{[['']]}
MEMEY memangku bayi lelakinya, Mohamed Darwisz.
Kuala Lumpur: Pengalaman mengasuh anak suami yang juga aktor terkenal, Norman Hakim hasil perkahwinan pertama bersama Abby Abadi membuatkan dramatis, Suhaiza Suhaimi atau Memey, 25, tidak kekok menguruskan anak sulungnya.
Memey selamat melahirkan , Mohamed Darwisz Hakim, di sebuah hospital swasta di sini, jam 9.50 malam kelmarin.
Sewaktu dihubungi, Memey berkata, dia bersyukur kandungannya sihat dan dilahirkan secara normal dengan berat 3.4 kilogram.
Katanya, walaupun sebelum ini sewaktu mengasuh anak tirinya, Danish Hakim, 9, Marissa Dania Hakim, 7, dan Maria Danisha Hakim, 4, mereka sudah besar, ia sedikit sebanyak memberikannya pengalaman.
“Saya tak kekok apabila kali pertama memegang Darwisz dan menyusu badan. Rasa seperti sudah biasa dan bersyukur dengan pengalaman ini,” katanya.
Menceritakan pengalaman melahirkan anak sulung, pelakon berasal dari Kota Tinggi, Johor ini berkata, pada peringkat awal dia berasa sakit pinggang, namun tidak mengesyaki apa-apa kerana menganggapnya normal.
NORMAN mengucup Mohamed Darwisz.
“Saya mula terasa sakit 31 Januari lalu, dan pada sama doktor menjangka saya akan melahirkan anak pada 28 Januari. Selepas memberitahu Norman, dia turut jangka saya mahu bersalin,” katanya.
Jelas Memey, Norman yang baru pulang menjalani penggambaran jam 6 pagi kelmarin bergegas membawanya ke hospital.
“Disebabkan mahu melahirkan anak sulung secara normal, saya terpaksa tahan selama satu hari hinggalah kelmarin selepas Maghrib, doktor berkata saya bersedia untuk melahirkan,” katanya.
Memey berkata, sepanjang proses melahirkan, Norman turut berada di sisi dan mengazankan Darwisz.
Bayi itu dilahirkan dua minggu awal daripada tarikh jangkaan bersalin.
Tambah Memey, dia juga bersyukur apabila proses kelahirannya tiada sebarang komplikasi lebih-lebih lagi apabila Norman berada di sisinya sepanjang tempoh masa untuk melahirkan.
"Saya rasa tenang sedikit ketika dalam keadaan sakit melalui proses kelahiran, Norman sempat memberi pelbagai nasihat.
"Dan sepanjang masa itu, saya hanya mengikut kata-katanya dan ternyata nasihat-nasihat yang diberikan banyak membantu saya melahirkan Darwisz, Alhamdulillah," tuturnya.
Sementara itu, Memey memberitahu, dia akan berpantang secara tradisional di rumahnya Kuala Lumpur selama dua minggu dan kemudian akan pulang ke kampungnya untuk meneruskan rawatan berpantangnya itu.
Pasangan itu bernikah pada 24 September 2011 di kampung halaman Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor
Sebelum ini, Norman pernah mendirikan rumah tangga dengan Abby pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim,3. Mereka bercerai pada 18 Disember 2008.
Post a Comment