{[['']]}
BUKIT JALIL: Malam kemuncak Mari Menari menyaksikan pasangan Razif menepati ramalan apabila dinobat sebagai juara musim pertama program itu yang berlangsung di Studio 1, Astro, di sini, Sabtu.
Kuasa penonton menerusi 100 peratus undian Sistem Pesanan Ringkas (SMS) telah meletakkan pasangan Razif dan isteri sebagai pemenang dengan 52 peratus.
Sementara pasangan Ariz yang mendapat 48 peratus menyusul di tempat kedua.
Razif yang ditemui pada sidang media program itu berkata, segala kesulitan dan jerih-perih sepanjang 10 minggu persaingan terbayar dengan kemenangan ini.
"Saya ingin berterima kasih pada Astro, koreografer Belalang dan penasihat Lisdawati atas peluang dan bimbingan yang diberikan.
"Segala kesulitan yang kami hadapi sepanjang berada dalam program ini terbayar dengan kemenangan ini," katanya.
Dua pasangan yang kurang bernasib baik iaitu Zul (19 peratus) dan Fahmi (14 peratus) masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat.
Kesemua finalis menampilkan dua persembahan wajib yang bertemakan hip hop dan kontemporari untuk pusingan awal.
Dua pasangan yang mendapat peratusan tertinggi iaitu Razif dan Ariz mara ke pusingan akhir untuk cabaran tarian bertemakan Latin.
Selain empat pasangan itu, program yang berlangsung selama 10 minggu ini turut menyaksikan persaingan lapan lagi pasangan iaitu Shai, Dita, Masri, Jaya, Jat, Rosdi, Zarin dan Nita.
Kemuncak MM diserikan dengan persembahan pembukaan oleh empat penasihat iaitu Erra Fazira, Lisdawati, Zulhuzaimy dan Ferhad.
Turut memeriahkan acara, penyanyi Indonesia Ahmad Dhani dan bintang AF8 Adira masing-masing tampil dengan lagu Sedang Ingin Bercinta dan Ilusi.
Selaku juara, pasangan Razif membawa pulang sebuah kondominium mewah The Haven di Ipoh, Perak yang bernilai RM350,000 dan percutian ke Bali tajaan Hard Rock Bali.
Kemuncak MM bersiaran secara langsung serentak di Astro Ria (Saluran 104) dan saluran khas definisi tinggi (Saluran 188) pukul 9 malam.
Post a Comment