{[['']]}
Hubungan cinta pasangan selebriti ini bukan lagi rahsia. Umum mengetahui cinta selebriti terkenal, Kareena Kapoor dan Saif Ali Khan.
Walaupun pernah membuat kenyataan melangsungkan perkahwinan tahun lalu, namun ia masih belum direalisasikan sehingga kini.
Di Bollywood, selain berita kelahiran keturunan Bachchan, perkahwinan pasangan ini turut menjadi perbualan hangat dan dinantikan masyarakat India.
Masih berteka-teki mengenai tarikh sebenar perkahwinan mereka, baik Saif mahupun Kareena, lebih selesa mendiamkan diri.
Namun, beberapa hari lalu, berita perkahwinan mereka mula mendapat perhatian dan dibincangkan secara meluas di Internet. Ada spekulasi menyatakan perkahwinan itu bakal berlangsung tidak lama lagi.
Khabar angin itu terus tersebar dan tarikh keramat itu dikatakan berlangsung Januari atau awal Februari tahun depan.
Masih belum tampil menjelaskan situasi sebenar, Saif dan Kareena pernah memberitahu perkahwinan berlangsung sejurus selesai tayangan filem pertama Saif, Agent Vinod.
“Kami akan berkahwin, tetapi buat masa ini, belum diputuskan lagi kerana masing-masing sibuk dengan urusan kerja. Lagipun, kami sama-sama terlibat dalam filem itu.
“Jadi, kami sepakat untuk membincangkan hal ini secara serius selepas tayangan filem itu. Kami tidak akan menyembunyikan perkahwinan itu kerana majlis yang dibuat harus diraikan bersama keluarga, teman dan peminat.
“Buat masa ini, kami lebih selesa membincangkan hal kerja sahaja. Saya bukan orang yang suka mencampuradukkan urusan kerja dan peribadi,” kata Saif sebelum khabar angin ini tersebar.
Sebelum ini, Saif pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon, Amrita Singh, pada 1991 sehingga 2004 dan memiliki dua cahaya mata.
Kesungguhan Saif
Mula menjalinkan hubungan pada Oktober 2007, ternyata hubungan Kareena dan Saif begitu utuh dan masih kekal hingga ke saat ini.
Walaupun cinta Kareena bersama pelakon, Shahid Kapoor sebelum ini kecundang di tengah jalan, tetapi Kareena berjaya membuktikan keserasiannya bersama Saif.
Kesanggupan Saif menemani Kareena ke mana sahaja menjadikan jiwa wanita itu sedia menerima kehadiran Saif sebagai teman hidupnya.
Sebagai contoh, walaupun berada di Kanada, Saif sanggup terbang ke Bangkok untuk menyaksikan Kareena di pentas IIFA Awards. Begitu juga ketika berada di Eropah, Saif turut berada di Australia untuk menemani Kareena makan.
Cintanya bersama Kareena turut dipahatkan di atas ukiran tatu besar di tangan kanannya yang ditulis nama Kareena dalam tulisan India.
Bagi Kareena, walaupun jarak umur mereka jauh berbeza, namun Saif sangat istimewa baginya berbanding lelaki yang pernah dia kenali sebelum ini.
“Kami sentiasa bersama dan saling mengenali keluarga masing-masing. Begitu juga dengan keluarga Saif, mereka menerima saya dengan baik.
“Walaupun Saif pernah berkahwin sebelum ini, ia tidak menjadi masalah bagi saya malah Saif sentiasa meyakinkan saya untuk sama-sama melangkah ke fasa lebih baik. Saya harap Saif lelaki terakhir dalam hidup saya.
“Saya memang tidak sabar bergelar isteri, tetapi banyak perkara lain yang harus dijadikan keutamaan. Lagipun, kami tidak mahu perkahwinan ini diadakan kerana desakan sesetengah pihak,” katanya yang khabarnya telah menempah gaun perkahwinan rekaan pereka fesyen
terkenal, Ritu Kumar.
Menariknya, sewaktu zaman kegemilangan Saif satu ketika dulu, mereka pernah berjumpa di set penggambaran. Ketika itu, Kareena masih bersekolah dan hanya menemani kakaknya, Karisma Kapoor.
Saif sempat terpandang ke arah Kareena dan memuji kecantikan anak Randhir Kapoor itu, tanpa menyangka, itu bakal isterinya kelak.
Saif cari cincin
Ramai menyangka bintang Kabhie Kushie Kabhie Gham, ini bertuah kerana berjaya menambat hati Saif yang sangat romantik.
Di saat hubungan masih baru, Kareena menerima pelbagai hadiah mewah dari Saif, termasuk beberapa cincin berlian, kalung dan loket mahal.
Perkahwinan nanti pasti gilang-gemilang. Malah Saif pernah mendedahkan, sedang menempah cincin istimewa.
“Sudah pasti saya akan berikan sesuatu yang paling istimewa buatnya. Kini, saya masih mencari cincin yang sesuai untuk isteri saya,” kata Saif lagi.
OLEH: AKMALIAH RAZAK
Post a Comment