Latest Post :
Recent Post
Showing posts with label Artis Berdamai. Show all posts
Showing posts with label Artis Berdamai. Show all posts

Kes Pengarah Drama Hantar Mesej Berbaur Seks Selesai

Pengarah drama, Rashid Ahmad (paling kiri) bersalaman dengan Carmen dalam majlis diatur SENIMAN.

 

Ampang: “Saya sedia memaafkannya namun dalam masa sama berharap dia bertaubat atas kesalahannya,” kata pelakon baru, Carmen Chew Richy, 22, yang memaafkan pengarah drama, Rashid Ahmad, 38 atau Rashid San berhubung insiden dikirim mesej berbaur seks, minggu lalu.

Carmen berkata demikian selepas menerima permohonan maaf terbuka daripada Rashid di pejabat Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), di sini, kelmarin, berhubung konflik antara kedua-dua mereka.

Menerusi Harian Metro 9 Mac lalu, Carmen mendakwa pengarah itu bertindak di luar batasan sejurus mengirimkan mesej seks kepadanya Januari lalu selain turut dipukul, ditampar dan tidak dibayar gaji.

Rashid bagaimanapun tampil menafikan dakwaan melainkan mengakui mengirimkan mesej berbaur seks bertujuan menyedarkan Carmen disebabkan pelakon itu tidak membayar sewa rumah di Setapak menyebabkan pemilik rumah mencarinya.

Selain itu, punca Rashid berbuat demikian kerana Carmen enggan menjalani penggambaran sebuah video muzik biarpun sudah menerima bayaran RM1,500 dan sebuah telefon bimbit.


Carmen Chew Richy


Menurut laporan akhbar Harian Metro lagi, pelakon baru, Carmen Chew Richy mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang pengarah berusia 38 tahun.

Carmen, 22 mendedahkan nasib yang menimpanya itu kerana dia sudah tidak tahan dengan pengarah yang sudahpun berkahwin itu telah lebih 50 kali mengajaknya melakukan hubungan seks.

“Kerana menolaknya, saya bukan saja dipukul dan ditampar malah diugut disebarkan  fitnah kononnya menjalin  hubungan dengan ramai artis lain,” kata pelakon baru itu.

Pelakon Cina yang baru  setahun berjinak di dalam dunia lakonan, berkata, dia mengenali pengarah itu pada April tahun lalu selepas diperkenalkan seorang rakan.

Carmen juga merupakan pelakon utama drama Kampung Simpang Burung.

“Pada awal perkenalan, lelaki itu menunjukkan sikap  baik sebelum menawarkan beberapa lakonan. Sehinggalah pada Jun, saya dilantik  sebagai pembantu peribadi kepada produksi miliknya,” katanya.

Kata Carmen, selepas hubungan mereka bertambah erat  terutama hal kerja, pengarah itu beranggapan dia teman wanitanya dan melakukan  gangguan seksual apabila meraba anggota badannya.

“Kerana  menolaknya, saya ditampar dan dipukul Julai tahun lalu. Saya   berbuat demikian  kerana saya tahu dia sudah beristeri,” katanya.

Carmen beberapa kali menyatakan hasrat berhenti kerja namun dihalang lelaki itu  sejurus diminta melakonkan sebuah video korporat dan dibayar RM1,000.

“Saya sedih menjadi mangsa keadaan. Bukan saja diajak lakukan seks, diraba dan  dipukul, malah sepanjang setahun bekerja, saya dibayar hanya RM2,000,” katanya.

{[['']]}

Lisdawati & Rita Rudaini Berdamai Selepas 7 Tahun Bermusuhan

 Lisdawati


KUALA LUMPUR: Permusuhan di antara pelakon Lisdawati dan Rita Rudaini hampir 7 tahun kembali jernih apabila kedua-dua wanita itu bersetuju untuk berdamai selepas ditawarkan berlakon dalam drama bersiri Kerana Sarah.

Lisdawati berkata, bersempena dengan tahun baru 2013 ini, dia berazam untuk tidak bermusuhan dengan sesiapa sahaja termasuklah Rita dan mahu bekerjasama dalam drama berkenaan yang masih lagi dalam penggambaran.

"Tahun 2013 ini, saya berazam untuk melalui suasana harmoni dan sekiranya terdapat persengketaan dengan sesiapa sekalipun, orang kata, buang yang keruh, ambil yang jernih.

"Begitu juga dengan dia (Rita), apa yang berlaku itu biarlah berlalu dan saya hormat dia sebagai pelakon yang lebih 'senior' daripada saya. Diharap, tiada sesiapa yang akan mengungkit perkara lama itu," katanya kepada mStar Online.

Pada tahun 2006, Rita dan Lisdawati dikatakan bermasam muka selepas berlakunya insiden tampar menampar dan tarik rambut ketika kedua-duanya melakonkan adegan terakhir drama Kau Yang Ku Sayang di kolam renang sebuah hotel di Georgetown, Pulau Pinang.

Aksi tersebut berubah menjadi sebuah pergaduhan besar sehingga melibatkan kes polis apabila Lisdawati mendakwa Rita sengaja mencederakannya.



Rita Rudaini


Sementara itu, Rita pula berkata, perkara tersebut sudah lama selesai dan tiada apa-apa isu yang perlu timbul antaranya dengan isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu.

"Saya tidak mempunyai masalah dengan dia (Lisdawati). Perhubungan kami lebih pada profesional dalam bidang kerja kami.

"Kami bertegur sapa, tetapi tak banyak berbual pun di lokasi. Cuma dengan apa yang telah berlaku, saya mengambil pendekatan untuk lebih berhati-hati.

"Dalam masa yang sama saya tidak mahu Fauzi ada dalam apa juga penggambaran yang saya lakukan atas sebab yang tidak dapat saya kongsi kepada umum," ujarnya.


Oleh FERIDE HIKMET ATAK & WAHIDUZZAMAN

{[['']]}

Oprah Sokong Rihanna Kembali Ke Pangkuan Bekas Kekasihnya Chris Brown


Rihanna ketika ditemubual oleh Oprah semasa program Oprah's Next Chapter baru-baru ini.

PENGACARA terkenal Oprah Winfery menyokong sekiranya penyanyi Rihanna ingin kembali ke pangkuan bekas kekasihnya, Chris Brown.

Oprah, 58, berkata, dia tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah sebaliknya memberitahu ia adalah sesuatu berita baik.

"Saya berpendapat jika Rihanna sudah bersedia untuk kembali kepada Chris dan membantunya berdepan dengan masalah yang dihadapinya mengapa tidak?

"Saya tidak berhak untuk menilai apa yang terbaik buat mereka dan jika itu pilihan mereka saya hanya perlu menyokong," katanya.



Chris Brown telah memukul Rihanna pada tahun 2009 sehingga telah menyebabkan kecederaan kepada penyanyi itu.

Rihanna sebelum ini mengakui masih mencintai Chris walaupun telah dibelasah teruk oleh bekas teman lelakinya itu ketika mereka masih bersama pada tahun 2009.

Penyanyi lalu Umbrella itu membuat pengakuan tersebut semasa ditemubual oleh Oprah dalam program Oprah's Next Chapter.

Dalam pada itu, Oprah berkata, perkara terbaik semasa temubual itu adalah Rihanna tidak takut untuk menyatakan apa yang terbuku di dalam hatinya.

"Dia bersetuju untuk ditemubual dengan hati yang terbuka dan paling penting dia telah memaafkan Chris atas perbuatannya," ujarnya.
{[['']]}

Norman Hakim Sebak Lihat Memey Dan Abby Berpelukan

Berkat bulan Ramadan telah menyatukan Abby dan Memey.


Norman bersama bekas isterinya, Abby (kiri) dan Memey kelihatan gembira selepas persengketaan yang selama ini terjadi dapat diselesaikan dengan baik. Foto kiriman Norman.

PETALING JAYA: Insiden Memey Suhaiza dan Abby Abadi berpelukan sambil menangis merupakan saat paling bermakna apabila kedua-dua mereka mahu menamatkan persengketaan yang terjadi selama ini.

Norman Hakim berkata, peristiwa itu berlaku ketika dia bersama isterinya, Memey mahu mengambil anak-anak yang berada bersama Abby di sebuah lokasi di Shah Alam.

"Ketika itu tujuan saya dan Memey ke Shah Alam bertujuan untuk ambil anak-anak saya yang pada waktu itu dengan Abby. Kalau nak ikutkan sejak sekian lama saya dan Abby agak jarang berkomunikasi apatah lagi Memey.

"Dan apabila sampai di lokasi itu, tiba-tiba Abby menarik tangan Memey dan memeluknya sambil menangis.

"Saya agak terkejut dan semua senyap seketika. Anak-anak pula menjerit 'yeay! Mummy dan mama dah baik!". Terasa macam filem Hindustan pula. Ia adalah satu keajaiban sebenarnya yang penuh bermakna dalam bulan Ramadan ini," ceritanya ketika dihubungi mStar Online di sini petang Khamis.

Foto Norman dan Memey berbuka puasa di rumah Abby bersama anak-anak. Gambar petikan Twitter milik Abby.

Tambah Norman, keadaan itu juga membuatkan dia begitu sebak dan bersyukur kerana doanya untuk melihat bekas isteri dan Memey menghapuskan sengketa terlaksana dan seterusnya dapat menyatupadukan keluarga.

"Saya ada juga tanya kepada mereka, apa yang membuatkan kedua-duanya kembali berdamai? Mereka cakap ' ini rahsia perempuan'.

"Apa-apa pun saya bersyukur kepada Ilahi tiada lagi persengketaan antara kami dan yang paling gembira semestinya anak-anak. Anak sulung saya, Danish siap bergurau dan berkata, kalau mama dan papa kahwin, Danish nak jadi pengapit," tuturnya.

Menceritakan pula detik mereka berbuka puasa bersama-sama di rumah Abby pada Rabu lalu, Norman telah menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) meminta kebenaran untuk berbuka puasa di rumah Abby dan dia tidak mempunyai masalah tentang hal itu.

"Rasa seronok sangat dapat berbuka puasa bersama-sama. Abby dan Memey juga rancak berbual mengenai bayi di dalam kandungan Memey yang berusia dua bulan itu.

"Selepas itu, Abby telah menghadiahkan sepasang telekung kepada Memey sebelum kami menunaikan sembahyang jemaah Maghrib bersama," tuturnya.

Ditanya adakah perdamaian itu membuka jalan untuk Norman mengambil semula Abby sebagai isteri, pelakon itu hanya menyerahkan perkara tersebut kepada takdir.

"Saya tak tahu nak cakap apa. Lagipun saya tak tahu apa status Abby sekarang ini. Cuma saya mengharapkan yang terbaik selepas ini dan akan sentiasa berdoa serta berusaha untuk menjaga keharmonian keluarga.

"Memey pula sangat fleksibel dengan saya. Malah, dengan apa yang telah dilakukannya sekarang ini (berbaik dengan Abby) adalah satu pengorbanan besar sebagai isteri.

"Bagaimanapun, saya dan Memey ada merancang untuk menunaikan umrah bersama-sama Abby. Itu pun selepas Memey bersalin pada Februari tahun depan," katanya.

Abby dan Norman pernah berkahwin pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim,3.

Mereka bercerai pada 18 Disember 2008.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
{[['']]}

Anzalna Mohon Maaf Pada Neelofa Tanpa Bersalaman

Aktres Anzalna (paling kiri) membuat permohonan maaf mengikut syarat-syarat yang dipersetujui bersama dalam surat perjanjian mereka pada sidang media di Hotel Royale Chulan di sini, petang Isnin. Turut kelihatan Biro Aduan dan Perundangan Seniman Zahrin Ishak, Presiden Seniman Zed Zaidi dan Neelofa.

Gambar di atas adalah teks kenyataan rasmi yang dibaca oleh Anzalna ketika memohon maaf atas kenyataan yang dibuatnya terhadap rakan artis, Neelofa dalam sebuah akhbar arus perdana pada 10 Jun lalu.
Kenyataan itu dibacakan pada majlis khas anjuran Persatuan Seniman Malaysia di sebuah hotel di sini hari ini.


PETALING JAYA: Genap sebulan kontroversi pertelingkahan berlaku, pelakon Anzalna Nasir pada Isnin akhirnya memohon maaf secara terbuka kepada Neelofa kerana memfitnah pelakon itu menerusi sebuah akhbar pada 10 Jun lalu.

Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md Nasir, 24, turut mengakui tidak mempunyai bukti terhadap segala tuduhan yang dilemparkan terhadap Neelofa tetapi ia bukan bermaksud untuk mengaibkan sesiapa.

“Saya Nur Anzalna Md Nasir di atas nasihat Persatuan Seniman Malaysia dengan ini memohon maaf kepada Neelofa kerana mengeluarkan kenyataan di Berita Minggu pada 10 Jun 2012 di muka surat 10 yang telah menjejaskan maruah Neelofa dan keluarganya.

“Saya akui tidak mempunyai bukti yang kukuh ketika mengeluarkan kenyataan di akhbar tersebut.

“Sejujurnya saya tidak bermaksud apa-apa dan tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa daripada kenyataan itu,” katanya ketika memohon maaf secara terbuka kepada aktres itu dalam sidang media khas anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) di Hotel Royale Chulan di sini, petang Isnin.

Kenyataan maaf secara terbuka itu turut disaksikan Neelofa, Presiden Seniman Zed Zaidi, Biro Aduan dan Perundangan Seniman Zahrin Ishak dan peguam kedua-dua aktres terbabit.

Butiran lanjut mengenai syarat-syarat dalam surat perjanjian antara dua aktres berkenaan enggan didedahkan atas alasan sulit dan peribadi.


 Neelofa dikerumuni media sejurus sidang media berkenaan.

Kedua-dua aktres tersebut bagaimanapun tidak bersemuka atau bersalaman selepas sidang media berkenaan tetapi meninggalkan majlis dengan tanda tanya.

Dalam pada itu, Neelofa berkata, dia menganggap konflik di antara mereka sudah berakhir menerusi permohonan maaf dan persetujuan Anzalna pada syarat-syarat ditetapkan dalam surat perjanjian itu.

“Saya bersyukur kerana semua ini (pergaduhan) sudah berakhir. Saya memilih untuk menyelesaikan kes ini menerusi jalan perundangan kerana saya tahu kedudukan saya berada di pihak yang benar dan ia terbukti pada hari ini.

“Saya berterima kasih kepada Seniman atas bantuan mereka. Jika tiada mereka, mungkin kes ini semakin berpanjangan,” katanya.

Zed pula berkata, dia berharap permohonan maaf ini dapat meleraikan kekusutan yang timbul dan menyeru pihak media untuk tidak memanjangkan isu ini kerana ia sudah berakhir.

“Semoga pihak media tidak memanjangkan lagi isu ini kerana ia sudah berakhir. Saya berharap media dapat memberikan laporan yang seimbang dan adil supaya kedua-dua aktres ini dapat meneruskan karier mereka tanpa sebarang masalah selepas ini,” katanya.

Anzalna pantas meninggalkan bilik sejurus berakhirnya sidang media tersebut kerana dipercayai sedang bergegas ke lokasi penggambaran drama di Shah Alam, Selangor.

Konflik antara dua aktres itu tercetus ekoran kenyataan Anzalna yang dianggap sebagai satu fitnah oleh Neelofa dalam artikel bertajuk “Anzalna Bidas Neelofa” menerusi akhbar berkenaan.

Susulan itu, dalam sidang media khas pada 13 Jun, Neelofa melalui peguamnya Ahmad Hidayat Md Nor dan Mohd Irwan Mohd Mubarak telah mengeluarkan notis yang menuntut Anzalna mengemukakan bukti dalam tempoh tujuh hari atas kenyataan yang dikeluarkannya.

Baru-baru ini, Anzalna yang gagal mengemukakan bukti selepas tempoh itu berkata kepada media, dia bersedia memohon maaf secara terbuka kepada Neelofa.

Menerusi laporan mStar Online pada Sabtu lalu, Neelofa berkata, dia menetapkan beberapa syarat kepada Anzalna dalam sepucuk surat sebagai jaminan agar aktres itu memohon maaf secara ikhlas dan bukan kerana terpaksa.


Oleh WAHIDUZZAMAN
{[['']]}

Isteri Jimmy Sedia Tinggal Serumah Lepas Pantang


SHAH ALAM: Pengacara, Jimmy Shanley Norjahan Saleh memberitahu, dia kini sedang mempertimbangkan sama ada mahu meneruskan atau menarik semula permohonan nusyuz dan kembali taat yang difailkan terhadap isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy.
Katanya, dalam membuat keputusan, dia mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' akan sifat Nursuhaila Eliani kerana tidak mahu anak sulung mereka, Zahrah Shanley, yang lahir pada 24 Jun lalu menjadi mangsa dalam permasalahan rumah tangga mereka.
"Saya buat demi anak. Saya tidak kisah menjadi suami yang tidak bahagia, asalkan boleh menjadi seorang bapa yang bahagia. Saya sedia berkorban," katanya semasa ditemui di luar Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis.
Jimmy, 31, yang sedang mengendalikan program “Gala TV Plus” juga memberitahu, dia kini dimaklumkan bahawa terdapat perkembangan positif, dan Nursuhaila Eliani, 25, juga dikatakan bersedia untuk tinggal bersamanya selepas habis berpantang.
Bagaimanapun, dia mengakui bahawa perkara tersebut perlu ditangani langkah demi langkah, dan dia bersedia untuk melupakan kisah lama dan membuka lembaran baru dalam buku hidupnya.

 
"Mahu bina Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pun mengambil masa bertahun-tahun, apatah lagi masjid yang masih baru," katanya secara kiasan.
Pertama kali menjadi bapa, Jimmy kelihatan teruja apabila bercerita tentang puteri sulungnya, Zahrah yang menjadi fokus utama dalam kehidupannya.
"Saya banyak menghabiskan masa bersama anak, hampir setiap hari saya bersama anak. Anak memang ikut ayahnya, iaitu pendiam," katanya yang turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan rumah tangganya kembali rukun.
Selain itu, Jimmy juga mengakui, hubungannya dengan keluarga mertua masih baik dan mereka juga bercadang untuk mengadakan majlis cukur jambul pada Sabtu hadapan.
Perkembangan terbaru itu menyebabkan peguam syarie yang mewakili Jimmy, Mohd Noor Aizan Md Idrus memohon agar mahkamah menangguhkan kes nusyuz dan kembali taat yang difailkan oleh anak guamnya kepada tarikh yang lain.
Mohd Noor Aizan sebelum ini dijadualkan akan memfailkan jawapan kepada pembelaan yang dikemukakan oleh Nursuhaila Eliani pada 23 Mei lalu menerusi peguam syarie, Saadiah Din.
"Saya telah mendapat arahan daripada anak guam saya untuk menangguhkan dahulu proses memfailkan jawapan kerana dia masih dalam pertimbangan. Saya mohon diberikan tarikh lain untuk mendapatkan kata putus anak guam," katanya.
Hakim Syarie Saharuddin Selamat membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 September depan.
Pada prosiding itu, Jimmy hadir berseorangan manakala kehadiran Nursuhaila Eliani telah dikecualikan kerana dia berpantang.
Jimmy dan Nursuhaila Eliani yang merupakan anak kepada pengasas produk kecantikan Natasya tersebut bernikah di rumah kediaman keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh pada 1 Oktober 2010.
Ketika itu, Nursuhaila menerima wang hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahirnya pada 31 Januari 1986.
Bagaimanapun, pasangan itu hanya sempat tinggal bersama selama 20 hari menyebabkan Jimmy memfailkan permohonan menuntut Nursuhaila Eliani agar kembali taat pada 3 Januari lalu manakala permohonan nusyuz difailkan pada 27 Januari lalu.
{[['']]}

Nana Dan Sein Buat Majlis Kesyukuran Selepas Rujuk Semula

http://www.gosipsensasi.co.cc


PETALING JAYA: Pasangan artis Sein dan Nana akan mengadakan majlis kesyukuran selepas mereka kembali bergelar suami isteri. Ia akan diadakan di Dewan Bakti, Taman Tun Dr Ismail, pada 2 April ini, pukul 9 malam.
Nana yang dihubungi berkata majlis tersebut sebagai tanda syukur kerana hubungan mereka terjalin semula pada 11 Mac lalu selepas berpisah selama tiga bulan.
"Majlis kenduri doa selamat dan kesyukuran ini dibuat secara sederhana sebagai tanda syukur kepada penyatuan semula hubungan kami.
"Diharap selepas ini semua akan kembali berjalan seperti biasa dan hubungan kami akan diberkati Allah," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.
Nana berkata, majlis itu juga bertujuan untuk dia dan suami menjelaskan keadaan sebenar kepada semua pihak termasuk keluarga yang masih bertanya tentang kesahihan berita mereka rujuk semula.
"Kami juga mengambil kesempatan untuk menjelaskan perkara yang menjadi tanda tanya oleh semua pihak selama ini.




"Kalau boleh kami mahu beri kenyataan secukupnya dan tidak menjadikan ia sebagai sebuah persoalan kepada peminat," katanya.
Tambah Nana sepanjang tiga bulan menjadi ibu tunggal dia merasakan hidupnya terumbang ambing dan penceraian tersebut banyak mengajarnya erti kehidupan.
"Saya bersyukur mungkin perpisahan sementara ini merupakan jalan terbaik daripada Allah untuk menunjukkan bahawa kami masing-masing tidak boleh hidup berasingan.
"Saya rasakan hidup sangat kosong dan tidak stabil selama tiga bulan tersebut begitu juga suami sehingga akhirnya kami membuat keputusan bersatu semula," katanya.
Dalam pada itu, Nana tidak menolak faktor anak-anak menjadi salah satu punca ikatan jodoh mereka masih kuat.
"Anak-anak kami masih kecil dan tidak faham perkara ini, sepanjang tiga bulan itu mereka sering bertanyakan tentang ayahnya.
"Begitu Sein yang tidak dapat berjumpa anak-anak seperti selalu," katanya yang kini kembali menjalankan rutin harian sebagai seorang isteri dan ibu.
Pasangan tersebut, sah bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, Selangor, pada 8 Disember tahun lalu.
Sein dan Nana mendirikan rumah tangga pada Julai, 2006 dan mempunyai dua orang cahaya mata, Syed Tamriz Al-Qudsy, 3, dan Sharifah Inaiya Al-Qudsy, yang berusia setahun.
{[['']]}

Diana Danielle Dan Syamsul Yusof Sudah Berbaik Semula

http://www.gosipsensasi.co.cc


MENYAKSIKAN beberapa keping foto kemesraan, Diana Danielle,20, bersama bekas teman lelaki, Syamsul Yusof, 27, yang sempat dirakam pada majlis anjuran Lord’s Tailor di ibu negara baru-baru ini, hakikatnya, tidak membuatkan Farid Kamil terbakar emosi cemburu.
Melatah atau melenting tidak tentu fasal, itu bukan sebenar Farid, 30. Apa yang pasti, dia dalam nada tenang, meluah sikap profesional menjadi pihak pemerhati dua insan – Diana dan Syamsul berbaik semula sebagai sahabat selepas hubungan cinta dibina putus di pertengahan jalan.



Syamsul dilihat memimpin tangan Diana sewaktu berjalan menuju ke pentas utama. Sama situasinya apabila pengarah filem Evolusi KL Drift itu sekali lagi menghulurkan tangan bagi memastikan bekas kekasihnya tidak tersadung atau terjatuh tatkala menuruni pentas.
“Saya tidak cemburu jika ditakdir Syamsul dan Diana berbaik semula sebagai sahabat baik. Lagipun, saya lihat sikap profesional mereka ini penting dalam kerjaya tambahan pula bidang seni bersifat kecil saja. Pusing kanan atau toleh kiri, kita tetap bersua di mana-mana majlis hiburan.
“Pendapat saya, ini semua hak masing-masing sama ada hendak berkenalan atau berbaik semula. Tiada apa perlu dipersoal kerana ia adalah hubungan antara insan,” akui Farid ketika ditemui pada majlis pratonton drama 7 Lagu di Cathay Cineplexes, Petaling Jaya, Selangor kelmarin.
Mengulas dakwaan kononnya Farid sering cemburu buta dan gemar mengongkong buah hatinya mencakupi soal memilih kawan serta bermacam lagi syarat dikenakan sehingga menyebabkan Diana harus tunduk, ini jawapan pemuda tinggi lampai itu dalam nada lembut:
“Dalam kerjaya seni, saya meletak sepenuh kepercayaan terhadap apa yang Diana lakukan. Terus terang, saya tidak tahu dari mana timbul isu mengongkong tambahan pula tiada sebarang rungutan atau kata-kata keluar daripada mulutnya sendiri sebelum ini.”
“Paling penting, saya rasa sangat okey dan gembira apabila karier seni Diana semakin meningkat. Sudah tentu ia membanggakan saya sebagai antara individu yang rapat dengannya,” akui Farid tentang progres positif kekasihnya dalam melewati lapangan seni lakon.
Farid akui kelancangan







Umum tahu, pergeseran berlaku antara Farid dan Syamsul selepas berakhir Festival Filem Malaysia 23 (FFM23) beberapa bulan lalu. Ironinya, Farid memberi kenyataan seperti mempertikai kemenangan Syamsul sebagai Pengarah Terbaik menerusi filem garapannya, Evolusi KL Drift.
“Cerita tentang pergolakan saya dan Syamsul seperti digembar-gembur dalam surat khabar dianggap berada di luar pemikiran saya. Tetapi, saya akui kelancangan mulut sendiri sehingga menyebabkan ada pihak terasa hati sekali gus manipulasi berlaku pada waktu sama.
“Sejujurnya, saya kenal Syamsul tidak lebih seperti pelakon dan pengarah. Lantaran itu, apabila timbul cerita saya merupakan kawan baiknya, saya jadi terkejut. Tidak terkecuali, saya tertanya kepada diri, apakah saya benar-benar sudah melupakan kawan.
“Tetapi, teman-teman baik saya terdiri daripada individu-individu dikenali sewaktu berada di sekolah rendah dan menengah saja. Saya akui tidak rapat dengan kawan artis melainkan Maya Karin dan Bront Palarae,” akhiri Farid.
Oleh FAIZAL SAHARUNI
{[['']]}

Nasha Aziz Mahu Perkahwinannya Berwalikan Bapa Kandung


TERMENUNG seketika Nasha Aziz sewaktu diajukan persoalan sama ada bapanya, Abdul Aziz Mohd Ali akan menjadi wali kepadanya semasa perkahwinannya pada Jun ini.
Nasha Aziz.
"Anda tanya saya? Saya juga tanya diri sendiri... tetapi ia berlaku sewaktu saya bertunang dulu, saya mengundangnya tetapi dia tidak hadir.
"Bagaimanapun, barangkali.... saya tidak tahu. Saya akan buat yang terbaik pada masa depan, untuk perkahwinan saya. Saya akan pergi dan memintanya menjadi wali saya," kata model dan aktres jelita ini.
Nasha ditemui mStar Online sewaktu menghadiri Pameran Pesona Mutiara Rafflesia di Muzium Negara baru-baru ini.
Pun begitu, kes mahkamah membabitkan Nasha, 39, dan bapanya sedikit sebanyak merenggangkan perhubungan anak-dan-ayah tersebut.
Abdul Aziz, 61, seorang guru silat sebelum ini mengemukakan saman terhadap Nasha, yang nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz, berhubung artikel bertajuk "Jangan tanya hal peribadi" dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 24 Oktober 2004 yang mendakwa Abdul Aziz bukan bapa kandungnya.
Reaksi aktres dan model Nasha Aziz (kiri) dan bapanya Abdul Aziz Mohd Ali di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, tahun lalu. -Foto BERNAMA
Abdul Aziz dalam pernyataan tuntutannya berkata beliau adalah bapa kandung Nasha dan mendakwa perkataan fitnah di dalam artikel itu telah menyebabkan perasaan beliau terseksa, memalukan dan mencemarkan maruahnya.
Beliau memohon ganti rugi, faedah, kos dan faedah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah dengan mendakwa artikel itu boleh difahamkan sebagai bermaksud yang beliau sudah meninggal dunia.
Nasha, dalam pernyataan pembelaannya menjelaskan bahawa perkataan "bapa" dalam temu bual dengan akhbar itu adalah merujuk kepada bapa saudaranya, Abdul Aziz Hathim, yang membesarkannya.

Pelakon itu tidak menafikan bahawa Abdul Aziz ialah bapa kandungnya tetapi beliau menganggap bapa saudaranya sebagai bapa dalam hidupnya.
Biarpun kesudahannya adalah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Nasha membayar ganti rugi am RM10,000 kepada bapanya, Nasha tetap menyayanginya.
Bukankah air dicincang tidak akan putus? Nasha mendambakan bapa kandungnya sanggup melupakan kisah lampau dan menjadi walinya.
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger