Latest Post :
Recent Post
Showing posts with label Zaiton Sameon. Show all posts
Showing posts with label Zaiton Sameon. Show all posts

Jadikanlah Kisah Hidup Zaiton Sameon Sebagai Iktibar

 Zaiton pada zaman mudanya.


ADOIII...

ADA seorang pelakon dan penerbit drama popular meluahkan perasaan kepada saya selepas menonton filem Zaiton Ceritaku.

Kata produser drama itu, dia menangis membayangkan kesusahan Zaiton Sameon (Eton) yang top suatu ketika dahulu tetapi hidup menderita pada hari ini.

Begitu juga seorang pelakon lelaki ini. Katanya, kisah Zaiton banyak memberi pengajaran kepada kehidupan artis. Semua artis wajar menonton filem itu dan menjadikan kisah Zaiton sebagai pengajaran.

Dalam filem itu digambarkan bagaimana kehidupan dan kesengsaraan Zaiton selepas dia ditimpa kemalangan jalan raya yang turut mengorbankan anak tunggalkannya.

Malah selepas kemalangan itu, Zaiton tidak boleh berfikiran waras. Semua harta yang dimilikinya juga habis begitu sahaja akibat ditipu.

Apa yang terjadi kepada Zaiton memberi makna mendalam kepada generasi artis pada hari ini.

Zaiton memiliki segala-galanya. Kekayaan, glamor dan populariti. Tapi sayang, segala-galanya hilang sekelip mata.

Saya pernah berkunjung ke rumah Zaiton di Rembau, Negeri Sembilan lebih 10 tahun dulu. Zaiton menunjukkan kepada saya koleksi pakaian yang dipakainya ketika membuat persembahan suatu ketika dahulu.

Ia termasuk juga koleksi kasutnya yang disusun rapi. Ketika di rumah itu Eton memberitahu saya dia akan melihat pakaian-pakaian itu untuk mengubat rindunya sebagai penyanyi.



Wajah terkini Zaiton Sameon 

Dia juga amat berbangga dengan pencapaian serta populariti yang diraihnya pada zaman kemuncak. Tapi sayang, hari ini Eton tak ada apa-apa lagi.

Saya difahamkan, koleksi pakaian yang menjadi kenangannya telah pun dimusnahkan. Rumah dan tanah di kampungnya juga sudah menjadi milik orang lain.

Walaupun Eton sudah hilang segala-galanya tetapi dia meninggalkan satu jasa iaitu sebuah karya yang wajar menjadi perhatian generasi muda.

Seperti mana kata seorang pelakon kepada saya yang insaf selepas menonton filem itu, saya berharap perasaan serupa ada pada artis-artis lain.

Pelakon dan penyanyi pada hari ini mendapat macam-macam kemudahan. Malah kerajaan juga menyediakan dana industri kreatif untuk melihat dunia seni benar-benar diangkat.

Bayaran yang diberikan kepada para pelakon juga tidak seperti dahulu kerana imbuhan mereka cukup besar bergantung kepada populariti masing-masing.

Cuma para artis harus bijak bagaimana mereka hendak bersaing bagi memasarkan diri masing-masing.

Dek pengalaman yang terjadi kepada Zaiton itulah artis-artis wajar untuk menyelamatkan masa depan mereka dengan mengumpul harta sebanyak mungkin.

Kehidupan artis di Malaysia tidak seperti di Hollywood kerana artis-artis muda sahaja yang biasanya diangkat menjadi hero dan heroin. Apabila mereka sudah tua, watak yang sesuai hanyalah menjadi ibu, bapa, datuk ataupun nenek. Paling “lekeh” pun watak orang gaji.

Kepada artis yang tengah masyhur namanya hari ini, ambilah kisah hidup Zaiton itu sebagai pengajaran. Ingat... ketika kita tersenyum hari ini, belum tentu kita akan terus ketawa esok hari.

NIEZAM: Tak kaya, cukuplah ada sedikit harta.

Oleh NIEZAM ABDULLAH
{[['']]}

Zaiton Sameon Beraya Di Kelantan Selama Seminggu

 Zaiton Sameon

PETALING JAYA: Penyanyi Zaiton Sameon membuka lembaran baru dalam hidupnya apabila membuta keputusan meraikan Aidilfitri bersama anak angkatnya di Pasir Mas, Kelantan selama seminggu.

Zaiton, 55, berkata keputusan itu diambil kerana dia sudah menganggap anak angkatnya Che Sekah Ismail seperti anak sendiri kerana keikhlasan wanita itu menjaga hal ehwal dan kebajikannya sejak setahun yang lalu.

"Anak angkat saya sangat baik dan ikhlas dalam menjaga segala kebajikan saya. Dia sudah dianggap seperti anak sendiri.

"Sebab itu, saya menyambut Hari Raya pada tahun ini dengan dia. Saya mahu memulakan hidup baru dengan kegembiraan ini," katanya.

Ditanya adakah keputusan itu berpunca daripada konflik keluarga yang tercetus sejak beberapa tahun lalu, Zaiton enggan mengulas lanjut.

"Saya mohon jangan sentuh lagi tentang itu (konflik). Saya sudah buka lembaran baru," ulasnya.

Mengenai perkembangan terbaru, Zaiton sibuk dengan pelbagai undangan nyanyian termasuk di Singapura pada awal September depan.

"Selain undangan nyanyian, album baru saya akan keluar selepas Hari Raya nanti. Ia sebuah album dengan pelbagai konsep pop," katanya.

Oleh WAHIDUZZAMAN
{[['']]}

Zaiton Sameon Bangkit Kembali Selepas Tragedi Hitam



Suatu ketika dulu, lagu Menaruh Harapan, pernah berjaya mencipta kemenangan di Anugerah Juara Lagu (AJL) pada 1987.

Sejak menjuarai anugerah berprestij ini, nama Zaiton Sameon, 56, semakin dikenali dan menjadi bualan ramai. Mana tidaknya, dengan penampilannya yang sentiasa bergaya dengan gaun-gaun berwarna terang, Zaiton berjaya mencipta fenomena tersendiri.

Namun, tragedi 21 Februari 1990 seakan meragut segalanya dan Zaiton terpaksa akur dengan kehilangan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar, yang berusia 13 tahun dalam satu kemalangan.

Bukan hanya terpaksa menerima hakikat ketiadaan anak kesayangan, malah kemalangan itu turut memberi kesan mendalam kepadanya setelah koma beberapa hari.

Kemalangan yang berlaku di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, di Batang Kali, itu mengakibatkan kecederaan teruk di kepalanya sehingga melemahkan daya ingatan. Dari saat itulah, zaman kegemilangannya semakin malap dan terus malap.

Dalam kemalangan itu, van yang mereka naiki dilanggar oleh sebuah lori ketika perjalanan pulang dari menghadiri persembahan di Kuala Ketil. Kemalangan itu turut mengorbankan pemuzik pengiring Zaiton, Ismail Shaari.

Mengakui, tragedi itu adalah peristiwa yang paling pahit dalam hidupnya, Zaiton masih tidak dapat melupakan insiden itu, walhal ianya telah berlalu lebih 22 tahun.

“Saya tak akan lupakan peristiwa itu sampai bila-bila. Sehingga kini, ia masih segar di ingatan dan saya masih boleh mengingati saat-saat terakhir bersama arwah anak.

“Saya mengambil masa yang lama untuk menerima hakikat yang saya telah kehilangan putera tersayang. Namun, segala ketentuan telah ditetapkan oleh-Nya.




“Sebagai hamba-Nya, saya hanya mampu berserah dan cuba untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Masa yang ada kini, saya gunakan untuk mendalami ilmu-ilmu agama. Saya banyak membaca buku-buku yang berkisarkan tentang ilmu dan agama jika ada masa terluang,” katanya yang kini menetap bersama anak angkatnya di Ampang.


Bermula dari kelab malam

Mengakui minatnya untuk bergelar penyanyi bercambah di usia kecil lagi, Zaiton menganggap penglibatan dirinya sebagai penyanyi didorong oleh keluarga yang terlibat secara langsung dalam bidang seni tari.

Kata Zaiton, arwah bapanya memang aktif dalam bidang seni tari di negeri kelahirannya, Melaka. Sejak kecil lagi, dia menyaksikan persembahan tarian bapanya di sekitar Melaka.

“Sebab itulah, keluarga saya tidak pernah melarang untuk bergelar penyanyi. Pada awal tahun 70 an, saya menyertai Band Polis Hutan (BPH) untuk mengasah bakat dalam seni suara.

“Lagipun, ketika itu bekas suami saya adalah salah seorang ahli kumpulan tersebut. Sehinggalah pada pertengahan tahun 70 an, saya menerima tawaran untuk menyanyi di kelab malam.

“Ketika menghadiri persembahan nyanyian di hotel terkemuka pada awal 80-an, saya ditawarkan untuk merakamkan album pertama, Menaruh Harapan. Bagaikan orang mengantuk di sorongkan bantal, saya terus menerima dan sejak itulah, saya mula aktif dan dikenali,” katanya yang tidak pernah menyangka dinobatkan sebagai juara AJL 1987.


Katanya, ketika pertandingan AJL ketika itu, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang, cukup sekadar berjaya disenaraikan bersama nama-nama besar seperti Fransisca Peter, Datuk Khatijah Ibrahim, Raja Ema dan Allahyarham Sudirman.

“Ketika AJL, ibu bapa saya turut hadir. Apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang, saya terus bertepuk tangan. Saya tidak sedar mereka umum nama saya.

“Kemudian, ibu saya memberitahu, “Eton, kau menang!”. Tapi, saya masih ragu-ragu untuk bangun kerana tidak menyangka kemenangan itu milik saya.

“Tidak tahu bagaimana nak ungkapkan perasaan gembira, semua perasaan bercampur. Apa yang pasti, saya berjaya membuktikan kebolehan saya di pentas berprestij itu,” kata Zaiton yang kisahnya diangkat sebagai filem, Ceritaku.

Konsert bukti kemampuan

Ingin membuktikan dirinya masih mampu menyampaikan lagu dengan baik, Zaiton diberi peluang untuk kembali beraksi di pentas menerusi Konsert Amal Kebajikan Zaiton Sameon.

Konsert yang bakal diadakan di Dataran Sungai Kerang, Pantai Remis, pada 7 April ini, akan menyaksikan kemunculan semula bintang pujaan ramai ini mendendangkan lagu-lagunya kembali.

Menurut Zaiton yang bakal menyanyikan 10 lagu di konsert itu, setelah bertahun lamanya menunggu saat-saat ini, akhirnya hasrat hatinya tercapai jua.

“Saya akan berikan yang terbaik dalam persembahan itu. Secara tidak langsung, ia membuka peluang untuk membuktikan bahawa saya masih boleh menyanyi dengan baik. Ada segelintir pihak cuba menutup periuk nasi saya dengan mengatakan saya tidak boleh menyanyi lagi.

“Sebelum ini, ramai yang tidak tahu, saya masih aktif dalam bidang nyanyian. Kerana tidak berjaya mendapatkan kepercayaan daripada pihak penganjur, maka saya hanya berpeluang menyanyi di majlis keramaian dan perkahwinan sahaja.

“Walaupun bayaran tidak seberapa, saya harus menerimanya kerana itulah mata pencarian saya. Saya tidak pernah terlintas untuk kembali bersaing dengan penyanyi yang ada, kerana saya tahu, zaman kegemilangan saya sudah lama berlalu,” katanya yang mendapat bantuan daripada Persatuan Karyawan dalam mengadakan konsert ini.

Konsert itu akan diadakan secara percuma dan penonton yang hadir boleh memberi derma ikhlas kepada Zaiton bagi meringankan bebannya selama ini.

Antara lagu-lagu yang bakal didendangkan oleh Zaiton ialah Siti Payung, Perigi Biru, My Way, Black Magic Women, Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar.

Dalam konsert itu, Zaiton tidak keseorangan kerana beberapa artis lain seperti Ali (Terra Rossa), Baggio (Damasutra) dan Farhana Jalil, turut sama menjayakan konsert amal itu.

Selain Pantai Remis, konsert itu berkemungkinan akan diadakan di lokasi seterusnya iaitu, Raub, Pahang, Pulau Pinang, Rembau, Negeri Sembilan dan Tanjung Karang.

OLEH: AKMALIAH RAZAK
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger