Latest Post :
Recent Post
Showing posts with label Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimi. Show all posts
Showing posts with label Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimi. Show all posts

Jimmy Shanley Sah Bercerai Dengan Tebus Talak Seringgit



SUBANG - Pengacara Jimmy Shanley Norjahan Saleh mengaku terpaksa mungkir janji dengan ibu mertuanya apabila menceraikan Nursuhaila Eliani Suhaimy secara khuluk (tebus talak) sebanyak RM1 di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.

Jimmy, 32,  sah bercerai talak satu dengan Nursuhaila, 24, di hadapan Hakim Syarie Abd Halim Abu Samah selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk bercerai.

Nursuhaila selaku plaintif bersetuju menggugurkan hak tuntutan nafkah edah, mutaah, tertunggak serta hutang.

Jimmy yang pernah mengacarakan rancangan Trek Selebriti  juga bersetuju untuk tidak menuntut hutang sesama mereka.

Sejurus selesai prosiding, Jimmy yang bergegas keluar dari mahkamah sempat berkata kepada media bahawa dia terpaksa mungkir janji dengan pengasas produk kecantikan Datin Muniroh Kassim supaya tidak sesekali menceraikan anaknya.

"Nak buat macam mana, minat masing-masing berbeza, hobi pun tak sama, biarlah saya cari pasangan di Jannah," katanya.

Sementara itu, Nursuhaila bersyukur keranan kemelut rumah tangganya telah selesai.

Sebelum itu, peguam syarie Sa'adiah Din yang mewakili Nursuhaila memaklumkan ada menerima tawaran daripada Jimmy pada Jumaat lalu untuk bercerai secara tebus talak RM1.

"Sehubungan itu, pihak kami bersetuju supaya kes permohonan cerai secara baik mengikut Seksyen 47 yang difailkan plaintif di mahkamah ini ditarik balik.

"Begitu juga dengan permohonan nusyuz dan kembali taat yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam," katanya.

Bagaimanapun permohonan hadanah iaitu hak jagaan anak  yang difailkan Jimmy di mahkamah tinggi akan diteruskan untuk perbicaraan.

Anak perempuan pasangan itu, Zahrah Shanley yang kini berusia setahun berada di bawah jagaan ibunya, namun Jimmy diberikan hak untuk melawat bila-bila masa.

Sa'adiah berkata, anak guamnya telah memfailkan permohonan tebus talak mengikut Seksyen 49 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

"Pihak-pihak telah tidak tinggal sebumbung selama 720 hari dan tidak pernah melakukan hubungn kelamin sejak itu," katanya.

Perkara itu diakui peguam syarie Mohd Noor Aizan Md Idrus yang mewakili Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Nor Jahan Salleh.

Abd Halim kemudian mengarahkan pasangan itu membaca lafaz khuluk sebelum membenarkan jatuh talak satu bain subra serta mengarahkan Nursuhaila  bersuci edah tiga kali.

Nursuhaila memfailkan permohonan cerai itu pada 25 Oktober tahun lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Permohonan itu dikemukakan selepas Jimmy dan Nursuhaila, 26, mula tinggal berasingan sejak 21 Oktober lalu.

Pasangan itu bernikah pada 1 Oktober 2010 dengan mas kahwin RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahir Nursuhaila pada 31 Januari 1986.
{[['']]}

Jimmy Shanley Tidak Mahu Selesai Kes Di Luar Mahkamah


Nursuhaila Eliani Suhaimy

  
KUALA LUMPUR: Isteri kepada pengacara, Jimmy Shanley iaitu Nursuhaila Eliani Suhaimy telah bertemu dengan suaminya secara peribadi untuk berbincang bagi menyelesaikan kes penceraian mereka supaya dapat diselesaikan di luar mahkamah secara baik.
Suhaila, 25, berkata, dalam pertemuan yang diadakan baru-baru ini, dia telah mencadangkan kepada Jimmy agar dapat berpisah dengan baik selain hubungan mereka kekal menjadi seperti sahabat.
"Saya tidak mahu lagi kes kami berdua berpanjangan dan saya telah berjumpa dengan Jimmy untuk menyelesaikan masalah kami berdua secara berhemah.
"Saya juga menjelaskan, mungkin saya dan dia sudah tiada jodoh dan berharap kami dapat berkawan baik demi kepentingan anak yang bakal berusia setahun pada 24 Jun ini," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada Majlis Amal Seni Premier V3 di sini pada Rabu.
Bagaimanapun kata Suhaila, dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana Jimmy masih tetap dengan keputusannya untuk menyelesaikan kes itu di mahkamah.
Dalam pada itu, Suhaila mempersoalkan tindakan Jimmy yang ingin menuntut hak penjagaan anak mereka iaitu Zahrah Shanley sedangkan dia tidak pernah menghalang suaminya itu daripada menjenguk kanak-kanak itu.
 
Jimmy dan Suhaila. 


Suhaila mendakwa, Jimmy jarang berkunjung ke rumahnya di Sungai Buloh, dekat sini untuk bertanya khabar mengenai anak tetapi ibunya iaitu Datin Muniroh Kassim yang sering membawa Zahrah bertemu dengan Jimmy.
"Pintu rumah saya sentiasa terbuka luas untuk Jimmy. Dia boleh datang menjenguk anak tetapi hanya sekali, dua sahaja dia berbuat demikian. Namun tidak dinafikan saya memang tidak membenarkan anak bermalam dengan Jimmy kerana dia masih menyusu badan," ujarnya.
Sementara itu, Suhaila berkata, dia tidak dapat menghalang Jimmy daripada mengeluarkan pelbagai kenyataan sama ada di dalam mahkamah atau kepada media mengenai rumah tangga mereka.
Suhaila memberitahu, dia tidak akan membalas sebarang kenyataan Jimmy kerana enggan mengaibkan suaminya itu dan akan terus berdiam diri.
"Seperti yang saya katakan saya tidak mahu perkara ini berpanjangan dan dia boleh kata apa sahaja mengenai diri saya," katanya.
Jimmy atau nama penuhnya, Jimmy Shanley Norjahan Salleh dan Nursuhaila telah mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2010 di kediaman keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh.
Kedua-dua mereka mula tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010, iaitu 20 hari selepas bernikah.
Kes melibatkan kedua-dua pasangan ini sedang berlangsung di Mahkamah Syariah dengan permohonan permohonan nusyuz terhadap Suhaila selain hak penjagaan anak (hadanah).


{[['']]}

Jimmy Shanley Dakwa Isterinya Pernah Ditampar Oleh Ibunya

Jimmy dan Nursuhaila ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam semalam.
   
SHAH ALAM – Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam diberitahu isteri pelakon dan pengacara, Jimmy Shanley, Nursuhaila Eliani Suhaimy pernah ditampar ibunya sendiri, Oktober tahun lalu.

Dalam keterangannya kepada mahkamah, Jimmy mendakwa, ibu mentuanya menampar defendan, Nursuhaila pada 1 Oktober 2011 kerana tidak tahan dengan sikap dan perangai anaknya itu.

Menurut Jimmy selaku plaintif, selepas kejadian itu, pada hari yang sama ibu mentuanya lari dari rumah dan menghubunginya untuk tumpang bermalam di rumah.

“Ibu mentua hubungi saya untuk tumpang bermalam kerana tidak ada tempat lain untuk pergi,” terang Jimmy ketika menjawab soalan peguam syarie Sa’adiah Din yang mewakili Nursuhaila pada sesi soal balas perbicaraan tuntutan nusyuz dan kembali taat.

Tambah bekas pengacara Trek Selebriti dan Akademi Fantasia itu, dia berjumpa dengan isterinya pada 4 Oktober 2011 selepas ibu mentuanya memaklumkan defendan mahu berjumpanya.

“Menurut ibu mentua, isteri nak jumpa saya untuk minta cerai dan memujuk ibunya pulang ke rumah.

“Pada 4 Oktober 2011, isteri datang ke rumah saya meminta maaf dan minta cerai serta tidak mahu kes ini berpanjangan,” katanya.

Bagaimanapun, Jimmy berkata dia hanya mendengar saja penjelasan Nursuhaila.

Pada prosiding semalam juga, Jimmy tidak menafikan dia pernah bertunang dengan orang lain, namun pertunangan itu putus sebelum dia bertunang dengan Nursuhaila.

Jimmy juga memberitahu tiada benda milik Nursuhaila yang dia ambil dan perlu dipulangkan ketika merujuk khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Nursuhaila kepadanya berbunyi ‘Bagi balik harta benda I dan tinggalkan I’.

“Tidak ada benda dia yang saya ambil kecuali kereta yang ibu bapa dia beri untuk pergi kerja,” katanya.

Pasangan itu bernikah pada 1 Oktober 2010.

Jimmy, 31, atau nama sebenarnya, Jimmy Shanley Nor Jahan Salleh dan Nursuhaila, 25, kini dikurniakan seorang anak perempuan, Zahrah Shanley yang lahir pada 24 Jun tahun lalu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Saharuddin Selamat bersambung 19 Julai 2012. (HMetroOnline)
{[['']]}

Jimmy Shanley Dakwa Isterinya Akui Mengandung Anak Luar Nikah


SHAH ALAM - Pengacara Jimmy Shanley memberitahu Mahkamah Rendah Syariah hari ini bahawa isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy mengaku mengandung anak luar nikah dan mengugut mahu menggugurkannya jika kandungan itu benar anak Jimmy.

Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Shah Saleh, 31, berkata, Nursuhaila membuat pengakuan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada petang 24 Januari 2011 selepas dia menegur isterinya itu, yang didapati masih berjudi.

Jimmy memberi keterangan dalam perbicaraan tuntutan nusyuz dan kembali taat yang difailkan terhadap Nursuhaila pada 3 dan 27 Januari tahun lalu.

Menjawab soalan peguam syarie Mohd Noor Aizan Mohd Idrus, Jimmy berkata, pengakuan Nursuhaila itu adalah salah satu sebab mengapa dia mendakwa isterinya nusyuz.

"SMS isteri berbunyi; Kalau I mengandung pun confirm anak you ke? Ni Mr Jimmy, I dah buanglah anak you tu kalau I mengandung.

"Saya balas SMS dan bertanya anak siapa awak mengandung? Dia jawab; Anak haram. Mampus pi lah anak siapapun. Ada aku kisah," kata Jimmy yang membacakan SMS Nursuhaila di hadapan Hakim Syarie, Saharusin Selamat.

Jimmy antara lain memberitahu sudah banyak kali memberikan nasihat kepada Nursuhaila berhubung perkahwinan mereka.

Malah katanya, Nursuhaila pernah bertindak keluar rumah dan hilang selama 16 hari sebagai protes dengan teguran bapa sendiri mengenai rumah tangga mereka.

Dia juga memberitahu ada menghantar SMS merayu isterinya berubah dan meminta ampun kepada ibu bapa.

Pada prosiding hari ini, Jimmy mengemukakan lima alasan utama kenapa dia mendakwa isterinya nusyuz.

Menurutnya, Nursuhaila mungkir janji sebelum bernikah iaitu berjudi semula; menghilangkan diri selama 16 hari; bercuti di China tanpa izinnya; mendakwa anak yang dikandungkannya sebagai luar nikah dan mengugut mahu menggugurkan kandungan jika mengandungkan anaknya.

Pasangan tersebut diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh dengan hantaran sebanyak RM31,186 bersempena dengan tarikh lahir Nursuhaila yang jatuh pada 31 Januari 1986.

OLEH: KHALILAH GUSTI HASSAN
{[['']]}

Jimmy Shanley Menyambut 1 Syawal Bersendirian Di Tanah Suci



KUALA LUMPUR: Hiba apabila impian untuk meraikan Aidilfitri sebagai ‘orang berkeluarga’ tidak kesampaian, pelakon dan pengacara, Jimmy Shanley Salleh berkelana membawa diri menunaikan umrah di Makkah, sekali gus menyambut 1 Syawal bersendirian di Tanah Suci itu.
Jimmy, 31 yang yatim piatu menggemparkan dunia hiburan tanah air selepas pernikahannya pada Oktober tahun lalu, bergolak selepas 20 hari apabila isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy, 25, meninggalkannya ketika mereka berbulan madu di Koh Samui, Thailand.

“Sedih rasanya apabila hasrat untuk berhari raya bersama isteri dan anak tidak kesampaian. Ingatkan selepas berkahwin saya boleh menumpang keluarga isteri dan mentua, tapi itu semua tidak kesampaian. “Apapun, saya pasrah kerana sedar kita merancang, tetapi Allah menentukan segala-galanya dan pasti ada hikmah di sebalik semua yang berlaku ini,” katanya melalui SMS kepada Harian Metro.
Mengimbas rentetan kontroversi rumah tangganya, selepas pergolakan Jimmy memfailkan tuntutan kembali taat diikuti nusyuz terhadap Nursuhaila di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 3 dan 27 Januari lalu.

Perhubungan suami isteri itu tampak menerbitkan riak-riak positif apabila Nursuhaila selamat melahirkan cahaya mata mereka yang diberi nama Zahrah pada 24 Jun lalu dan Jimmy mengeluarkan kenyataan mahu menarik kembali tuntutan mahkamah yang difailkannya.

Bagaimanapun, kedamaian rupa-rupanya terus menjauhi mereka apabila Nursuhaila mengadakan sidang media pada 25 Julai lalu mendakwa Jimmy sering memukulnya termasuk pada malam sebelum majlis akad nikah dan ketika mereka berbulan madu di Koh Samui.

Malah, keadaan menjadi semakin ‘panas’ apabila Nursuhaila mendakwa suaminya turut berbohong kepada media memberitahu majlis cukup jambul anak mereka yang diaturkan bapanya, Datuk Suhaimy Othman pada 27 Julai lalu dibatalkan tanpa memaklumkan kepada keluarganya.




Berang dengan tindakan Jimmy, Nursuhaila memberitahu dia mahu meneruskan perceraian dan akan menuntut hak penjagaan anak mereka biarpun di pihak Jimmy, sebutan kes permohonan kembali taat dan nusyuz yang dibuat ke atas isterinya akan didengar pada 29 September depan.
Berikutan kemelut memeningkan itu, Jimmy memutuskan untuk mengerjakan umrah dan bertolak ke Makkah pada 21 Ogos lalu diiringi harapan mudah-mudahan mendapat hidayah Ilahi bagi menunjukkan jalan keluar terbaik kepada segala permasalahan yang membelenggu dirinya.

“Ini kali pertama saya berhari raya di perantauan, terus terang perasaan sedih memang kuat membelenggu perasaan saya. Ada isteri dan anak, tetapi disebabkan sedikit masalah kami tak dapat bersama di hari mulia ini...semuanya tidak menjadi,” katanya.

Bagaimanapun, kata Jimmy, sejak berada di Makkah dia tidak pernah putus berdoa kepada Allah supaya dikurniakan kesejahteraan kepada isteri dan anak perempuannya, Zahrah.

“Insya-Allah, semua ini akan berakhir dengan kebahagiaan tidak lama lagi. Lebih penting sekarang saya mahu menumpukan amal ibadat di sini dan tahun hadapan saya akan berhari raya dengan orang baru,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut apa maksud kata-katanya itu.

Jimmy berkata, kesempatan berhari raya di Makkah juga digunakannya untuk menziarahi pusara ibunya yang meninggal dunia di Hospital Makkah kerana sakit paru-paru ketika mengerjakan haji pada 8 Mac 2002. Menurutnya, tarikh itu kuat terpahat dalam ingatannya kerana pada tarikh itu dia menjadi anak yatim piatu berikutan ayahnya yang bekerja sebagai petugas mesin melombong bijih timah meninggal dunia lebih awal dalam tragedi kapal korek terbalik di Puchong pada 8 Ogos 1984. “Biarpun saya ditimpa banyak musibah dan berhari raya tanpa anak, isteri dan keluarga, saya tetap menerimanya dengan hati terbuka kerana saya sedar masih ramai insan lain nasib mereka lebih teruk daripada saya,” katanya yang akan kembali ke tanah air pada Sabtu ini.
Kredit: Sumber
{[['']]}

Benarkah Jimmy Shanley Tidak Siuman??

                                  Jimmy Shanley dituduh tidak siuman.

SAYA Nursuhaila Eliani isteri kepada Jimmy Shanley ingin membuat kenyataan bahawa Jimmy Shanley tidak siuman. Saya membuat kenyataan ini berkaitan kenyataan dalam Metro Ahad pada 24 Julai 2011. Untuk pengetahuan setiap tahun selama lima tahun bapa saya membuat majlis sambut ramadhan, majlis berbuka puasa dan majlis Aidilfitri bersama kakitangan, sahabat handai, rakan perniagaan dan media. Pada tahun ini bapa saya mengadakan Majlis Sabutan Ramadhan bersama Majlis Berendoi & Cukur Jambul bagi menyambut kelahiran 2 cucu sekali gus yang mana saya melahirkan Rania pada 24 Jun dan kakak ipar saya melahirkan anaknya pada 10 Julai 2011. Majlis ini akan diadakan pada 27 Julai 2011 dibiayai sepenuhnya oleh bapa saya dan Jimmy tidak mengeluarkan satu sen pun wang ringgitnya. Majlis ini akan diadakan di kediaman bapa saya di Sungai Buloh.

                           Jimmy dan Suhaila disaat sedang bahagia.

Jimmy tidak pernah berbincang dengan saya dan keluarga bahawa majlis cukur jambul akan diadakan pada Sabtu 23 Julai 2011. Setahu saya ibu saya telah pun menetapkan tarikh bagi majlis Berendoi & Cukur Jambul pada 27 Julai (Rabu) jam 8 malam dan sudah diberitahu sendiri oleh ibu saya kepada Jimmy. Jadi tiada isu bahawa Majlis Cukur Jambul ini tidak jadi disebabkan perangai saya. Sebab itu saya kata Jimmy tidak siuman. Kalau ia pun majlis cukur jambul ini jadi atau tak jadi kenapa perlu hebohkan 1 malaysia? Adakah dia artis no 1 malaysia, top 1....mungkin dia nak cari glamour kerana dia tak cukup glamour sebelum ni.
Dalam media Jimmy sering menyatakan bahawa dia seorang yang bertanggungjawab kepada isteri dan anak. Untuk pengetahuan Jimmy tidak mengeluarkan satu sen pun bil rawatan bersalin, kelengkapan isteri bersalin, bidan urut dan pampers anak. Sekiranya dia seorang yang bertanggungjawab seharusnya dia menyediakan semua itu untuk saya dan bukan SEKADAR CAKAP SAHAJA kepada umum bahawa dia seorang yang bertanggungjawab. Bukan Jimmy tak tahu saya melahirkan anak di mana dia sendiri ada datang melawat saya dan anak. Jimmy sendiri pernah bermalam di rumah ibu bapa saya selama 5 malam. Tidah pernah berkata apa-apa dan menghalang Jimmy berjumpa anaknya dan datang ke rumah ibu bapa saya.
Jimmy juga pernah mengeluarkan kenyataan dalam Melodi tv3 bahawa kita sama-sama tunggu dan lihat sama ada anak itu ada hitam putih... apakah maksud Jimmy dengan berkata begitu?? Selain itu Jimmy juga menyatakan saya melarikan diri semasa berbulan madu. Di sini saya ingin memberi kenyataan bahawa untuk pengetahuan semua saya telah disepak terajang disebabkan perkara yang remeh temeh pada hari tersebut.
Jimmy sering mengadakan photo shoot bersama anaknya di rumah kediaman saya bagi mencari publisiti dan meraih simpati di kalangan media dan umum. Saya tidak suka Jimmy kerana perangainya pelik yang bukan seperti manusia biasa. Semasa majlis pertunangan rombongan pihak lelaki hanya ada 5 orang dan Majlis Akad nikah rombongan tak sampai 10 orang itu pun di kalangan keluarga sahaja dan tidak ada artis atau selebriti yang hadir bagi pihak dia. Untuk pengetahuan umum itulah perangan Jimmy yang sebenarnya tidak mempunyai kawan.
Saya berdiam kerana tak nak publisiti murahan...saya orang bisnes tak suka publisiti macam ni...Banyak lagi yang saya pendam dan saya rasa tak perlu dihebohkan contohnya pergaulan Jimmy dengan sanak saudara sebelah saya yang sangat dingin sekali. Dia ingat dia tu SUPERSTAR.. tak layak nak bergaul dengan sanak saudara saya. Setiap kali majlis kenduri diadakan oleh bapa saya, Jimmy jarang bersapa dan bersalaman dengan sanak saudara.
Dengan kenyataan yang diberikan ini, saya harap masyarakat dapat membuat penilaian sendiri tentang perangai dan sikap Jimmy.
Sumber
{[['']]}

Panas!! Suhaila Dakwa Jimmy Shanley Sering Memukul Dan Menamparnya...



PETALING JAYA: Setelah sekian lama berdiam diri, isteri kepada pengacara Jimmy Shanley Norjahan Saleh, iaitu Nursuhaila Eliani Suhaimy, mendedahkan faktor utama berlaku keretakan rumah tangga mereka adalah disebabkan suaminya itu pernah memukulnya serta terlalu mengongkong.
"Saya tidak suka Jimmy kerana perangainya pelik yang bukan seperti orang biasa. Semasa majlis pertunangan kami, rombongan pihak lelaki yang hadir hanya lima orang sahaja dan semasa majlis akad nikah, rombongan pihak lelaki tak sampai 10 orang... itu pun di kalangan ahli keluarga sahaja.
"Tidak ada artis atau selebriti yang hadir bagi pihak dia (suami). Untuk pengetahuan umum, itulah perangai Jimmy Shanley yang tidak mempunyai kawan," ujar Nursuhaila dalam satu kenyataan bertulis yang diedarkan kepada para wartawan dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di syarikat milik keluarganya, Perwanza Enterprise (M) Sdn Bhd, di Damansara Damai di sini, Isnin.
Suhaila, 25, berkata, sejak berumah tangga pada 1 Oktober tahun lalu, kehidupannya tidak tenteram kerana mereka sering bertengkar disebabkan Jimmy,32, enggan membenarkan dia keluar bersama rakan-rakan.
Malah dia menyifatkan Jimmy sebagai seorang yang "pelik" dan enggan bercampur gaul dengan ahli-ahli keluarganya yang lain dalam apa-apa majlis yang diadakan.
"Dia ingat dia tu superstar tak layak untuk bergaul dengan sanak saudara saya. Setiap kali majlis kenduri diadakan oleh bapa saya, Jimmy jarang bertegur sapa dan bersalaman dengan sanak saudara kami.
Suhaila akhirnya "membuka mulut" kenapa dia enggan bersuamikan Jimmy.
“Paling teruk saya pernah dipukul lebih kurang empat hingga lima kali sepanjang sebulan bersamanya. Sebelum akad nikah dan semasa berbulan madu di Koh Samui (Thailand) saya juga mengalami peristiwa yang serupa.
"Selama ini saya berdiam kerana tak nak publisiti murahan...saya orang bisnes dan tak suka publisiti macam ni.Banyak lagi yang saya pendamkan dan tak perlu dihebahkan kepada umum," ujarnya.
Tambah Suhaila, dia tidak faham mengapa Jimmy tidak cuba untuk berkomunikasi dengannya setiap kali mereka menghadapi masalah tetapi pengacara itu lebih senang mengadu kepada ibu Suhaila, Muniroh Kasim.
Dalam pada itu, Suhaila juga mendakwa, Jimmy tidak membuat sebarang pembayaran kos rawatan bersalinnya, bayaran mengurut mahupun wang untuk membeli lampin untuk anak mereka Zahrah Shanley yang lahir pada 24 Jun lalu.
"Dia kata dia seorang yang bertanggungjawab... semestinya dia sudah membuat persiapan tersebut dan bukan cakap kosong di media sahaja.
"Selepas bersalin, saya tidak pernah pun menghalang dia untuk berjumpa anak kerana saya tahu, Zahrah juga memerlukan Jimmy dan saya tidak akan halang kasih ayah terhadap seorang anak," ujarnya.
Jimmy dan Suhaila hanya mengecapi kebahagian selama 10 hari perkahwinan mereka.
Sementara itu Jimmy yang dihubungi mStar Online bagi mendapatkan reaksi ke atas dakwaan-dakwaan yang dibuat isterinya itu tidak menafikan yang dia pernah memukul Suhaila.
Tetapi katanya, dia berbuat demikian kerana isterinya telah mengingkari nasihatnya.
Peristiwa itu kata Jimmy berlaku sebanyak dua kali sahaja iaitu selepas perkahwinan dan semasa berbulan madu.
"Ya, memang benar. Saya pernah memukul Suhaila pada hari ketiga perkahwinan dan hari kedua kami bulan madu. Kejadian itu disebabkan dia mengingkari nasihat saya. Tetapi saya tidaklah memukul sehingga mencederakan dirinya,” ujar Jimmy.
Tambah Jimmy, dia tidak pernah mengongkong kehidupan Suhaila sebaliknya cuba mendidiknya menjadi seorang isteri yang baik selain memintanya mengurangkan aktiviti yang sering dilakukan semasa hidup sebagai seorang bujang.
Paling menyedihkan kata Jimmy sepanjang sebulan selepas perkahwinan, dia hanya sempat bersama Suhaila selama 10 hari sahaja dan selepas itu isterinya cuba mengelak untuk meluangkan masa bersama selain lebih pentingkan rakan-rakan berbanding suami sendiri.
Mengenai tuduhan Suhaila kononnya Jimmy tidak membayar kos bersalin, katanya masalah itu timbul kerana dia sendiri tidak diberitahu mengenai hari kelahiran anaknya.
"Saya hanya diberitahu menerusi SMS pada hari kedua bahawa anak saya sudah dilahirkan tetapi dia tidak beritahu saya bila dia akan keluar (wad) jadi macam mana saya mahu menjelaskan bil perubatannya itu?" soal Jimmy.
Mengenai dakwaan isterinya yang majlis perkahwinan mereka tidak dihadiri oleh rakan-rakan artis yang lain, Jimmy mengakui memang dia tidak ramai kawan rapat.
Jimmy juga bertegas, setiap kenyataan yang diberinya selama ini bukan kerana ingin meraih publisiti murahan sepertimana yang didakwa kerana sepanjang tujuh tahun bergelar selebriti, dia tidak pernah mencetuskan sebarang kontroversi murahan.
Tambah Jimmy, dia juga mengakui, sepanjang masalah rumah tangganya berlaku, dia sering mengadu kepada ibu mertuanya tetapi itu berlaku kerana kesukaran untuk berhubung dengan Suhaila sendiri.
Jimmy dan Nursuhaila diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 dengan hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahir Nursuhaila pada 31 Januari 1986.
Majlis resepsi untuk meraikan pasangan tersebut diadakan sehari selepas itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Kemelut rumah tangga mereka mula diperkatakan pada 11 November lalu. Jimmy memfailkan permohonan kembali taat dan nusyuz terhadap isterinya selepas mereka tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010.-mstar

                                             Tiada Peluang Ke Dua

KESABARAN Nursuhaila Eliani Suhaimy, 25, terhadap sikap suami yang juga pengacara, Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 31, sudah sampai ke penghujung.
Ia hilang apabila Jimmy menghebahkan dalam media kononnya majlis cukur jambul anak mereka dibatalkan sekali gus turut menimbulkan kemarahan bapa isterinya yang juga ahli perniagaan, Datuk Suhaimy Othman.
Pasangan itu berkahwin pada 1 Oktober 2010, namun selepas 20 hari bernikah, mereka tinggal berasingan dan pelbagai berita timbul sehinggalah kes dibawa ke mahkamah apabila Jimmy memfailkan tuntutan kembali taat, pada 3 Januari lalu.

Ikuti luahan Nursuhaila menerusi video dan kenyataan balas Jimmy yang masih berkeras enggan melepaskan isterinya.

APA KATA NURSUHAILA

SAYA tidak akan kembali semula kepada Jimmy walaupun dia sudah berubah. Tetapi, saya maafkan kesalahan dia.

Saya tetap mahu menuntut cerai dan mendapatkan hak penjagaan anak berusia 32 hari walaupun sebelum ini Jimmy mendakwa akan menarik balik kes nusyuz terhadap saya.

Saya bercakap pada sidang media yang diadakan ini (semalam) untuk menjawab segala kontroversi hubungan kami, termasuk yang terbaru membabitkan majlis cukur jambul bayi kami.

Saya sudah tidak tahan dengan sikap Jimmy yang meraih simpati mengenai krisis rumah tangga kami di media.

Bagi saya, dia tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan bapa dengan baik. Dia hanya memberikan wang nafkah kepada saya ketika saya mengandung, itupun hanya RM300 sebulan dan tidak cukup untuk menampung ubat dan pemeriksaan lain.

Selain itu, antara faktor lain saya enggan kembali kepada Jimmy ialah kerana dia sering memukul dan menampar pipi saya hanya kerana pergaduhan kecil.

Malah, sebelum malam perkahwinan pun saya ditampar apabila meminta izin untuk keluar berjumpa rakan.

Selain itu, saya turut dikasari ketika berbulan madu di Koh Samui, Thailand, hanya kerana pergaduhan kecil.

Tapi, saya mengakui saya seorang yang bersifat kasar dan sudah menjelaskan kepada Jimmy sebelum berkahwin tetapi dia sudi menerima saya seadanya.

Bagaimanapun, tindakan Jimmy mengasari saya menyebabkan saya tidak mampu bertahan, apalagi apabila saya dikongkong dan disuruh tidur jam 9 malam dan tidak boleh melayari laman sembang sosial.


APA KATA JIMMY

SAYA tidak akan sewenang-wenang menceraikan dia kerana apa yang saya lakukan selama ini adalah tanggung jawab sebagai suami dan talak terletak di tangan lelaki.

Sebagai isteri, Nursuhaila harus patuh pada perintah dan arahan saya dan jika ingkar, dia tidak akan mencium bau syurga.

Selepas berkahwin apa yang saya harapkan ialah selepas seharian penat bekerja, dapat meluangkan masa bersama isteri dan mahu diberikan layanan sebaiknya dari seorang wanita bergelar isteri.

Tanpa alasan munasabah, saya tidak akan sesekali menceraikan isteri saya dan sekiranya saya gagal dalam prosiding mahkamah pada kali ini, saya akan berusaha mendapatkan hak penjagaan anak.

Saya mengakui tidak membenarkan dia menemui rakan sebelum malam perkahwinan dan meminta Nursuhaila hanya berehat di rumah, namun dia tetap berdegil.

Tindakannya ingin bertemu rakan menyebabkan saya hilang kawalan dan menamparnya.

Begitu juga sewaktu di Koh Samui tetapi selepas itu saya tidak melakukannya lagi. Saya juga berjanji untuk menjaganya selepas kahwin dan dia juga pernah berjanji kepada saya untuk berubah.

Selain itu, saya berpendapat, ibu bapa seharusnya tidak campur tangan dalam masalah rumah tangga anak-anak kerana campur tangan itu akan menyebabkan keadaan semakin tegang.

Saya cuba berkomunikasi secara baik dengan Nursuhaila, malangnya dia hanya berdiam diri dan tidak mahu menjawab SMS atau panggilan telefon.

Saya cuba bertanya kepada ibu keadaannya dan memberitahu ibunya bahawa saya cuba berbincang mengenai masalah yang dihadapi, itu saja.-hmetro


SAKSIKAN VIDEO PENGAKUAN SUHAILA
{[['']]}

Isteri Jimmy Sedia Tinggal Serumah Lepas Pantang


SHAH ALAM: Pengacara, Jimmy Shanley Norjahan Saleh memberitahu, dia kini sedang mempertimbangkan sama ada mahu meneruskan atau menarik semula permohonan nusyuz dan kembali taat yang difailkan terhadap isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy.
Katanya, dalam membuat keputusan, dia mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' akan sifat Nursuhaila Eliani kerana tidak mahu anak sulung mereka, Zahrah Shanley, yang lahir pada 24 Jun lalu menjadi mangsa dalam permasalahan rumah tangga mereka.
"Saya buat demi anak. Saya tidak kisah menjadi suami yang tidak bahagia, asalkan boleh menjadi seorang bapa yang bahagia. Saya sedia berkorban," katanya semasa ditemui di luar Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis.
Jimmy, 31, yang sedang mengendalikan program “Gala TV Plus” juga memberitahu, dia kini dimaklumkan bahawa terdapat perkembangan positif, dan Nursuhaila Eliani, 25, juga dikatakan bersedia untuk tinggal bersamanya selepas habis berpantang.
Bagaimanapun, dia mengakui bahawa perkara tersebut perlu ditangani langkah demi langkah, dan dia bersedia untuk melupakan kisah lama dan membuka lembaran baru dalam buku hidupnya.

 
"Mahu bina Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pun mengambil masa bertahun-tahun, apatah lagi masjid yang masih baru," katanya secara kiasan.
Pertama kali menjadi bapa, Jimmy kelihatan teruja apabila bercerita tentang puteri sulungnya, Zahrah yang menjadi fokus utama dalam kehidupannya.
"Saya banyak menghabiskan masa bersama anak, hampir setiap hari saya bersama anak. Anak memang ikut ayahnya, iaitu pendiam," katanya yang turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan rumah tangganya kembali rukun.
Selain itu, Jimmy juga mengakui, hubungannya dengan keluarga mertua masih baik dan mereka juga bercadang untuk mengadakan majlis cukur jambul pada Sabtu hadapan.
Perkembangan terbaru itu menyebabkan peguam syarie yang mewakili Jimmy, Mohd Noor Aizan Md Idrus memohon agar mahkamah menangguhkan kes nusyuz dan kembali taat yang difailkan oleh anak guamnya kepada tarikh yang lain.
Mohd Noor Aizan sebelum ini dijadualkan akan memfailkan jawapan kepada pembelaan yang dikemukakan oleh Nursuhaila Eliani pada 23 Mei lalu menerusi peguam syarie, Saadiah Din.
"Saya telah mendapat arahan daripada anak guam saya untuk menangguhkan dahulu proses memfailkan jawapan kerana dia masih dalam pertimbangan. Saya mohon diberikan tarikh lain untuk mendapatkan kata putus anak guam," katanya.
Hakim Syarie Saharuddin Selamat membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 September depan.
Pada prosiding itu, Jimmy hadir berseorangan manakala kehadiran Nursuhaila Eliani telah dikecualikan kerana dia berpantang.
Jimmy dan Nursuhaila Eliani yang merupakan anak kepada pengasas produk kecantikan Natasya tersebut bernikah di rumah kediaman keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh pada 1 Oktober 2010.
Ketika itu, Nursuhaila menerima wang hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahirnya pada 31 Januari 1986.
Bagaimanapun, pasangan itu hanya sempat tinggal bersama selama 20 hari menyebabkan Jimmy memfailkan permohonan menuntut Nursuhaila Eliani agar kembali taat pada 3 Januari lalu manakala permohonan nusyuz difailkan pada 27 Januari lalu.
{[['']]}

Gambar Zahrah Shanley Cahaya Mata Sulung Jimmy Shanley Dan Nursuhaila Eliani




Pengacara Jimmy Shanley yang baru sahaja menerima kelahiran cahaya mata sulungnya, Zahrah Shanley pada 24 Jun lalu, mahu anak perempuannya itu membesar di depan mata. Bayi seberat 2.2 kilogram itu selamat dilahirkan oleh isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy secara pembedahan di Pusat Perubatan Putra (PMC), Sungai Buloh pada pukul 6 petang, Jumaat lalu.

                                                           Zahrah

                                            Permata hati Jimmy


                  JIMMY di samping Zahrah dan ibu mertua, Datin Muniroh Kassim. 

“Setelah isteri saya selesai berpantang di rumah mak mertua saya, saya akan membawa anak kami tinggal bersama-sama saya dan membesarkan dia secara sederhana. Jadi, isteri saya perlu mengikut serta jika dia mahu tinggal bersama-sama anak.
                                 Kemelut yang meragut kebahagiaan Jimmy

“Saya rasa, itu sahaja cara yang saya perlu lakukan untuk membawa isteri saya pulang kerana saya tidak akan menceraikan isteri saya seperti yang diinginkan olehnya,” kata Jimmy ketika dihubungi  Ahad.
Jimmy yang telah melawat anak dan isterinya di hospital memberitahu makna Zahrah adalah sesuatu zahir yang cantik. Nama itu juga dipilih sempena gabungan hujung nama ibunya, Azizah (Zah) dan ibu mertuanya, Muniroh (rah).
“Saya sempat menjaga Zahrah sehingga pukul 2 pagi semalam. Bagaimanapun saya tidak boleh berlama-lama dengan dia sebab mempunyai komitmen lain yang perlu dilakukan.

“Bagaimanapun, saya akan meminta izin daripada mertua saya untuk tinggal sementara di rumahnya untuk sentiasa dekat dengan Zahrah. Kalau boleh saya nak Zahrah membesar depan mata saya,” ujarnya lagi.
Tambah Jimmy lagi: “Saya sudah membuat keputusan untuk menjadi bapa sepenuh masa untuk anak saya dan bekerja dari rumah. Cuma pada hari Ahad saya akan keluar untuk mengendalikan program Gala TV Plus di Astro Awani.

“Sudah sembilan bulan saya hidup sendirian dan tidak akan memikirkan untuk berkahwin lain atau mencari pembantu rumah untuk menjaga anak saya.”
Selepas isterinya selesai berpantang, Jimmy juga merancang untuk meraikan anaknya dalam majlis cukur jambul di rumah keluarga ibu mertuanya di Tanjung Dawai, Sungai Petani.
Sebelum menutup bicara, Jimmy turut sempat meluahkan: “Sudah 31 tahun saya menunggu untuk memangku bayi sendiri dan alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan kurniaan Allah ini. Saya berharap Zahrah menjadi anak yang solehah dan berbakti kepada kedua ibu bapanya.”
Pasangan Jimmy dan Suhaila bernikah pada 1 Oktober 2010.
Pada 8 Mac lalu, Jimmy memfailkan permohonan nusyuz agar isterinya kembali taat kepadanya kerana anak.
{[['']]}

Betapa Pedih Dan Remuknya Hati Jimmy Shanley

http://www.gosipsensasi.co.cc



REMUK hati Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 31, apabila alam perkahwinan dilaluinya tidak pernah bahagia, malah hanya mengundang derita dan sengsara. Air matanya gugur setiap kali mengenangkan sikap isteri, Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimi, 25, terhadapnya.
Di manakah rasa hormat seorang isteri terhadap suami, dia ditinggalkan pergi begitu saja. Hilang tanpa bicara walaupun sepatah kata. Sehingga kini bekas pengacara Trek Selebriti itu hairan kenapa Suhaila sanggup memperjudikan mahligai yang baru mereka bina.

Andai kata dalam hati tiada rasa kasih, kenapa perlu bersetuju untuk berkongsi hidup dengannya dulu. Ada isteri, tetapi entah ke mana perginya. Apabila Jimmy enggan menceraikan isterinya, bukan bererti dia dayus tetapi dia tidak mahu berkahwin semata-mata untuk bercerai. Selagi terdaya, dia akan berusaha menyelamatkan rumah tangganya.
Kepingin sangat hatinya untuk mendampingi isteri tetapi itu hanya angan-angan kerana hubungan mereka kian jauh. Dalam pertemuan dengan wartawan Selebriti, NOR AKMAR SAMUDIN, Selasa lalu, Jimmy enggan berahsia lagi. Dia meluahkan segala yang terbuku di hati.









INAI masih merah di jari, isteri dah lari. Kami sempat duduk serumah selama 20 hari tetapi kalau diikutkan, saya hanya dapat bersamanya 10 hari. Bulan madu saya pun tidak seperti orang lain.

Mulanya rancangan diatur untuk pergi berbulan madu ke destinasi lebih jauh dan romantik tetapi kerana keadaan kami tidak seperti pasangan pengantin baru yang lain, kami rancang untuk pergi ke Koh Samui, Bangkok dan Bali saja. Itupun, apabila sampai di Koh Samui, dia dah ‘lari’. Katanya, dia hendak ke Bangkok seorang diri.

Saya dah letih hendak memikirkan apa berlaku antara saya dan dia. Perasaan saya bercampur baur. Semakin lama dia pergi, semakin jauh. Dia ada anak angkat dan dia lebih suka tidur bersama anak angkatnya daripada melayan suaminya.

Saya dah tak kuasa hendak menyembunyikan perkara sebenar kerana semua orang dah tahu. Kalau ikutkan hati, hendak jadi apa pun jadilah, tetapi bila memikirkan anak kami yang sedang dikandungnya, hati saya jadi sebak, pilu dan sedih. Apa hendak jadi dengan saya, ada isteri macam tak ada isteri.
Dia sempat bermalam di rumah saya di Putra Heights, semalam saja. Apabila dia mahu duduk bersama saya, alangkah gembira rasa hati kerana dalam angan-angan saya dapatlah kami hidup bahagia seperti orang lain.

Di rumah itu semua saya sediakan, bahkan makan minum pun saya yang buatkan. Kain baju, saya hantar dobi. Dia tak perlu buat apa-apa dan saya tak kisah asalkan dia gembira. Bangun pagi, sarapan sudah terhidang. Namun, dia lari juga dari saya. Apa lagi perlu saya buat untuk menambat hatinya, bingung jadinya.

Sejak dia keluar rumah dan tak balik lagi, setiap hari saya menunggunya. Apabila terdengar kereta berhenti depan rumah, pantas tangan menyelak langsir, manalah tahu kalau dia yang balik. Berbulan saya menunggu tetapi hampa belaka. Dah kering air mata mengenangkan keadaan rumah tangga kami.

Saya tahu dia mengandung pun daripada orang lain dan wartawan yang bertanya kepada saya. Hancurnya hati, sebagai suami saya tak tahu apa-apa mengenai isteri. Orang lain lebih tahu daripada saya.

Sudah bermacam cara saya buat untuk mengambil hatinya, tetapi dia tetap tak mahu berjumpa saya. Kalau orang lain bahagia berkahwin, tetapi saya pula hanya mendapat malu dan sengsara. Saya tidak pernah berniat menumpang hartanya atau keluarganya, cuma mengharapkan sebuah rumah tangga yang bahagia.

Sebelum berkahwin, saya tidak pernah membenarkan mana-mana media mengambil gambar rumah, tetapi selepas berkahwin saya terpaksa melakukannya untuk membuktikan saya memang mampu menyara hidup kami berdua. Saya tidak mengambil sesen pun harta keluarganya.

Sebaik saja tahu dia mengandung, teringin benar hati ini untuk menjaganya, membawanya menjalani pemeriksaan di klinik dan melihat gambar imbasan bayi kami. Namun, saya tak merasa itu semua.

Saya ini bapanya, tetapi tiada apa yang dapat saya lakukan. Saya hanya boleh membayangkan saat-saat indah itu. Saya juga tak tahu bila dia hendak bersalin, khabarnya dalam sehari dua ini. Meronta hati ini untuk mengetahui jantina bayi itu.

Sebagai menyambut kehadiran orang baru itu, saya membeli peralatan bayi. Saya melihat dan membeleknya setiap hari, semakin saya memandangnya, terasa sangat sedih. Kasihan si kecil itu. Sebaik saja mendengar tangisannya nanti, saya mahu mengazankannya tetapi adakah saya akan dapat peluang itu. Saya mahu menjaganya kerana saya tahu, saya boleh menjadi bapa yang baik.

Pada awal kehamilannya, ibu mentua saya berjanji mahu menyerahkan bayi itu kepada saya tetapi sekarang rentak percakapannya sudah lain. Sudah terlalu banyak mereka menabur janji, saya tak tahu janji mana satu yang betul.

Saya serahkan segala-galanya pada Allah SWT. Bagaimana dan macam mana rupa bayi itu, saya mahu menjaganya dengan sepenuh kasih sayang.

Saya tak tahu dia ini macam mana orangnya, macam tak ada hati perut. Ke manakah pergi kewarasannya sebagai manusia. Dia lebih pentingkan kawannya daripada suami. Setiap orang ada kisah silam dan saya pun bukan orang yang sempurna.

Lupakanlah cerita lama dan bina hidup baru. Rupa-rupanya itu cuma harapan dan impian saya seorang, sedangkan ingatan dan fikirannya entah ke mana. Ingatkan selepas berkahwin, dapatlah lebih mengenali hati budi isteri tetapi kami semakin terpisah jauh.

Ketika mula mengandung dulu, alasan berjauhan dari saya kononnya tidak tahan bau badan suami. Alahan orang mengandung. Saya terima, tetapi sampai berapa lama. Orang lain mengandung juga, kalau tak tahan bau badan pun, setakat berpisah bilik namun masih tinggal sebumbung.



Dengan sekian banyak alasan, saya dah muak mendengarnya. Selepas bersalin nanti, entah apa pula alasan diciptanya. Ada juga saya dengar, selepas bersalin dia mahu membawa anak kami lari ke luar negara. Aduhai hati... sudah terlalu lama ‘engkau’ menderita. Bilakah akan berakhir.

Dalam kegelisahan dan kehampaan ini, tiada tempat hendak mengadu. Sejak kecil, emak dan ayah sudah pergi menghadap illahi. Hanya kepada Allah SWT saya serahkan segala-galanya. Dia ke umrah bersama keluarganya pun tidak minta izin saya.

Apapun, saya tetap mendoakan kebaikan untuknya dan dengan harapan tinggi menggunung moga kelahiran bayi itu nanti akan menyatukan kami semula.

Bersama sekeping hati yang duka, saya pergi mengerjakan umrah baru-baru ini. Saya memanjatkan doa ke hadrat Ilahi supaya memberi ketenangan dan kekuatan untuk menempuh hidup ini.

Alhamdulillah, sekembalinya dari Tanah Suci, saya rasa tenteram dan tidak lagi terikut-ikut kata hati. Saya akan lalui saja apa yang ditetapkan oleh Yang Maha Esa. Untuk mendapatkan kekuatan, saya baca buku motivasi dan agama.

Sesungguhnya sebagai isteri, tidak sukar untuk mencari keredaan Allah. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Seorang perempuan yang menegakkan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan dan mematuhi suaminya akan memasuki syurga melalui pintu mana saja dia suka.” Andai kata dia mahu kembali kepada saya, saya sedia memaafkannya dan menerimanya. Saya mahu bayi yang bakal lahir itu mempunyai keluarga sempurna.

Imbas kembali detik melalui tempoh pertunangan, pernikahan dan malam pertama, sebaknya hati tidak terkata. Sepanjang tempoh pertunangan pun, dia tak mahu rapat dengan saya. Ada saja yang tak kena.

Dua minggu sebelum berlangsungnya kenduri dan majlis persandingan, kami ambil gambar praperkahwinan di Cameron Highlands, itu pun dah kecoh.

Oleh kerana jodoh kami kuat, kami bernikah juga. Selepas itu pun, banyak benda yang merepek-repek dan huru-hara jadinya. Tiba malam hendak bersanding, dia tetap dengan perangainya.

Jika orang lain naik pelamin dengan wajah ceria, saya rasa biasa saja. Malam pertama, pasangan pengantin baru diulit bahagia, saya pula lain ceritanya.

Jika dia tak mahu juga berubah dan masih tidak dapat menerima saya sebagai suami, tunggulah kes di mahkamah nanti. Kalau boleh, saya tak mahu masalah kami dibawa ke mahkamah kerana akan mengundang aib, tetapi saya terpaksa melakukannya kerana perlu pertahankan hak saya.

Peliknya, dia berkahwin dengan saya bukan kerana dipaksa keluarga tetapi atas kemahuannya sendiri. Pada hari jadinya tahun lalu, apabila ditanya ibu bapanya, dia mahu hadiah apa, katanya dia hendak berkahwin dan ciri lelaki yang diidamkannya adalah saya. Kami pernah berjumpa lima tahun lalu dan pernah mengambil gambar bersama.

Kebetulan ketika ibunya datang berjumpa saya, saya masih solo dan segala-galanya diatur untuk menjodohkan kami berdua. Entahlah, saya tak tahu hendak kata apa lagi. Agaknya kerana saya penyabar, Allah SWT berikan saya ujian ini.

Sesungguhnya Allah SWT berikan ujian itu mengikut tahap kemampuan hamba-Nya. Jika itulah ketentuan hidup saya, moga Allah SWT kuatkan iman dan hati ini untuk menghadapinya.

Saya tak suka hendak bercerai-berai, tambahan saya artis. Nanti masyarakat ingat, artis ini tak ada kerja lain, asyik bercerai saja. Apabila orang dah tahu kisah rumah tangga saya, hendak keluar rumah pun malu dengan jiran tetangga.

Apabila kawan datang ke rumah ajak keluar makan, baru saya keluar. Beratnya tanggungan ini. Hanya Allah SWT yang mengerti derita saya.”
OLEH: NOR AKMAR SAMUDIN
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger