{[['']]}
ANUAR ZAIN (kiri) bersama Edry Abdul Halim menerima trofi Lagu Terbaik daripada Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur AIM 18, Rosmin Hashim
INI memang senario paling lucu dalam industri hiburan tempatan sebelum tahun 2011 melabuhkan tirai. Bertambah lucu apabila ia datang daripada sebuah anugerah yang dianggap paling berprestij untuk mengiktiraf karyawan sebalik tabir dan pelaku muzik tanah air, Anugerah Idustri Muzik (AIM) - tersilap beri anugerah dan pengiktirafan!
Jika ingin dilihat secara kasar, memang tidak masuk akal langsung apabila AIM yang tahun ini sudah masuk usia 18 tahun boleh melakukan kesilapan paling bodoh untuk jenama besar mereka.
AIM 18 tersilap memberi pengiktirafan kepada kategori Lagu Terbaik yang dimenangi oleh karya penuh Yuna, Penakut. Anugerah itu kini telah bertukar tangan kepada komposer Edry Abdul Halim dan penyanyi Anuar Zain menerusi lagu Sedetik Lebih.
Padahal, sewaktu majlis sidang akhbar berlangsung usai AIM 18 berakhir lebih seminggu lalu, memang sudah kecoh tentang kemenangan lagu Penakut. Bagaimana sebuah lagu yang tidak menang dalam salah satu subkategori boleh diangkat juara.
Sedangkan mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh penganjur, pemenang Lagu Terbaik mestilah merupakan salah satu pemenang bagi empat anugerah subkategori sama ada Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Rock Terbaik atau Lagu Nasyid Terbaik.
Namun pihak penganjur menangkis dan menepis soalan media. Barangkali media cuba membunuh anugerah yang semakin mula nampak banyak kepincangannya ini, penganjur dengan yakin menjawab semua lagu berhak untuk menjadi juara dan seharusnya ia tidak boleh dipertikai kerana ia diadili oleh badan yang cukup profesional.
Apabila pihak penganjur sudah berkata demikian, siapalah media untuk mempersoalkan lagi walau memang diakui, jawapan yang diberikan tidak logik. Malah siapa juga Yuna atau pelaku muzik lain untuk mempertikaikan penjurian profesional.
Baru ingin melupakan kontroversi tersebut, AIM 18 membakar termometer mereka sendiri. Umpama sudah ludah dan menjilat semula, mereka menarik balik pengiktirafan terhadap Yuna. Kata mereka, terdapat kesilapan teknikal yang berlaku terhadap penjurian.
Maka anugerah Lagu Terbaik yang dimenanginya pun dipulangkan. Sesudah dipulangkan, ia kemudian diberi kepada pemenang yang lebih layak mengikut penjurian profesional mereka, Sedetik Lebih.
Yuna yang merupakan mangsa utama terhadap kecelaruan penjurian AIM 18 memberitahu, dia sendiri agak hairan apabila lagu Penakut diumumkan sebagai pemenang Lagu Terbaik ketika acara kemuncak yang berlangsung pada 12 November yang lalu.
YUNA akan tetap menyokong AIM namun meminta agar kesilapan yang sama tidak berulang demi menjaga maruah dan kreadibiliti anugerah tersebut serta karyawan seni.
"Walaupun saya masih baru dalam industri ini, tetapi saya sudah memahami tentang kriteria untuk acara anugerah seperti AIM. Setahu saya untuk merangkul anugerah Lagu Terbaik mestilah berdasarkan kepada pemenang salah satu kategori utama.
"Namun bila memikirkan kembali tentang banyak pembaharuan yang dilakukan oleh penganjur, jadi saya merasakan keputusan yang dibuat itu adalah berdasarkan kepada salah satu pembaharuan tersebut," ujarnya yang hadir pada sidang akhbar tergempar yang diadakan di Hotel Maya, Kuala Lumpur kelmarin.
Tambah Yuna, apabila dihubungi oleh pihak penganjur iaitu Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) beberapa hari lalu tentang kesilapan yang telah berlaku, dia mengakui agak terkejut dan tidak menyangka akan berlaku kesilapan dalam sebuah acara yang cukup berprestij.
Ujarnya, kesilapan besar sebegitu dilihat boleh mencalarkan sedikit kredibilitinya, namun tetap menerima dengan hati yang terbuka apabila kemenangannya itu ditarik semula.
"Apa yang saya tahu perkara ini sudah pun menjadi perbualan ramai sehingga menimbulkan pelbagai persepsi yang buruk tentang penganjuran AIM pada kali ini.
"Meskipun saya adalah mangsa terhadap kesilapan yang berlaku, tetapi saya yakin ia tidak akan memberi impak yang lebih besar terhadap kerjaya dan maruah saya sebagai penyanyi pada masa akan datang," ujarnya.
Pada masa yang sama, penyanyi yang mula popular menerusi lagu Dan Sebenarnya itu turut memuji tindakan pihak penganjur yang mengadakan sidang akhbar khas bagi merungkai permasalahan serta kontroversi yang timbul.
Ujarnya, dengan langkah segera yang diambil oleh RIM ini, ia dilihat sebagai salah satu langkah yang berkesan untuk memperbetulkan segala kesilapan agar orang ramai tidak terus memandang serong terhadap kredibiliti pihak penganjur yang sudah tercalar.
"Selepas ini, mana-mana pihak yang terbabit dalam penganjuran anugerah sebegini haruslah memikul tanggungjawab yang diberikan dengan lebih baik supaya tiada lagi sebarang kontroversi yang timbul.
"Saya sangat yakin segala masalah yang berlaku ini adalah di luar jangkaan. Cuma saya berharap masalah yang sama tidak akan terjadi lagi pada masa akan datang," tegasnya.
Terus sokong
Menjadi mangsa kepada kelemahan sistem penjurian dalam sebuah acara yang berprestij, tidak bermakna Yuna sudah merajuk dan tidak mahu menyertai AIM lagi selepas ini.
Biarpun sedikit terasa dengan masalah yang timbul, penyanyi berkenaan menyatakan tidak ada sebab untuk dia memboikot acara anugerah tersebut selepas ini.
"Sebagai seorang pemuzik di Malaysia, sudah tentu saya akan terus memberi sokongan dan terus menyertai AIM pada acara akan datang.
"Lagipun industri muzik di negara ini bukanlah besar dan saya rasa tidak seronok pula kalau mahu merajuk atas apa yang terjadi kepada diri saya sekarang ini," jelasnya.
Menurutnya lagi, pihak penganjur juga telah memberi satu pengiktirafan yang sangat besar iaitu menerusi Anugerah Kembara, meskipun pembabitannya dalam bidang nyanyian masih dikira agak baru lagi.
"Menerusi Anugerah Kembara yang diterima ini juga saya anggap ia sebagai satu pencapaian tertinggi yang pernah diraih sepanjang bergelar seorang penyanyi," ujarnya.
BERDAMAI. Dari kiri, wakil Ernst & Young, Ahmad Zahirudin, wakil RIM, Adrian Lim, Rosmin Hashim, Yuna, Anuar Zain dan Edry Abdul Halim.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur AIM 18, Rosmin Hashim menjelaskan segala permasalahan yang timbul adalah disebabkan kesilapan yang telah dilakukan oleh juruaudit luar rasmi yang dilantik iaitu Ernst & Young.
Jelas Rosmin, setelah pihak penganjur menyemak kembali kriteria untuk penganugerahan tersebut, mereka telah membuat keputusan untuk menobatkan Sedetik Lebih sebagai Lagu Terbaik.
"Pihak Ernst & Young sendiri telah mengakui kesilapan yang dilakukan dan kami segera mengambil langkah untuk memperbetulkan keadaan supaya kredibiliti sebagai penganjur tidak terus tercalar.
"Kami juga ingin menekankan bahawa pembetulan yang dilakukan ini bukanlah bermaksud untuk menafikan pencapaian Yuna, tetapi kesilapan yang berlaku tidak dapat dielakkan dan amat kami kesali," jelasnya.
Menurutnya lagi, kekeliruan tentang penjurian sebenarnya bermula apabila penjurian untuk subkategori dan Lagu Terbaik telah dinilai menerusi dua penjurian yang berbeza.
Sementara itu, wakil Ernst & Young, Ahmad Zahirudin Abdul Rahim menjelaskan pihaknya mengakui kesilapan yang telah dilakukan dan ia berlaku disebabkan petugas yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan tugas tersebut kurang faham dengan kriteria penjurian.
Ujarnya, ia berlaku kerana petugas yang mengendalikan audit tersebut baru kali pertama melakukannya dan pihaknya sendiri tidak sangka akan berhadapan dengan masalah yang lebih besar atas kesilapan yang dilakukan.
"Apa pun kami tetap mengaku telah melakukan kesilapan dan terserah kepada pihak penganjur sama ada mahu terus menggunakan khidmat kami atau tidak pada tahun hadapan," ujarnya.
Kredit: Sumber
Post a Comment