Latest Post :
Recent Post
Showing posts with label Artis Sakit. Show all posts
Showing posts with label Artis Sakit. Show all posts

Dramatis Maimon Mutalib Terus Melawan Penyakit Kanser Tanpa Menagih Simpati

 Maimon Mutalib


KUALA LUMPUR: Dramatis Maimon Mutalib berkata kekangan kewangan membuatkan dia reda dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam merawat penyakit kanser payu daranya yang kini pada tahap keempat.

Maimon, 54, berkata, dia enggan menagih simpati atau menyusahkan mana-mana pihak dengan meminta bantuan semata-mata untuk meringankan kos rawatan itu.

"Tak perlulah saya meminta ke sana dan sini atau menagih simpati orang semata-mata untuk melawan penyakit ini habis-habisan.

"Cukuplah saya berikhtiar merawat mengikut kemampuan kewangan saya selagi terdaya.

"Kalau ditakdirkan saya sudah tidak mampu lagi saya reda dan pasrah dengan apa-apa kemungkinan," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Selasa.

Keadaan kesihatan Maimon yang sudah setahun menghidap penyakit itu semakin merosot sehingga memaksa dia dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada bulan lalu selepas mengalami kekejangan pada pangkal paha.

Difahamkan, barah itu sudah merebak ke bahagian tulang belakang yang menyebabkan tulangnya mereput dan sukar bergerak.Ia turut menjangkiti paru-paru dan bahagian mata kiri sehingga kelopak matanya sukar dibuka.

Ibu tunggal kepada lima anak itu berkata, dia mengambil pendekatan itu kerana tidak mahu penderitaan tersebut mengundang sebarang persepsi di kalangan mana-mana pihak.

"Kenyataan hidup ini memang banyak dugaan yang perlu kita hadapi. Saya sudah lama lalui pelbagai kesulitan sejak kematian suami 15 tahun lepas.

"Apabila diduga dengan penyakit ini, saya harus tempuh semampu yang boleh dan tidak perlu saya bersedih atau menagih simpati," katanya.

Maimon yang kali terakhir terlibat dalam penggambaran drama Raja Bola (RTM) pada awal bulan lalu berkata, dia amat menghargai doa dan sumbangan peribadi teman-teman rapat dan keluarga dalam meringankan bebannya.

"Saya pun sudah sebulan tak berlakon. Duit simpanan pun sudah habis kerana saya menanggung perbelanjaan keluarga.

"Mujurlah ada juga sumbangan ikhlas kawan-kawan yang sudi membantu meringankan kos rawatan.

"Namun, saya tidak boleh terus mengharapkan bantuan. Selagi termampu saya akan lawan penyakit ini kerana saya tiada banyak duit," katanya.

Oleh WAHIDUZZAMAN
{[['']]}

Pelakon Veteran Kuswadinata Semakin Tenat Dan Kritikal

Pelakon Kuswadinata dikunjungi rakan artis (dari kiri) Freddie, Azizul Khamis dan Deen Maidin.


KUALA LUMPUR: Pelakon veteran Kuswadinata, 74, berada dalam keadaan tenat di Hospital Ampang di sini akibat menghidap penyakit pendarahan usus kecil dan kanser kelenjar sejak beberapa tahun lalu.

Menurut anak bongsunya Rizal, 23, keadaan bapanya semakin kritikal apabila doktor mengesahkan pendarahan pada ususnya merebak dan jantung pelakon itu akan berhenti pada bila-bila masa sahaja.

"Sejak dimasukkan ke wad (Hospital Ampang) pada 7 Oktober lalu, ayah diminta berpuasa sehinggalah ke hari ini (Selasa) untuk mengurangkan pendarahan dalam badan.

"Tetapi doktor sudah menjelaskan pada kami sekeluarga bahawa ayah tiada harapan untuk hidup, walaupun daripada segi luarannya dia nampak sihat.

"Kami tak mampu nak buat apa-apa melainkan menjaga dia sebaik mungkin serta menunaikan segala kehendaknya. Saya sekeluarga reda dengan ketentuan Tuhan," katanya.

Rizal ditemui di Hospital Ampang ketika kunjungan pihak media bersama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang mahu melawat ayahnya itu.


 Kuswadinata kelihatan segak semasa sihat.


Karyawan diwakili Presidennya, Datuk Freddie Fernandez.

Selain pendarahan usus, Kuswadinata atau nama sebenarnya Kuswadi Bujang turut mengalami penyakit prostat dan masalah buah pinggang yang teruk sehingga sukar untuk beliau buang air kecil secara normal.

Isterinya, Kamariah Mohd Said, 57, berkata pada September lalu, Kuswadinata dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat penyakit yang sama.

"Penyakit suami saya mungkin berpunca daripada kanser usus yang dihidapinya pada 2008 dan dia pernah menjalani pembedahan di HKL.

"Kemudian ia melarat pada buah pinggangnya dan doktor juga mendapati dia mengalami kanser darah yang menjadi punca kepada semua penyakit.

“Sekarang ini, sebelah kiri buah pinggangnya sudah tidak boleh berfungsi manakala di bahagian kanan pula semakin membengkak," ujarnya.

Sementara itu Freddie Fernandez telah menghulurkan sumbangan berupa wang tunai kepada keluarga pelakon itu bagi mengurangkan beban mereka selain berharap agar mereka tabah menerima sebarang dugaan.

Selain Rizal, pelakon itu mempunyai tiga orang anak iaitu Jasmine, 27, Hafsham, 26 dan Irwan, 25.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
{[['']]}

Aliff Aziz Berehat Sebulan Atas Nasihat Doktor Kerana Serangan 'Palpitasi Jantung'

Aliff Aziz


PETALING JAYA: Penyanyi Aliff Aziz diarahkan berehat selama sebulan atas nasihat doktor selepas mengalami serangan palpitasi jantung (denyutan jantung tidak teratur) pada Ahad.

Menurut kenyataan dikeluarkan syarikat rakaman Sony Music yang menaungi Aliff, pada Isnin, penyanyi berusia 21 tahun itu akan dibawa pulang ke Singapura bersama keluarganya dan bakal menjalani rawatan susulan di tempat kelahirannya itu.

Segala aktiviti seninya juga terpaksa dibatalkan dengan serta-merta atas sebab kesihatan tersebut.

Kenyataan tersebut turut menjelaskan, apa yang berlaku terhadap Alif itu tiada kaitan dengan isu keretakan hubungannya dengan pelakon Anne Ngasri, baru-baru ini.

“Sidang media khas akan diadakan selepas Aliff kembali pulih bagi menjawab segala spekulasi yang melanda dirinya kini,” kata kenyataan tersebut.

Penyanyi lagu Jangan Ganggu Pacarku itu dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit dada pada pagi Ahad sebelum dia sempat membuat persembahan bersempena PJ Half Marathon 2012 yang dianjurkan Star Publications di sini

Aliff disahkan mengalami sesak nafas yang menyebabkan kesakitan pada bahagian dada ketika dibawa ke Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC) di sini sebelum dirujuk ke Hospital Serdang.
{[['']]}

Aliff Aziz Dikejarkan Ke Hospital Akibat Sakit Dada

 Aliff dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit pada bahagian dada.


PETALING JAYA: Hasrat Aliff Aziz untuk mengadakan persembahan bersempena PJ Half Marathon 2012 yang dianjurkan oleh Star Publication pada pagi Ahad tidak kesampaian apabila penyanyi kelahiran Singapura itu dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit dada.

Pengurusnya, Adlina ketika dihubungi mStar Online berkata, Aliff disahkan mengalami sesak nafas yang menyebabkan kesakitan pada bahagian dada ketika dibawa ke Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC) di sini sebelum dirujuk ke Hospital Serdang.


"Pihak KJMC mengesahkan dia mengalami sesak nafas namun diarahkan untuk merujuk kepada pakar kardiologi di Hospital Serdang supaya dapat membuat pemeriksaan lanjut terhadap kesakitan yang dialaminya.


"Alhamdulilah keadaannya kini stabil dan masih menunggu di bilik kecemasan hospital," katanya.


Dalam pada itu, Adlina memberitahu dia tidak pasti sama ada Aliff akan ditahan di hospital atau pun sebaliknya dan ia bergantung kepada pemeriksaan pakar nanti.


"Harap-harap tiada apa yang serius menimpa dirinya dan berharap semua peminatnya dapat mendoakan kesihatan Aliff," katanya.


Sementara itu, Ekskutif Acara Star Publication, Juliana Kristini memberitahu, Aliff yang tiba di Stadium Kelana Jaya pada pukul 7.20 pagi sepatutnya mengadakan persembahan selepas berakhirnya acara itu kira-kira 8 pagi.


Bagaimanapun kata Juliana, Aliff mengadu sakit dada sebelum pihaknya memanggil pasukan bantuan perubatan yang disediakan untuk melihat kondisi penyanyi lagu Jangan Ganggu Pacarku itu.


"Dia baru sahaja tiba di lokasi dan tiba-tiba mengadu sakit pada bahagian dadanya dan apabila pasukan perubatan merawatnya mereka mengarahkan Aliff dibawa ke hospital kerana mereka mengesyaki dia mengalami serangan jantung," ujarnya.


Selain Aliff, penyanyi Ayu Damit turut mengadakan persembahan pada acara itu.


Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
{[['']]}

Mamat Sepah Sedang Menderita Penyakit Misteri?


KUALA LUMPUR – Pelawak, Mohd Noor Murad, 27, atau lebih dikenali sebagai Mamat Sepah mengakui sedang menderita dengan penyakit aneh yang dialaminya sejak beberapa bulan yang lalu.

Sejak dirinya diserang sakit, Mamat kerap kali berasa tidak selesa dengan keadaannya yang bertambah lemah sekiranya waktu Maghrib menjelma hinggakan tidur malamnya terganggu.

Mamat juga pernah berjumpa dan mendapatkan rawatan doktor untuk merawat sakitnya itu, tetapi keputusan menunjukkan dirinya sihat dan bebas dari sebarang penyakit.

Mamat turut mengakui, dia tidak pernah mengalami sakit yang pelik seumur hidupnya sehingga merasa sendiri setiap makanan yang dijamahnya berasa seperti kaca dan tekaknya menjadi pedih.
“Saya sudah mula rasa penyakit aneh ini sejak beberapa bulan lalu. Saya sentiasa akan rasa lemah ketika waktu magrib sehingga ke malam dan telah menyebabkan saya tidak boleh tidur.

“Namun setelah berjumpa dengan doktor, saya hanya diberikan vitamin dan disahkan tidak mempunyai penyakit yang serius.

“Terus-terang, seumur hidup, saya tidak pernah mengalami rasa sakit sebegini sehingga apabila apa jua makanan yang masuk ke mulut saya akan rasa pedih seperti menelan kaca. Saya harap sangat saya dapat kembali sihat seperti biasa,” katanya seperti dalam portal Murai.com.

Ekoran dari sakit yang teruk itu, Mamat terpaksa menolak banyak tawaran lakonan yang diterima kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen yang penuh serta tidak mahu kerjayanya terjejas.

“Saya terpaksa menolaknya kerana saya takut saya tidak dapat berikan yang terbaik disebabkan gangguan penyakit yang saya alami.

“Saya pun baru sahaja habis dubbing untuk filem animasi Bola Kampung. Itu pun saya mengalami kesukaran untuk melakukannya kerana suara saya seakan-akan hilang dan susah untuk keluar dengan baik.

“Jadi kini lebih baik saya tumpukan pada perubatan saya dahulu dan selepas kembali pulih baru saya dapat meneruskan kerja-kerja lain,” kata Mamat.

Bagi jejaka yang sekarang ini kerap berulang alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan tradisional, dia tidak mahu berfikir dan menganggap dirinya terkena buatan orang kerana dia tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.

“Ramai pihak termasuk orang yang mengubati saya di kampung berkata dia melihat saya seperti sudah terkena buatan orang dan orang itu adalah orang yang paling baik dan rapat dengan saya.

“Saya tidak mahu mempercayai sepenuhnya jangkaan mereka kerana saya sendiri tidak dapat bezakan orang disekeliling saya sedang bermusuh dengan saya atau tidak,” katanya.

Justeru itu, Mamat berharap penyakit anehnya itu akan segera sembuh dan dapat bekerja seperti biasa.

Oleh: NAIMAH SHAARI
{[['']]}

Azean Irdawaty Rayu Peminat-Peminatnya Adakan Solat Hajat

Tahap kesihatan Azean Irdawaty semakin teruk dan kritikal.


PETALING JAYA – Pelakon Azean Irdawaty merayu kepada peminat-peminatnya untuk ikhlas memberikan ‘hadiah’ kepadanya sempena menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-62 semalam dengan menunaikan solat hajat untuk dirinya.

Menurut laporan mStar Online, Azean berkata, keadaan diri dan kesihatannya bertambah teruk dan semakin kritikal akibat penyakit Lymphedema.
Penyakit yang dialaminya itu adalah kesan akibat dari melakukan pembedahan membuang 16 kelenjar yang dijalankan oleh pihak hospital ketika menghadapi barah payu dara sebelum ini.

“Syukur Alhamdulillah, hari ini (Isnin) saya sudah 62 tahun. Saya nak minta ‘hadiah’ sempena hari lahir saya. Boleh tak panggil orang-orang masjid buat solat hajat minta saya sembuh,” kata Azean dalam kiriman pesanan ringkasnya (SMS).

Gambar Azean Irdawaty bersama keluarga.


Selain itu, Azean juga memberitahu tahap kesihatannya semakin teruk apabila sekarang dia mengalami kesakitan yang amat teruk pada tulang belakangnya serta kakinya semakin kebas dan tidak berasa apa-apa.

Malah, Azean juga kerap berasa panas yang membuatkan dirinya semakin tertekan dengan situasi yang dihadapi sekarang.

Oleh kerana itu, dia memohon dan berharap agar orang ramai sanggup mendoakan dan melakukan solat hajat supaya keadaan kesihatannya kembali stabil dan normal.
“Saya rasa panasnya macam api dalam daging. Azab rasanya. Tolonglah saya (menunaikan solat hajat),” Azean memohon.

Oleh: NAIMAH SHAARI
{[['']]}

Penyanyi Veteran Latif Ibrahim Kritikal Di IJN

                                                Latif Ibrahim
 
KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran Abd. Latif Ibrahim atau Latif Ibrahim, 61, dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU), Institut Jantung Negara (IJN) pada Ahad lalu akibat serangan sakit jantung.
Penyanyi yang juga adiknya, Datuk Khatijah Ibrahim berkata Latif kini berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil.
"Dia dimasukkan ke CCU selepas muntah-muntah dan kini keadaannya agak kritikal.
"Buat masa ini dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat ubat tidur yang diberikan oleh pihak IJN," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu.

                                              Datuk Khatijah Ibrahim
Tambah Khatijah, ini merupakan kali kedua penyanyi tersebut dimasukkan ke IJN akibat penyakit yang sama.
"Dia sudah lama mengidap penyakit jantung dan pernah menjalankan pembedahan 12 tahun lalu akibat serangan jantung," katanya.
Dalam pada itu, Khatijah berkata buat masa ini pelawat yang ingin menziarah tidak dibenarkan masuk atas arahan pihak IJN.

{[['']]}

Rozita Che Wan Cedera Kerana Jatuh Tangga


PETALING JAYA: Pelakon jelita Rozita Che Wan mengalami kecederaan pada kaki kanan akibat terjatuh dari tangga rumahnya malam Rabu lalu.
Menurut Rozita, disebabkan kejadian tersebut ligamen kakinya itu koyak menyebabkan dia tidak boleh bergerak.
"Saya baru sahaja pulang daripda penggambaran terakhir drama Annissa dalam pukul 9 malam pada Rabu lepas. Masa menaiki tangga, saya tergelincir menyebabkan saya terjatuh.
"Pada awalnya saya fikir hanya jatuh biasa tapi ketika hendak tidur kaki mula sakit yang teramat sangat," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.



Tambahnya, dia segera menghubungi abang kandungnya untuk ke Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya dekat sini, bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut.
"Semasa hendak mendapatkan rawatan itu, kaki saya terlalu sakit dan saya tak boleh berjalan. Saya terpaksa didukung oleh abang saya untuk ke kereta sebelum dibawa ke hospital.
"Semasa doktor buat pemeriksaan x-ray dia hanya mendapati ligamen kaki saya hanya terkoyak. Nasib baik ia tak patah," katanya yang memberitahu kakinya masih lagi dibalut pada ketika ini.
Katanya, disebabkan kecederaan tersebut dia diberi rehat selama seminggu dan terpaksa bercuti daripada sebarang penggambaran drama.
"Doktor kata ia tidak teruk tapi saya perlu kurangkan berjalan dan tidak boleh bekerja sehinggalah saya betul-betul sembuh.
"Saya terpaksa membatalkan beberapa sesi fotografi dengan beberapa majalah dan tangguhkan beberapa penggambaran drama dalam masa seminggu ini," katanya.
Rozita bakal memulakan penggambaran untuk drama khas Hari Raya iaitu Pontianak Baru Kampung Batu, Kiah Pekasam dan Jaguh Kampung.
{[['']]}

Penyanyi Lagu Penawar Rindu Menderita Kerana Ketumbuhan Meninggal Dunia

http://www.gosipsensasi.co.cc

ORKID disahkan menghidap ketumbuhan hormon tidak stabil.

 
SECEBIS doa agar kesihatan Datin Orkid Abdullah bertambah baik lebih adalah amat bermakna buat keluarga penyanyi era 60 an itu yang kini terlantar sakit, berbanding sumbangan wang ringgit.

Itulah yang dipohon oleh anak bongsu penyanyi ini, Nur Syafinaz Mokhtar, 31 terhadap peminat ibunya berikutan kesihatan yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

Keadaan Orkid yang disahkan mengalami ketumbuhan hormon tidak stabil, semakin teruk sejak September lalu selepas penyanyi yang popular dengan lagu Penawar Rindu itu pulang dari menghantar anak ketiganya Mohd Noor Shafri bertunang di Segamat, Johor.



Sejak anaknya itu, badan Orkid bertambah lemah menyebabkan dia hanya mampu berbaring. Bagaimanapun menurut anaknya Mohd Noor Shafri, ibunya seorang yang kuat semangat apabila tetap gagah berjalan walaupun cuma untuk seketika.
Tambah Mohd Noor lagi, ketika itu ibunya hanya sempat menyarungkan cincin di jari tunangnya dan selepas itu bergegas balik ke Kuala Lumpur kerana mengadu dirinya tidak selesa selain badannya mula berasa panas.

“Selain berasa panas badan, petanda lain ialah berpeluh, sakit ulu hati dan sakit belakang. Sekarang ibu hanya berbaring, jika hendak duduk, dia memerlukan bantuan untuk menyokong bahagian belakang badannya. Jika tidak, tubuhnya menggelungsur. Saya dan adik bongsu menetap bersama ibu, jadi kami bergilir-gilir menjaga ibu. Mujur saya menjalankan perusahaan katering dan memasak tempahan makanan di rumah. Jadi boleh dikatakan setiap masa saya berada di rumah.

“Jika ibu inginkan sesuatu, dia buat ‘missed call’ ke telefon bimbit kami. Itu isyaratnya ibu mahukan sesuatu dan kami adik beradik akan bergegas ke bilik ibu. Sebelum ini, keadaan ibu boleh dikatakan baik juga. Cuma hari ini keadaannya nampak teruk,” kata Mohd Noor.
Berikutan penyakitnya yang bertambah teruk, Orkid enggan lagi berulang alik ke hospital.

Menurut Mohd Noor lagi, mereka pernah berhabis sekitar RM21,000 untuk seminggu rawatan di sebuah hospital swasta tetapi keadaan ibunya yang disahkan menghidapi penyakit itu pada 2008 semakin teruk.

Orkid kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya dan menjalani pembedahan pertama pada 2008 tetapi dimaklumkan doktor bahawa ketumbuhan itu boleh berulang, dan pada awal 2010, sekali lagi pembedahan membuang ketumbuhan itu dijalankan.

“Doktor mencadangkan supaya ibu menjalani rawatan di sebuah hospital di Amerika Syarikat dan Belanda. Rawatan di sana percuma, cuma kos penginapan perlu ditanggung sendiri. Namun dengan keadaan ibu yang tidak mampu duduk, tentulah sukar kami ke sana apatah lagi perlu menempuh penerbangan berbelas jam. Jadi hasrat itu kami batalkan saja,” kata Mohd Noor.

Orkid dikenali pada 1965 selepas membuat persembahan pertama di peringkat kebangsaan pada majlis sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia. Selain menyanyi, Orkid juga guru. Beliau berkhidmat sebagai guru selama 17 tahun iaitu dari 1968 hingga 1985.

Album pertamanya dirakamkan pada 1966. Sepanjang pembabitannya dalam bidang nyanyian, Orchid sering membuat persembahan dengan diiringi kumpulan The Les Coaters.

Kunjungan rakan ringankan derita

SELAIN beruntung dijaga dengan sempurna oleh anak-anaknya, Orkid beruntung kerana tidak menanggung penderitaan itu sendirian, tetapi turut mendapat perhatian rakan seperjuangan. Menurut Mohd Noor, rakan-rakan ibunya kerap berkunjung dan ia sedikit sebanyak memberi semangat kepada ibunya.

Pada Rabu lalu, Orkid diziarahi oleh ahli Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) diketuai presidennya Datuk Freddie Fernandez serta beberapa teman lamanya, iaitu Datuk Sarimah Ibrahim, Datin Paduka Julie Sudiro, Datuk Aspalela Abdullah, MY Shamsuddin dan Shamsuddin Lamin.

Mereka meluangkan masa kira-kira satu jam bertanya khabar dan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga itu.

Suasana petang itu di kediaman Orkid sedikit bungkam apabila teman yang berkunjung turut merasai penderitaan yang ditanggung keluarga Orkid. Julie Sudiro dan Sarimah nyata tidak dapat menahan kesedihan dan sebak melihat keadaan Orkid. Apakan tidak, tubuhnya yang satu ketika dulu berisi, kini susut dek penyakit luar biasa itu.

Tiupan kata semangat dan doa yang dibacakan Julie Sudiro serta diaminkan tetamu lain, sedikit sebanyak memberikan semangat kepada wanita campuran Arab - Inggeris itu.

Pada kunjungan itu, Freddie dan teman-teman artis turut mengambil peluang menghulurkan derma buat keluarga Orkid yang dikumpul hasil sumbangan ehsan teman-teman, bukan daripada tabung KARYAWAN.

“Ini bukanlah kunjungan pertama kami. Sebelum ini pun KARYAWAN pernah melawat Datin Orkid ketika beliau dirawat di hospital tahun lalu,” katanya yang enggan mendedahkan jumlah wang yang didermakan.
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

.........................................................................................................................................................

 Al Fatihah! Penyanyi Orchid Abdullah Meninggal Dunia

 Rakan artis iaitu Datin Julie Sudiro, Aspalela Abdullah dan Datuk Sarimah Ahmad serta Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez melawat penyanyi Datin Orchid Abdullah di rumahnya di Dataran Ukay, Ampang, 27 April lalu.

KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran Datin Orchid Abdullah, 64, meninggal dunia di Hospital Ampang dekat sini kira-kira pukul 12.40 tengah hari Jumaat.
Menurut anak bongsu Allahyarham, Nur Shafinaz Mokhtar,31, menerusi akaun Twitter miliknya, jenazah akan dimandikan di hospital tersebut dan dibawa ke Masjis Al-Ansar, AU2, Taman Keramat, Kuala Lumpur untuk disembahyangkan.
"Doakan dia (Orchid) dirahmati Allah dan ditempatkan dengan golongan orang yang beriman," katanya pada Twitter tersebut.
Penyanyi yang popular dengan lagu Penawar Rindu itu menghidap ketumbuhan hormon yang tidak stabil atau paraganglioma sejak tiga tahun lalu.
Beliau telah dibawa ke hospital tersebut pada pukul 3 pagi, Khamis.
Setelah tiba di hospital, Allahyarham yang pada mulanya ditempatkan di wad biasa dipindahkan pula ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemeriksaan lanjut.
Selain Shafinaz, Allahyarham turut meninggalkan tiga orang anak yang lain iaitu Nur Shalina, 42, Md. Nor Shareen, 39, dan Mohd. Noor Shafri Mokhtar,35.
Suami Allahyarham Datuk Mokhtar Omar,70, yang sedang dirawat di Unit Rawatan Jantung (CCU) di hospital yang sama kerana komplikasi kesihatan yang serius.
Difahamkan, ibu saudara Shafinaz yang rapat dengan keluarganya, Rogayah Yaakob, 59, juga ditempatkan di hospital sama sejak Jumaat lalu kerana penyakit asma.
Sementara itu, jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Taman Keramat, di sini, selepas solat Asar.
Antara rakan selebriti yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir termasuklah pelakon veteran Datin Umi Kalthum dan Datuk Sarimah Ahmad, penyanyi 60-an Datuk Jeffrydin, promoter persembahan Mas Omar dan penyanyi muda Nadia Aqilah.
Anggota kumpulan marhaban dan zanji yang dianggotai oleh Allahyarham iaitu Kawan turut hadir seperti Aspalela Abdullah, Datuk Yusni Hamid, Zalifah Ibrahim, Hamidah Urip, pelakon Maimunah Ahmad (Mak Jah) dan ramai lagi.


{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger