{[['']]}
PETALING JAYA: Pengacara Zizan (Raja Lawak) mengakui berasa bangga dan teruja apabila ditawarkan menggantikan Wahid Senario bagi mengacara rancangan hiburan popular, Melodi di TV3.
Zizan berkata, tawaran tersebut merupakan peluang terbaik kerana program itu berjaya menaikkan beberapa nama besar pengacara tanah air sebelum ini.
"Saya terkejut apabila mereka tawarkan untuk jadi pengacara Melodi kerana seperti yang kita tahu, program tersebut pernah dikendalikan nama-nama besar seperti Aznil, Fauziah Ahmad Daud dan Saiful Azmi(Apek).
"Melodi juga merupakan rancangan hiburan yang sudah hampir 20 tahun usianya dan mempunyai reputasi baik serta mampu bertahan sehingga kini," katanya.
Menurut Zizan pemilihannya bersama Dira Abu Zahar berkemungkinan berdasarkan kriteria dan ciri-ciri yang ada padanya sebagai seorang pengacara.
"Saya tidak tahu mengapa mereka pilih saya sebab ramai lagi pengacara yang bagus tapi apa yang mereka beritahu, saya mempunyai kriteria pengacara yang mereka cari.
"Jika mereka rasa saya mampu untuk mengendalikan rancangan ini saya lebih berbesar hati untuk menerimanya," kata Zizan.
Bagaimanapun, Zizan mengakui agak gementar dengan penerimaan penonton rancangan tersebut yang sememangnya mempunyai pengikut tersendiri.
"Bagi mengambil alih sebuah rancangan besar seperti itu sudah tentu saya rasa sedikit gementar dan takut terutamanya jangkaan tinggi dari penonton.
"Untuk mengatasinya saya perlu banyakkan buat kajian tentang dunia hiburan semasa, namun begitu saya tidak takut jika diperbandingkan kerana ia adalah lumrah," ujarnya.
Ketika ditanya tentang gandingannya dengan pelakon Dira, Zizan memberitahu akan mencari keserasian dengan gandingannya itu sebaik mungkin.
"Saya belum berpeluang untuk berganding dengan Dira tapi saya percaya keserasian itu akan timbul. Sebelum ini saya selalu juga melepak dengan Dira dan saya percaya kami ada keserasian.
"Rasanya sama juga seperti kali pertama ketika digandingkan dengan Johan untuk Raja Lawak, keserasian itu timbul sedikit demi sedikit," katanya yang pernah mengacarakan rancangan Idola Kecil pada 2008.
Wahid dan Fara akan bersiaran sebagai pengacara Melodi buat kali terakhir di lokasi Karnival Jom Heboh Batu Kawan, Pulau Pinang pada 27 Mac ini, manakala Zizan dan Dira akan mula mengambil alih pada minggu berikutnya.
Kedua-dua mereka akan bersiaran secara langsung di Arena of Stars Genting Highlandssempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 iaitu pada 3 April.
Post a Comment