Latest Post :
Recent Post
Showing posts with label Ana Raffali. Show all posts
Showing posts with label Ana Raffali. Show all posts

Ana Raffali Sah Bergelar Isteri Ahmad Aznaim



KUALA LUMPUR - Hanya dengan sekali lafaz, penyanyi popular  Ana Nur Hidayah Mohd Raffali atau Ana Raffali sah bergelar sebagai isteri Ahmad Aznaim Abdullah, 30, tepat pada jam 11.55 pagi tadi, pada majlis yang berlangsung di  Masjid Al Hidayah, Taman Melawati di sini.
Pasangan Ana-Ahmad Aznaim dinikahkan oleh bapa Ana sendiri, Mohd Raffali Mohd Nor dengan mas kahwin RM11,412.
Pada majlis itu, Ana, 26, turut menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki.
Pihak perempuan pula membalas dengan sembilan dulang.





Penyanyi Tolong Ingatkan Aku ini mengumumkan tarikh nikah mereka akhir bulan lalu. Ana mengenali Ahmad Aznaim sejak 2005.
Pada sidang media akhir bulan lalu, Ana berkata: "Naim ialah seorang jurugambar dan kami berkenalan melalui sepupu saya. Secara kebetulan, saya memang minat bidang fotografi."
“Disebabkan minat yang sama, kami semakin serasi. Namun, ketika itu Naim tidak mengetahui bahawa saya mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan penciptaan lagu,” katanya.
Katanya, sikap Naim yang penyabar membuatkan dia tertarik dengan jejaka pilihannya itu dan secara tidak langsung membuka hatinya untuk lebih serius dalam hubungan tersebut pada 2008.
Oleh:Siti Nursyahidah Abu Bakar
{[['']]}

Ana Raffali Sahkan Akan Bernikah Pada 26 Februari 2012

Ana Raffali dan Naim telah berkawan rapat sejak enam tahun lalu.


KUALA LUMPUR: Teka teki mengenai tarikh perkahwinan penyanyi Ana Raffali akhirnya terjawab apabila penyanyi itu mengesahkan akan bernikah dengan kawan karibnya Ahmad Aznaim Abdullah (Naim), 30, pada 25 Februari depan.
Ana Raffali atau nama sebenarnya Ana Nur Hidayah Mohd Raffali, 26, bakal bernikah di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati dekat sini.
Ia dimulakan dengan acara bertunang pada pukul 10.30 pagi dan sejam kemudian, majlis akad nikah akan dilakukan oleh bapanya, Mohd Raffali Mod Nor.
Majlis resepsi diadakan pada hari sama sejurus selepas akad nikah di masjid tersebut.
"Keluarga Naim telah merisik saya pada awal bulan Disember dan kedua-dua belah keluarga menetapkan 25 Februari depan sebagai tarikh hari bahagia kami.
"Nak diikutkan kami ingin berkahwin pada hari lahir Naim pada 24 Februari kerana dia mahu kami dinikahkan sebelum umurnya menginjak 30 tahun.

Keluarga Naim telah merisik Ana Raffali pada awal bulan Disember tahun lalu.

“Kemudian, apabila difikirkan semula, tak apalah, sehari selepas itu pun tidak ada masalah," kata Ana pada sidang akhbar pengumuman majlis perkahwinannya di PNB Darby Park, di sini, Selasa.
Ana dan Naim berkawan sejak enam tahun lalu.
Pada sidang akhbar itu, kedua-dua orang tua Ana dan Naim serta keluarga terdekat mereka hadir.
Ana turut melancarkan single lagu terbarunya berjudul Lisa Jatuh Cinta yang mengisahkan tentang kisah cintanya.
Pada majlis perkahwinan penyanyi yang popular dengan lagu Tolong Ingatkan Aku itu nanti, pihak perempuan akan menerima sebanyak tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.
Bagaimanapun, wang hantaran tidak akan diberikan kepada pihak perempuan sebaliknya hanya menerima mas kahwin yang belum ditentukan jumlahnya.
Tambah Ana, dia juga enggan mengadakan majlis besar-besaran hanya kerana dirinya seorang artis sebaliknya lebih selesa dengan majlis yang sederhana.
"Selama ini saya tidak pernah merasakan diri ini sebagai selebriti dan seperti orang biasa juga, kami sekeluarga ingin mengadakan majlis secara sederhana.
"Yang penting, kami dapat melakukan perkara yang wajib dan melayan tetamu. Berdasarkan perkiraan yang dibuat, mungkin seramai 1,000 orang tetamu akan hadir," ujarnya.
{[['']]}

Ana Raffali Juara AJL 25




KUALA LUMPUR: Lagu Tolong Ingatkan Aku dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-25 di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, Ahad.
Dengan kemenangan Tolong Ingatkan Aku ciptaan sepenuhnya dan nyanyian oleh Ana Raffali telah berjaya membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai keseluruhan sebanyak RM35,000.
Tolong Ingatkan Aku telah berjaya mengalahkan 13 buah lagu lain iaitu Cinta Sempurna nyanyian Yuna dan ciptaan dia sendiri, Berlari (Tomok/ Tomok & Shazee Ishak/ Tomok), Pelita (A.P.I/ Loque), Kebahagiaan Dalam Perpisahan (Shahir/ Edry Abdul Halim), Noktah Cinta (Hafiz/ Ajai/ Sheikh Qalam), Drama King (Meet Uncle Hussain & Black/ Taja/ Tun Teja).
Turut bertanding adalah lagu Selamat Malam (Faizal Tahir/ Audi Mok/ Faizal Tahir), Ku Ada Kamu (Adira/ Edry Abdul Halim), Extravaganza (Bunkface/Sam Bunkface/ Bunkface), Sofea Jane (Black/ Sham Kamikaze & Iswandy/ Farril), Hanyut (Faizal Tahir/ Audi Mok/ Faizal Tahir), Jahat (Stacy/ Edry Abdul Halim) dan Mencari Konklusi (Hujan/ Noh Hujan).

                                        Barisan pemenang yang memenangi AJL25.
 
Sementara bagi naib juara dimenangi oleh lagu Drama King ciptaan Taja serta lirik oleh Tun Teja yang dinyanyikan oleh Black dan Meet Uncle Hussain sekaligus membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM15,000.
Dalam pada itu, pemenang tempat ketiga berjaya dimenangi oleh lagu Noktah Cinta ciptaan Ajai dan lirik oleh Sheikh Qalam nyanyian Hafiz yang turut berjaya menggondol hadiah trofi dan wang tunai RM12,000.
Bagi pemenang persembahan terbaik diraih oleh Faizal Tahir menerusi lagu Hanyut (trofi & wang tunai RM10,000) dan vokal terbaik dinobatkan kepada Hafiz menerusi lagu Noktah Cinta (trofi & wang tunai RM10,000).

                
                      Datuk Siti Nurhaliza turut membuat persembahan 'interlude'.
  
 Persembahan 13 finalis AJL25 diadili oleh juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik iaitu pemuzik Acis, komposer Azmeer, penulis lirik Habsah Hassan, komposer Andy Flop Poppy, penyanyi Amy Search, komposer Pacai dan komposer M. Nasir selaku ketua juri.
Seperti tahun sebelum ini, penjurian dilakukan berdasarkan markah sebanyak70 peratus yang diadili terlebih awal manakala 30 peratus lagi melalui persembahan pada malam kemuncak.
Pertandingan yang bertemakan Music Mapping atau Pemetaan Muzik ini dihoskan oleh gandingan tiga pengacara hebat iaitu Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ally Iskandar.

 

Tiga pengacara AJL25 iaitu Cheryl Samad, Ally Iskandar dan Faizal Ismail.

Selain menyaksikan finalis-finalis yang bertanding, AJL turut menjemput penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sharifah Aini dan Ziana Zain dalam persembahan interlude selain M.Nasir, Nash, dan Francissca Peter sebagai persembahan pembukaan dengan iringan muzik orkestra bimbingan pemuzik hebat Datuk Ramli MS.
AJL25 yang disiarkan oleh TV3 dan stesen radio Hot FM ini turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri FaridRidzuan.
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger