{[['']]}
KELIBAT Lydiawati yang tampil dengan skaf jaring rona putih dan bergaya ranggi dengan seluar jeans ketika menghadiri majlis sidang media pelancaran drama Ustaz Amirul, mengundang perhatian.
Penampilan pelakon berusia 47 tahun itu kelihatan berbeza benar dengan gayanya sebelum ini yang bertudung litup. Serta merta pelbagai soalan menerjah di benar fikiran, malah tidak sabar rasanya untuk dilontarkan kepada pelakon yang pernah digandingkan dengan Rosyam Nor dalam filem Suami, Isteri dan .... itu.
Ke manakah pergi tudungnya? Adakah Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Zaimon mengubah penampilan akibat kegagalan rumah tangga dengan lelaki bergelar datuk kira-kira setahun lalu.
Dengan penuh hati-hati, ayat disusun agar pelakon ini tidak tersinggung. Kebimbangan segera pudar apabila ibu kepada dua cahaya mata itu menjawab pertanyaan yang dilontarkan dengan senyuman.
Dia berpakaian sedemikian kerana membawa karakter ibu kepada pelakon Shaheizy Sam untuk filem terbaru arahan Ahmad Idham berjudul 8 Jam yang kini sedang rancak menjalani penggambaran di Chow Kit.
Malah ketika di temu bual ini, dia bersama seorang lagi pelakon wanita yang juga sudah lama berkecimpung dalam dunia lakonan iaitu Kuna terus bergegas ke lokasi penggambaran.
Katanya, apa saja yang ingin diperkatakan orang terhadap dirinya, itu hak masing-masing. Yang penting, Tuhan mengetahui niatnya.
“Saya tidak peduli apa pun yang orang ingin perkataan mengenai penampilan saya. Bagi saya, hati budi manusia tidak seharusnya diukur dari penampilan seseorang kerana pokok pangkal adalah hati kita. Terpulanglah apa orang nak cakap, yang penting saya tahu apa yang saya buat dan tuhan juga tahu saya lakukan semua ini kerana mencari rezeki yang halal.
“Sebagai manusia kita tidak boleh cepat menilai kerana tentu ada sebab kenapa seseorang itu buat sesuatu. Ketika filem ini ditawarkan kepada saya, Ahmad Idham bertanya terlebih dulu sama ada saya sanggup ubah penampilan atau tidak. Bagi saya ia tidak mendatangkan masalah kerana saya buat disebabkan kerja.
“Saya bergaya begini bukan disebabkan kegagalan rumah tangga kerana gaya ini hanyalah untuk sementara waktu. Selepas ini saya akan kembali dengan imej dulu, mengikut trend semasa,” kata Lydiawati yang turut memegang watak seorang ibu dalam drama bersiri Ustaz Amirul yang akan menemui penonton pada 7 Januari depan.
Seiring usianya, aktres yang hampir empat tahun menyepi dari sebarang aktiviti seni ini berkata, dia harus akur dengan watak-watak yang diberikan memandangkan usianya kini tidak lagi muda.
Katanya, dia menerima apa saja tawaran asalkan mendatang rezeki supaya dapat membesarkan dua cahaya mata yang sedang membesar iaitu Nor Munira, 25 , dan Puteri Batrisya, 8 tahun.
Sebelum ini dia terpaksa membataskan aktiviti seninya kerana anak-anak masih kecil. Oleh kerana anak sulungnya kini boleh diharapkan, Lydiawati berasa lebih lega untuk keluar mencari rezeki.
“Saya tidak pernah berhenti berlakon tetapi hanya berehat seketika kerana ketika itu anak-anak masih kecil. Selain membesarkan anak-anak, saya juga berehat kerana menuntut ilmu. Sebagai manusia, saya juga ada kekurangan. Sepanjang empat tahun berehat saya gunakan kesempatan itu mengikuti kelas pengajian al-Quran bersama dengan anak-anak sekali.
“Disebabkan anak-anak sudah boleh berdikari, saya kembali aktif sejak hujung tahun lalu. Setakat ini alhamdulillah, rezeki belum pernah putus. bagaimanapun, pada usia begini saya mengakui tidak boleh terlalu memilih. Lagipun pada usia sekarang, hanya watak ibu saja yang sesuai untuk saya,” katanya yang mengakui gembira dengan kehidupan dilalui sekarang.
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
Post a Comment