{[['']]}
Radhi OAG
PEMINAT rock alternatif mesti kenal dengan penyanyi yang dilahirkan pada 1978 di Kuching, Sarawak ini. Muhamad Radhi Razali atau lebih mesra dengan panggilan Radhi OAG mencipta nama besar melalui gabungan irama 60-an dan alternatif 90-an. Maka lahirlah lagu hit 60’s TV.
Kes rumah tangga yang jadi bahan paparan utama akhbar tempatan turut mengundang kontroversi. Begitu juga apabila bapa kepada seorang anak ini menyerah diri ke Rumah Pengasih, membuatkan peminatnya lega kerana itu jalan terbaik untuk menjauhkan diri daripada najis dadah.
Pertemuan di Bilik 7, baru-baru ini jelas membuktikan Radhi tetap seperti dulu, mesra, ceria dan mudah bekerjasama. Cuma dalam setiap perbualannya diselitkan dengan Subhanallah, Masya-Allah dan Alhamdulillah. Kini dia semakin menghargai erti sebuah kehidupan.
Bilik 7 dedah rahsia 13 selebriti.
Pengenalan Bilik 7 kali ini sungguh berbeza. Radhi dibawa masuk oleh anggota polis ke bilik siasatan dengan keadaan mukanya tertutup.
Gempak! Satu gimik yang sangat menarik Bilik 7 yang mahu mencipta dramatik!
Radhi tahu bahawa konsep Bilik 7 bukan membuka aib selebriti, tapi memberi peluang dan ruang untuk mereka berterus-terang. Dia bersetuju dan bersedia membuka cerita kerana ini adalah satu platform mendekati peminatnya yang sudah lama menunggu produk terbaru OAG.
Dulu wajah Radhi nampak pucat dan kurus, tapi sekarang sedikit berisi dan wajahnya segar berseri! Ini adalah petanda dia bebas daripada simptom dadah sepenuhnya!
Apa yang membuatkan Radhi mengambil dadah ketika berada di puncak? Itu antara soalan panas yang disediakan penerbit Bilik 7, Engku Azmin Engku Zaini. Dia tidak terkejut mendengarkan soalan itu, tapi dengan wajah ceria dia memulakan pengakuan sebenar.
“Saya terbabit dengan pengambilan dadah kerana terpengaruh dengan gaya hidup rock star Barat seperti idola kumpulan rock saya. Ketika itu saya hanya membayangkan saya ingin menjadi seperti mereka begitu hebat dalam menulis lagu, membuat rakaman berkualiti dan persembahan yang mendapat sambutan.
“Tapi ternyata cara itu salah serta merugikan kerjaya dan wang ringgit,” kata Radhi dalam nada kekesalan yang tak mampu diucapkannya.
Radhi mula mengambil dadah sejak berusia 15 tahun dan kenapa baru sekarang ini terlintas untuk berhenti dan membuang tabiat buruk itu? Terkebil-kebil dia hendak menjawab soalan itu, mungkin sukar untuk membuka keseluruhan rahsia yang tertutup rapat.
“Saya mahu berubah kerana anak dan rumah tangga. Kesedaran itu sudah lama ada dalam diri, tapi saya belum bersedia. Itu adalah perkataan paling sesuai. Apabila rumah rumah tangga saya tak mampu dipertahankan, diikuti paparan kes perceraian kami yang menjadi tumpuan akhbar dan TV, menimbulkan keinsafan yang mendalam. Saya hilang segala-galanya!
“Saya sudah penat menjadi hamba dadah. Niat berhenti itu memang ada, tapi kadang-kadang waktunya tidak sesuai. Dan hidup saya menjadi tidak terurus akibat dadah. Pelbagai dugaan yang saya lalui untuk mendapatkan ‘barang’. Dalam kepala saya hanya memikirkan dadah, bagaimana hendak mendapatkannya dan mencari duit untuk membelinya.
“Dadah menjadi keutamaan, saya tak boleh hidup tanpanya. Pernah terjadi saya terkincit dalam seluar ketika ditahan polis. Ketika itu saya rasa sangat takut. Peliknya, itu masih belum lagi menyedarkan saya,” katanya.
Dia pernah berkali-kali cuba berhenti walaupun sedar bukan mudah bagi penagih tegar sepertinya berbuat demikian.
“Saya pernah cuba berhenti ambil dadah. Berjaya untuk beberapa bulan kemudian jatuh dan ambil semula. Dulu lain, mungkin sebab saya masih muda. Kini saya dah berusia dan anak pun dah berusia tujuh tahun. Saya mesti lakukan sesuatu.
“Semuanya ini datang daripada Allah! Tiba-tiba saya tergerak hati untuk berhenti sebelum ditangkap polis dan ditempatkan dalam penjara atau pusat pemulihan. Saya tak mahu semua itu berlaku pada saya. Terus terang saya lakukan semua ini demi kasih sayang saya pada anak, Muhammad Rifdhi Musli.
“Saya tak mahu anak saya mengikut jejak saya. Percaya tak, saya pernah lihat sendiri teman saya boleh hisap dadah bersama anaknya yang berumur 9 tahun dan saya tak mahu ia berlaku pada saya. Ya, Allah jauhkan itu semua!
“Maka dengan tawakal dan reda, tanpa paksaan daripada sesiapa saya pergi sendirian ke Rumah Pengasih. Hanya itulah tempat terakhir untuk saya minta bantuan. Alhamdulillah, kehadiran saya diterima dengan senang hati. Semua penghuni di situ memberi saya sokongan moral,” katanya.
Di Rumah Pengasih, Radhi menemui jalan keluar. Selepas beberapa bulan tinggal di situ, sikapnya mula berubah.
“Alhamdulillah, kehidupan saya lebih tenang tanpa dadah. Kehadiran saya di sini bukan sebagai selebriti, tapi manusia yang memerlukan bantuan. Dari hari pertama lagi saya minta agar tidak diberikan sebarang keistimewaan. Saya melalui detik penyembuhan itu dengan semangat yang tinggi.
“Awal pagi saya sudah bangun. Sebelum ini saya bangun lambat tapi di sini, kami bangun sebelum Subuh untuk solat berjemaah. Diikuti senaman dan membuat kerja-kerja harian. Menjelang jam 11 barulah ada masa untuk berehat. Jadual saya sentiasa padat tapi saya gembira. Ini membuatkan saya mampu atasi ketagihan itu.
“Saya juga sering diundang ke sekolah, kolej dan universiti untuk memberi ceramah kempen jauhi dadah. Saya senang lakukan semua ini demi keinsafan yang timbul dari dalam diri saya semoga tidak ada remaja di luar sana yang terjerumus dalam najis dadah,” sambungnya.
Biasanya penagih yang sudah berhenti dan akan jatuh semula apabila dipujuk rakan yang masih menagih. Radhi sedar situasi itu, bagaimana cuba diatasi sebaik mungkin.
“Saya optimis dengan kekuatan jati diri dan mampu mengatasi masalah penagihan ini. Doakan saya agar dapat bertahan untuk selama-lamanya. Sesekali saya terfikir sudah banyak duit yang saya bakar! Seandainya, saya tidak mengambil dadah dari dulu mungkin saya sudah memiliki beberapa buah rumah dan kereta.
“Bayangkan begitu banyak duit yang saya gunakan untuk memenuhi ketagihan. Menyesal? Dah terlambat!
Ada lagi yang dikongsikan Radhi dalam Bilik 7 malam ini, pada jam 9 malam hanya di ntv7, Saluran Ceria Anda!
Kredit: Sumber
Post a Comment