Latest Post :
Recent Post
Showing posts with label Artis Kemalangan. Show all posts
Showing posts with label Artis Kemalangan. Show all posts

Rozita Che Wan Cedera Kerana Jatuh Tangga


PETALING JAYA: Pelakon jelita Rozita Che Wan mengalami kecederaan pada kaki kanan akibat terjatuh dari tangga rumahnya malam Rabu lalu.
Menurut Rozita, disebabkan kejadian tersebut ligamen kakinya itu koyak menyebabkan dia tidak boleh bergerak.
"Saya baru sahaja pulang daripda penggambaran terakhir drama Annissa dalam pukul 9 malam pada Rabu lepas. Masa menaiki tangga, saya tergelincir menyebabkan saya terjatuh.
"Pada awalnya saya fikir hanya jatuh biasa tapi ketika hendak tidur kaki mula sakit yang teramat sangat," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.



Tambahnya, dia segera menghubungi abang kandungnya untuk ke Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya dekat sini, bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut.
"Semasa hendak mendapatkan rawatan itu, kaki saya terlalu sakit dan saya tak boleh berjalan. Saya terpaksa didukung oleh abang saya untuk ke kereta sebelum dibawa ke hospital.
"Semasa doktor buat pemeriksaan x-ray dia hanya mendapati ligamen kaki saya hanya terkoyak. Nasib baik ia tak patah," katanya yang memberitahu kakinya masih lagi dibalut pada ketika ini.
Katanya, disebabkan kecederaan tersebut dia diberi rehat selama seminggu dan terpaksa bercuti daripada sebarang penggambaran drama.
"Doktor kata ia tidak teruk tapi saya perlu kurangkan berjalan dan tidak boleh bekerja sehinggalah saya betul-betul sembuh.
"Saya terpaksa membatalkan beberapa sesi fotografi dengan beberapa majalah dan tangguhkan beberapa penggambaran drama dalam masa seminggu ini," katanya.
Rozita bakal memulakan penggambaran untuk drama khas Hari Raya iaitu Pontianak Baru Kampung Batu, Kiah Pekasam dan Jaguh Kampung.
{[['']]}

Kaki Pelakon Jasmin Hamid Melecur Teruk

http://www.gosipsensasi.co.cc
Jasmin Hamid
PETALING JAYA: Kaki kanan dan kiri pelakon Jasmin Hamid melecur teruk gara-gara terkena air panas ketika berada di set penggambaran drama Buaian Kasih di Kuang, Sungai Buloh, Sabtu lalu.
Menurut Jasmin, kedua-dua kakinya itu melecur di bahagian peha (kanan) dan betis (kiri) dimana kejadian tersebut berlaku ketika dia sedang duduk berehat di tepi meja yang mempunyai sebaldi air panas bersama beberapa pelakon lain.
"Sebenarnya kami memang duduk di situ untuk berehat dan makan. Tiba-tiba air panah tersebut diletakkan di atas meja yang berdekatan dengan kami.
"Sudahlah meja tak stabil, tiba-tiba tong air panas tersebut terjatuh lalu air panas terkena pada kami dan sayalah yang paling teruk sekali terkena.
Kesan lecuran di bahagian peha kaki kanan Jasmin.
Mujurlah budak kecil tiada ketika itu," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Tambah Jasmin, lecuran pada kedua-dua belah kakinya itu membuatkan dia terpaksa berulang alik ke klinik untuk membersihkan luka tersebut.
Malah katanya, dia turut mengalami kesukaran untuk tidur kerana rasa tidak selesa dan sakit pada paha dan betis yang melecur itu.
"Bayangkan, doktor terpaksa menyiat kulit di bahagian lecuran itu keran takut jika ia menggelembung.
"Saya percaya kerana lecuran ini juga, ia akan meninggalkan kesan parut. Itu pun saya tak tahu bila kaki saya boleh pulih sepenuhnya.
Kesan lecuran di bahagian betis kaki kiri Jasmin.
"Saya risau, kerana masalah ini, penggambaran yang melibatkan babak saya itu
tertangguh dan pada masa yang sama tawaran-tawaran lakonan lain juga akan terganggu," ujarnya.
Dalam pada itu, Jasmin agak kecewa dengan kejadian tersebut kerana menganggap pihak produksi tersebut iaitu Summit Treasure Production leka dengan tugasan serta keselamatan ketika di set penggambaran.
"Mereka sepatutnya perlu berhati-hati. Sepanjang 20 tahun saya bekerja sebagai pelakon, inilah kali pertama insiden seperti ini berlaku terhadap saya dan harap kejadian ini menjadi pengajaran buat mereka serta produksi-produksi di luar sana," tegasnya.
Bagaimanapun, jasmin belum memikirkan untuk melakukan sebarang tindakan terhadap produksi tersebut.
{[['']]}

Pelakon Terbakar : Emma Akma Bimbang Wajah Kekasihnya Menjadi Buruk


 
Emma Akma melihat kesan melecur pada badan kekasihnya, Raffi yang masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
 
PETALING JAYA: Pelakon drama Emma Akma Yunus,42, amat bimbang melihat wajah kekasihnya, Raffi Husin,24, menjadi buruk akibat melecur gara-gara insiden kebakaran ketika penggambaran filem Bara Jiwa Selasa lalu.
Emma berkata, Raffi mungkin mengalami kesan melecur di keliling badan, tangan serta muka dan mahu pihak produksi, Nuansa Production, bertanggungjawab membuat pembedahan plastik pada wajah Raffi jika ia diperlukan.
"Kalau boleh saya nak wajah Raffi kembali seperti asal, tiada kesan luka sana sini. Mungkin orang nampak perkara ini remeh tetapi wajah merupakan aset utama sebagai seorang pelakon.
"Sudahlah dia baru nak mulakan kariernya, tiba-tiba jadi begini pula. Bagaimanapun setakat ini Nuansa memberitahu untuk menanggung segala kos rawatannya malah Julian (penerbit) kerap bertanyakan khabar dan perkembangan kesihatan Raffi," katanya yang dihubungi mStar Online, Khamis.
Walaupun pihak produksi berjanji akan menanggung kos rawatan pelakon baru itu, Emma tetap membuat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga jika janji yang dibuat itu tidak dikotakan.



Kesan kebakaran pada badan Raffi di jangka kering dalam masa dua minggu.
 
Bagaimanapun, Emma agak kesal dengan pihak produksi filem itu kerana tidak teliti mengenai keselamatan pelakon-pelakon ketika melakukan adegan aksi tersebut.
"Memang perkara ini tidak boleh nak salahkan sesiapa pun tetapi mereka sepatutnya mengambil langkah berjaga-jaga dalam setiap perkara walaupun babak aksi yang dilakukan itu kecil.
"Bayangkan ketika insiden tersebut berlaku, memang pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berada di situ tetapi mereka tidak ada gunting untuk menggunting baju Raffi yang terbakar.
"Sebaliknya baju Raffi digunting menggunakan gunting jurusolek pula. Setakat ini kami tidak berhasrat untuk mengambil sebarang tindakan," katanya.
Raffi kini sedang dirawat di wad surgeri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan difahamkan kesan melecur pada tubuh pelakon itu akan kering dalam masa dua minggu lagi.
Dalam kejadian di Taman Seputeh, Kuala Lumpur Selasa lalu, Raffi mengalami kecederaan pada badan, muka dan tangan semasa hendak menyelamatkan diri dalam adegan kebakaran melibatkan sebuah gerai.
Selain Raffi, filem arahan Osman Ali itu turut dilakonkan Diana Danielle, Fizz Fairuz, Bront Palarae dan Remy Ishak.
{[['']]}

Kereta Baru Shahir (AF8) Berpusing Lima Kali



Shahir terselamat dalam kemalangan jalan raya pada pukul 6.30 petang, Isnin di lebuh raya Bidor ke Sungkai semasa dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. - Foto oleh SHAARI CHE MAT
 
PETALING JAYA: Kereta jenis Nissan Fairlady berwarna putih milik juara AF8, Ahmad Shahir Zawawi, 22, berpusing sebanyak lima kali sebelum merempuh pembahagi jalan di lebuh raya antara Bidor ke Sungkai, Perak.
Kemalangan pada pukul 6.30 petang, Isnin itu berlaku semasa penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu dalam perjalanan pulang dari rumah keluarganya di Kampar, Perak ke Kuala Lumpur setelah menjalani penggambaran sebuah program terbitan Astro.
Menurut ibunya, Mahanum Osman, 45, tiada apa yang mampu diluahkan selain bersyukur ke hadrat Ilahi setelah mendengar berita anak sulungnya itu selamat daripada kemalangan tersebut.
Dia turut bersyukur kerana insiden berkenaan tidak melibatkan kenderaan dan orang lain.
Katanya, kereta yang berharga sekitar RM180,000 itu baru dibeli oleh Shahir pada bulan Ramadan baru-baru ini.
“Shahir dan kawannya, Aman yang berada dalam kereta itu selamat. Alhamdulillah. Cuma keretanya remuk teruk di bahagian belakang dan hadapan.
“Shahir cuma mengadu sakit-sakit badan dan bengkak sedikit di bahagian kepalanya akibat terhantuk. Dia sudah mendapatkan rawatan doktor dan membuat laporan polis. Alhamdulillah doktor kata dia okey dan memberikan ubat tahan sakit.
“Tetapi dia belum membuat rawatan x-ray. Bagaimanapun, saya berharap supaya dia tidak mengalami sebarang kecederaan dalaman. Sekarang, dia sedang berehat di rumah dan menghantar keretanya ke bengkel,” kata Mahanum ketika dihubungi mStar Online, Selasa.
Bercerita tentang bagaimana Shahir boleh terlibat dalam kemalangan tersebut, Mahanum berkata waktu itu hujan lebat dan cermin kereta Shahir menjadi kabur.
“Air hujan di tepi lebuh raya itu begitu banyak sehingga Shahir merasakan kereta yang dinaikinya itu seperti terapung-apung. Lantas dia menekan brek dan selepas itu keretanya berpusing sebanyak lima kali sehingga melanggar pembahagi jalan.
“Selepas itu terus dia berhenti ke tepi jalan sebelum mendapatkan bantuan. Nasib baik kereta yang lalu-lalang di situ sempat mengelak dan tidak terlibat sama dalam kemalangan tersebut. Walaupun keretanya rosak teruk, tetapi pada saya yang penting Shahir dan kawannya selamat. Saya anggap semua yang berlaku ada hikmahnya,” ujarnya lagi.
Sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, Shahir pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya dan ini merupakan kemalangan besar kedua berlaku dalam hidupnya.
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger