik atas alasan mereka sudah tidak mempunyai persefahaman dan telah mengalami masalah yang tidak dapat didamaikan.
Saida, 35, dan Mohd Ghazali, 41, mendirikan rumah tangga di kampung halaman penyanyi itu, di Kuala Lipis, Pahang pada 14 Disember 1996 dengan berwalikan bapa kandung.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata, Siti Nurunnyssa, 14, Anas, 12, Khalid, 8, dan Siti Nurul Mashitah, 5 tahun.
Mohd Ghazali diwakili oleh peguam syarie Amli Embong sementara peguam Ahmad Nazib Johari mewakili Saida.
{[['']]}

Suami Tak Hormat Arwah Bapa Dan Dikongkong Punca Saida Mahu Cerai

http://www.gosipsensasi.co.cc

Suami kepada Saida AF6, Mohd Ghazali Yahya Zikri,40 (kiri)       berbincang bersama peguamnya, Amri Embung (dua dari kanan) di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur selepas selesai sebutan kes cerainya. Turut kelihatan Saida (kanan sekali). 
 
KUALA LUMPUR: Penyanyi, Saida didakwa memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik kerana sifat suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri yang dikatakan tidak menghormati arwah bapa mertuanya yang meninggal dunia dua tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Mohd Ghazali semasa menghadiri prosiding sebutan kes perceraian mereka di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini, Mohd Suhaily Rosdi pada Jumaat.
Bapa kepada Saida, Allahyarham Tarudin Ismail meninggal dunia pada 15 Februari 2009 akibat serangan jantung selepas empat hari dimasukkan ke Hospital Ampang Puteri, di sini.
Allahyarham mempunyai tujuh orang anak termasuk penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza.
Selain itu, Saida atau nama sebenarnya Siti Nursaida, 35, juga mendakwa sikap suaminya menyakitkan hati seperti mengongkong kerjayanya.
"Saya sebenarnya tidak mahu jadi begini. Saya ingin teruskan permohonan untuk bercerai," kata Saida yang diwakili oleh peguam syarie Noor Azlina Che Hasan.
Bagaimanapun, Mohd Ghazali, 40, yang merupakan seorang jurutera kaji bumi sebelum melibatkan diri dalam dunia perniagaan memberitahu, dia telah berubah sikap dalam usaha mahu menyelamatkan perkahwinan yang dibina sejak 15 tahun lalu.
"Saya masih sayangkan isteri dan kasihkan anak-anak saya. Saya tidak dapat hendak berbincang dari hati ke hati kerana berada dalam keadaan yang beremosi," kata Mohd Ghazali. Dia menambah, pelbagai usaha lain juga dilakukan termasuk menghadiri sesi kauseling secara sebelah pihak.
Mohd Suhaily bagaimanapun berpandangan sesi kauseling seharusnya melibatkan kedua-dua pihak untuk membolehkan kauselor terbabit menyelami masalah yang berlaku dalam sesuatu rumah tangga.
Pada prosiding sama, Mohd Suhaily juga menasihatkan Mohd Ghazali yang berhasrat untuk mengerjakan umrah supaya menyelesaikan masalah rumah tangganya terlebih dahulu.
"Ibadat memang digalakkan dalam Islam. Sekarang yang penting adalah selesaikan konflik. Sesuatu ibadat lebih afdal jika pihak-pihak tidak ada sengketa.
"Jika dibuat ibadat dalam hati yang tidak selesa, itu tidak elok kerana ia akan mempengaruhi ibadat kita," katanya.
Beliau juga menasihatkan Mohd Ghazali untuk menggunakan kebijaksaannya bagi mengambil semula hati isteri kerana pada pandangan beliau 'pasangan itu masih berbaik termasuk tinggal serumah'.
Pada prosiding sama, peguam syarie Amli Embong yang mewakili Mohd Ghazali memohon agar mahkamah mewujudkan satu jawatan kuasa pendamai yang berkemungkinan dapat memperbaiki hubungan tersebut.
Permohonan tersebut tidak dibantah oleh Saida, yang hadir di mahkamah bersama kakak iparnya, Rozie Abd Razak.
Justeru itu, Mohd Suhaily menetapkan supaya kes itu disebut semula pada 1 April depan untuk membolehkan kedua-dua pihak membawa wakil hakam (lelaki Islam yang tahu hukum agama) ke mahkamah. Saida dan Mohd Ghazali berkahwin pada 14 Disember 1996 di Kuala Lipis, Pahang dengan berwalikan bapa kandung.
Hasil perkongsian hidup, dia yang pernah mencuba nasib dalam rancangan realiti Akademi Fantasia dikurniakan empat orang anak, iaitu Siti Nurunnyssa, 14, Anas, 12, Khalid, 8, dan Siti Nurul Mashitah, 5 tahun.
{[['']]}

Saida Nafi Mempunyai Hubungan Dengan Lelaki Bergelar Datuk

http://www.gosipsensasi.co.cc


KUALA LUMPUR, 18 MAC 2011: Biarpun kes permohonan cerai kali kedua yang dibuat oleh penyanyi, Siti Nursaida Tarudin terhadap suaminya masih belum pun lagi selesai, namun dia sudah mula diduga dengan pelbagai tuduhan yang kurang enak.
Apa yang pasti semuanya tercetus bila ada segelintir pihak yang kurang setuju apabila dia tetap dengan pendiriannya untuk bercerai dengan suaminya, Mohd Ghazali, selepas permohonan cerai kali kedua itu dibuat di Mahkamah Rendah Syariah, Isnin lalu.
Pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap bekas bintang program realiti Akademi Fantasia 6 ini. Antaranya, dalam diam-diam dia sudah mempunyai boyfriend. Tidak kurang juga yang menuduh bahawa dia cuba mengikut jejak langkah adiknya yang juga penyanyi popular tanah air, Dato Siti Nurhaliza Tarudin apabila mahukan suami yang kaya-raya serta bergelar Datuk.

Saida dan suami disaat bahagia.

"Terus-terang saya tak gemar untuk mengulas lanjut lagi. Ini kerana bila saya dah mula memberi komen, orang pun semakin seronok nak bercerita tetang saya. Memang semua itu tidak memberi apa-apa kesan kepada saya, cuma tidak eloklah kita nak bercakap tentang keburukan orang lain. Namun terpulanglah apa orang nak kata kerana mulut orang ni, kita tak boleh nak tutup. Saya pun malas nak cakap banyak atau komen mengenainya.
"Apa yang penting saya sekarang tidak mempunyai sebarang hubungan dengan lelaki lain selain suami daripada saya. Apatah lagi mempunyai apa-apa hubungan dengan mana-mana lelaki bergelar Datuk. Lagipun terus-terang saya memang akan mengelak jika ianya berlaku kepada saya," jelasnya kepada murai.com.my
Dalam pada itu, tindakannya ke mahkamah juga menyebabkan dia dituduh mencari publisiti murahan samata-mata untuk menaikkan namanya supaya lebih dikenali sebagai seorang penyanyi.
"Siapa yang mahukan publisiti murahan dan cerita-cerita negatif sebegini. Saya ada sebab ke mahkamah dan saya tak mencari apa-apa publisiti pun tetapi media yang datang kepada saya. Sebagai artis saya tak mampu mengelak dan hanya menjawab setakat yang saya mampu sahaja," jelanya lagi.
Musykil dengan pelbagai tuduhan yang diterima, Saida bagaimanapun mengakui sudah bersiap sedia menghadapinya dan menganggap semua itu adalah sebahagian daripada lumrah hidupnya.
"Saya pun tak tahu lah apa sebabnya orang nak cakap saya begitu. Namun, biasalah manusia bila saya atau pihak perempuan yang memfailkan permohonan cerai pasti semua keburukan akan ditujukan kepada saya. Tetapi saya percaya, kalau suami saya yang membuat perkara yang sama, mesti dia juga dituduh benda yang sama.
"Apa yang boleh saya cakap, hanya saya dan suami sahaja yang tahu apa sebenarnya yang berlaku di antara kami. Jadi biarlah kami sendiri yang selesaikan masalah rumah tangga kami ini secara baik dan damai,"tegasnya.
Pada Isnin lalu, Saida hadir Mahkamah Rendah Syariah untuk permohona cerai kali keduanya terhadap suaminya, Mohd Ghazali. Saida bagaimanapun gagal meneruskan prosiding kesnya berikutan ketidakhadiran suaminya. . Mahkamah kemudian mentepakan 18 Mac 2011 ini untuk sebutan semula kesnya.
Saida dan Mohd Ghazali bernikah pada 14 Disember 1996 dan dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Siti Nurunnyssa ,14, Anas, 11, Khalid, 7 dan Siti Nurul Mashitah, 5.
Oleh Syafiqah Jalal
{[['']]}

Saida Tetap Mahu Bercerai

http://www.gosipsensasi.co.cc

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Saida nekad untuk bercerai meskipun suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri tidak bersetuju dengan permohonan untuk berpisah secara baik yang difailkannya selepas 15 tahun hidup bersama.
Peguam syarie Ahmad Nazib Johari yang mewakili Saida memberitahu, pihaknya memohon untuk meminda permohonan asal mereka kepada bercerai secara fasakh, jika Mohd Ghazali enggan memberi kata putus dalam perkara tersebut.



Saida atau nama sebenarnya Siti Nursaida Tarudin, 35, yang juga kakak kepada penyannyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza pula memberitahu, dia telah cuba untuk berbincang dengan Mohd Ghazali, 40, bagi mencari jalan penyelesaian.
“Kami masih tinggal serumah. Saya ada cuba berbincang, tetapi suami tidak setuju. Saya mohon untuk bercerai kerana kami sudah tiada persefahaman dan perbalahan kami tidak boleh dipulihkan,” katanya.
Bagaimanapun, Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi enggan membenarkan permohonan tersebut kerana beranggapan Mohd Ghazali seharusnya diberikan peluang untuk hadir di mahkamah dan menyelesaikan kes tersebut.
“Mahkamah sentiasa mempunyai budi bicara. Saya mahu lihat kehadiran defendan (Mohd Ghazali). Jika mahu bercerai, mahkamah boleh teruskan. Jika tidak, mahkamah mahu mendengar alasannya,” tambahnya.
Justeru itu, Mohd Suhaily menetapkan kes itu disebut semula pada Jumaat ini untuk kehadiran pihak-pihak.
Beliau juga menasihatkan supaya Saida dan Mohd Ghazali memanfaatkan masa yang ada dengan mencari penyelesaian kepada masalah rumah tangga mereka.
“Bincang sebagai seorang yang dewasa, sebagai ibu bapa. Ingat perceraian yang berlaku akan memberi kesan kepada anak.
“Saya bercakap bukan hanya untuk masa sekarang, tetapi untuk 10 tahun akan datang,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pendirian Mohd Ghazali dalam permohonan itu, peguam syarie Amli Embong memberitahu, ahli perniagaan itu tidak mahu menceraikan Saida.
“Mohd Ghazali mahu mempertahankan rumah tangganya,” kata Amli mewakili Mohd Ghazali yang tidak menghadiri prosiding mahkamah tersebut.
Persoalan mengenai ketidakhadiran Mohd Ghazali juga timbul apabila Amli dan Saida memberikan alasan yang berbeza mengenainya.
Menurut Amli, beliau menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Mohd Ghazali pada pukul 9 pagi Isnin, memaklumkan bahawa beliau tidak sihat dan mempunyai sijil cuti sakit.
Bagaimanapun, Saida memberitahu suaminya kini berada di kampung halaman, iaitu di Teluk Intan, Perak.
Sehubungan itu, Mohd Suhaily memberi peringatan keras bahawa beliau akan mengeluarkan waran tangkap sekiranya Mohd Ghazali tidak menghadiri prosiding Jumaat.
Secara keseluruhan, Mohd Ghazali telah gagal untuk menghadiri tiga prosiding mahkamah.
Saida hadir di mahkamah dengan berpakaian serba hitam dan ditemani oleh kakak iparnya, Rozie Abd Razak.
Dia yang pernah mencuba nasib dalam rancangan realiti, Akademi Fantasia musim ke-enam memfailkan permohonan untuk bercerai pada 6 Oktober 2010 mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam, Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984.
Saida dan Mohd Ghazali berkahwin pada 14 Disember 1996 di kampung halaman penyanyi tersebut, Kuala Lipis, Pahang dengan berwalikan bapa kandung.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Siti Nurunnyssa, 14, Anas, 12, Khalid, 8, dan Siti Nurul Mashitah, 5 tahun.
Mereka yang menetap di Alam Damai, Cheras, di sini tidak pernah bercerai sebelum ini.
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger