{[['']]}
PROGRAM realiti komedi, Raja Lawak musim kelima kini bukan saja mampu menarik golongan tertentu saja menyaksikannya, malah semua peringkat usia, bangsa dan agama menggemarinya.
Produksi Raja Lawak baru saja selesai menjelajah sesi uji bakat di seluruh negara bagi mencari peserta bagi musim terbarunya. Siapa bakal terpilih untuk menyertai program itu akan diumumkan pada sidang media di Pasar Seni Kuala Lumpur, hari ini.
Sejak disiarkan pada 2005, penonton teruja untuk mengetahui siapa peserta bertanding, adakah mereka berbakat? Dan, mampukah bersaing dengan pelawak sedia ada yang bukan dilahirkan menerusi program realiti.
Ternyata memang tidak dinafikan Raja Lawak berjaya melahirkan bakat semula jadi. Jadi, kali ini produksi bukan saja menitikberatkan peserta malah pengacara menjadi taruhan mereka.
Bekas peserta musim pertama, Zizan dan Johan memiliki kelebihan dan keunikan bersesuaian dengan program ini. Mereka dipilih mengacara program Raja Lawak musim kedua. Gabungan mereka ternyata cukup kuat sehingga meningkatkan rating dan menjadi program yang mencatat rating tertinggi di Astro Prima.
Episod akhir Raja Lawak tahun lalu turut terpilih sebagai program komedi yang dicalonkan untuk bertanding di Anugerah Televisyen Asia di Singapura pada 9 Disember lalu.
Selepas peserta dan pengacara, produksi terus memikirkan aspek lain untuk menjadikan ia sebuah program yang lebih kuat, panel juri adalah sebahagian daripada misi menarik penonton.
Daripada enam lokasi uji bakat yang bermula 9 Oktober hingga 7 November lalu, lima juri dibawa mencari peserta terbaik, iaitu Afdlin Shauki, Sathia, Farouk Hussein, David Teo dan Os. Antara mereka ini, tiga akan menjadi juri tetap sepanjang berlangsungnya program ini nanti.
Namun siapakah yang bakal memegang tampuk juri tidak sama sekali akan diumumkan sebelum berlangsungnya episod pertama program ini pada 7 Januari depan.
Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, pihaknya sentiasa memikirkan apakah elemen yang menarik penonton untuk terus menyokong program itu.
“Memang media tertanya-tanya siapa juri yang akan menggantikan tempat arwah Din Beramboi. Itulah keistimewaannya apabila juri menjadi sebahagian daripada program ini. Semua juri yang dibawa ke lokasi uji bakat adalah nama besar dan pengaruh mereka masih kuat hingga hari ini. Tidak dinafikan, juri turut menjadi tumpuan yang tidak mahu melepaskan peluang bergambar bersama mereka,” katanya yang sukar untuk memilih juri berbanding peserta.
Bagaimanapun, Afdlin Shauki, David Teo dan Sathia akan dipilih sebagai juri tetap Raja Lawak musim kelima.
Kredibiliti tiga juri kali ini bukan saja mampu menarik perhatian penonton yang terdiri daripada khalayak Melayu, malah berusaha mendekatkan kaum lain seperti Cina dan India menonton program ini.
Sebagai pelakon dan pengarah, Afdlin ternyata memiliki kelebihan berhadapan dengan peserta yang bakal dibentuk. David Teo pula biarpun bukan berbakat sebagai pelakon komedi, namun karektor, air mukanya dan pertuturannya ketika berucap pada sesuatu acara mampu memberikan orang ramai tersenyum dengan kerana bercakap bahasa Melayu dengan pelat Cinanya. Sathia pula antara pelakon komedi dari kalangan India yang masih aktif.
Oleh Rozdan Mazalan
Post a Comment