{[['']]}
Zed Zaidi menerima ugutan gara-gara usul terlampaunya kepada kerajaan.
WAJARKAH artis kita pakai kereta cermin gelap? Itulah yang saya hendak memperkatakan ini.
Saya memahami hasrat Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi yang bercadang mengemukakan salah satu daripada tiga usul kepada kerajaan bagi membenarkan golongan selebriti mendapat kemudahan berkenaan.
Dua usul yang lain ialah perlindungan insurans dan kuota rumah rakyat 1Malaysia yang pada pendapat saya tiada masalah untuk dibawa ke tengah.
Cuma mengenai hal cermin kereta gelap ini, dalam konteks artis Malaysia ia adalah satu perkara yang bukan keperluan pun. Malah Zed Zaidi juga sepatutnya memikirkan usul-usul lain yang lebih utama daripada berhasrat mengemukakan perkara itu.
Banyak lagi usul lain yang lebih penting dalam dunia hiburan yang tidak dapat diselesaikan seperti bayaran terhadap pelakon dan pekerja produksi yang masih tidak sekata kerana tiada garis panduan mengenainya serta isu kontrak terhadap artis yang sesetengahnya dilihat berat sebelah.
Artis-artis di negara ini tidak seperti mereka yang tinggal di Hollywood. Artis-artis Barat hidup dalam keadaan yang tidak aman walaupun mereka kaya raya. Setiap hari mereka diganggu. Sekiranya hendak bercuti mereka terpaksa terbang jauh daripada negara mereka.
Tidur malam mereka juga tidak tenteram kerana di luar rumah ada saja paparazi yang menunggu.
Tapi menjadi artis di Malaysia tidak seperti itu. Mereka bebas berjalan dengan aman damai. Ke kedai mamak, ke Pavilion, pusat beli-belah dan nak ke jamban sekalipun tak ada masalah.
Rakyat Malaysia tidaklah sekolot mana untuk mendampingi artis mereka. Malah peratusan artis yang kena samun atau dirompak dalam setahun amat tipis. Orang yang nak merompak pun belum tahu individu berkenaan artis ataupun tidak.
Apabila Zed berkata dia bimbang diekori apabila artis balik tengah malam dan perlu memakai cermin kereta gelap, di manakah kewajaran perkara itu? Jikalau tidak memakai cermin gelap sekali pun, jika orang nak ekori, mereka akan ekori juga.
Malah kalaulah semakin banyak kereta bercermin gelap di jalan raya, ia lagi mengundang bahaya kerana orang akan tahu... itu adalah kereta artis.
Pada masa ini keperluan menggunakan cermin kereta gelap dibenarkan kepada pihak-pihak tertentu yang 24 jam terdedah kepada bahaya termasuklah pengamal undang-undang ataupun Hakim di mahkamah.
Mereka ini perlu mengelak diri masing-masing daripada dikenali kerana bimbang keputusan terhadap kes yang diputuskan menyebabkan ada pihak tidak berpuas hati serta ingin melakukan perbuatan jenayah.
Artis kita tidak terdedah ke tahap bahaya seperti itu. Kalau ada orang benci dan naik angin pun hanya kerana melihat watak yang dilakonkan ataupun kerana perangai buruk artis tersebut sendiri.
Jadi, saya memikirkan Zed mungkin boleh membangkitkan usul lain yang lebih utama kepada pihak kerajaan jika benar Zed mahu memperjuangkan nasib artis kita dan bukannya isu cermin kereta gelap.
Ia adalah isu yang dilihat remeh ataupun mungkin Zed je yang tak tahan panas?
NIEZAM: Pakai cermin kereta kelabu asap.
Oleh: NIEZAM ABDULLAH
Post a Comment