Latest Post :
Recent Post
Showing posts with label Artis Terpilih. Show all posts
Showing posts with label Artis Terpilih. Show all posts

Tahniah!! Zed Zaidi Dipilih Sebagai Presiden Baru SENIMAN

Zed Zaidi berjanji akan mengubah Seniman dengan pelbagai program bagi merancakkan lagi aktiviti persatuan itu.
KUALA LUMPUR: Pelakon, Zed Zaidi telah dipilih sebagai presiden baru Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) bagi penggal 2012/2013.

Zed dipilih sebagai Presiden Seniman yang baru pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-14 di Kompleks Finas, Hulu Klang, pada Sabtu dengan 152 undian.

Selain Zed, dua lagi calon yang turut bertanding merebut jawatan itu adalah Datuk Ahmad Tarmimi Saregar (9 undi) dan Zulkifli Ismail (8 undi).

Manakala Elyas Iskandar telah dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baru dengan majoriti undian sebanyak 97 undi.

Seramai 220 ahli yang layak telah membuang undi untuk pemilihan jawatankuasa terbaru itu.

 Bekas presiden Seniman, Harun Salim Bachik memeluk Mustapha selepas beliau mengumumkan mengundur diri daripada bertanding bagi merebut jawatan presiden pada Sabtu.


Sebelum itu, Zed yang sepatutnya bertanding jawatan tersebut dengan bekas presidennya iaitu Datuk Mustapha Maarof bagaiamanpun beliau telah mengambil keputusan untuk menarik diri sebelum pengundian dimulakan.

Dalam pada itu, Zed ketika ditemui berkata, dia amat berterima kasih dengan semua ahli yang telah mengundinya dan memberitahu ia adalah bukti ahli Seniman telah bersedia untuk menerima pucuk muda sepertinya untuk memimpin persatuan itu.

Zed memberitahu, dia berbangga dapat memimpin Seniman yang telah berusia 38 tahun itu dan berjanji akan memastikan semua ahli akan terbela nasibnya.
Harun tidak mempertahankan jawatannya yang dipegang selama satu penggal.

"Saya akan memastikan semua nasib ahli Seniman akan terbela dan sudah sampai masanya imej para artis di negara ini perlu ditingkatkan," katanya.

Mengulas mengenai pengunduran Mustapha sebagai calon Presiden, Zed memberitahu dia menghormati keputusan beliau dan berharap akan dapat bekerjasama dengannya dalam memperbaiki Seniman.

"Beliau adalah orang lama dan banyak pengalaman. Kami dipihak Seniman akan terus bekerjasama dengannya dalam mengambil kira pandangan dan ideanya sebagai orang berpengalaman dalam Seniman," katanya.

Sementara itu, bekas presiden Seniman penggal 2010/2011 iaitu Harun Salim Bachik yang tidak mempertahankan jawatannya memberitahu dia yakin Zed dapat membawa Seniman ke arah yang lebih baik dan berharap semua ahli akan bersatu hati dalam memastikan persatuan itu dihormati.

"Harap-harap Zed akan dapat membawa Seniman ke tahap yang lebih tinggi lagi," ujarnya.

Tambah Harun, dia juga akan terus setia bersama Seniman sebagai ahli dan sedia memberi pandangan sekiranya diperlukan pada masa akan datang.

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
{[['']]}

Anugerah Juara Lagu (AJL 26) Milik Siapa?



Sebanyak 12 lagu yang bakal bertanding bagi merebut gelaran juara di Anugerah Juara Lagu 26.
Anugerah berprestij itu bakal berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada malam ini dan akan disiarkan secara eksklusif  di TV3.
Selain disiarkan di stesen televisyen nombor satu negara, AJL26 akan turut disiarkan ke seluruh dunia menerusi online streaming di www.tv3.com.my/ajl26.
Acara Blue Carpet bakal bermula pada pukul 7.30 malam.
Sekiranya anda pengguna Twitter, pastikan tweet anda disertakan dengan hashtag #AJL26.

 
Antara lagu-lagu yang bertanding adalah:
1. Penakut oleh Yuna (Yuna/Yuna)
2. Sungai Lui oleh Aizat (Aizat/Anas, Aizat/Anas)
3. Karma oleh Faizal Tahir (Audi Mok/Faizal Tahir/Audi Mok/Faizal Tahir)
4. Awan Nano oleh Hafiz (M.Nasir/Budi Hekayat)
5. Beribu Sesalan oleh Ning Baizura/Jaclyn Victor/Shila Amzah (Kevin Chin/Tinta)
6. Kisah Hati oleh Alyah (Manusia Putih/Manusia Putih)
7. Gadis Semasa oleh Yuna (Yuna/Yuna)
8. Sedetik Lebih oleh Anuar Zain (Edry Abd Halim/Edry Abd Halim)
9. Kalau Berpacaran oleh (Shohaimi Mior Hassan Shohaimi Mior Hassan / Ana Raffali / Altimet)
10. Wanita Seluruh Dunia oleh Projek Pistol (Boy Clifford/Boy Clifford)
11. Kekanda Adinda oleh Atilia & Monoloque (Monoloque/Monoloque)
12. Cinta Muka Buku oleh Najwa Latif (Najwa Latif/Ika Latif)
Harus diingat, populariti lagu tidak akan menjamin sesebuah lagu itu diangkat sebagai juara.
Kriteria yang dicari juri adalah lagu tersebut terbaik dari segi kualiti lagu tersebut termasuk melodi, susunan lagu, lirik dan kredibiliti nyanyian setiap penyanyi lagu itu.
Siapakah pilihan anda?
{[['']]}

Neelofa Ratu Kontroversi?



Karier dan kontroversi buat pelakon dan pengacara, Neelofa bergerak seiring sejak di awal kemunculannya dalam bidang seni. Bagaimanapun, kontroversi itu tidak sedikit pun melemahkan semangatnya untuk terus mengharungi sepak terajang industri ini.
Bermula dengan gosip cinta bersama VIP, seterusnya pelakon filem Azura ini dikaitkan dengan hero filem sama, Shahz Jaszle sehingga menjadi punca perpisahan aktor itu dengan bekas kekasihnya, Maria Farida.
Malah Neelofa turut dikaitkan dengan pelakon Tahajjud Cinta, Fazura yang mendakwa Neelofa cuba untuk merampas kekasihnya.
Tidak memandang perkara itu sebagai masalah besar, pemenang Dewi Remaja 2010/2011 yang lebih mesra disapa Lofa ini tidak menafikan bahawa kontroversi yang timbul sedikit sebanyak menaikkan namanya dalam industri hiburan.
“Saya mengakui perkara itu, tetapi tidak bersetuju jika ada yang mengatakan saya hanya bersandarkan pada kontroversi semata-mata. Bagi saya, kontroversi ini ada buruk baiknya bergantung kepada artis itu.
“Untuk berada lebih lama dalam industri, bakat perlu ada. Kontroversi yang melanda hanya sementara sahaja. Jadi, saya tidak mahu berada di dalam kelompok yang mengharapkan kontroversi sahaja.
“Saya berharap masyarakat menilai saya melalui bakat yang saya ada. Berikan ruang untuk saya mempamerkan kebolehan yang saya ada, jangan nilai saya berdasarkan desas-desus yang timbul tanpa sahih itu,” katanya yang kini bakal menjalani penggambaran drama terbaru arahan Eirma Fatima, Dejavu Di Kinabalu.

Minat Nona sejak bangku sekolah
Lebih manis lagi, lembaran 2012 menjadi tahun bertuah buat Lofa kerana dipilih mengacarakan program Nona di saluran TV3, bersama penyampai radio Hot FM, Fara Fauzana.
Akui Lofa, tawaran hebat seperti itu sememangnya ditunggu-tunggu kerana selain menguji pengetahuannya mengenai selok-belok dunia pengacara, Nona juga rancangan diminatinya sebelum ini.
“Saya memang minat rancangan Nona sejak saya di bangku sekolah lagi. Ketika itu, pengacaranya ialah Normala Shamsudin dan saya tidak pernah menyangka, saya berpeluang berada di posisi Normala. Saya sangat teruja.
“Nona memberi seribu satu pengalaman untuk saya. Banyak pengalaman baru yang ditimba. Menerusi Nona, saya dapat kenal ramai orang dari pelbagai golongan. Banyak perubahan dan penambahbaikan yang telah saya lalukan seperti mengubah cara percakapan saya yang dikatakan lebih laju.
“Walaupun masih baru, saya yakin, Nona dapat membantu saya untuk membina semangat kepada diri sendiri untuk lebih berjaya dan menghargai kehidupan kita,” katanya yang berharap agar karier seninya berjalan lebih lancar tahun ini.

Dilantik duta Avon

                 Gambar terkini Neelofa setelah terpilih menjadi duta Avon.
Selain bakal muncul dalam filem karya Aziz M Osman, Azura, Februari ini, Lofa turut menerima tawaran menjadi duta produk barangan kosmetik dan perhiasan wanita, Avon.
Menurut Lofa, kontrak selama setahun telah ditandatangani pada Disember lalu dan bakal dilancarkan 18 Januari ini.
"Saya bersyukur sangat kerana diberi peluang dan kepercayaan untuk mempromosikan produk Avon. Saya bersetuju untuk jadi duta Avon kerana produk ini terbukti bagus dan bukan hanya untuk wanita berusia sahaja, malah sesuai untuk wajah muda.
"Saya rasa gagal menjadi duta sekiranya saya tidak membuktikan hasil produk tersebut. Jadi, objektif saya sebagai duta adalah untuk menarik minat golongan remaja untuk mencuba produk ini.
"Pemilihan saya sebagai duta Avon kerana pihak Avon mahu saya membawa jenama ini mengikut cara tersendiri," katanya yang bakal muncul menerusi filem Lemak Kampung Santan, Taiko dan SAM.
OLEH: AKMALIAH RAZAK
{[['']]}

Rozita Che Wan Terpilih Sebagai Pengacara Anugerah Skrin 2011


KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Rozita Che Wan dipilih sebagai pengacara Anugerah Skrin 2011 (ASK2011) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 4 November ini.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, pemilihan Rozita adalah bagi memberikan kelainan kepada penganjuran kali ini.
"Pemilihan Rozita adalah unik dan akan memberikan kelainan pada malam itu nanti. Walaupun tidak mempunyai pengalaman sebagai pengacara, pihak kami yakin dia mampu melakukannya," ujarnya pada sidang media ASK2011 di sini, Rabu.
Ahmad Izham berkata, Rozita akan digandingkan dengan pengacara berpengalaman iaitu Ally Iskandar pada majlis tersebut.
Rozita akan digandingkan dengan pengacara berpengalaman iaitu Ally Iskandar

Beliau yakin gandingan itu akan memberi kelainan dan percaya Ally dapat menjadi mentor kepada Rozita sebagai persediaan.
Ahmad Izham berkata, acara karpet merah pula akan dikendalikan oleh Nabila Huda, Adzriefaiz Adzlan dan hos Bintang Pantene.
Sementara itu, Rozita yang ditemui berkata pada mulanya dia terkejut dengan pemilihan itu namun memandang positif dengan amanah yang diberikan.
Ujarnya, tugas itu adalah peluang besar untuknya dalam mengembangkan kerjaya seninya ke tahap lain.
"Sudah tentu saya takut dan fikir banyak kali sebelum menerima tawaran itu. Namun atas dorongan dan keyakinan pihak produksi serta Ally saya menyahut cabaran tersebut," katanya.
Manakala Ally pula berkata, dia akan mempersiapkan diri untuk acara gilang gemilang itu dan akan memastikan keserasian mereka berdua.
"Sebelum ini saya banyak mengacarakan program berbentuk hiburan dan ini kali pertama untuk ASK2011.
"Persediaan tetap perlu dilakukan kerana ia sebuah majlis anugerah dan latihan bersama Rozita akan diteruskan bagi mencari keserasian antara kami supaya tidak kekok nanti," ujarnya.
Sementara itu secara keseluruhan, ASK2011 akan mempertandingkan 23 kategori meliputi drama, filem dan penerbitan dalaman selain dua anugerah khas iaitu Anugerah Yasmin Ahmad dan Anugerah Artis Harapan Pantene selaku penaja utama.
Sepuluh kategori drama bakal dipertandingkan manakala jumlah kategori filem kekal tujuh kategori dan enam kategori penerbitan dalaman.
ASK2011 ini akan mempertandingkan 17 buah drama, 10 drama rantaian dan tujuh drama komedi. Manakala kategori filem pula melibatkan 25 filem terbitan tempatan layak dipertandingkan.
Menurut Pengurusan Penjenamaan TV3, Nurul Aini Abu Bakar calon-calon yang dipertandingkan terdiri daripada terbitan yang ditayangkan di televisyen dan pawagam mulai 1 Julai 2010 hingga 30 Jun 2011.
"Drama terpilih juga berdasarkan jumlah penonton yang berjaya diraih mengikut kajian AGB Nielson Media Research berdasarkan genre masing-masing," katanya.
Penghakiman juga adalah telus dan juri yang dilantik tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam drama atau filem.
Bercakap mengenai konsep ASK2011 tahun ini, Nurul Aini memberitahu tema 'Golden Glamour' dipilih pada malam tersebut.
"Konsep itu dipilih bagi merujuk kepada sentuhan magis para karyawan dan produksi yang menghasilkan karya hebat selain melahirkan bintang baru yang bersinar," katanya.
Malah katanya, persembahan pada malam itu juga akan menampilkan muka baru bagi memberi kelainan pada penganjuran tahun ini.
Antara artis yang akan menjayakan persembahan pada malam itu adalah Black, Ferhad, Najwa Latiff, Tomok, Shila Amzah dan Jaclyn Victor.
Persembahan daripada dramatis popular seperti Kilafairy, Nur Fathia, Wawa Zainal dan Liyana Jasmay dijangka menarik perhatian penonton.
{[['']]}

Rahsia Petua Awet Muda Amy Mastura

http://www.gosipsensasi.co.cc

Amy Mastura masih kelihatan muda walaupun usia telah memasuki 40 tahun.

SIKAP kesederhanaan yang dititik beratkan oleh penyanyi dan pelakon Amy Mastura, 40, begitu menebal dalam dirinya.Mungkin itulah rahsia dia bertahan lama dalam industri seni ini bermula 17 tahun lalu.
Raut wajah yang sentiasa tersenyum dan mudah didekati itu membuatkan ramai yang menyenangi penampilan artis kecil molek ini.

Ditambah pula kehebatannya berlakon dan menyanyi dengan lagi-lagu catchy seperti Sha Na Na Na, Bintang Hati dan Akan Datang.
Bukan itu sahaja, namanya juga begitu popular apabila kerap kali dilantik sebagai duta untuk jenama produk terkenal seperti Quaker Oat, Life Buoy, Omega dan Kose.
Amy yang telah mendirikan rumah tangga dengan Alvin Tham Suffian dan mempunyai dua cahaya mata iaitu Adriana dan Adalia juga berjaya mengekalkan imej bersih dan kalis daripada sebarang gosip murahan.
Amy dengan produk Infinity keluaran Kose.
Jarang makan nasi
Biarpun sudah berusia 40 tahun, wajahnya jelas tidak nampak tua. Kata Amy, dia kurang mengamalkan apa-apa petua tradisional untuk kekal muda.
Sebaliknya wanita ini lebih gemar bersikap sederhana dalam menjaga kecantikannya termasuk dari segi pemakanan dan kesihatan badan.
“Saya sudah berusia, jadi perlu sederhana dalam menjaga pemakanan. Saya perlu seimbangkan antara pengambilan nasi dan makanan lain.
“Selain itu, jika saya makan daging kambing, saya tidak boleh mengamalkannya setiap hari.
“Saya agak pelik iaitu tidak suka makan ulam walaupun saya mengetahui kebaikannya. Oleh itu, saya melakukan satu cara yang pelik dengan membeli ulam-ulaman dan menggaulkannya dengan nasi seperti hidangan nasi kerabu.
“Sebenarnya saya jarang makan nasi setelah melahirkan anak sulung, Adriana iaitu sejak 10 tahun lalu dan menggantikan makanan tersebut dengan roti dan biskut,” kata Amy kepada OopStarz!.
Begitu juga dengan rutin kecantikannya setiap hari, Amy akan mengelak daripada mengenakan mekap tebal kerana kariernya telah mendedahkan dirinya kepada solekan.
“Saya akan membasuh muka selepas bangun dan sebelum tidur menggunakan pencuci muka sehingga muka kelihatan betul-betul bersih.
“Kalau dulu, saya biasa fikir nak cuci muka sebelum tidur kerana tidak mahu kesan mekap mengotorkan cadar dan sarung bantal tetapi sebenarnya ia boleh mengelak daripada liang roma kulit terbuka.
“Saya menggunakan rangkaian produk penjagaan kulit Infinity dari Kose untuk membuang kotoran pada muka dan kosmetik Esprique Precious yang juga dari Kose.
“Alhamdulillah, kulit muka saya tidak mengalami sebarang masalah kronik dan jika ada sedikit cela pun, ia tidaklah terlalu cepat merebak,” kata bekas pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) ini.
Ais hilangkan jerawat
Berkongsi sedikit tentang pengalaman Amy menggunakan produk Kose, dia akui serasi setelah beberapa lama mencuba produk tersebut.
“Saya menyukai produk Kose bukan sahaja disebabkan ia sesuai dengan kulit, malah harganya juga tidak terlalu mahal.
“Malah saya juga boleh berjimat menggunakan produk ini seperti mengamalkan pencuci muka hanya di hujung jari kelingking.
“Saya turut percaya dengan bahan-bahan yang digunakan dalam produk ini iaitu bahan semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan,” ujarnya.
Petua menarik lain yang turut dikongsi oleh Amy ialah meletak ais untuk menghilangkan jerawat pada muka.
Menyentuh tentang senaman dan penjagaan badan, Amy menggunakan mesin untuk bersenam.Katanya, dia tidak boleh lari daripada mementingkan senaman sama juga menjaga kebersihan.
Beralih kepada fesyen, Amy akui lebih gemar menggayakan stail remaja agar dirinya tidak kelihatan terlalu tua. Dia lebih selesa menyarungkan baju T dan seluar jean.
Sebelum mengakhiri perbualan, Amy sempat berpesan agar selalu bersederhana dan jangan keterlaluan dalam apa jua perkara.
{[['']]}

Shaheizy Sam Juara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010

http://www.gosipsensasi.co.cc

GENTING HIGHLANDS: Pelakon utama filem Adnan Sempit dan Ngangkung, Shaheizy Sam mencipta sejarah apabila muncul pelakon lelaki ketiga dipilih untuk gelaran Bintang Paling Popular apabila mengungguli hadiah tertinggi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, di sini sebentar tadi.

Shaheizy, 29, meraih 126,168 undi memenangi gelaran itu selepas mengetepikan saingan empat artis lain yang mendapat undi tertinggi, iaitu Shahir, Zizan, Aznil Nawawi dan Faizal Tahir.
Beliau turut memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM310,000, iaitu kenderaan Nissan Teana 2.0 berharga RM133,400 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, aksesori mutiara putih koleksi Primadona Klasik tajaan Rafflesia/Mandalay bernilai RM180,000 hadiah iringan dan trofi.
Shaheizy juga memenangi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular.


Trofi Bintang Paling Popular 2009 disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Anthony Firdauz Bujang pada majlis kemuncak ABPBH 2010 di Arena of Stars, di sini bertemakan Moden & Klasik dengan disaksi lebih 5,000 penonton.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd, Datuk Amrin Awaluddin dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid.

Majlis gilang-gemilang lebih dua jam setengah itu disiarkan secara langsung menerusi TV3, stesen radio Hot FM dan laman web rasmi, NSTP e-media.
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada seniwati veteran, Datuk Rosnani Jamil, 75, sebagai mengiktiraf sumbangan dan jasanya dalam bidang perfileman tanah air selama hampir 60 tahun.

Lisa Surihani mencipta kemenangan dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular, sementara Faizal Tahir menepati ramalan apabila menggondol gelaran Penyanyi Lelaki Popular.

Yuna mengungguli kategori Penyanyi Wanita Popular. Kategori berkenaan sebelumnya disandang 13 kali oleh Datuk Siti Nurhaliza.

Kategori Artis Berkumpulan/Duo Popular dimenangi kumpulan Sixth Sense, manakala Rabbani terus mempertahankan gelaran Penyanyi Nasyid Popular buat kali kesembilan.

Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon TV Wanita Popular, masing-masing dimenangi Remy Ishak dan Fasha Sandha.
                                 Fasha Sandha Memenangi Kategori Pelakon TV Wanita Popular

                         Kumpulan Sixth Sense Memenangi Kategori Artis Berkumpulan/Duo Popular
Juara program realiti Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir, memenangi Artis Baru Lelaki Popular, manakala, Ana Raffali meraih gelaran Artis Baru Wanita Popular.

Pelakon drama, Norkhiriah pula buat kali ketiga mengekalkan gelaran Artis Komedi Wanita Popular, manakala Zizan memenangi Artis Komedi Lelaki Popular.

Kategori Penyampai Radio Lelaki Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular, masing-masing dimenangi Faizal Ismail dan Fara Fauzana dari stesen Hot FM. Fara juga berjaya mengekalkan kemenangannya sebagai Pengacara TV Wanita Popular.

Aznil Nawawi berjaya mengekalkan gelaran Pengacara TV Lelaki Popular buat kali kesembilan.

ABPBH 2010 ialah edisi ke-24 anjuran Berita Harian adalah acara pengiktirafan berdasarkan undian peminat menerusi borang disiarkan akhbar ini dan SMS untuk artis dan selebriti tanah air dalam bidang perfileman, muzik dan penyiaran.

Edisi kali ini ditaja Celcom Axiata Bhd sebagai penaja utama.

Berikut Senarai Pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010

Bintang Paling Popular: Shaheizy Sam

Penyanyi Wanita Popular: Yuna

Pelakon Filem Lelaki Popular: Shaheizy Sam

Artis Baru Wanita Popular: Ana Raffali

Anugerah Artis Mobile Popular: 6ixth Sense

Pelakon Filem Wanita Popular: Lisa Surihani

Penyanyi Lelaki Popular: Faizal Tahir

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat: Dato' Rosnani Jamil

Artis Komedi Lelaki Popular: Zizan

Pengacara TV Wanita Popular: Fara Fauzana

Pelakon TV Lelaki Popular: Remy Ishak

Penyampai Radio Wanita Popular: Fara Fauzana

Artis Baru Lelaki Popular: Shahir
{[['']]}

Amy Search Di Umumkan Sebagai Pengetua Akademi Fantasia Musim Kesembilan (AF9)

http://www.gosipsensasi.co.cc


Amy Search(tengah) bersama-sama tenaga pengajar, pengacara dan pelajar AF9.

KUALA LUMPUR: Lagenda rock tanahair, Amy Search diumumkan sebagai Pengetua Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) ini yang akhirnya menamatkan teka-teki, sekaligus menepis spekulasi "kerusi panas" itu diduduki oleh beberapa nama besar yang disebut-sebut dari Indonesia.
Pengumuman itu dibuat menerusi episod pertama konsert Tirai AF9 yang disiarkan secara langsung dari perkarangan Jusco AEON, Setiawangsa, Sabtu.
"Saya berterima kasih kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada saya untuk mengemudi AF musim yang terakhir ini.
"Dengan peluang yang ada ini, saya akan cuba mendidik pelajar-pelajar yang mempunyai cita-cita yang tinggi untuk menjadi bintang,"katanya pada sidang media selepas konsert berakhir.
 
Amy (kanan) berbual dengan Ning Baizura yang menjadi salah seorang tenaga pengajar AF9.

Tambah Amy, pada awalnya dia enggan menerima tawaran tersebut, namun dia akhirnya bersetuju selepas melihat kesungguhan dan kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menerajui program musim terakhir ini.
"Ketika isteri saya memberitahu tentang tawaran ini, saya memang terkejut besar dan tidak menyangka sama sekali, dan pada awalnya saya enggan menerima tawaran tersebut,
"Tapi selepas melihat pada tahap kepercayaan mereka akhirnya saya bersetuju dan menganggap ianya sebagai satu cabaran dan tanggungjawab besar kepada saya," katanya.
Karyawan dan penggiat seni yang pernah memegang jawatan Pengetua AF sebelum ini ialah Freddie Fernandez (AF1), Datuk Ramli MS (AF2 dan AF6), Datuk M.Nasir (AF3), Ramli Sarip (AF4), Roslan Aziz (AF5), DatinTiara Jacqualina (AF7) dan Norman Abdul Halim (AF8).
Dalam pada itu, musim terakhir ini juga mengembalikan pengacara popular Aznil Nawawi sebagai hos konsert mingguan dan program Dairi AF.
Akademi Fantasia musim kesembilan ini memulakan siaranya di Astro Ria saluran 104, melalui konsert pengenalan Tirai AF pada malam semalam dan akan meneruskan rutin konsertnya setiap hari Sabtu jam 9.00 malam mulai 9 April depan.
 
Aksi Amy selepas diumumkan sebagai Pengetua AF9.

Dua belas finalis AF9 juga telah diumumkan pada program Tirai AF, mereka adalah Afif, Amir, Azri, Erul, Kay, Aida, Eka, Laika,Lena, Miza dan Nera.
Manakala tenaga pengajar terdiri daripada Fatimah Abu Bakar, Ning Baizura, A.Aris, Syafi, dan Adlin Aman Ramli.
Kesemua peserta ini akan membuat persembahan di konsert mingguan pertama pada 4 April ini di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.
AF9 masih mengekalkan format pemarkahan seratus peratus melalui undian penonton melalui sistem pesanan ringkas SMS atau AFUNDI, AF terakhir ini juga dijangka akan mengembalikan nostalgia selama sembilan musim mereka bersiaran.

{[['']]}

Fasha Sandha Dan Rozita Che Wan Ungguli Carta Artis Paling Seksi..


KUALA LUMPUR: Istilah seksi dan artis seakan tidak dapat dipisahkan dalam industri seni, sama ada di Hollywood, Bollywood atau di negara kita.

Berikutan itu, Metro Ahad terpanggil untuk menjalankan satu kajian bagi mencari ‘5 Artis Paling Seksi’ tanah air melalui laman web rasmi Kumpulan Harian Metro, MyMetro, bermula 7 Mac lalu.

Pilihan lima artis paling seksi dan panas itu membabitkan 29 selebriti wanita dalam negara. Sejak carta undian ini dikeluarkan, maklum balas yang diterima daripada peminat seni dan pembaca akhbar ini cukup memberangsangkan dengan kira-kira 2,000 pembaca melakukan undian.

Setakat ini, pelakon penuh kontroversi, Fasha Sandha masih menduduki tempat pertama carta undian. Pada minggu pertama, undian teratas mulanya memihak Rozita Che Wan. Namun, nama Fasha membuat kejutan pada minggu berikutnya apabila mendahului semua artis lain dengan rating sebanyak 14.76 peratus sehingga kelmarin.





Kedudukan carta berkenaan sentiasa berubah, namun setakat ini populariti pelakon filem Anak Halal dan Evolusi KL Drift itu masih belum dapat ditandingi. Rozita terus mengikut rapat di belakang Fasha, itupun perbezaan rating antara kedua-dua selebriti popular ini tidak jauh. Setakat ini, Rozita mendapat undian 10.31 peratus, dan hanya 4.45 peratus di belakang Fasha. Rozita satu- satunya artis berusia dan berstatus janda dalam senarai lima artis teratas.

Tiga artis lain dalam senarai lima teratas adalah Zila Bakarin, Rabecca Nur dan Jue Aziz. Rating ketiga-tiga artis ini sangat jauh tertinggal di belakang Fasha dan Rozita. Zila Bakarin menduduki tangga ketiga senarai dengan undian sebanyak 6.41 peratus. Tuah banyak menyebelahi pelakon lama ini dan lebih membanggakan Zila tidak pernah terkeluar daripada rating lima terbaik dalam carta. Agak mengejutkan, Rebecca Nur Al Islam menduduki carta keempat gadis paling seksi. Sekalipun sudah bergelar isteri kepada seorang usahawan, ternyata popularitinya masih belum merudum.

Pelakon muda berusia 25 tahun ini mendapat undian sebanyak 4.19 peratus manakala kedudukan kelima milik Jue Aziz dengan undian sebanyak 3.27 peratus.

Dalam senarai berikutnya, jika dikira mengikut rating ke enam hingga 10, pembaca MyMetro memilih Nora Danish (3.11 peratus), Nur Fazura (3.09 peratus), Ayu Raudhah (3.09 peratus), Zarina An Julie (2.91 peratus) dan Marsha (2.43 peratus).




Nama artis lain yang turut tersenarai dalam carta undian terbabit ialah Maya Karin, Faradhiya, Diana Danielle, Scha Al-Yahya, Lisa Surihani, Nita Hamzah, Nasha Aziz, Tiz Zaqyah, Natasha Hudson, Sarimah Ibrahim, Miz Nina, Mimi One Nation Emcee, Juliana Evans, Yasmin Khanif, Maria Farida, Dayang Nurfaizah, Azharina, Watie Elite dan Julia Ziegler. Berhubung penyiaran undian ‘5 Artis Paling Seksi’ ini, pelbagai reaksi dan persepsi daripada peminat dunia seni tempatan, terutama di kalangan pembaca Harian Metro dan Metro Ahad.

Menurut seorang pembaca, Fauzi Latif, 30, sekalipun Fasha tidak pernah kering dengan pelbagai kontroversi, tidak dinafikan pelakon terbabit pandai menjaga penampilan.

“Artis macam Fasha ada pakej menarik. Saya suka melihatnya ketika dia tampil di khalayak, terutama di media.
“Dia ada rupa yang cantik dan pandai pula bergaya. Mata dan pinggul Fasha memang menggoda,” katanya.

Dalam senarai lima artis paling seksi pada mata Fauzi, selain memilih Fasha Sandha sebagai artis paling sesuai dengan jolokan itu, dia turut memilih Tiz Zaqyah, Faradhiya, Rozita Che Wan dan Nasha Aziz.

Bagi Muhammad Ashraf, 36, dia meminati Fasha bukan saja kerana paras rupa pelakon berkenaan, bahkan daripada segi penampilan serta cara percakapan yang cukup menggoda dan manja.
“Apabila Fasha tampil di kaca televisyen, gaya pertuturannya berada dalam kelas tersendiri. Dia memang menggoda dan manja, lelaki yang mengenalinya mesti cair.

“Apapun, bagi pendapat saya, artis seksi tidak semestinya dinilai daripada segi kecantikan dan cara berpakaian. Seperti Nasha Aziz, dia tidak perlu berpakaian seksi tetapi dirinya itu sendiri secara semula jadi sudah seksi,” katanya yang memilih Fasha Sandha, Nasha Aziz, Maya Karin, Faradhiya dan Sarimah Ibrahim sebagai artis paling seksi.

Selain itu, Nur Farahliza Azman, 29, pula berpendapat pemilihan Fasha di kalangan pembaca Harian Metro mungkin disebabkan dengan gosip panas yang menaikkan namanya kebelakangan ini. Bagi Farah, artis paling seksi sepatutnya diberikan kepada Rozita Che Wan.

“Pada pendapat saya, Rozita lebih seksi dan tubuh badannya lebih menggiurkan lelaki. Saya yang juga seorang wanita mengimpikan untuk memiliki tubuh badan sepertinya.

“Namun, secara jujur, istilah seksi tidak terletak kepada tubuh badan dan pakaian semata-mata sebaliknya ia perlu diukur daripada pelbagai segi seperti gaya percakapan, cara berpakaian dan sebagainya.

“Begitupun, tidak semua yang berpakaian terdedah sana sini boleh digelar seksi. Bagi saya, seksi itu adalah sesuatu yang subjektif,” katanya.

MyMetro masih mengekalkan undian ‘5 Artis Paling Seksi’ dalam MyMetro. Kepada pembaca yang ingin memberi sokongan pada artis kesayangan anda, sila buat undian anda dan layari laman web http://www.hmetro.com.my/.

Oleh FIRDAUS SAHAT, SHAMRAN SARAHAN dan MURSHID EUNOS

{[['']]}

Sah!! Zizan (Raja Lawak) Dan Dira Hos Baru 'MELODI'

http://www.gosipsensasi.co.cc


PETALING JAYA: Pengacara Zizan (Raja Lawak) mengakui berasa bangga dan teruja apabila ditawarkan menggantikan Wahid Senario bagi mengacara rancangan hiburan popular, Melodi di TV3.
Zizan berkata, tawaran tersebut merupakan peluang terbaik kerana program itu berjaya menaikkan beberapa nama besar pengacara tanah air sebelum ini.
"Saya terkejut apabila mereka tawarkan untuk jadi pengacara Melodi kerana seperti yang kita tahu, program tersebut pernah dikendalikan nama-nama besar seperti Aznil, Fauziah Ahmad Daud dan Saiful Azmi(Apek).
"Melodi juga merupakan rancangan hiburan yang sudah hampir 20 tahun usianya dan mempunyai reputasi baik serta mampu bertahan sehingga kini," katanya.
Menurut Zizan pemilihannya bersama Dira Abu Zahar berkemungkinan berdasarkan kriteria dan ciri-ciri yang ada padanya sebagai seorang pengacara.



"Saya tidak tahu mengapa mereka pilih saya sebab ramai lagi pengacara yang bagus tapi apa yang mereka beritahu, saya mempunyai kriteria pengacara yang mereka cari.
"Jika mereka rasa saya mampu untuk mengendalikan rancangan ini saya lebih berbesar hati untuk menerimanya," kata Zizan.
Bagaimanapun, Zizan mengakui agak gementar dengan penerimaan penonton rancangan tersebut yang sememangnya mempunyai pengikut tersendiri.
"Bagi mengambil alih sebuah rancangan besar seperti itu sudah tentu saya rasa sedikit gementar dan takut terutamanya jangkaan tinggi dari penonton.
"Untuk mengatasinya saya perlu banyakkan buat kajian tentang dunia hiburan semasa, namun begitu saya tidak takut jika diperbandingkan kerana ia adalah lumrah," ujarnya.
Ketika ditanya tentang gandingannya dengan pelakon Dira, Zizan memberitahu akan mencari keserasian dengan gandingannya itu sebaik mungkin.
"Saya belum berpeluang untuk berganding dengan Dira tapi saya percaya keserasian itu akan timbul. Sebelum ini saya selalu juga melepak dengan Dira dan saya percaya kami ada keserasian.
"Rasanya sama juga seperti kali pertama ketika digandingkan dengan Johan untuk Raja Lawak, keserasian itu timbul sedikit demi sedikit," katanya yang pernah mengacarakan rancangan Idola Kecil pada 2008.
Wahid dan Fara akan bersiaran sebagai pengacara Melodi buat kali terakhir di lokasi Karnival Jom Heboh Batu Kawan, Pulau Pinang pada 27 Mac ini, manakala Zizan dan Dira akan mula mengambil alih pada minggu berikutnya.
Kedua-dua mereka akan bersiaran secara langsung di Arena of Stars Genting Highlandssempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 iaitu pada 3 April.
{[['']]}

Afdlin Shauki, David Teo dan Sathia terpilih sebagai juri tetap Raja Lawak musim kelima


PROGRAM realiti komedi, Raja Lawak musim kelima kini bukan saja mampu menarik golongan tertentu saja menyaksikannya, malah semua peringkat usia, bangsa dan agama menggemarinya.

Produksi Raja Lawak baru saja selesai menjelajah sesi uji bakat di seluruh negara bagi mencari peserta bagi musim terbarunya. Siapa bakal terpilih untuk menyertai program itu akan diumumkan pada sidang media di Pasar Seni Kuala Lumpur, hari ini.


Sejak disiarkan pada 2005, penonton teruja untuk mengetahui siapa peserta bertanding, adakah mereka berbakat? Dan, mampukah bersaing dengan pelawak sedia ada yang bukan dilahirkan menerusi program realiti.

Ternyata memang tidak dinafikan Raja Lawak berjaya melahirkan bakat semula jadi. Jadi, kali ini produksi bukan saja menitikberatkan peserta malah pengacara menjadi taruhan mereka.

Bekas peserta musim pertama, Zizan dan Johan memiliki kelebihan dan keunikan bersesuaian dengan program ini. Mereka dipilih mengacara program Raja Lawak musim kedua. Gabungan mereka ternyata cukup kuat sehingga meningkatkan rating dan menjadi program yang mencatat rating tertinggi di Astro Prima.

Episod akhir Raja Lawak tahun lalu turut terpilih sebagai program komedi yang dicalonkan untuk bertanding di Anugerah Televisyen Asia di Singapura pada 9 Disember lalu.


Selepas peserta dan pengacara, produksi terus memikirkan aspek lain untuk menjadikan ia sebuah program yang lebih kuat, panel juri adalah sebahagian daripada misi menarik penonton.
Daripada enam lokasi uji bakat yang bermula 9 Oktober hingga 7 November lalu, lima juri dibawa mencari peserta terbaik, iaitu Afdlin Shauki, Sathia, Farouk Hussein, David Teo dan Os. Antara mereka ini, tiga akan menjadi juri tetap sepanjang berlangsungnya program ini nanti.

Namun siapakah yang bakal memegang tampuk juri tidak sama sekali akan diumumkan sebelum berlangsungnya episod pertama program ini pada 7 Januari depan.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, pihaknya sentiasa memikirkan apakah elemen yang menarik penonton untuk terus menyokong program itu.

“Memang media tertanya-tanya siapa juri yang akan menggantikan tempat arwah Din Beramboi. Itulah keistimewaannya apabila juri menjadi sebahagian daripada program ini. Semua juri yang dibawa ke lokasi uji bakat adalah nama besar dan pengaruh mereka masih kuat hingga hari ini. Tidak dinafikan, juri turut menjadi tumpuan yang tidak mahu melepaskan peluang bergambar bersama mereka,” katanya yang sukar untuk memilih juri berbanding peserta.


Bagaimanapun, Afdlin Shauki, David Teo dan Sathia akan dipilih sebagai juri tetap Raja Lawak musim kelima.

Kredibiliti tiga juri kali ini bukan saja mampu menarik perhatian penonton yang terdiri daripada khalayak Melayu, malah berusaha mendekatkan kaum lain seperti Cina dan India menonton program ini.


Sebagai pelakon dan pengarah, Afdlin ternyata memiliki kelebihan berhadapan dengan peserta yang bakal dibentuk. David Teo pula biarpun bukan berbakat sebagai pelakon komedi, namun karektor, air mukanya dan pertuturannya ketika berucap pada sesuatu acara mampu memberikan orang ramai tersenyum dengan kerana bercakap bahasa Melayu dengan pelat Cinanya. Sathia pula antara pelakon komedi dari kalangan India yang masih aktif.
Oleh Rozdan Mazalan
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger