{[['']]}
ZIANA Zain dan dan Noraniza Idris menerima anugerah khas daripada Yayasan Insan Melaka (YIM) atas sumbangan besar mereka kepada perkembangan industri seni negara.
Anugerah Jasa Bakti Seniman (JBS) itu disampaikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad pada majlis sambutan ulang tahun ke-12 pertubuhan berkenaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Ziana yang juga anak kelahiran Merlimau, Melaka, ketika ditemui mengakui agak terkejut apabila diberitahu oleh pengurusan YIM, bahawa dia dipilih menerima anugerah penghargaan dan diminta hadir pada majlis berkenaan.
"Saya memang tidak menyangka sama sekali akan dipilih untuk menerima anugerah ini. Penghargaan ini bagi saya adalah satu penghormatan dan pengiktirafan atas apa yang lakukan selama ini dalam bidang seni.
"Alhamdulillah, masih ada masyarakat yang mengingati saya walaupun sudah lama saya tidak kembali ke Melaka disebabkan kesibukan kerjaya di Kuala Lumpur selepas 20 tahun menceburi bidang nyanyian. Terima kasih YIM atas penganugerahan ini," katanya.
Noraniza Idris pula berasakan anugerah yang diterima itu adalah pengiktirafan berharga atas sumbangannya dalam dunia seni.
“Anugerah ini adalah satu pengiktirafan istimewa oleh YIM yang melihat kesungguhan individu seperti saya dalam bidang muzik. Bukan mudah untuk orang memilih kita selepas hampir 25 tahun berada dalam industri ini.
“Saya bersyukur kerana ada yayasan yang melihat saya dalam membangunkan bidang muzik dan menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat,” katanya sebelum ini pernah tinggal dan bekerja di Melaka selama empat tahun.
Selain Ziana dan Noraniza, turut menerima anugerah pada majlis itu adalah bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik (Anugerah Kepimpinan Masyarakat), Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron (Anugerah Kepimpinan Belia), Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan (Anugerah Kepimpinan Media Elektronik) dan Ketua Biro Berita Harian Melaka, Amirullah Andi Nur (Anugerah Jasa Bakti Media).
Hadir sama pada majlis itu Yang di-Pertua YIM, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya dan Pengurus Besar YIM, Datin Seri Hafizah Md Piah.
Oleh Muhammad Hatim Ab Manan
Post a Comment