Latest Post :
Recent Post
Showing posts with label Fouziah Gous. Show all posts
Showing posts with label Fouziah Gous. Show all posts

Fouziah Gous Sedang Intim Dengan Seorang Ahli Korporat Berstatus Datuk Seri



KUALA LUMPUR: Pelakon jelita Fouziah Gous akhirnya membuka mulut bagi mengesahkan spekulasi mengenai keintimannya dengan seorang ahli korporat berstatus duda yang bergelar Datuk Seri.
Aktres berusia 29 tahun ini berkata hubungan mereka mula intim beberapa bulan lepas walaupun dia sudah mengenali lelaki itu sejak beberapa tahun yang lalu.
"Hati saya mula terbuka untuk rapat dengannya selepas melihat ketulusan dan kesungguhan dia untuk berkawan dengan saya.
"Malah, dia yang kebetulan rakan niaga abang saya ada menyuarakan hasratnya kepada abang untuk melamar saya.
"Masih terlalu awal untuk saya ulas panjang kerana kami sedang mengenali hati budi dengan lebih mendalam pada waktu ini," katanya secara eksklusif kepada mStar Online, di sini, petang Rabu.
Diminta mengulas mengenai kelibat mereka yang dilihat pada beberapa acara hiburan kebelakangan ini, Fouziah berkata tiada apa yang perlu disembunyikan jika dia memang berkawan rapat dengan seseorang.


"Sejak dulu lagi saya tiada apa hendak sorok atau berpura-pura jika saya memang berkawan dengan seseorang. Sebelum ini, ramai yang mendakwa mengenai hubungan kami tetapi saya nafikan kerana memang ia belum berlaku ketika itu.
"Hanya baru-baru ini sahaja kami mula keluar dan mengenali antara satu sama lain," katanya.
Fouziah berkata hubungannya dengan lelaki berstatus duda itu adalah berdasarkan keserasian selepas mendapatkan petunjuk daripada Allah.
"Umur saya makin meningkat dan sudah bosan kerana selama ini kurang bergaul dan berkawan dengan lelaki.
"Berilah peluang kepada saya untuk berkawan dan mengenali lelaki. Bagi kami berkawan dulu, jika jodoh tertulis dengan dia saya sudah bersedia untuk berkahwin," katanya yang menyenangi karakter budiman dan kesederhanaan lelaki itu yang merupakan seorang mesra media.
Terbaru, Fouziah bakal memulakan penggambaran blok kedua drama bersiri Trilogi Cinta musim kedua di TV1.
Oleh WAHIDUZZAMAN
{[['']]}

Fouziah Gous Semakin Seksi ??



PETALING JAYA: Pelakon Fouziah Gous menolak dakwaan terbaru kononnya dia berpenampilan semakin seksi ketika menghadiri beberapa acara hiburan, kebelakangan ini.
Fouziah, 29, berkata sebagai selebriti yang menjadi tatapan umum, dia sentiasa peka dalam menjaga penampilannya.
"Saya masih menjaga penampilan saya khususnya ketika berada di khalayak umum dan majlis-majlis hiburan.
"Saya tidak pernah tampil melampau, mendedahkan tubuh secara keterlaluan atau sengaja berimej seksi seperti yang didakwa," katanya kepada mStar Online.
Ketika ditanya mengenai pendiriannya berhubung perkara itu memandangkan dia dikenali sebagai artis yang menitikberatkan imej sopan sebelum ini, Fouziah berkata dia tidak pernah bersikap hipokrit dan masih menjunjung prinsip itu sehingga kini.
"Bukan mudah untuk menjaga hati banyak pihak. Saya bukan jenis yang seksi dan tidak selesa untuk mendedahkan tubuh saya kepada khalayak dengan sewenangnya.
"Namun, penampilan saya juga perlu disesuaikan atas kehendak kerja ketika muncul di majlis-majlis tertentu dan ia bukan pilihan saya sepenuhnya.
"Saya perlu menghormati pakaian yang diberikan oleh pereka fesyen tetapi saya tetap akan berbincang dengan mereka agar pakaian itu tidak keterlaluan apabila diperagakan," katanya.
Fouziah berkata isu berpenampilan seksi adalah sesuatu yang subjektif dan berbeza pada persepsi setiap individu.
"Apabila saya memperagakan pakaian rekaan pereka fesyen, saya sering meletakkan diri sebagai seorang peragawati dan perlu menghormati rekaan mereka.
"Mungkin atas kealpaan diri, adakalanya saya terlupa status selebriti yang digalas ini sentiasa menjadi perhatian masyarakat.




"Jika ada yang melihat saya semakin seksi, itu adalah sesuatu yang bukan disengajakan," katanya.
Ketika ditanya mengenai reaksinya berhubung dakwaan berkenaan, Fouziah berkata dia tidak berasa tertekan kerana ia membuktikan keprihatinan masyarakat terhadap dirinya sebagai figura umum.
"Saya bersyukur dan suka apabila ditegur begini kerana ia menunjukkan orang ramai peka pada imej atau kelakuan saya yang mungkin kurang disenangi.
"Ia adalah peringatan yang baik agar saya sentiasa beringat dan berpada-pada dalam segenap aspek," katanya.
Berkongsi perkembangan terbaru, Fouziah yang baru sahaja terlibat dengan penggambaran filem Kerat 14 arahan Baldev Singh, berkata dia kini sedang membuat persiapan untuk kembali ke lokasi penggambaran drama Trilogi Cinta bagi musim kedua.
"Saya kini sedang sibuk membaca skrip dan melakukan persiapan akhir untuk penggambaran drama Trilogi Cinta 2.
"Untuk musim baru ini, saya perlu buat persiapan lebih pada aspek penghayatan dan lakonan.
"Ia mendapat respons yang baik pada musim lalu, sudah tentu jangkaan penonton akan lebih tinggi pada musim baru ini," katanya yang dijadual memulakan penggambaran drama itu dalam masa terdekat.
Selain Fouziah, drama arahan Amie Maziah itu turut mengekalkan pelakon-pelakon seperti Rosyam Nor dan Amyza Aznan.
Drama sebanyak 40 episod nukilan Sharifah Abu Salem itu akan bersiaran di saluran RTM tidak lama lagi.
{[['']]}

Fouziah Gous Mencari Lelaki Matang Yang Memahami Dirinya



USIANYA bakal mencecah 30 tahun, namun Fouziah Gous belum berasa terdesak untuk mencari pasangan hidup.Malahan dia seakan-akan membayangkan belum ada perancangan untuk menamatkan zaman solonya kerana mahu memberi tumpuan kepada kerjaya seni.
Begitupun, gadis ini sudah menetapkan lelaki sudah berusia bukanlah pilihannya. Dan, kriteria penting pada lelaki yang dicari ialah benar-benar memahami dirinya sebagai seorang artis.

“Saya tak ada letakkan sasaran nak bila kahwin, tetapi kalau sudah jodoh Insya-Allah, saya akan menerimanya. Bukan impian saya untuk kahwin dalam majlis yang gah dengan tajaan sana sini, cukup sekadar buat apa yang patut dan wajib saja.

“Nak cari yang berduit ini senang saja tetapi nak cari yang betul-betul boleh terima dengan ikhlas dan faham kita memang susah. Tetapi kalau dapat yang kaya itu bonus, namun bagi saya lebih suka lelaki yang matang walaupun fizikalnya nampak muda,” katanya.

Meminati lelaki yang pandai dan mempunyai banyak ilmu pengetahuan merasakan akan memberi kelebihan kepadanya serta boleh membimbingnya kelak.
Memiliki pakej yang lengkap dengan ketinggian yang ideal serta susuk tubuh yang langsing menjadi daya penarik kepada Fouziah untuk kekal dalam bidang seni.






Dia adalah antara yang tersenarai dalam undian peringkat awal Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular, sudah lima lima tahun dalam dunia lakonan tetapi menganggap dirinya masih baru dan perlu mempelajari lebih banyak lagi selok belok dunia lakonan.

Berasakan perjalanan seninya masih jauh untuk merangkul sebarang penghargaan, Fouziah beranggapan anugerah hanya sebagai bonus kepada seseorang artis dalam menghargai bakat yang dimiliki.

“Belum rezeki lagi kerana kalau kita tengok pelakon senior, ada antara mereka mengambil masa lama untuk mencapai sesuatu tahap yang membanggakan. Bukan mudah untuk bakat kita dihargai dan bukan senang nak bagi orang nampak kelebihan kita.

“Macam saya sendiri yang masih baru, ia memerlukan masa yang lama. Bukannya hari ini keluar orang sudah nampak bakat kita jadi kena selalu asah dan tingkatkan lagi bakat yang ada,” jelasnya.

Tidak mahu dianggap keterlaluan, Fouziah berasakan cukup sekadar dihargai peminat serta tawaran berlakon yang diterima.

Bukan kemenangan yang ditagihnya, sebaliknya menaikkan namanya dalam industri agar mampu duduk sebaris dengan pelakon hebat lain yang sudah mencipta nama dalam dunia seni.

“Sekarang sedang menjalani penggambaran drama 13 episod dengan Erma Fatima dan baru selesai penggambaran telefilem Senyawa. Selepas itu, drama 14 episod, Trilogi Cinta pada Februari dan baru siap filem terbaru Hantu Bukit Cina. Saya mula berlakon dengan Erma Fatima dalam drama Bicara Dari Tuhan sejak tahun lalu,” katanya.

Merasakan satu pengalaman berharga yang tak mungkin dilepaskan bekerja di bawah Erma Fatima menyuntik semangat baru dalam bidang lakonan bagi Fouziah.

Malah, menganggap Erma sebagai idola seninya, banyak tunjuk ajar dan pengalaman yang ditimba Fouziah ketika bekerja di bawah Erma.

“Erma banyak memberi peluang kepada saya termasuk drama Tahajjud Cinta dan saya seronok bekerja dengannya kerana dia tak loket ilmu dan sering memberi tunjuk ajar.

“Malah, peluang berlakon di bawah arahan Aaron Aziz memang sesuatu yang baru dan dia tahu apa yang dia nak. Sebagai orang baru dia tak segan silu terima pendapat kita,” katanya.

Bergandingan dengan Siti Saleha dalam telefilem sulung Aaron Aziz, Kekasih Awal dan Akhir banyak mengajar Fouziah bermain dengan emosi dan perasaan dendam.

Sering membawakan watak antagonis sebelum ini mengajar Fouziah menjiwai watak dengan lebih berkesan, malah Fouziah mengimpikan watak yang lebih mencabar kredibilitinya sebagai pelakon.

Terpesona aksi Angelina Jolie

BIARPUN kelihatan berperwatakan lemah lembut dan feminin, tetapi Fouziah sebenarnya mempunyai impian untuk memikul peranan lasak dan ‘ganas’ termasuk membabitkan aksi bergaduh.

Sudah lama menunggu peranan yang diimpikan itu kerana selama ini dia hanya ditampilkan dengan watak lemah lembut dan baik sedangkan ia tidak dapat membantu menjadikan dirinya sebagai pelakon serba boleh.

“Saya minat aksi, ada banyak adegan gaduh atau lawan. Kalau diberi peluang nak bawa watak tapi setakat ini belum tercapai. Asyik dapat watak antagonis, kejam dan gadis kampung tapi tidak ada aksi lasak.

“Nak juga merasa watak yang lebih mencabar kerana saya tak nak dilihat hanya berupaya bawa watak yang sama, agak klise,” katanya.

Tidak mahu watak aksi yang hanya menampilkan aksi gaduh seperti gengster, Fouziah mahu mencabar dirinya mencuba watak lebih berat dari itu dengan lebih mencabar.

Sering melihat aksi Angelina Jolie menjadi daya tarikan untuk mencuba aksi sedemikian yang sukar serta di luar kotak pemikiran artis lain.

“Mungkin sebab jiwa saya sebenarnya lebih meminati watak sedemikian jadi nak uji mental dan fizikal saya dalam watak ini. Sudah banyak watak yang saya bawa jadi apa salahnya saya mencuba watak sebegini pula. Sebagai pelakon kita kena berani mencuba pelbagai watak baru boleh berjaya,” katanya.

Info:
NAMA PENUH: Nor Fouziah Mohd Gous
USIA: 29 Tahun
TARIKH LAHIR: 11 Disember 1982
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Bongsu daripada lima beradik
KERJAYA: Model dan pelakon
PENDIDIKAN: Diploma Kesetiausahaan dari Kolej Sistematik, Kuala Lumpur
DRAMA: Sangga Saadah, Qa'naah, Cinta Medik, Impak Maksima The Series, Otai The Series, Pencak Akhir, Anak Mami, Enigma, Kain Ketat Isabella, Sutera Maya, Kasihmu Di Bulan Ramadan, Puisi Untuk Anis, Kepulangan, Sutera Maya dan Spa Q 2
FILEM: Bujang Senang, Malaikat Maut, Skrip 7707, Otai, Rasukan Ablasa, Sifu & Tongga, Dua Hati Satu Jiwa & Rasuk.

Busana, aksesori dan kasut: Shoes, Shoes, Shoes, Bangsar
Solekan: Tiar Zainal

Oleh Muhamad Fairoz Azizan

{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger