Latest Post :
Recent Post
Showing posts with label Anuar Zain. Show all posts
Showing posts with label Anuar Zain. Show all posts

Hati Nora Danish Cair Dengan Anuar Zain

Anuar Zain dan Nora Danish
 

Jika sebelum ini, kita pernah mendengar pengakuan daripada penyanyi terkenal, Anuar Zain yang mahukan wanita idamannya mempunyai ciri-ciri seperti Nora Danish.

Kali ini, si bunga pula membuka mulut mengatakan bahawa penyanyi romantis itu juga mempunyai ciri-ciri lelaki idaman yang dicarinya.

Ketika ditanya oleh Utusan siapakah artis lelaki yang bisa mencairkan hatinya, Nora memberitahu, “Anuar Zain! Sebab dia cukup gentleman, semua wanita pasti menyukainya. Peluang berlakon dalam video klip bersamanya baru-baru ini cukup mengujakan saya”.

Selain itu, ibu kepada Putera Rayqal ini turut terpalit kontroversi apabila dikhabarkan dia kini bercinta dengan pelakon Shaheizy Sam.

Nora lantas menafikan perkara itu dengan mengatakan hubungannya dengan anak pelakon Khaty Fauziah itu sebagai suatu yang profesional di antara mereka.

“Hubungan saya dengan Sam juga profesional dan kami hanya sekadar kawan biasa,” katanya.

Mereka dikatakan rapat sejak bergandingan bersama dalam membintangi filem arahan Eyra Rahman yang berjudul 2 Kalimah.

  
Oleh: JULIANA JOHAR 
{[['']]}

Anuar Zain Dambakan Wanita Seperti Nora Danish

Anuar Zain 

 
PETALING JAYA: Penyanyi Anuar Zain (gambar) mengakui wajah seperti pelakon Nora Danish merupakan antara ciri-ciri wanita idamannya untuk dijadikan isteri.

Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain,42, berkata, dia mula tertarik dengan Nora sejak kemunculan awal pelakon itu menerusi drama Puteri.

"Nora memiliki wajah dalam kriteria wanita idaman saya yang feminin dan lembut.

"Saya tidak menolak takdir sekiranya dijodohkan dengan Nora," kata Anuar.

Penyanyi itu ditemui pada pelancaran klip video lagu Ajari Aku di White Box, Publika dekat sini, petang Isnin.

Bagaimanapun, tambah Anuar, perhubungannya dengan Nora tidak lebih daripada seorang rakan kerja kerana wanita itu menjadi pasangannya dalam klip video Ajari Aku yang turut menampilkan pelakon Datuk Rahim Razali.



Nora Danish 

Ditanya, pernah atau tidak dia terfikir untuk mengenali Nora dengan lebih dekat, Anuar memberitahu tidak memikirkan untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius dengan ibu beranak satu itu.

"Walaupun Nora mempunyai ciri-ciri wanita idaman seperti yang di inginkan, tetapi ia belum sampai ke tahap untuk saya mengenalinya dengan lebih lanjut. Masing-masing dengan hal peribadi sendiri," tuturnya.

Sementara itu, pada majlis pelancaran klip video itu, Anuar turut mengumumkan bakal mengadakan konsert solonya pada 16 Februari 2013 di Stadium Putra Bukit Jalil, dekat sini pukul 8.30 malam.

Konsertnya yang diberi nama 'Anuar Zain-Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari' itu dianjurkan oleh Anuar Zain Network Sdn Bhd dan syarikat rakaman Universal Music.

Ia merupakan konsert sulung Anuar selepas 30 tahun berada dalam industri seni muzik tempatan.

"Saya rasa sudah tiba masanya untuk membuat konsert buat peminat-peminat setia yang sentiasa menyokong saya dari dulu lagi.

"Dah lama saya nak buat konsert, cuma masalah tiada penganjur membuatkan hasrat itu terbantut.

"Sekarang ini, saya dan pihak Universal akan menggerakkan konsert ini dan mengalu-alukan mana-mana penaja untuk bekerjasama dengan kami," katanya.

Menariknya tentang konsert itu, Anuar akan membuat persembahan selama dua jam tanpa penyanyi undangan dan akan beraksi sebaik mungkin buat para peminatnya itu.

Tiket konsert boleh ditempah bermula 12 Disember depan menerusi ejen tiket www.ticketcharge.com.my.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
{[['']]}

Terpukau Dengan Vokal Gemersik Anuar Zain

GOLONGAN wanita menjadi tidak keruan setiap kali berpeluang melihat Anuar Zain membuat persembahan secara langsung.

Setiap kali menjelang musim minggu setiausaha sepanjang bulan April, ramai artis popular akan dijemput mengadakan persembahan secara eksklusif khusus bagi meraikan golongan setiausaha dan ahli korporat.

Pada kebiasaannya, antara artis yang tidak pernah terlepas daripada membuat persembahan bersempena minggu setiausaha pada setiap tahun termasuklah Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, Datuk Sheila Majid, Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah dan ramai lagi.

Tidak lengkap senarai tersebut jika tidak disertakan nama seorang lagi penyanyi hebat tanah air, siapa lagi kalau bukan Anuar Zain.

Dikurniakan vokal yang gemersik, Anuar nyata sering menjadi kegilaan khususnya dalam kalangan wanita setiap kali mengadakan persembahan, sementelah untuk minggu setiausaha yang rata-ratanya dihadiri golongan Hawa.

Figura kelahiran Merlimau, Melaka itu baru-baru ini muncul buat kali kedua membuat persembahan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh menerusi kerjasama Permaisuri Hotels & Resort.

Dalam persembahan selama satu jam tersebut, penghibur berusia 42 tahun itu membuktikan profesionalisme dirinya yang wajar dipuji.

Ini kerana vokalnya sewaktu mengalunkan lagu-lagu sepanjang persembahan itu langsung tiada cacat cela, biarpun Anuar khabarnya kurang sihat sejak beberapa minggu sebelum itu.

Adele


Pada majlis yang dikenali sebagai Sepetang Bersama Anuar Zain itu, Anuar mengenakan sut hitam seperti seorang ahli korporat tetapi versi elegan.

Tepat pukul 10 malam, Anuar memulakan persembahan dengan lagu Kau Bunga Cintaku sekali gus membuatkan tetamu majlis yang terdiri hampir 80 peratus wanita itu terus bersorak kerana dilanda keterujaan yang amat sangat.

 ANUAR ZAIN membuktikan dirinya kekal sebagai penghibur dengan karisma yang hebat.

Sejurus selepas lagu pertamanya tamat, Anuar terus mengalunkan lagu hit, Keabadian Cinta yang turut dinyanyikan bersama-sama para tetamu majlis.

“Baik sama-sama anda sambungkan lirik ini yang berbunyi, bukan ilusi oh...kasih,” ucap Anuar secara berseloroh disambut jeritan tetamu-tetamu wanita penuh kegirangan.

Apa yang istimewa, pada majlis itu Anuar turut menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi secara acapella khusus buat seorang tetamu, membuatkan dewan MITC dipenuhi dengan sorakan.

Pada kemuncak persembahan, adik penyanyi wanita terkenal Ziana Zain itu mengejutkan tetamu yang hadir apabila dengan penuh emosi mengalunkan lagu popular Adele, Someone Like You.

Sewaktu lagu itu didendangkan, dewan MITC terus bertukar menjadi sunyi sepi seolah-olah semua tetamu dipukau oleh vokal gemersik Anuar.

Rata-rata hadirin secara berbisik mengakui terkedu dengan vokal Anuar. Malah, ada yang mengatakan vokal Anuar kedengaran sama hebat seperti suara Adele.

“Maaf, saya baru hendak belajar menyanyikan lagu Someone Like You atas permintaan peminat pada saat-saat akhir,” ucap Anuar merendah diri.

Sebagai reaksi kepada sambutan hangat para tetamu itu, Anuar lalu turun dari pentas sebelum mengalunkan pula rantaian lagu-lagu popularnya antaranya Sesuci Cintaku, Ketulusan Hati, Terindah dan Bila Resah sebelum menamatkan persembahan dengan penuh emosi menerusi lagu hit, Cinta Harus Memiliki.

Nabil

Selain Anuar, majlis itu turut diserikan dua artis yang bertindak sebagai pengacara majlis iaitu Nabil Ahmad dan Sharifah Shahirah yang begitu mencuit hati penonton dengan lawak jenaka mereka.

Dalam pada itu, Anuar yang ditemui usai majlis persembahannya itu mengaku dia sangat berpuas hati dengan persembahannya tersebut.

“Saya anggap persembahan pada malam ini sebagai tenang dan santai. Apa yang lebih menimbulkan keterujaan, saya bukan hanya sekadar membuat persembahan tetapi turut pulang ke kampung halaman apabila menjejakkan kaki ke negeri kelahiran saya sendiri ini,” tuturnya.

Tambahnya: “Lagu-lagu yang didendangkan tadi merupakan pilihan saya sendiri dan tidak ketinggalan merupakan pilihan peminat seperti lagu Adele, Someone Like You.

Oleh: NUZULSHAM SHAMSUDDIN
{[['']]}

Penganjur AIM 18 Melakukan Kesilapan Paling Bodoh Dalam Sejarah Muzik Negara


ANUAR ZAIN (kiri) bersama Edry Abdul Halim menerima trofi Lagu Terbaik daripada Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur AIM 18, Rosmin Hashim


INI memang senario paling lucu dalam industri hiburan tempatan sebelum tahun 2011 melabuhkan tirai. Bertambah lucu apabila ia datang daripada sebuah anugerah yang dianggap paling berprestij untuk mengiktiraf karyawan sebalik tabir dan pelaku muzik tanah air, Anugerah Idustri Muzik (AIM) - tersilap beri anugerah dan pengiktirafan!
Jika ingin dilihat secara kasar, memang tidak masuk akal langsung apabila AIM yang tahun ini sudah masuk usia 18 tahun boleh melakukan kesilapan paling bodoh untuk jenama besar mereka.
AIM 18 tersilap memberi pengiktirafan kepada kategori Lagu Terbaik yang dimenangi oleh karya penuh Yuna, Penakut. Anugerah itu kini telah bertukar tangan kepada komposer Edry Abdul Halim dan penyanyi Anuar Zain menerusi lagu Sedetik Lebih.
Padahal, sewaktu majlis sidang akhbar berlangsung usai AIM 18 berakhir lebih seminggu lalu, memang sudah kecoh tentang kemenangan lagu Penakut. Bagaimana sebuah lagu yang tidak menang dalam salah satu subkategori boleh diangkat juara.
Sedangkan mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh penganjur, pemenang Lagu Terbaik mestilah merupakan salah satu pemenang bagi empat anugerah subkategori sama ada Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Rock Terbaik atau Lagu Nasyid Terbaik.
Namun pihak penganjur menangkis dan menepis soalan media. Barangkali media cuba membunuh anugerah yang semakin mula nampak banyak kepincangannya ini, penganjur dengan yakin menjawab semua lagu berhak untuk menjadi juara dan seharusnya ia tidak boleh dipertikai kerana ia diadili oleh badan yang cukup profesional.
Apabila pihak penganjur sudah berkata demikian, siapalah media untuk mempersoalkan lagi walau memang diakui, jawapan yang diberikan tidak logik. Malah siapa juga Yuna atau pelaku muzik lain untuk mempertikaikan penjurian profesional.
Baru ingin melupakan kontroversi tersebut, AIM 18 membakar termometer mereka sendiri. Umpama sudah ludah dan menjilat semula, mereka menarik balik pengiktirafan terhadap Yuna. Kata mereka, terdapat kesilapan teknikal yang berlaku terhadap penjurian.
Maka anugerah Lagu Terbaik yang dimenanginya pun dipulangkan. Sesudah dipulangkan, ia kemudian diberi kepada pemenang yang lebih layak mengikut penjurian profesional mereka, Sedetik Lebih.
Yuna yang merupakan mangsa utama terhadap kecelaruan penjurian AIM 18 memberitahu, dia sendiri agak hairan apabila lagu Penakut diumumkan sebagai pemenang Lagu Terbaik ketika acara kemuncak yang berlangsung pada 12 November yang lalu.



YUNA akan tetap menyokong AIM namun meminta agar kesilapan yang sama tidak berulang demi menjaga maruah dan kreadibiliti anugerah tersebut serta karyawan seni.

"Walaupun saya masih baru dalam industri ini, tetapi saya sudah memahami tentang kriteria untuk acara anugerah seperti AIM. Setahu saya untuk merangkul anugerah Lagu Terbaik mestilah berdasarkan kepada pemenang salah satu kategori utama.
"Namun bila memikirkan kembali tentang banyak pembaharuan yang dilakukan oleh penganjur, jadi saya merasakan keputusan yang dibuat itu adalah berdasarkan kepada salah satu pembaharuan tersebut," ujarnya yang hadir pada sidang akhbar tergempar yang diadakan di Hotel Maya, Kuala Lumpur kelmarin.
Tambah Yuna, apabila dihubungi oleh pihak penganjur iaitu Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) beberapa hari lalu tentang kesilapan yang telah berlaku, dia mengakui agak terkejut dan tidak menyangka akan berlaku kesilapan dalam sebuah acara yang cukup berprestij.
Ujarnya, kesilapan besar sebegitu dilihat boleh mencalarkan sedikit kredibilitinya, namun tetap menerima dengan hati yang terbuka apabila kemenangannya itu ditarik semula.
"Apa yang saya tahu perkara ini sudah pun menjadi perbualan ramai sehingga menimbulkan pelbagai persepsi yang buruk tentang penganjuran AIM pada kali ini.
"Meskipun saya adalah mangsa terhadap kesilapan yang berlaku, tetapi saya yakin ia tidak akan memberi impak yang lebih besar terhadap kerjaya dan maruah saya sebagai penyanyi pada masa akan datang," ujarnya.
Pada masa yang sama, penyanyi yang mula popular menerusi lagu Dan Sebenarnya itu turut memuji tindakan pihak penganjur yang mengadakan sidang akhbar khas bagi merungkai permasalahan serta kontroversi yang timbul.
Ujarnya, dengan langkah segera yang diambil oleh RIM ini, ia dilihat sebagai salah satu langkah yang berkesan untuk memperbetulkan segala kesilapan agar orang ramai tidak terus memandang serong terhadap kredibiliti pihak penganjur yang sudah tercalar.


"Selepas ini, mana-mana pihak yang terbabit dalam penganjuran anugerah sebegini haruslah memikul tanggungjawab yang diberikan dengan lebih baik supaya tiada lagi sebarang kontroversi yang timbul.
"Saya sangat yakin segala masalah yang berlaku ini adalah di luar jangkaan. Cuma saya berharap masalah yang sama tidak akan terjadi lagi pada masa akan datang," tegasnya.
Terus sokong
Menjadi mangsa kepada kelemahan sistem penjurian dalam sebuah acara yang berprestij, tidak bermakna Yuna sudah merajuk dan tidak mahu menyertai AIM lagi selepas ini.
Biarpun sedikit terasa dengan masalah yang timbul, penyanyi berkenaan menyatakan tidak ada sebab untuk dia memboikot acara anugerah tersebut selepas ini.
"Sebagai seorang pemuzik di Malaysia, sudah tentu saya akan terus memberi sokongan dan terus menyertai AIM pada acara akan datang.
"Lagipun industri muzik di negara ini bukanlah besar dan saya rasa tidak seronok pula kalau mahu merajuk atas apa yang terjadi kepada diri saya sekarang ini," jelasnya.
Menurutnya lagi, pihak penganjur juga telah memberi satu pengiktirafan yang sangat besar iaitu menerusi Anugerah Kembara, meskipun pembabitannya dalam bidang nyanyian masih dikira agak baru lagi.
"Menerusi Anugerah Kembara yang diterima ini juga saya anggap ia sebagai satu pencapaian tertinggi yang pernah diraih sepanjang bergelar seorang penyanyi," ujarnya.


BERDAMAI. Dari kiri, wakil Ernst & Young, Ahmad Zahirudin, wakil RIM, Adrian Lim, Rosmin Hashim, Yuna, Anuar Zain dan Edry Abdul Halim.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur AIM 18, Rosmin Hashim menjelaskan segala permasalahan yang timbul adalah disebabkan kesilapan yang telah dilakukan oleh juruaudit luar rasmi yang dilantik iaitu Ernst & Young.
Jelas Rosmin, setelah pihak penganjur menyemak kembali kriteria untuk penganugerahan tersebut, mereka telah membuat keputusan untuk menobatkan Sedetik Lebih sebagai Lagu Terbaik.
"Pihak Ernst & Young sendiri telah mengakui kesilapan yang dilakukan dan kami segera mengambil langkah untuk memperbetulkan keadaan supaya kredibiliti sebagai penganjur tidak terus tercalar.
"Kami juga ingin menekankan bahawa pembetulan yang dilakukan ini bukanlah bermaksud untuk menafikan pencapaian Yuna, tetapi kesilapan yang berlaku tidak dapat dielakkan dan amat kami kesali," jelasnya.
Menurutnya lagi, kekeliruan tentang penjurian sebenarnya bermula apabila penjurian untuk subkategori dan Lagu Terbaik telah dinilai menerusi dua penjurian yang berbeza.
Sementara itu, wakil Ernst & Young, Ahmad Zahirudin Abdul Rahim menjelaskan pihaknya mengakui kesilapan yang telah dilakukan dan ia berlaku disebabkan petugas yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan tugas tersebut kurang faham dengan kriteria penjurian.
Ujarnya, ia berlaku kerana petugas yang mengendalikan audit tersebut baru kali pertama melakukannya dan pihaknya sendiri tidak sangka akan berhadapan dengan masalah yang lebih besar atas kesilapan yang dilakukan.
"Apa pun kami tetap mengaku telah melakukan kesilapan dan terserah kepada pihak penganjur sama ada mahu terus menggunakan khidmat kami atau tidak pada tahun hadapan," ujarnya.
Kredit: Sumber
{[['']]}

Siapakah Pemenang Sebenar Anugerah Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik 2011 ??



Dengarnya... Trofi Yuna akan ditarik balik?


NAMPAKNYA, bulan ini memang bulan kontroversi. Yalah, kalau ada saja acara anugerah, pastinya ada kontroversi menyusul. Ibaratnya, anugerah dan kontroversi itu sungguh sinonim sekali, bagai isi dengan kuku.

Belum habis orang ramai bercerita mengenai kemenangan tiba-tiba lagu Penakut ciptaan dan dendangan Yuna pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-18 yang dijulang sebagai Lagu Terbaik, timbul pula ketidakpuasan hati sesetengah pihak apabila nama Jurey Latiff Rosli diangkat sebagai Pengarah Harapan Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-24 yang baru berlalu.
Kononnya, mereka mempertikaikan bagaimana pula Jurey yang juga Presiden GAFIM, boleh bertanding dalam anugerah yang mereka anjurkan sendiri? Sedangkan, kalau kuiz sekalipun, syarikat penganjur, kakitangan dan keluarga mereka pun tak boleh ikut serta sekali. Inikan pula acara besar seperti FFM. Entahlah, Cik Normah pun sudah jadi pening mengikuti cerita dalam industri seni kita ini. Tidak habis cerita Jurey, tiba-tiba telinga Cik Normah dihembuskan dengan khabar yang mengatakan, kontroversi membabit lagu Yuna itu belum berakhir. Trofi dimenangi penyanyi bertudung pada AIM lalu itu khabarnya akan ditarik balik. Trofi berkenaan, dengar ceritanya, akan diserahkan kepada pencipta serta penyanyi lagu Sedetik Lebih, Edry Abdul Halim dan Anuar Zain.

Khabar itu juga ada menyatakan, kononnya ada kesilapan pada perkiraan sehingga lagu Penakut diumumkan lagu terbaik keseluruhan AIM18, sedangkan ia tidak pun memenangi lagu terbaik kategori yang ditandingi. Selalunya, Lagu Terbaik akan dipilih daripada pemenang kategori Lagu Pop, Rock, Nasyid mahupun Etnik Terbaik.



  


Jika diikutkan, Lagu Terbaik AIM18 sepatutnya menjadi rebutan antara Sedetik Lebih yang memenangi Lagu Pop Terbaik, Pelita (Rock), Pedoman (Nasyid) dan Joget Tak Senang Hati (Etnik).

Apatah lagi lagu Penakut sebenarnya sudah pun tewas kepada Sedetik Lebih dalam kategori Pop, yang turut ditandingi Beribu Sesalan nyanyian Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah, Sungai Lui (Aizat) dan Dengarkanlah (Datuk Sheila Majid).
Cik Normah pun terfikir juga, apakah anugerah itu tidak diserahkan kepada pencipta dan penyanyi Sedetik Lebih pada malam berkenaan kerana ada pihak yang enggan mencetuskan kontroversi, seperti yang berlaku kepada Jurey? Maklumlah, pencipta lagu itu ialah Edry, adik kepada Norman. Sedangkan, Norman ialah Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), pihak yang bertanggungjawab dalam penganjuran AIM18.

Mungkin juga niat murni terbabit akhirnya memakan diri sendiri, apabila topik kemenangan lagu Penakut semakin hangat diperkatakan peminat, terutama di internet?

Tidak mengapalah, mungkin sehari dua ini, akan ada kenyataan rasmi yang bakal dikeluarkan pihak penganjur. Kita sama-sama tunggu dan lihat nanti. Bagi Cik Normah, ia pengajaran terbaik buat semua pihak supaya jika ada kesilapan di mana-mana pun, perkara sama tidak berulang pada masa depan. Dalam hal ini, Yuna yang sememangnya nampak terkejut ketika diumumkan pemenang pada malam itu memang tidak bersalah apa-apa pun. Dia sebenarnya mangsa kepada keadaan, jika betul trofinya itu akan ditarik balik.
Oleh Normah Becok
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger