Latest Post :
Recent Post
Showing posts with label Diana Danielle. Show all posts
Showing posts with label Diana Danielle. Show all posts

Diana Danielle Hamil, Farid Kamil Yang Muntah-Muntah

Farid Kamil dan Diana Danielle..sama cantik dan sama padan.

Pengantin dikejutkan dengan hadiah kereta mewah BMW daripada bapa Farid.
 

Sama cantik sama segak. Hampir sebulan disatukan sebagai suami isteri, pasangan serasi, Farid Kamil dan Diana Danielle diraikan dalam majlis resepsi yang berlangsung di Taman Ekuestarian Putrajaya, Sabtu lalu.

Memenuhi impian perkahwinan dalam taman si mempelai wanita, majlis turut diserikan dengan kejutan buat tetamu yang dirangka sendiri sang suami.

Dari awal lagi, perhatian tetamu sudah diraih apabila dua pelakon popular tanah air ini tiba menaiki kereta kuda yang dikendalikan pegawai khas unit berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tidak cukup di situ, pasangan pengantin yang secocok berpakaian serba putih kemudiannya diarak ke pelamin.

Tentunya, majlis ini lebih bermakna buat Farid dan Diana kerana mereka tidak berdua, sebaliknya turut ditemani 'si kecil' yang berada di dalam perut Diana.

Bakal bergelar ibu bapa sembilan bulan lagi, pengantin baru yang ditemui selepas majlis berakhir sempat berkongsi keterujaan mereka sebaik mengetahui kehamilan Diana.

"Kami tak pun jangka saya akan hamil secepat ini. Debaran itu tiada, tetapi lebih kepada teruja.

"Apa pun, saya terima kurniaan Tuhan ini dengan senang hati," kata Diana yang semakin berseri.

Memandangkan usia kandungan masih baru, Diana memberitahu dia belum mengalami simptom ibu mengandung.

Sebaliknya, suami tercinta pula yang sering muntah-muntah pada waktu pagi.

"Ada orang cakap, simptom ibu hamil boleh terkena pada ayah.

"Apabila saya mengadu pada Diana, dia suruh saya bersabar," kongsi Farid pula.

Dalam pada itu, Diana turut menafikan dia cuba melarikan diri daripada media sebaik mengumumkan kehamilannya di laman sosial.

"Saya harap anda (media) tidak marah. Saya memang suka berkongsi hal peribadi dengan peminat.

"Tetapi, bagi saya, cukuplah setakat itu. Saya tidak gemar  bercerita lebih," pinta Diana memohon pengertian.

Puji masakan Diana

Seperti pasangan lain yang baru mendirikan rumah tangga, Farid dan Diana juga kini dalam proses lebih mengenali diri masing-masing.

Menariknya, kata Farid, walaupun sebelum ini mereka bercinta hampir tiga tahun, dia tidak menyangka isterinya boleh memasak.

"Ternyata, sangkaan saya silap kerana Diana sudah boleh memasak makanan kegemaran saya seperti nasi tomato dan ayam masak merah.

"Walaupun ada kekurangan, saya tetap suka masakan dia kerana Diana sangat bersungguh-sungguh," katanya.

Diana pula mengakui dia sememangnya mahu menambat hati suami melalui masakan.

"Tips ini diberikan sendiri ibu Farid dan saya ambil serius.

"Saya mahu bahagiakan Farid, sebab itu saya tidak kisah belajar memasak deminya," kata Diana pula.

Tangguh belajar

Sebelum ini, Diana pernah melahirkan hasratnya untuk melanjutkan pelajaran di Australia selepas berkahwin.

Namun, memandangkan dirinya kini berbadan dua, kata Diana, berkemungkinan dia terpaksa menangguhkan hasrat tersebut.

"Saya memang teringin sambung belajar, tetapi semuanya bergantung kepada keadaan.

"Mungkin saya akan fikirkan balik kerana semua perkara ini berlaku dengan pantas," katanya.

Bagaimanapun, menurut Diana, dia tidak mempunyai perancangan untuk memperlahankan karier seninya selepas hamil.

"Saya tidak mahu jadikan kehamilan ini sebagai alasan untuk 'goyang kaki'.

"Jika ada tawaran bersesuaian, saya akan terima. Lagipun, saya seorang yang aktif dan tidak reti duduk diam," katanya.

Tetamu terpaksa bergelap

Mengulas mengenai resepsi yang diadakan, kedua-duanya berpuas hati dengan perjalanan majlis.

"Kalau diikutkan sepatutnya saya dan Diana datang dengan menaiki kuda.

"Tetapi, kami tukar perancangan itu di saat akhir kerana saya risaukan kandungan dia," kata Farid.

Meskipun majlis beberapa kali terganggu dengan masalah ketiadaan elektrik, kedua-dua mempelai memanjatkan syukur kerana segala perancangan mereka berjalan lancar.

"Kami mohon maaf sekiranya ada kekurangan dalam majlis ini yang kami sendiri tidak jangkakan.

"Bagaimanapun, kami sangat berterima kasih kepada 600 tetamu yang sudi meraikan hari bersejarah ini dengan kami," kata Farid.

Mengenai majlis resepsi sebelah lelaki yang akan diadakan di Jitra, Kedah, kata Farid, mereka masih mengekalkan konsep 'garden wedding'.

"Cuma perbezaannya nanti, majlis itu akan diselitkan dengan unsur Melayu tradisional.

"Setakat ini, tarikhnya masih belum ditentukan," katanya.

OLEH SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
{[['']]}

Gambar Majlis Pernikahan Farid Kamil & Diana Danielle





Diana Danielle (kanan) dan Farid Kamil selepas upacara membatal air sembahyang pada acara akad nikah pasangan itu di Flamingo By The Lake, Ampang pada pagi Sabtu.

AMPANG: Dengan sekali lafaz nikah, aktres jelita Diana Danielle Danny Beeson akhirnya bergelar isteri kepada aktor dan pengarah filem, Farid Kamil Zahari dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Flamingo by the Lake di sini, pagi Sabtu.

Pasangan itu dinikahkan oleh Pegawai Tadbir Agama yang juga Pendaftar Kanan Perkahwinan Daerah Gombak, Daim Jajuli kira-kira pada pukul 9.12 pagi berwali hakim manakala dua rakan Farid, Ahmad Razif Hamzah dan Abdul Hamid Abdul Razak menjadi saksi.

Diana, 21, berkata dia sukar untuk menggambarkan perasaannya kerana berasa lega, tenang dan gembira dengan kelancaran majlis.

“Saya tidak terkata. Syukur sangat semuanya (majlis) berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada keluarga mama yang datang jauh dari Perak dan keluarga baru (mertua) dari Kedah,” katanya.

Farid, 31, pula berkata, dia berasa gembira kerana akhirnya dia dapat memperisterikan Diana yang sudah hampir empat tahun dikenalinya.

“Saya gembira dan bersyukur kerana dapat isteri. Sejak awal perkenalan lagi saya sudah terdetik untuk memperisterikan Diana.

“Namun, ia tertangguh kerana faktor usia Diana yang terlalu muda dan belum sampai seru (ketika itu).

“Saya berdoa agar Diana menjadi isteri yang soleh dan perkahwinan ini kekal ke alam syurga,” katanya.

Diana menerima mas kahwin sebanyak RM10,000 dan wang hantaran berjumlah RM20,000 mengikut nilai pelaburan emas.

Pihak perempuan menerima lima dulang hantaran daripada pengantin lelaki yang berupa motosikal mini Kawasaki KSR 110, telekung dan Al Quran, cincin Tiffany & Co, wang hantaran dan sireh junjung.

Sementara pihak Farid pula mendapat tujuh dulang hantaran iaitu tepak sireh, sebentuk cincin dan dompet, sebuah album foto, sebuah motorsikal mini, produk kecantikan Hugo Boss, majalah Polo International dan manisan.



Hanya dengan sekali lafaz mereka sah sebagai suami isteri.



 Bersama Ibu Farid Kamil Dan Ibu Diana Danielle.




Salah satu barang hantaran dari pihak Diana Danielle, mini bike Kawasaki KSR 1000.





Pada majlis itu, Diana ditemani ibunya, Norsiah Ramli manakala pihak lelaki diwakili ibu dan bapa, Datuk Dr Zahari Che Dan dan Datin Sharifah Bardah Idid Syed Abdyllah Idid serta adik-beradik Farid.

Aktres berdarah kacukan itu tampil ayu bertudung dengan padanan baju kurung tradisional rona putih dan merah jambu rekaan Wanpa.

Sementara Farid pula segak dengan sut putih rekaan Andy dan menyarung capal.

Majlis berkonsepkan perkahwinan dalam taman itu dihadiri kira-kira 300 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat, teman-teman rapat, rakan artis dan wakil media.

Antara selebriti yang menyerikan majlis adalah penerbit MIG David Teo, pelakon Yana Samsudin dan Iqram Dinzly.

Pasangan pengantin turut menerima hadiah istimewa daripada David iaitu seutas jam tangan untuk Farid dan gelang buat Diana.


Oleh WAHIDUZZAMAN
{[['']]}

Diana Danielle Bakal Nikah Berwali Hakim,Kerana Gagal Temui Bapa Kandung



Tinggal kurang 72 jam saja lagi, pasangan pelakon Farid Kamil dan Diana Danielle bakal bergelar suami isteri. Pasti sekarang ini mereka berdua sibuk membuat persiapan terakhir untuk majlis yang akan berlangsung pada Sabtu ini.

 Sikit perkembangan tentang perkahwinan mereka nanti, menurut laporan media hiburan hari ini menyebut yang Diana Danielle akan diwalikan hakim bagi majlis akad nikah nanti kerana usaha mencari bapa kandungnya menemui jalan buntu.

Segala usaha khabarnya telah diusahakan oleh pihak keluarga Diana Danielle untuk mencari bapa kandungnya termasuklah pengiklanan melalui surat khabar, namun tetap hampa.

Islam itu mudah agamanya dan wali hakim tetap altenatif yang sah untuk meneruskan hasrat murni pasangan popular ini untuk berumahtangga.

Semoga majlis mereka berdua berjalan lancar. InsyaAllah.


Sumber: Media Hiburan
{[['']]}

Sah!! Farid Kamil & Diana Danielle Akan Nikah 3 November



PETALING JAYA: Setelah berteka teki mengenai tarikh perkahwinan, pasangan pelakon Farid Kamil, 31, dan Diana Danielle, 21, akhirnya mengesahkan bakal disatukan sebagai suami isteri pada 3 November depan.

Berita gembira itu diumumkan sendiri oleh Farid pada pra tonton filem Pe3 terbitan Metrowealth Movie Productions di sini, pada malam Isnin.

"Syukur, hubungan kami mendapat restu keluarga. Insya-Allah kami akan bernikah pada 3 November ini. Doakanlah kebaikan perkahwinan kami," katanya ringkas.

Sebelum ini, pasangan tersebut membuat kejutan apabila bertunang dalam diam pada1 September lalu.

Majlis yang diadakan di Damansara dekat sini itu dilakukan secara sederhana dan hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Pada majlis berkenaan kedua-dua pihak pada mulanya merancang untuk mengadakan majlis pernikahan selepas setahun bertunang.

Diana dan Farid menyulam cinta selama tiga tahun dan hubungan mereka pernah putus tetapi disambung semula.

Farid sebelum ini pernah bercinta dengan Irma Hasmie tetapi hubungan itu tidak kekal sementara Diana pula dengan pengarah dan aktor Syamsul Yusof.
{[['']]}

Tahniah!! Farid Kamil Dan Diana Danielle Selamat Bertunang

Gambar majlis pertunangan Diana Danielle dan Farid Kamil.

Selepas tiga tahun menyulam benang cinta dan melalui suka duka pasangan berkasih, akhirnya pelakon filem Hantu Gangster, Diana Danielle dan Farid Kamil selamat mengikat tali pertunangan di kediaman aktres itu di Damansara, Petaling Jaya, kelmarin.

Pada majlis yang berlangsung sekitar jam S petang itu, Diana menerima sebentuk cincin yang disarungkan ibu Farid sebagai tanda dia sudah diikat jejaka tinggi lampai itu.

Diana yang cukup anggun mengenakan baju kurung corak songket pancawarna dengan tatarias jurusolek Chot menerima tiga dulang hantaran daripada pihak lelaki berbalas lime dulang. Antara barangan yang diberi termasuk senaskhah al-Quran, pakaian dan kasut.

Mengulas perjalanan majlis pertunangan anak tunggalnya itu, ibu Diana, Norsiah Ramli atau lebih akrab disapa Mama Norsiah berkata, dia bersyukur kerana majlis yang dirancang sejak sebulan lalu berlangsung sempurna.

“Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar. Sebagai ibu tiada apa yang lebih menggembirakan selain melihat Diana bahagia.

“Mama harap pertunangan ini akan kekal sehingga ke jenjang pelamin dan Farid dapat menjaga Diana dengan baik,” kata Norsiah kepada HIP.

Ternyata pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini bijak menyimpan rahsia majlis pertunangan hingga tiada siapa menghidunya. Mengulas perkara itu, Norsiah berkata, keputusan itu dibuat atas kehendak anak dan bakal menantunya.

“Bukan niat untuk merahsiakannya daripada sesiapa. Cuma itu kehendak Diana dan Farid yang mahu majlis dihadiri keluarga dan saudara mara terdekat. Tiada rakan artis yang diundang. Lagipun ini hanyalah majlis pertunangan saja. Jadi kami buat seringkas yang boleh,” ujarnya.

Ditanya berapa lama pertunangan diikat, Norsiah berkata, tiada tarikh ditetapkan tetapi paling lama mungkin setahun.

Bagaimanapun, sehingga malam tadi, Diana dan Farid gagal dihubungi untuk mengulas pertunangan mereka.

Sebelum ini, Diana dan Farid dikatakan putus cinta. Namun jodoh mereka ternyata kuat apabila ikatan terlerai, disambung kembali.

Berita pertunangan pasangan ini sekali gus mengesahkan desas-desus kononnya Diana dan Farid akan bertunang dalam masa terdekat. Ini berikutan cerita Farid yang juga pengarah filem V3 dan Kongsi menghadiahkan sebentuk cincin kepada buat hatinya itu, tersebar.

Bagaimanapun, ketika itu, mereka menafikan perkara berkenaan. – Berita Harian Online
{[['']]}

'Hero Baru Malaya' Dan Diana Danielle Bercium?

   

Kalau selama ini, berikanlah watak seorang kekasih atau sebagai suami romantik kepadanya, Remy Ishak sememang sedia menginterpretasi dengan jayanya. Malah karakter Adam dalam Nur Kasih baik versi filem mahupun drama, antara hasil lakonan aktor berusia 30 ni yang mendapat pujian ramai. Hinggakan dia menerima jolokan sebagai 'Hero Baru Malaya'. Tetapi dalam filem terbarunya, Jiwa Taiko, Remy memberi persembahan yang sedikit berbeza, masih sebagai kekasih tetapi sandiwaranya kali ini lebih 'ekstrem'.

'Ekstrem' yang bagaimana? Selain babak aksi, filem arahan pengarah Osman Ali ni menuntut Remy sebagai Firman Mustaqim, yang berpasangan dengan aktres muda jelita, Diana Danielle (Trisha) melakonkan beberapa babak berahi dan bercium.

Walaubagaimana pun, Remy tidak menganggap apa yang dipotrey bersama Diana akan menjadi satu isu besar.

"Nak kata ia agak keterlaluan. Bagi saya, kami sekadar memenuhi tuntutan karakter. Lagipun sebelum itu, saya, Diana dan abang Osman duduk berbincang. Kami bertanyakan kenapa dan mengapa perlu adanya babak tersebut",

"Abang Osman menjelaskan itu adalah permintaan naskah serta watak itu. Kami masih tahu batas-batas dan niat kita adalah untuk menyampaikan mesej. Jadi harap penonton tidak salah anggap", ujar Remy kepada MD ketika ditemui di majlis pra tonton Jiwa Taiko di The Cathay Cinelesure, Damansara, malam tadi.


Tambahnya lagi, sikap profesional Diana malah semua pelakon yang terbabit dalam filem tersebut sekaligus membuatkan dia langsung tidak berasa kekok untuk melakonkan babak intim.

"Sebenarnya saya lebih seronok dengan jalan cerita dan watak daripada babak pegang-pegang ni. Tapi apapun saya tak nak lah di sebabkan faktor-faktor begini, menghalang saya daripada berlakon, katanya lagi.

Osman Ali (tiga dari kiri) bersama barisan pelakon 'Jiwa Taiko' (foto oleh Greyredphotography)Osman Ali (tiga dari kiri) bersama barisan pelakon 'Jiwa Taiko' (foto oleh Greyredphotography)

Jiwa Taiko mengisahkan pertembungan dua sahabat - Firman dan Pinto yang dulunya sama-sama menjadi penjenayah kecil, tetapi kini masing-masing memilih jalan hidup berbeza. Pergolakan tercetus apabila Pinto menuntut janji Firman untuk terus hidup dan mati dalam dunia hitam. Konflik tersebut telah mengancam raka-rakan Firman termasuklah Lara dan kekasihnya, Trisha.Dibarisi pelakon hebat lain seperti Bront Palarae, Nadiya Nissa, Fiz Fairuz dan ramai lagi, Jiwa Taiko bakal di tayangkan pada 14 Jun 2012.

Dalam pada itu, MD sempat juga bertanyakan mengenai perkembangan hubungan bersama buah hatinya Tiz Zaqyah. Baru-baru ini timbul gosip mereka kononnya sudah berpisah berikutan status di laman sosial pasangan sama cantik sama padan menggambarkan hubungan mereka sedang berantakan. Tiz sudah pun memberi kenyataan, bahwa mereka masih bersama. Namun selama ini Remy memilih jalan untuk berdiam diri sehingga di minta mengulas mengenai spekulasi tersebut,  

"Hubungan kami Okay. Saya semakin cintakan dia", ujar Remy ringkas.

Mengenai perkembangan lain, Remy baru saja usai menjalani penggambaran filem Bravo 5. Dia bakal kembali ke set penggambaran drama bersiri Cinta Jangan Pergi gandingannya bersama Tiz Zaqyah. Serta akan muncul dalam filem seperti, Aku, Kau Dan Dia, Hantu Kapcai dan Azazil.

Oleh Farahanim Rahim  
{[['']]}

Pasangan Artis Hangat Bercinta Menyambut Aidilfitri Bersama


Selain beraya bersama keluarga, hari yang mulia ini pastinya diraikan bersama insan tersayang. Begitulah dengan empat pasangan artis popular ini. Bakal menyambut raya bersama, Aidilfitri menjadi momen yang indah.

Fizz Dan Almy beraya di kampung masing-masing

Sama seperti pasangan kekasih lain, Fizz Fairuz dan Almy Nadia nampaknya 'punya mood' yang hampir sama apabila mereka lebih memilih untuk meraikan hari bahagia bersama keluarga tersayang.

Menurut Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 32, dia dan buah hatinya itu akan akan beraya di kampung halaman masing-masing, sepertimana tahun-tahun sudah.

Katanya, sementara masih berstatus bujang, inilah masanya untuk mereka menghabiskan masa dan mengalami pengalaman berhari raya bersama keluarga dan saudara mara.

“Fizz beraya di kampung di Raub, Pahang selama satu minggu pada tahun ini. Puas rasanya dapat berehat dalam tempoh seminggu walaupun tak panjang.

“Dapat jugalah berjumpa dengan saudara mara yang mana kebanyakannya hanya dapat berjumpa ketika ini saja.

“Malah, saya rasa teruja melihat ada pertambahan ahli keluarga, ada juga yang sudah berumah tangga dan yang lama tidak jumpa itu berbeza pula wajahnya apabila sudah dewasa,” ujar Fizz sambil ketawa kecil.

Cerita Fizz, saat paling menarik setiap kali berhari raya di kampungnya adalah apabila dapat berkumpul dengan saudara mara yang mana kebanyakannya berjumpa setiap kali Syawal saja.

Fizz berkata, setakat ini, dia belum bercadang untuk berkunjung ke kampung Almy di Pulau Pinang kerana harus kembali bekerja selepas raya.

Sementara Almy, memberitahu, dia amat memahami karier Fizz. Seperti tahun sudah, dia dan Fizz hanya akan berpeluang beraya bersama pada minggu kedua raya.

Katanya, kesibukan dengan jadual karier turut membataskan masa untuk bertemu, namun ia bukanlah menjadi masalah besar terhadap hubungan mereka.

“Bagi saya, lebih baik begini sebab tidak mengganggu kehidupan masing-masing. Lagipun, pegangan saya dan Fizz sama iaitu kami tidak akan punya banyak masa untuk diluangkan seperti pasangan bercinta yang lain.

“Sebab itu kami sedar bahawa masing-masing punya tanggungjawab terhadap keluarga dan masa terluang kami lebih bermakna jika dapat dihabiskan bersama mereka.

“Malah, jujur saya katakan saya berasa lebih gembira pada hari raya tahun ini kerana tidak perlu memikirkan masalah kami yang menimpa sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Pemilik nama sebenar Almy Nadia Shaiful Khairil, 25, ini menyifatkan bahawa selagi tiada ikatan antara mereka, selagi itulah mereka tidak mahu terlalu menceritakan hal mereka. Malah, sempat juga Almy berkongsi cerita keindahan beraya di kampungnya.

“Pagi raya meriah dengan telatah adik beradik apabila kami sibuk bercerita tentang aktiviti beraya semasa zaman kanak-kanak dahulu.

“Jika dulu, kami dan sepupu antara insan yang paling seronok ketika itu. Mana tidaknya, belum pun pergi sembahyang raya sudah rancang mahu pergi buat ‘collection’ duit raya,” kata Almy yang sangat merindui saat-saat itu.



Kamal, Intan sambut raya berjauhan

Menarik apabila mendengar cerita hari raya pasangan pelakon Kamal Adli dan Intan Ladyana.

Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 25, berkata, tahun ini giliran keluarganya beraya di kampung bapanya di Jitra, Kedah.

Katanya, paling seronok pagi raya apabila dia sekeluarga berjalan kaki ke masjid yang terletak tidak jauh dari rumah kampungnya.

“Selepas selesai sembahyang raya, kami menziarahi kubur datuk dan nenek yang dikebumikan di tanah perkuburan di kampung ini.

“Bagi saya, pengalaman beraya di kampung ibu dan ayah memang berbeza kerana di Jitra, kami semua membakar lemang walaupun pada hari raya pertama. Percaya atau tidak, saya berjaya membakar beberapa batang lemang dengan baik.

“Tahun lalu beraya di kampung ibu di Pekan, Pahang. Suasana di sana ada meriahnya juga walaupun tidak seperti di Jitra apabila setiap malam hari raya rumah akan riuh rendah dengan bualan saudara mara,” katanya kepada Zass.

Kamal berkata, sehingga hari raya ketiga, sempatlah dia menghabiskan biskut raya kegemaran yang wajib ada di kampungnya itu seperti biskut semprit, tart nenas dan cornflakes madu.

Asyik bercerita perihal Kamal, apa pula cerita hari raya Intan Ladyana apabila sambutan oleh pelakon manja ini berbeza dengan kekasihnya itu.

Ketika dihubungi, Intan berkata, seperti kebiasaan dia dan keluarga berhari raya di kampung halaman di Bangkok, Thailand.

Menurutnya, kebanyakan saudara maranya tinggal dan menetap di sana. Oleh sebab itu, setiap kali Syawal hampir menjelang, hatinya sudah berada di negara tersebut.

Yang menariknya, Intan Ladyana atau Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, 29, berkata, suasana sambutan hari raya di sana tidak seperti di Malaysia.

“Di sini (Bangkok) kami tidak memasak juadah hari raya. Sambutan juga tidak semeriah di Malaysia kerana selepas sembahyang raya, kami akan bersarapan pagi dengan menu kebiasaan di sini seperti roti.

“Budaya di sini memang begini kerana masyarakat beragama Islam hanyalah sebilangan kecil sahaja. Tetapi kami masih ada amalan berkunjung-kunjungan,” katanya.

Walaupun tiada suasana hari raya seperti di Malaysia yang meriah apabila kanak-kanak bermain bunga api dan hidangan pelbagai juadah, tetapi beraya di Bangkok katanya masih ada keistimewaannya.

“Semasa berkumpul dengan saudara mara pada hari raya pertama, masing-masing akan membawa hadiah untuk ditukar antara satu sama lain. Ia sudah menjadi tradisi keluarga kami di sini.

“Malah, jika di Malaysia umat Islam menikmati juadah hari raya dengan ketupat dan rendang, kami di sini istimewa dengan masakan berunsurkan sup seperti mihun sup dan 'pat tai',” katanya.

Sementara itu, kedua-dua pasangan pelakon ini katanya, akan beraya bersama dan saling bermaaf-maafan apabila sudah pulang dari kampung halaman masing-masing.

Jika Kamal pulang ke Kuala Lumpur pada hari raya ketiga, Intan pula akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari raya keempat sebelum mengatur pertemuan untuk sama-sama berkunjung ke rumah rakan-rakan.



Farid tunggu Diana

Raya tahun ini mungkin amat bermakna bagi pelakon dan pengarah berbakat besar, Farid Kamil, apabila dapat meraikan peminat serta rakan-rakan seperjuangan yang banyak memberi sokongan dalam majlis rumah terbuka.

Menurutnya, memandangkan dia dan keluarga menyambut Aidilfitri di Jitra, Kedah, majlis tersebut diadakan di sana pada raya ketiga.

Oleh itu Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 30, berkata, dia pastinya sibuk melayan tetamu yang hadir pada majlis khas yang diadakan bagi meraikan kejayaan dan berkongsi bonus yang diterima filem kedua arahannya iaitu Kongsi.

“Alhamdulillah, ada rezeki lebih pada tahun ini. Jadi, dapatlah berkongsi dengan peminat dan rakan-rakan dengan mengadakan majlis rumah terbuka ini.

“Saya seronok lihat ramai tetamu hadir meraikan majlis yang diadakan ini. Malah, juadah wajib hari raya yang disediakan seperti ketupat, rendang, lemang dan beberapa lagi cepat saja habis,” katanya yang menerima bonus RM50,000 daripada David Teo.

Ketika ditanya tentang buah hatinya, Diana Danielle, Farid berkata, dia sudah menjemput buah hatinya ke rumah terbukanya itu, namun masih belum pasti sama ada, Diana akan hadir atau tidak memandangkan jarak kampung mereka terlalu jauh.

Sementara Diana, yang beraya di Kuala Lumpur pada tahun ini, berkata, dia tidak kesempatan untuk memenuhi jemputan Farid, kerana cuti rayanya terlalu pendek.

Menurutnya, dia cuma dapat berehat lebih kurang seminggu dalam bulan ini kerana terlibat dengan penggambaran telemovie berjudul Selepas 21 Hari arahan Jinggo.

“Jadi, waktu untuk saya beraya juga sangat terhad dan nampaknya seperti tidak sempat berjumpa Farid di rumah terbukanya. Malah, selepas beraya di Kuala Lumpur, saya beraya pula di kampung, di Taiping, Perak,” katanya kepada Zass.

Bercerita mengenai juadah yang digemari pula, Diana berkata, semua yang dihidangkan ibu serta saudaranya di kampung enak.

Istimewanya, katanya, rakan dan jiran yang tidak pulang ke kampung akan datang mengunjungi mereka sekeluarga di pagi raya di Kuala Lumpur.

“Apa pun beraya di kampung bersama sanak saudara lebih istimewa kerana suasana raya lebih dirasai. Malah, banyak memori bersama arwah datuk dan nenek.

“Sebab itu kalau dapat balik sekejap sudah memadai untuk ubat kerinduan,” kata Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 20,
Kredit: Sumber


{[['']]}

Farid Kamil Kena Ugut Kerana Diana Danielle



KUALA LUMPUR, 2 OGOS 2011: Tidak pernah menyangka akan diugut namun bagi aktor kacak, Farid Kamil semua itu bukanlah halangan untuknya meneruskan hubungan bersama kekasih hatinya, aktres Diana Danielle.
Enggan memikirkan dengan lebih serius mengenai perkara tersebut namun Farid Kamil mengakui mempertingkatkan tahap keselamatan diri, keluarga serta buah hatinya.
"Bagi saya perkara itu satu perkara biasa dan saya dah serahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. Cuma buat masa ini, saya akan lebih berjaga-jaga dan berhati-hati kerana kita tak tahu siapa orang itu.
"Saya akan lebih berhati-hati terutamanya apabila saya berada di tempat terbuka kerana kita tak tahu apa mereka mahu buat pada diri kita," katanya kepada portal murai.com.my.

 
Kenyataan Farid Kamil itu bagi mengulas mengenai ugutan yang diterimanya minggu lalu menerusi panggilan telefon yang menyuruhnya agar menjauhkan diri daripada Diana. Sehubungan itu, pelakon berusia 31 tahun itu telah pun membuat laporan polis.
Menyingkap mengenai detik dirinya diugut, kata Farid, individu tersebut telah pun menghubunginya hampir lapan kali. Menganggap panggilan tersebut penting, lantas Farid menjawab dan kedengaran suara lelaki memberi amaran kepadanya.
"Saya angkat telefon orang itu cakap Farid, kau jangan kurang ajar. Aku tau rumah kau dan sebagainyalah. Dia minta saya jauhkan diri dari Diana. Saya terus buat laporan polis dan memberitahu Diana juga agar berhati-hati juga," ucapnya yang tidak bercadang untuk mengambil pengawal peribadi.
Ditanya kepadanya adakah dia mengesyaki dalang atau individu yang terlibat, jelas Farid, ada namun dia menyerahkan segalanya kepada pihak berkuasa.
"Saya ada syak beberapa orang tapi saya dah serahkan segalanya kepada Polis. Biar merekalah menjalankan siasatan kerana tak eloklah kalau saya pula nak mendedahkannya," jelasnya lagi.
Oleh: zyzamani/murai
{[['']]}

Diana Danielle Dan Syamsul Yusof Sudah Berbaik Semula

http://www.gosipsensasi.co.cc


MENYAKSIKAN beberapa keping foto kemesraan, Diana Danielle,20, bersama bekas teman lelaki, Syamsul Yusof, 27, yang sempat dirakam pada majlis anjuran Lord’s Tailor di ibu negara baru-baru ini, hakikatnya, tidak membuatkan Farid Kamil terbakar emosi cemburu.
Melatah atau melenting tidak tentu fasal, itu bukan sebenar Farid, 30. Apa yang pasti, dia dalam nada tenang, meluah sikap profesional menjadi pihak pemerhati dua insan – Diana dan Syamsul berbaik semula sebagai sahabat selepas hubungan cinta dibina putus di pertengahan jalan.



Syamsul dilihat memimpin tangan Diana sewaktu berjalan menuju ke pentas utama. Sama situasinya apabila pengarah filem Evolusi KL Drift itu sekali lagi menghulurkan tangan bagi memastikan bekas kekasihnya tidak tersadung atau terjatuh tatkala menuruni pentas.
“Saya tidak cemburu jika ditakdir Syamsul dan Diana berbaik semula sebagai sahabat baik. Lagipun, saya lihat sikap profesional mereka ini penting dalam kerjaya tambahan pula bidang seni bersifat kecil saja. Pusing kanan atau toleh kiri, kita tetap bersua di mana-mana majlis hiburan.
“Pendapat saya, ini semua hak masing-masing sama ada hendak berkenalan atau berbaik semula. Tiada apa perlu dipersoal kerana ia adalah hubungan antara insan,” akui Farid ketika ditemui pada majlis pratonton drama 7 Lagu di Cathay Cineplexes, Petaling Jaya, Selangor kelmarin.
Mengulas dakwaan kononnya Farid sering cemburu buta dan gemar mengongkong buah hatinya mencakupi soal memilih kawan serta bermacam lagi syarat dikenakan sehingga menyebabkan Diana harus tunduk, ini jawapan pemuda tinggi lampai itu dalam nada lembut:
“Dalam kerjaya seni, saya meletak sepenuh kepercayaan terhadap apa yang Diana lakukan. Terus terang, saya tidak tahu dari mana timbul isu mengongkong tambahan pula tiada sebarang rungutan atau kata-kata keluar daripada mulutnya sendiri sebelum ini.”
“Paling penting, saya rasa sangat okey dan gembira apabila karier seni Diana semakin meningkat. Sudah tentu ia membanggakan saya sebagai antara individu yang rapat dengannya,” akui Farid tentang progres positif kekasihnya dalam melewati lapangan seni lakon.
Farid akui kelancangan







Umum tahu, pergeseran berlaku antara Farid dan Syamsul selepas berakhir Festival Filem Malaysia 23 (FFM23) beberapa bulan lalu. Ironinya, Farid memberi kenyataan seperti mempertikai kemenangan Syamsul sebagai Pengarah Terbaik menerusi filem garapannya, Evolusi KL Drift.
“Cerita tentang pergolakan saya dan Syamsul seperti digembar-gembur dalam surat khabar dianggap berada di luar pemikiran saya. Tetapi, saya akui kelancangan mulut sendiri sehingga menyebabkan ada pihak terasa hati sekali gus manipulasi berlaku pada waktu sama.
“Sejujurnya, saya kenal Syamsul tidak lebih seperti pelakon dan pengarah. Lantaran itu, apabila timbul cerita saya merupakan kawan baiknya, saya jadi terkejut. Tidak terkecuali, saya tertanya kepada diri, apakah saya benar-benar sudah melupakan kawan.
“Tetapi, teman-teman baik saya terdiri daripada individu-individu dikenali sewaktu berada di sekolah rendah dan menengah saja. Saya akui tidak rapat dengan kawan artis melainkan Maya Karin dan Bront Palarae,” akhiri Farid.
Oleh FAIZAL SAHARUNI
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger