{[['']]}
Cahaya Malaika
PETALING JAYA: Selepas dua hari menimang cahaya mata, pasangan selebriti Asmawi Ani atau Mawi dan isterinya Nora’Asikin Rahmat (Ekin) akhirnya bersedia mendedahkan wajah anak kesayangan mereka.
Bayi bernama Cahaya Malaika yang lahir pada pukul 4 pagi, Selasa lalu itu kelihatan sihat dan comel sekali.
Kata Mawi,31, nama tersebut dipilih selepas kedua-dua mereka bersetuju kerana tertarik dengan perkataan cahaya selain nama Ekin juga yang berbunyi “nur” pada permulaannya.
Ekin,33, selamat bersalin di Hospital Pakar An-Nur, Bangi, Selangor, secara normal tetapi terpaksa diberi suntikan ubat pelali kerana menghadapi sedikit masalah untuk melahirkan anak.
Mawi dalam satu kenyataan yang dikirimkan oleh pihak Astro di sini, Khamis berkata, dia amat teruja dengan kelahiran bayi pertamanya itu selepas Ekin beberapa kali mengalami keguguran sebelum ini.
Mawi gembira dengan kehadiran anak pertamanya 'Cahaya Malaika'.
“Saya amat bersyukur kepada Allah dengan kelahiran ini. Jujurnya saya berasa amat teruja menanti kehadiran cahaya mata yang pertama ini. Debaran saya terbalas apabila mendakap anak buat kali yang pertama. Saya amat tenang sekali melihat wajah anak saya ini,” katanya.
Menurut Mawi, dia berjanji untuk menjaga dan mendidik anak mereka sebaik mungkin.
Dalam pada itu, Mawi berkata dia akan membahasakan dirinya “Abi” manakala Ekin pula sebagai “Ummi” untuk anak mereka itu.
Pasangan berkenaan bernikah pada 21 Disember 2008.
Post a Comment