Latest Post :
Home » , » 4 Kumpulan Mara Ke Final 'Raja Lawak 6'

4 Kumpulan Mara Ke Final 'Raja Lawak 6'

{[['']]}
Kumpulan Zero berjaya mara ke peringkat akhir Raja Lawak musim ke enam dengan markah 27.6 peratus. 
 
KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya dalam sejarah program Raja Lawak, empat finalis bakal berentap pada pentas akhir musim keenam yang bakal berlangsung pada 16 Mac ini di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Kejutan itu diumumkan pada gelanggang separuh akhir (minggu kesembilan) di Pusat Penyiaran Asia, Astro, Bukit Jalil, di sini, malam Jumaat.
Empat peserta yang bersaing pada minggu separuh akhir adalah kumpulan 2Yol, Cuit, Shiro dan Zero.
Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro Nizam Sani, berkata pemilihan empat finalis mara ke peringkat akhir adalah format baru yang diperkenalkan pada musim ini.
"Ia (pemilihan empat finalis) adalah format yang sudah dirancang sejak awal musim ini lagi.
"Sebenarnya, kami turut memperkenalkan beberapa pembaharuan pada musim ini seperti pentas dan format penyingkiran yang berbeza," katanya ketika ditemui selepas siaran langsung program itu, di sini.
Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani.
 

 
 
Nizam berkata persaingan empat finalis itu dijangka akan menyuntik kemeriahan dan variasi pada pentas akhir berdasarkan latar belakang dan stail komedi mereka yang berlainan antara satu sama lain.
"Mungkin momentum persembahan peserta pada malam ini (Jumaat) yang agak menurun berpunca daripada faktor keletihan, kekeringan idea atau perasaan gementar.
"Namun, perbezaan latar belakang dan komedi mereka akan menjanjikan pertandingan akhir yang meriah dan berwarna-warni," katanya.
Pada persaingan malam Jumaat, Shiro mendahului peratus undian dengan 31.3 peratus, diikuti Zero (27.6), Cuit (21) dan 2Yol (20).
Para peserta dikehendaki melakukan dua tugasan yang bertemakan 'Zaman Kanak-kanak' dan ‘Kalau Aku.'
Kumpulan 2Yol yang mendapat undian terendah mengakui mereka tidak menyangka dapat bertahan sehingga ke peringkat akhir.
Kumpulan Shiro turut mara ke peringkat akhir.

Kumpulan dari Johor itu disertai oleh Azlan Abdullah, 40 dan Rohaizat Samin, 35.
"Kami bersyukur kerana ada juga penonton yang memandang bakat kami walaupun kami adalah peserta yang paling berusia.
"Sukar hendak percaya dapat bertahan sejauh ini dan kami bersyukur atas peluang ini," kata Azlan yang menyifatkan Shiro sebagai saingan terkuat pada malam akhir nanti.
Malam kemuncak RL6 dijangka berlangsung selama dua jam di mana setiap finalis akan diberikan dua tugasan termasuk tema muzikal.
Para peserta mendapat bimbingan pengarah filem Ahmad Idham selaku Cif Besar dan tiga Cif Kecik iaitu Yus, Angah dan Tauke.
Para peserta musim ini diadili tiga pengkritik tetap iaitu produser David Teo, pelawak Sathia dan produser dan pelakon Sheila Rusly.
RL6 diterajui pasangan pengacara Johan dan Zizan dan disiarkan pada setiap Jumaat pukul 10 malam di Astro Warna (saluran 132).
Paparan aktiviti mingguan para peserta pula disiarkan dalam Kapsul Raja Lawak pada setiap Isnin hingga Khamis pukul 9.55 malam di saluran yang sama.


Share this article :

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger