Latest Post :
Recent Post
Showing posts with label Azza Elite. Show all posts
Showing posts with label Azza Elite. Show all posts

Azza (Elite) Mengandung Selepas Makan Kurma



PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Azza (Elite) menjadikan petua makan buah kurma dan berdoa setiap hari pada bulan Ramadan lalu antara penyebab dia bakal memperoleh anak sendiri selepas disahkan mengandung kira-kira lima minggu.

Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 34, berkata, dia tidak menyangka kehadiran Ramadan yang digunakan sebaik-baiknya itu dibalas dengan rezeki besar dalam rumah tangganya selepas berkahwin dengan Azlan Zulaily, 25, pada 2 April lalu.

"Keinginan untuk mendapatkan cahaya mata bagi setiap pasangan suami isteri yang baru berkahwin pastinya ada, begitu juga dengan saya dan suami.

"Jadi, saya mengambil keberkatan bulan Ramadan lalu dengan berdoa setiap hari kepada Tuhan agar diberi zuriat selain mengamalkan petua pengambilan buah kurma dan limau dengan lebih kerap.

"Tapi, tak sangka pula secepat ini hasilnya kerana saya tidak mengamalkan petua-petua lain. Alhamdulillah, kami bersyukur dengan rezeki ini," katanya kepada mStar Online.


 Azza dan Azlan telah diijabkabulkan pada 2 April lalu.

Dalam pada itu, Azza memberitahu dia enggan memanjakan diri dengan berehat sementara daripada segala aktiviti seni walaupun ada yang berpendapat jika terlalu aktif ia mampu menjejaskan kandungan.

"Ada beberapa perkara yang saya rasa pelik dengan petua-petua yang diberikan kononnya ibu mengandung tidak boleh buat kerja-kerja berat selalu kerana boleh mengakibatkan keguguran.

"Tetapi saya lihat, ibu-ibu mengandung yang kehidupannya susah, boleh pula bekerja keras setiap hari macam biasa dan mereka masih lagi mampu melahirkan anak yang sihat.

"Kadang-kadang geram juga dibuatnya apabila saya sering ditegur kerana angkat barang-barang. Saya percaya, kehadiran dan kehilangan sesebuah rezeki semuanya datang daripada kuasa Allah," tuturnya.

Bagaimanapun, beritahu Azza, dia hanya akan mengurangkan aktiviti seninya apabila perutnya semakin membesar.

Hasil perkahwinan terdahulu selama tiga tahun, Azza tidak dikurniakan cahaya mata tetapi pelakon itu dan suami bersetuju untuk mengambil seorang anak angkat bernama Marissa Jannah yang kini berusia tujuh tahun.

Dalam perkembangan lain, Azza bakal muncul menerusi drama Mujahid dan Mesin Cinta Atuk di TV2 dalam masa terdekat ini serta bakal memulakan penggambaran drama berjudul Julia bagi siaran TV3.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
{[['']]}

Gambar Majlis Persandingan Watie Elite Dan Joey

Anak tunggal Watie iaitu Adam segak berbaju Melayu bagi meraikan hari bahagia ibunya.

KUALA LUMPUR: Pasangan kontroversi, Norwati Sadali atau Watie Elite dan suaminya, Zulkifli Daud (Joey) akhirnya mendedahkan tarikh pernikahan sebenar mereka selepas hampir lima bulan berteka-teki dengan pihak media.

Watie, 35, berkata, dia dan Joey telah selamat bernikah pada 22 Disember tahun lalu di kediamannya di Bukit Antarabangsa di sini dengan berwalikan adiknya iaitu Mohd Nor Azni Sadali.

"Ada banyak sebab mengapa kami enggan mendedahkan mengenai pernikahan kami kepada pihak media pada masa itu walaupun sebenarnya ingin berterus terang.

"Bagaimanapun semuanya telah selesai dengan baik dan diharapkan penjelasan ini telah menjernihkan keadaan," ujarnya kepada mStar Online.

Watie dan Joey, 38, ditemui ketika diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang diadakan di kediaman Setiausaha Akhbar Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ruhaidini Abd Kadir.

Watie dan Azza bersama pasangan masing-masing teruja dapat bersanding bersama-sama.

Turut diraikan adalah rakan baiknya iaitu Azza dan pasangannya iaitu Azlan Zulaily.

Terdahulu, pasangan ini kecoh dikatakan telah bernikah secara senyap dan apabila ditanya kedua-dua mereka enggan mengulas mengenai dakwaan tersebut.

Dalam pada itu, berkongsi detik dia dilamar suaminya, Watie berkata, Joey telah melamarnya pada ulang tahunnya pada 20 April tahun lalu namun tidak mengambil terlalu serius dengan lamaran tersebut.

Namun kata Watie, tanpa disedari suaminya itu telah menguruskan semua hal berkaitan pernikahan mereka dan hanya mengetahui akan dinikahkan pada tengah hari sebelum majlis dilangsungkan.

"Saya benar-benar tidak tahu Joey dan keluarga saya telah berpakat untuk mengadakan majlis itu dan pada tengah hari 22 Disember itu kakak saya telah menyuruh agar saya bersolek dan mengenakan pakaian yang cantik kerana keluarga Joey ingin bertandang.

"Masa tu saya tak fikir lain dan hanya menyangka kehadiran keluarga Joey dari Johor hanyalah untuk merisik saya dan tak sangka lepas solat Asar Tok Kadi semua ada di dalam rumah," katanya.

Pada majlis tersebut, turut hadir bagi memeriahkan majlis adalah kerabat diraja Pahang iaitu Datuk Tengku Kamaruzaman.

TENGKU KamaruLzaman menepung tawar pasangan mempelai Watie dan Azza (dua dari kanan) di Bandar Baru Bangi, Selangor semalam. 


Pasangan bahagia.

Manakala artis yang turut hadir adalah Mawi dan isteri, Ekin, Haiza, Maya, Zain Saidin, Sasha (Elite) dan Zila Bakarin.

Sementara itu, Watie yang kelihatan anggun dalam busana pengantin dari rona emas memberitahu berasa teruja dapat bersanding dengan rakan baiknya namun memohon maaf kerana tidak dapat menjemput semua kenalan ke majlis tersebut.

Watie berkata, dia dan Joey akan bersanding sekali lagi pada 7 Julai depan di Mydin Subang Jaya bersempena dengan karnival perkahwinan pasaraya itu dan berhasrat untuk menjemput semua kenalannya.

"Insya Allah majlis resepsi di Mydin nanti saya akan jemput semua rakan-rakan untuk hadir," ujarnya.

Watie dan Azza juga menerima kejutan daripada Tengku Kamaruzzaman yang telah menaja percutian ke Pulau Tioman kepada mereka sebagai hadiah berbulan madu.

Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI
{[['']]}

Azza 'Elite' Dituduh Jahil Ilmu Agama

AZZA terharu apabila rakan-rakan yang pernah bersamanya menganggotai kumpulan Elite (dari kiri) Abby Abadi, Watie Sadali dan Shasha Saidin dapat hadir pada majlis akad nikahnya ini.

PADA 1 April lalu, Noor Azzarima Zawari atau lebih dikenali sebagai Azza, telah melangsungkan pernikahan bersama kekasih yang dikenali hampir dua tahun lalu, Azlan Zulaily yang juga seorang pramugara syarikat penerbangan tempatan.

Masih terang warna inai di jari, namun sudah ada kata-kata kurang enak tentang cara pemakaian selendang Azza pada majlis pernikahannya yang berlangsung dalam Masjid Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor itu.

Kemanisan mengecapi bahtera perkahwinan tercalar sedikit ekoran tuduhan terhadap diri Azza yang ditohmah sebagai seorang yang jahil tentang ilmu agama kerana tidak menutup aurat ketika berada di dalam pekarangan masjid untuk majlis akad nikahnya itu.

Sebagai seorang Islam, sememangnya agak keras tuduhan jahil tentang hukum agama yang dilemparkan terhadap bekas anggota kumpulan Elite itu.

Azza yang dihubungi Kosmo! kelmarin berkata: "Azza faham ia menyentuh sensiviti masyarakat, jadi Azza ingin meminta maaf secara terbuka jika selendang yang Azza pakai itu menjadi isu. Azza akui sangat sedih dan tidak tahu mahu berkata apa.

"Tapi tidak mengapa kerana dalam dunia ini tidak semua orang suka kita. Saya terima dengan sabar. Biarlah mereka mahu berkata, kerana apa yang penting kejadian ini akan membuatkan Azza lebih berhati-hati pada masa akan datang."

Namun begitu, Azza bersyukur kerana ada peminat dan rakan-rakan yang sentiasa setia menyokong karier dan dirinya walau apa pun yang terjadi.

Menyingkap sejarah sebelum Azza, 34, dan Azlan, 25, bersatu sebagai suami isteri, ujar Azza, lebih setahun lalu, dia berkenalan dengan Azlan di Mydin Mall, USJ, Subang, Kuala Lumpur semasa membuat persembahan. Sejak dari itu, telah bersemai bibit-bibit cinta antara mereka berdua sehingga membawa mereka ke jenjang pelamin.


Sempena perkahwinannya itu, Azza menerima mas kahwin sebanyak RM300 dan wang hantaran berjumlah RM10,000.

Selain itu, Azza menerima sembilan dulang hantaran daripada pengantin lelaki, antaranya dua bentuk cincin, set wangian, al-Quran dan sejadah serta buah-buahan manakala pihak lelaki pula menerima 11 dulang hantaran yang berupa set wangian, set persalinan, set dompet dan sebagainya.

Mungkin terlalu gementar, hanya selepas tiga kali lafaz, Azza sah bergelar isteri kepada Azlan tepat pukul 5.27 petang itu yang dinikahkan oleh jurunikah, Abdul Hakim Abdul Rahman.

"Semestinya dalam diri saya ini memang wujud perasaan penuh tanggungjawab setelah bergelar suami selain gemuruh dan pelbagai lagi perasaan yang bercampur-baur," ulas Azlan yang tidak kisah dengan perbezaan umur antara dirinya dan Azza.

Tambahnya: "Sebab apa saya memilih Azza untuk dijadikan teman hidup ialah kerana dari segi karakternya sendiri. Dia seorang yang kelakar dan dia juga seorang yang penyayang. Anaknya, Marissa juga saya telah anggap seperti anak saya sendiri.

Berbicara mengenai perancangan untuk menambah bilangan ahli keluarga, mereka berdua sepakat belum lagi mempunyai perancangan untuk berbuat demikian. Namun, andai kata rezeki daripada Tuhan diberi lebih awal, Azza dan Azlan bersyukur dengan pemberian tersebut.

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
{[['']]}

Gambar Azza Elite Dan Azlan Selamat Diijabkabulkan


Azza (Elite) kini sah menjadi isteri kepada pramugara AirAsia, Azlan selepas dua tahun bercinta.

AMPANG: Selepas hampir tujuh tahun menjadi janda, pelakon dan penyanyi Azza(Elite) akhirnya sah bergelar isteri kepada pramugara penerbangan AirAsia iaitu Azlan Zulaily dengan hanya tiga kali lafaz.

Kedua-dua pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Bukit Antarabangsa ustaz Hakim Abdul Rahman di sini pada Ahad selepas solat Asar.

Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari,34, kelihatan ayu mengenakan pakaian nikah rekaan Syafeq Aiman berwarna krim sementara solekan pula sentuhan Deq Sha.

Pada majlis itu pihak lelaki membawa sembilan dulang hantaran yang antaranyaterdiri daripada beg tangan, buah-buahan, Al-Quran, coklat, cincin, manisan serta emas kahwin berjumlah RM300.

Pihak perempuan pula membalas sebanyak 11 dulang hantaran antaranya minyak wangi, sirih junjung, buah-buahan, cincin dan persalinan.

Kedua-dua belah pengantin bersetuju dengan jumlah wang hantaran sebanyak RM10,000.

Majlis yang serba sederhana itu turut dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak, rakan-rakan media serta teman artis seperti Rozita Che Wan, Roslan Shah serta anggota Elite iaitu Abby Abadi, Watie dan Sasha.






Azza yang mengenali Azlan, 25, sejak dua tahun lalu berharap perkahwinan tersebut adalah terakhir buat dirinya selepas kegagalan rumah tangganya sebelum ini.

“Saya berharap perkahwinan ini akan membawa kebahagiaan kepada saya dan Azlan. Syukurlah dia boleh menerima saya seadanya walaupun jarak usia kami hampir sembilan tahun,” katanya.

Sementara itu Azlan yang mengenakan pakaian baju Melayu putih gading pula menganggap faktor perbezaan usia bukan penghalang untuk dia mencintai wanita itu.

“Azza seorang yang ramah dan tidak susah untuk memahaminya. Yang penting sikap lucunya itu telah membuka hati saya untuk jatuh cinta kepadanya,” kata Azlan.

Majlis resepsi kedua-dua pasangan itu mendapat tajaan pasaraya Mydin dan akan diadakan di Ipoh pada tarikh yang belum ditetapkan lagi.

Azza sebelum ini pernah berkahwin dengan Mohd Ehsan Tun Ahmad Zaidi Adruce pada 14 Februari 2001 di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur dan berpisah pada tahun 2005.

Hasil perkahwinan itu mereka tidak mendapat cahayamata sebaliknya Azza memilih untuk memelihara seorang anak angkat iaitu Marissa Janna yang kini berusia tujuh tahun.
Oleh NIEZAM ABDULLAH
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger