{[['']]}
KUALA LUMPUR: Biarpun hubungannya dengan penyanyi Akim, 20, hanya ditafsirkan sebagai rakan baik, namun hakikatnya penyanyi Stacy ,21, mengaku akan cemburu apabila melihat lelaki itu berdampingan dengan wanita lain.
Sukar untuk menterjemahkan perasaan Stacy terhadap Akim kerana padanya perasaan cinta hanya wujud apabila pasangan itu sudah berkahwin dan hidup bersama-sama sebagai pasangan suami isteri.
Menariknya Akim di matanya, Stacy merasa cepat serasi dan tidak kekok apabila bersama-sama dengan lelaki itu.
Mereka biasa menghabiskan masa makan dan berlibur menghilangkan rasa stres bersama-sama.
“Saya dan Akim hanya berkawan baik dan apabila bersama-sama dengannya saya rasa selesa kerana boleh menjadi diri-sendiri. Dia menerima diri saya yang gila-gila dan kadangkala kasar ini.
“Kami selalu keluar bersama-sama tak semestinya kami bercinta. Sekarang saya belum bersedia untuk berkahwin kerana mahu kumpul duit untuk keluarga dan diri-sendiri dahulu.
“Saya takut hilang fokus untuk bekerja jika hanyut dalam percintaan. Tetapi saya rasa cemburu juga jika dia bersama-sama wanita lain,” katanya.
Stacy ditemui dalam satu majlis pengumuman rasmi Stacy dan Akim sebagai duta baru aiskrim Wall’s Cornetto di Neutral Club, Jalan P. Ramlee, di sini.
Menyentuh tentang karier, penyanyi popular menerusi lagu Jahat ini dalam proses menghasilkan album keduanya pada tahun ini.
Setakat ini juara Akademi Fantasia musim keenam ini sudah merakamkan lagu pop balada berjudul Kisah Dongeng hasil ciptaan Edry Abdul Halim dan Di Penghujungnya.
“Saya selesa bekerjasama dengan Edry kerana dia mengetahui kekuatan dan kelemahan vokal saya.
“Untuk album kedua ini, saya akan menampilkan enam buah lagu baru yang akan diterbitkan oleh syarikat rakaman Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB).
“Selain itu, saya sedang belajar untuk menceburi bidang lakonan tetapi belum bersedia sepenuhnya,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, penyanyi kelahiran Sabah ini akan menyambung semula pengajiannya yang tertangguh di Universiti Kolej Lim Kok Wing pada Mac ini.
Dia yang mengikuti jurusan Bunyi dan Muzik di institusi pengajian itu akan belajar semula dari semester satu selepas gagal menghabiskan semester tersebut akibat masalah yang tidak dapat dielakkan selepas terlibat dalam kemalangan sehingga kereta remuk teruk pada Mei tahun lalu.
“Saya berharap dapat bahagikan masa dengan baik dan menghabiskan pengajian saya,” kata Stacy.
Post a Comment