Latest Post :
Home » , , , » Ameng dakwa ada pistol

Ameng dakwa ada pistol

{[['']]}

KUALA LUMPUR: “Saya tak sangka pesanan supaya menghentikan ‘SMS berlagak’ menyebabkan dia naik berang dan mengugut mahu mencederakan saya serta suami,” kata penerbit dan pengarah drama, A Aida berhubung tindakannya membuat laporan polis terhadap bekas suaminya yang juga vokalis kumpulan Spring, Ameng.
Aida atau nama sebenarnya, Zuraidah Awang, 39, berkata bekas suaminya itu kerap menghantar SMS mendakwa kononnya dia bakal menerima darjah kebesaran membawa gelaran Datuk dan mempunyai wang jutaan ringgit serta sanggup memberikan sebahagian wang itu kepadanya.
Bagaimanapun, Aida yang tidak tahan dengan gangguan SMS itu membalas pesanan teks itu kepada Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 41, dengan meminta penyanyi itu tidak mengganggunya lagi. “Saya minta dia jangan ganggu saya dan segera berhenti menghantar SMS sebab saya sudah meluat.

“Suami saya juga turut menghubungi dia (Ameng) meminta dia tidak berterusan mengganggu, namun sebaliknya dia berang dan mula memaki-hamun suami saya dengan kata-kata kesat,” katanya yang dihubungi di sini, semalam.

Aida berkata, bekas suaminya itu turut mengancam keselamatan dirinya dan suami dengan mendakwa kononnya dia mempunyai sepucuk pistol. “Pada mulanya dia bercakap lembut dengan suami saya, malah menceritakan keburukan saya. Dia turut mendakwa saya sering menghantar SMS kepadanya tapi suami tidak mempercayainya dan menasihatkan dia menghentikan tindakan membuang masa itu,” katanya. Aida bagaimanapun menafikan laporan polis yang dibuat itu mempunyai kaitan dengan hak penjagaan anak, sebaliknya lebih kepada ugutan diterima.

“Tiada kaitan langsung dengan hak penjagaan anak kerana bekas suami memang tidak ada hak ke atas mereka selepas berlaku kes dera, malah pihak mahkamah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah memutuskan hak itu kepada saya,” katanya.

Mengenai keadaan Ameng yang didapati positif dadah selepas ditahan polis, Aida enggan memberikan sebarang komen.

“Saya serah perkara itu kepada polis dan tak mahu ambil tahu berhubung penahanan dia. Sekarang saya rasa lebih selamat dan tenang,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan seorang vokalis kumpulan rock terkemuka tanah air yang popular pada era 90-an ditahan kerana disyaki mengugut bekas isteri, selain didapati positif dadah Penyanyi `rock kapak’ yang sebelum ini pernah ditahan kerana kes dadah, diberkas polis kira-kira jam 5 petang kelmarin ketika datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk memberi keterangan berhubung kes ugutan terhadap bekas isterinya.
Oleh Muhd Izawan Baharin dan Asmah Rusman
Share this article :

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger