Latest Post :
Recent Post
Showing posts with label Shahir. Show all posts
Showing posts with label Shahir. Show all posts

Shahir AF8 Dilanda Seribu Satu Kontroversi


PESONA...biar Shahir dilanda seribu satu kontroversi, peminat sentiasa setia menyokongnya.

MISTERI kehilangannya dan soal cinta sangat sinonim dengan jejaka kacak berwajah manis ini. Melihat kepada perwatakan dan tutur bicaranya yang sopan, membuatkan ramai berasa hairan bagaimana juara program realiti Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Ahmad Shahir Zawani boleh dikaitkan dengan pelbagai cerita panas dan spekulasi.
Sebagai selebriti dikenali, mahu atau tidak itulah hakikat yang harus ditelan. Begitupun, jauh di sudut hati anak kelahiran Ipoh, Perak ini tersembunyi rasa kecewa dan kesal ekoran dikaitkan dengan pelbagai cerita yang kurang enak didengar.
Walaupun dibebani pelbagai gosip panas sehingga menimbulkan spekulasi, Shahir yang ditemui ketika rakaman Muzik-Muzik 26 di Shah Alam, baru-baru ini tidak langsung menunjukkan sebarang perubahan.

Senyumnya masih sama meleret dengan dihiasi pendakap gigi dan tuturnya juga lancar menjawab setiap persoalan tanpa sedikitpun menunjukkan riak kurang senang.





Jelasnya, kehilangannya sebelum ini bukan kerana mahu menyorokkan sesuatu, apatah lagi dikaitkan dengan pelbagai misteri yang menimpa. Sebaliknya, cerita yang tersebar selama ini berlaku disebabkan salah faham.

“Insiden jatuh dalam bilik air pada Jun lalu adalah permulaan segala cerita kerana selepas itu saya diberi cuti dua bulan dan kemudian saya terus sambung cuti sepanjang Ramadan. Tidak sangka pula sepanjang ketiadaan saya selama tempoh tiga tiga bulan itu timbul pelbagai spekulasi bukan-bukan. Sedangkan sepanjang tempoh itu, saya hanya duduk memerap di rumah.

“Bayangkan saya dituduh hilang dan sakit, kemudian dikatakan terbabit dalam kegiatan gerakan Islam. Entah macam mana kisah terbabit boleh timbul pun saya tidak tahu. Saya hanya duduk berehat di rumah kerana tidak boleh meneruskan aktiviti seni memandangkan kesihatan yang tidak stabil ketika itu. Pihak pengurusan sendiri memberikan cuti agar saya dapat berehat dan cepat sembuh.

“Hikmah di sebalik apa yang berlaku, ibu bapa saya semakin faham dengan permainan dunia seni kerana sebelum ini jika ada cerita kurang enak mengenai saya, pastinya mereka tertanya-tanya bagi mendapatkan penjelasan.

“Apabila berada di depan mata mereka sepanjang bercuti dan gosip mengenai diri saya hangat dimainkan di media, mereka sendiri bertindak sebagai pendinding dan cuba menasihati saya agar terus kuat berhadapan dengan ujian ini. Pada waktu sama, tidak dinafikan mereka jadi pelik bagaimana orang boleh membuat spekulasi dan andaian sedangkan saya elok saja berehat di rumah.

“Begitupun, apa yang berlaku tetap saya hargai kerana ia membuatkan saya menjadi lebih kuat untuk terus berhadapan dengan cabaran. Ia kekal menjadi satu pengalaman yang banyak mendidik untuk menjadi insan yang lebih baik,” katanya tersenyum.

Penyanyi yang mempertaruhkan lagu Luar Biasa di peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 26 ini bagaimanapun menyifatkan setiap kisah yang timbul mengenainya dianggap satu perhatian dan penghargaan kerana masih ada pihak ingin tahu mengenai perkembangan dirinya.



Berbicara lebih lanjut, wajah Shahir sedikit pun tidak menunjukkan riak terkejut apabila dramatis, Rozita Che Wan yang terus dikaitkan dengan namanya akan ditanya. Waktu sama, dia seperti sudah mengagak soalan itu akan diajukan.

Menganggap segala kontroversi dan kisah cinta yang timbul itu hanya sekadar satu gosip dan tiada kebenarannya, Shahir hanya mampu mengharapkan agar suatu hari nanti peminat dapat menilai sendiri kerana tiada guna sekiranya dia terus menafikan dalam usaha untuk membetulkan keadaan.

“Kami masih berkawan dan memang sejak dulu kami berhubungan sebagai kenalan. Tidak lebih daripada itu. Sesiapa juga boleh melihat semula mana-mana artikel atau kenyataan yang dikeluarkan saya, tidak sekali pun saya mengesahkan mengenai gosip cinta antara kami, sebaliknya memang apa yang ada hanyalah hubungan persahabatan.

“Saya akui kami pernah akrab dan ada keserasian, namun semuanya terlalu awal dan saya sendiri masih sibuk mencatur perjalanan kerjaya yang baru hendak bermula. Mana mungkin saya mengalih perhatian untuk berbicara soal cinta sedangkan keluarga dan kerjaya adalah keutamaan. Apa saja kenyataan dan kisah mengenai saya dan Rozita sebelum ini adalah satu salah faham.

“Saya masih lagi sendirian dan tidak pernah menjalin hubungan serius dengan sesiapa sejak menyertai AF. Biarlah masa dan keadaan yang menentukan segala-galanya kerana apa yang penting bagi saya keluarga tahu perkara sebenar. Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan dan melukakan hati sesiapa.

“Laluan saya kini hanya pada kerjaya nyanyian yang masih perlu ruang bagi terus diperkukuhkan,” katanya yang tidak mahu terus mengulas secara terperinci mengenai gosip cintanya.

Sebaik mengubah topik kepada perkembangan kerjaya seni, Shahir terus tampak bersemangat. Lebih-lebih lagi sudah lama dia tidak berkongsi cerita bersama peminat yang sentiasa merinduinya.

Meletak sepenuh fokusnya pada pembikinan album terbarunya yang dijadual berada di pasaran Disember depan, Shahir yang kini sudahpun merakamkan empat lagu dan berbaki dua lagi lagu mengharapkan usahanya ini akan mengubat kerinduan peminat yang tidak henti memberikan sokongan.

“Bintang kelahiran program realiti seperti saya adalah produk yang hidup atas sokongan peminat. Mereka sanggup meletakkan saya di atas. Atas alasan itu, ada tanggungjawab yang perlu saya lakukan iaitu mengembalikan apa yang diinginkan peminat. Saya harus berterima kasih dan memberikan yang terbaik kepada mereka kerana sejak awal lagi merekalah penyokong kerjaya saya selain keluarga.

“Satu magis buat saya apabila sokongan peminat yang langsung tidak berbelah bahagi. Meskipun timbul pelbagai cerita dan spekulasi, mereka terus setia dan sentiasa menunggu kehadiran saya.

“Lantas Disember depan atau selewat-lewatnya awal tahun depan, saya akan muncul dengan album solo yang masih mengangkat muzik Pop Rock dengan sedikit sentuhan melodi romantis.

“Saya ingin memastikan peminat berpuas hati dengan album itu nanti yang semuanya dirakam semula dengan alunan vokal yang menceritakan perasaan saya,” katanya.


PROFIL

NAMA PENUH: Ahmad Shahir Zawani
TARIKH LAHIR: 5 September 1988
UMUR: 23 tahun
TEMPAT LAHIR: Ipoh, Perak
KELUARGA: Anak sulung daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
PENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia 8 dan Artis Baru Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011
LAGU: Kebahagiaan Dalam Perpisahan, Tiba (Bersama Faizal Tahir & Faizal Ismail), Dimanakan Ku Cari Ganti (Bersama Stacy, Aizat, Ning Baizura, KRU, Atilia dan Ella), Luar Biasa, Pendam, Cerita Kita, Dia Yang Kau Pilih dan Cintakan Kembali
FILEM: Karak
PROGRAM TELEVISYEN: Lawaknya Fantasia Raya, Cerciter Cinta, Diariku... Shahir, Lemang, Lebaran, Labuci dan Konsert Reunion AF8
DUTA: Duta Brand’s Generasi Hebat dan Ikon Belia Perak

Oleh Murshid Eunos
{[['']]}

Rozita Che Wan Berguling Sakan Dengan Shahir


Salah satu adegan Rozita dan Shahir terpaksa berguling beberapa kali.
PETALING JAYA: Pelakon jelita Rozita Che Wan mengakui berasa segan apabila terpaksa melakonkan babak romantik bersama Shahir (AF8) dalam telefilem Cer Citer Cinta.
Kata Rozita, dek kerana malu bergandingan bersama, kedua-dua mereka terpaksa mengulangi semula babak-babak romantik beberapa kali sepanjang penggambaran berlangsung pada awal Mei lalu di Perlis.
"Kami serasi digandingkan dalam telefilem ini. Cuma apabila tibanya babak-babak romantik, kami asyik nak tergelak saja.
"Bayangkan, salah satu babak ialah adegan berguling-guling dan kami terpaksa lakonkan banyak kali kerana tergelak sakan semasa penggambaran. Ye lah, rasa malu sangat berlakon begitu," selorohnya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.
Tambah Rozita, walaupun Shahir nampak seperti seorang pemalu dan tidak banyak bercakap, dia sebenarnya mempunyai bakat lawak semula jadi dalam dirinya.

                                               Rozita dan Shahir
Salah satu adegan Rozita dan Shahir terpaksa berguling beberapa kali.
"Shahir merupakan seorang lelaki yang kelakar sebenarnya. Sepanjang penggambaran berlangsung saya asyik ketawa tak henti-henti kerana lawaknya.
"Tambah pula telefilem ini genre komedi romantik, riuh jadinya set penggambaran kami. Cuma ada sebuah adegan yang memerlukan Shahir mengaji, membuatkan saya ternganga sekejap kerana kagum dengan suaranya," tutur Rozita
Telefilem Cer Citer Cinta terbitan Zeel Production itu turut dilakonkan oleh Tomok serta beberapa bekas pelajar AF9 dan akan ditayangkan pada Khamis (hari ini), pukul 9 malam, di Astro Ria.
Bagaimanapun, dia tidak menganggap kontroversi cinta yang berlaku terhadap dirinya serta Shahir baru-baru ini boleh menaikkan rating penonton telefilem berkenaan.
"Entahlah, kalau hal rating ni, susah kita nak mengagak. Cuma saya harap, para penonton akan terhibur menyaksikan telefilem ini," ujarnya.
Telefilem ini mengisahkan bagaimana seorang jurulatih sebuah kem bina semangat iaitu Cik Zaleha (lakonan Rozita Che Wan) yang terpaut hati dengan Ustaz Sarjan (Shahir).
Dalam masa yang sama juga ia turut memaparkan hubungan seorang budak kampung bernama Tomok (lakonan Tomok) dengan seorang gadis bandar.
{[['']]}

Panas!! Rozita Che Wan Mengaku Tetapi Shahir Pula Menafikannya

http://www.gosipsensasi.co.cc


KUALA LUMPUR – Kisah cinta melibatkan aktres jelita Rozita Che Wan dan Juara Akademi Fantasia 8, Shahir AF8, semakin panas diperkatakan.
Jika sebelum ini, hanya gosip yang bertebaran, namun segalanya berubah apabila Rozita Che Wan tampil membuat penjelasan mengesahkan cinta yang bertaut antaranya dengan Shahir AF8.
Pengakuan Rozita Che Wan bukanlah satu perkara yang asing, memandangkan sikap keterbukaannya itu menunjukan kematangannya seiring dengan usia.
Tetapi kisah cinta mereka menjadi perhatian, apabila pengakuan Rozita Che Wan itu dianggap sebagai jenaka oleh sang pria.
Kekasih hatinya itu, tatkala ditemui pada majlis pratonton Karak, mengeluarkan kenyataan mengatakan pengakuan cinta Rozita itu hanyalah sekadar satu jenaka dan mengklasifikasikan hubungan mereka sekadar rakan sesama artis.





Tidak berkecil hati mahu pun tersinggung, jelas aktres berusia 38 tahun ini, Shahir, berhak untuk mengaku atau menafikan percintaan mereka.
“Apa pun penjelasan dia (Shahir) hanya saya yang memahami dan saya harap berilah kami ruang. Tak kisahlah dia jawab ya atau tak, pada saya soal kasih, hati dan perasaan tak perlu penjelasan yang lebih kepada umum.
“Saya harap usahlah diperbesarkan atau dikontroversikan lagi isu ini. Cukuplah dengan pengakuan saya dan Shahir. Bagi saya, dia mempunyai hak untuk mengaku atau menafikan perkara tersebut, “katanya kepada murai.com.my mengulas mengenai kenyataan kekasih hatinya itu.
Memahami situasi yang dialami oleh anak muda kelahiran, Ipoh Perak itu, jelas Rozita, tindakan Shahir itu bagi menjaga hati orang sekeliling.
Ditanya kepadanya, perkara tersebut secara tidak langsung mampu mencalarkan imejnya kerana masyarakat mungkin beranggapan dia bertepuk sebelah tangan atau sengaja mereka cerita, kata Rozita, tiada guna baginya untuk berkelakuan sedemikian.
“Terpulang pada mereka untuk cakap apa sahaja kerana masing-masing mempunyai hak untuk bercakap. Tak jadi kudis pada saya pun kerana hanya kami saja yang mengetahui keadaan sebenar,” jelasnya mengakhiri perbualan.
{[['']]}

Rozita Che Wan Akui Shahir Adalah Lelaki Yang Paling Dekat Di Hatinya

http://www.gosipsensasi.co.cc

PANJANG berjela dan berpintal-pintal jika hendak diurai satu-persatu. Begitulah tafsiran kepada corak-corak sensasi yang mewarnai pelangi diri Rozita Che Wan.
Di sebalik delima yang merekah di bibir dan lirik ekor matanya, pasti banyak alasan yang melintas ke fikirannya.
Mungkin itulah yang dikatakan pesona. Bercampur pula pesona itu dengan banyak cerita kontroversi, termometer wanita ‘solo’ beranak dua itu memuncak lagi.
Kali ini, bukan isu bersara, mahupun kahwin atau skandal dengan orang kenamaan tetapi kisah hatinya bersama jejaka muda, Shahir AF8 yang galak diperkatakan.
Puas mengelak dan cuba menafikan, Rozita dan Shahir tidak boleh lari daripada hakikat. Realitinya, mereka memang ada hubungan cinta.
Segalanya dengan kemunculan Rozita sebagai artis jemputan untuk program Akademi Fantasia (AF).
“Walaupun dia sudah keluar daripada AF, hubungan baik kami sehingga sekarang,” canda Rozita sambil mengakui bahawa Shahir kini ada tempat sebagai teman yang akrab. Lebih tepat lagi, lelaki yang paling dekat di hatinya.




Mereka saling kenal hati dan budi tetapi untuk mengakui bercinta, hakikat itu sangat peribadi untuk dikongsi.
“Antara saya dan Shahir, kami ada komunikasi yang baik. Biasanya perbualan kami banyak berkisar tentang perkembangan diri dan dunia seni.
“Mungkin ada pihak yang boleh menerima secara terbuka dan mungkin juga ada yang tidak gemar dengan hubungan baik kami,” ungkapnya yang tidak kekok dengan jurang usia berbelas tahun antara mereka.
Percuma sahaja, ibu kepada Ammar Effendy, 15, dan Aniq Ezzra, 13, ini juga mendapat satu lagi jolokan. Sesuatu yang keras dan sedikit kejam untuk diterima apabila ada yang melabel Shahir, sebagai lelaki belaan Rozita Che Wan.
“Sumpah saya tidak pernah berfikiran atau menjaja cerita sebegitu, kalau ada yang bertanya dalam nada bergurau, saya mungkin berseloroh dan ketawa sahaja,” ungkap Rozita lagi.
Tidak mampu menutup cerita tetapi daripada membiarkan orang berkata-kata, Rozita berkongsi rasa, siapa Shahir dari kaca matanya.
“Shahir seorang yang sangat merendah diri, dia juga berasal dari kampung seperti saya, gemarkan makanan kampung macam saya.
“Jadi, mentaliti kami hampir sama. Walaupun usianya muda, kami boleh bertukar pendapat atas aras yang sama,” ujarnya dalam lenggok yang mahu difahami.
GILA RAMBUT
Dalam bab solekan, bulu mata palsu itu wajib. Dalam sebulan juga, jarang benar wajahnya dibiarkan polos tanpa solekan kecuali hari bertapa di rumah tanpa penggambaran.
“Bila saya gemarkan bulu mata, pembayang mata tak perlu sangat. Untuk keluar bersantai-santai pun saya tetap bersolek rapi. Saya paling cerewet bab rambut. Kena berdandan betul-betul paling kurang sejam untuk rambut, sejam untuk solekan.
“Tapi saya bukan jenis yang gemar ke salun rambut,” katanya yang cuba memastikan gaya rambutnya berbeza setiap kali muncul di kaca televisyen.


SAYANGKAN PETUA
Tidak lama berbual, bibirnya meletus menegur minuman yang sedang laju terjun ke kerongkong penulis.
“Eh, tak elok minum air kelapa nanti urat-urat jadi kembang. Untuk orang perempuan, air kelapa elok diminum hanya ketika hamil,” dia mengomel tentang petua.
Cantik luaran, penjagaan dalaman si pinggang ramping itu penulis tanyakan.
Selain tidak minum air kelapa sejak berbelas tahun, banyak petua lain yang menjadi amalan Rozita.
“Orang selalu kata saya pakai susuk bila saya tak suka makan sate, macam itu juga bila saya tak langkah longkang. Sebenarnya, longkang itu ada benda-benda kotor, jadi tak elok dilangkah takut benda-benda tak baik sampai kepada kita.
“Tapi, pantang lepas bersalin paling penting. Saya berpantang bab makan minum selama setahun. Setahun juga tak boleh kena hujan, tak makan makanan berkacang. Nak mandi pun ada pantang,” katanya yang mengalami sakit kepala jika menjamah nasi dalam sehari.
FAMILI NOMBOR SATU
Menjadi ibu tunggal kepada dua anak remaja, ada masanya Rozita serba-salah dengan jadual penggambaran yang tidak mengira waktu.
“Tambahan pula bila mereka sudah tidak lagi tinggal di asrama, saya serba-salah bila kena kerja hari Sabtu atau Ahad, nasib baik emak saya tinggal bersama, boleh tengok-tengokkan mereka. Saya cuba untuk tidak berlakon sampai lewat pagi atau hujung minggu. Bukan diva tetapi saya juga mahu melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu,” ujarnya yang berbicara hanya hal anak-anak bersama bekas suaminya.
Ujar Rozita mengaku dalam polos dirinya, dia selalunya tidak akan berkawan atau berbaik dengan lelaki yang yang pernah menjalin hubungan dengan dirinya. “Alergilah bekas-bekas ni,” ketawanya tidak mengelak.
KARIER MEMUNCAK
Baru disunting sebagai jurucakap Safi Rania Gold untuk kontrak dua tahun, perjalanan lakonan pelakon yang popular dengan watak Kiah Pekasam ini boleh dikatakan sedang memuncak. Lima tahun dalam arena seni, Rozita yang dikatakan mahu bersara ini pernah disensasikan sebagai dramatis yang mahal bayarannya.
Sedang muncul dengan Iparku Diva di Astro, Mata Ayer (TV3) serta Cikgu Kemisah Kirby (RTM), jadual drama Diari Summer Camp sedang menanti Rozita untuk penggambaran awal Mei.
“Berlakon adalah periuk nasi saya. Saya bersyukur dengan tawaran yang ada. Lucu juga bila selalu dapat watak emak-emak tapi respons paling baik untuk karakter tersebut sewaktu saya berlakon Diari Ramadan Rafiq,” ujarnya yang tidak menolak akan berhenti berlakon jika sampai jodoh satu hari kelak.-kosmo
{[['']]}

Shahir Muncul Semula Dengan Semangat Baru


SUSUN katanya teratur. Kadang-kadang ada bicara yang tersekat pada rongga dan paling banyak yang dilakukan bekas juara Akademi Fantasia 8, Shahir, adalah tersenyum.
Diasak dengan pelbagai persoalan, dia masih tenang. Nada suaranya kendur dan sesekali nafasnya dihela panjang dalam sembunyi segaris senyuman. Namun bertanggungjawab terhadap apa yang telah dilakukannya pada hujung 2010, dia tidak gentar berdepan realiti.

“Apa yang telah berlaku sekitar bulan Oktober tahun lalu adalah satu ujian yang penuh hikmah buat saya. Selepas diberitahu saya sakit, malah disyaki menghidap kanser hati, saya dalam dilema.
“Saya masih muda dan ia adalah soal hidup dan mati. Itu punca yang membuatkan saya menyepi sebentar,” katanya berulang kali.
Realitinya, selepas menjalani pemeriksaan kali kedua, pemilik nama sebenar Ahmad Shahir Zawawi ini tidak menghidap kanser hati. Sebaliknya dia disahkan menghidap penyakit asid berlebihan dalam hati.
Katanya lagi sambil memohon maaf terhadap tindakan yang terpaksa diambil: “Sehingga sekarang, saya masih menjalani rawatan untuk penyakit tersebut. Mujur ia tidak begitu berbahaya dan membolehkan saya melakukan aktiviti terutama bekerja seperti biasa. Kini selepas kesihatan saya semakin baik, saya sudah kembali bekerja seperti biasa.”

Baru berusia 22 tahun dan masih mentah sebagai artis, anak kelahiran Ipoh, Perak ini boleh dikatakan seperti tidak serius dengan bidang yang diceburi.
Boleh dikatakan juga dia seperti kurang komited, tidak berdisplin dan menumpahkan sepenuh jiwa terhadap dunia seni apabila mudah untuk mengambil keputusan ‘ghaib’ begitu sahaja.
Apabila diasak dengan persoalan seumpama itu, Shahir tersenyum sebelum memberitahu dia tidak pernah menyesal menjadi artis. Dia menghormati pihak lain dan bekerja dengan komited. Hanya bagi isu soal mati yang dibangkitkannya, dia terpaksa kalah dengan perlawanan hati sendiri.
“Saya tidak pernah menyesal menjadi artis. Tapi saya akan lebih menyesal kalau saya tidak diberi kerja apabila saya menjadi artis. Saya faham dunia artis macam roda, jadi saya berusaha keras untuk bekerja dengan lebih baik.
“Jika selepas ini mungkin ada yang takut untuk memanggil saya bekerja, saya berserah. Tapi saya percaya bahawa apabila kita ikhlas melakukan sesuatu, rezeki akan datang kepada kita,” katanya yang kesal dengan tohmahan tidak berasas segelintir pihak terhadap masalah displin dan komitmen dirinya tanpa mengetahui punca sebenar.
Malah untuk 2011, dia bertekad untuk menjadi Shahir yang baru. Shahir yang lebih bersemangat dan masih mahu duduk lama dalam industri muzik. Dia mahu melupakan hal silam yang sekali lagi katanya, telah memberi pengajaran berguna buat dirinya.
Justeru untuk tahun ini, selain bakal muncul dengan single kedua, dia akan terlibat dalam sebuah filem milik KRU untuk bulan Mei nanti.
“Banyak agenda baru yang akan saya lakukan tahun ini, hanya buat masa sekarang, ia masih terlalu awal untuk saya umumkan. Cuma harapan saya, tahun ini akan menjadi tahun yang lebih baik buat saya dan saya akan terus belajar memperbaiki diri dalam bidang ini. Insya Allah juga insiden lalu tidak akan berulang lagi,” katanya penuh optimis.

Ditaja
Shahir ketawa kecil apabila soalan tentang dirinya ditaja seseorang diajukan. Dia tahu hal tersebut timbul selepas insiden dia kemalangan dan memandu sebuah kereta mewah jenama BMW.
Tidak mahu khalayak terus mengaitkan dia dengan hal negatif seumpama itu, Shahir menerangkan, BMW tersebut merupakan kereta milik keluarga angkatnya. Dia juga menafikan dirinya ditaja seseorang.
Jelas Shahir: “Saya tidak terkejut dengan gosip saya ditaja. Saya anggap ia sebagai satu usikan. Sebenarnya BMW itu kereta milik keluarga angkat saya. Keluarga saya juga kenal dengan keluarga angkat saya ini.
“Selepas saya kemalangan, mereka menawarkan saya untuk meminjam kereta tersebut agar saya senang bergerak sementara saya tidak memiliki kereta. Kini, saya telah mendapat hadiah kereta yang saya menang sebagai juara AF, BMW tersebut telah saya kembalikan kepada pemiliknya semula.”-kosmo
{[['']]}

Mawi Nasihat Shahir Supaya Jangan Lari Dari Masalah




KUALA LUMPUR: Juara Akademi Fantasia 3, Asmawi Ani atau Mawi berpendapat setiap artis perlu berhadapan dengan masalah yang mereka hadapi dan tidak perlu bersembunyi dari masalah tersebut.
Mawi yang diminta mengulas tentang masalah displin Juara Akademi Fantasia 8, Ahmad Shahir Zawawi, memberitahu tindakan tersebut hanya akan menyusahkan semua pihak.

“Saya hanya boleh beri nasihat agar dia tidak melakukannya lagi sebab perkara tersebut akan menyusahkan banyak pihak.
“Sebagai seorang artis kita perlu hadapi apa juga masalah yang datang dengan tabah dan bukan dengan cara bersembunyi atau melarikan diri dari masalah,” katanya ketika ditemui di selepas Majlis Perlancaran Album Mawi Idolaku, Selasa.
Mawi juga memberitahu sebagai bintang yang lahir dari realiti tv. Shahir seharusnya menghargai peminat-peminat yang telah mengundinya.
Mawi anggap tindakan Shahir bakal jejas reputasi sebagai pendatang baru
“Dahulu masa selepas keluar dari Akademi Fantasia memang agak tertekan. Satu hari empat persembahan perlu dihadiri tapi bila fikir kerja dan tidak mahu mengecilkan hati semua pihak terutama peminat saya pergi juga.
“Pada saya perkara negatif seperti masalah disiplin ini akan jadi buah mulut orang dan secara tidak langsung akan mejejaskan reputasinya yang sedang naik sekarang ini,” katanya.
Lima tahun bergelar artis, Mawi akui banyak yang dipelajarinya terutama apabila berhadapan dengan masalah dan kritikan.
“Masa awal dahulu memang banyak kritikan yang saya terima tapi saya hadapi juga. Orang mungkin nampak saya senyum walhal jiwa kacau ketika itu.
“Alhamdulillah Allah bagi kekuatan sehingga hari ini,” katanya.
 
{[['']]}

Kenapa Shahir Gagal Hadir Dalam Konsert Ria 2010


SHAH ALAM: Selepas beberapa kontroversi yang membabitkan bekas juara Akademi Fantasia 8 (AF8), Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir, 20, yang dikatakan sering tidak muncul daripada sebarang majlis atau acara persembahan yang membabitkannya, kini sekali lagi Shahir tidak hadir pada Konsert Ria 2010 yang diadakan di I-City, Shah Alam, Ahad.
Menurut pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, Shahir memberikan alasan tidak sihat dan mereka terpaksa akur dengan alasan tersebut.
"Saya tak boleh nak jawab tentang isu ini dan saya hanya tahu Shahir tidak dapat hadir menjayakan konsert ini kerana dia tak sihat.

"Berita ini disampaikan sendiri oleh pihak pengurusannya, Astro Entertainment Sdn.Bhd (AESB).
"Mengenai masalah Shahir yang dikatakan tidak berdisiplin seperti yang diwar-warkan sebelum ini, saya tidak boleh masuk campur," katanya pada konsert tersebut.
Sebelum ini, Shahir dikatakan mula buat hal apabila kerap kali mungkir janji dan membatalkan sesi fotografi di saat-saat akhir.
Kemudian, Shahir turut tidak hadir pada sidang media Anugerah Juara Lagu baru-baru ini dan penyanyi itu gagal dihubungi.
Kerana hal itu, pihak produksi akan membuat perancangan lain (plan B) jika Shahir berterusan buat hal.
Sementara itu, Konsert Ria 2010 itu diadakan bersempena dengan penutupan tirai tahun 2010 dan penghargaan buat penonton yang memberikan pencapaian buat stesen Astro Ria.
Dengan jumlah penonton seramai 25,000 orang, konsert tersebut dihiburkan dengan barisan penyanyi yang hebat yang antaranya seperti Mawi, Hafiz, AC Mizal, M.Nasir, Anuar Zain, Black, Meet Uncle Hussein, Aizat, Stacy, One Nation Emcee, Misha Omar, Datuk David Arumugam, Project Pistol, Saleem, Adira serta kumpulan Ahmad Dhani, T.R.I.A.D dan The Lucky Laki yang dibawakan khas dari negara seberang.
"Penganjuran konsert ini merupakan platform terbaik bagi pihak AESN dan Astro Ria sebagai tanda penghargaan kepada sokongan padu yang diberikan penonton-penonton kami.
"Ia juga dapat menambahkan semangat kami untuk terus mengorak langkah dalam menyediakan program-progran terbaik yang bersifat interaktif.

"Menerusi konsert ini juga, pihak kami cuba mengembalikan kenangan penonton terhadap kegemilangan program-program terbaik yang diterbitkan pada tahun ini seperti Akaemi fantasia 8, Kau Dan Aku, Mari Menari, Raja Lawak, Anda Ada 60 Saat serta Kamilah Bintang.
"Saya harap, pihak kami akan memberikan hidangan program yang terbaik pada tahun depan," kata Azlin.
Pada malam itu, kehadiran krew Era FM, Sinar FM, THR Gegar dan XFM yang juga merupakan radio rasmi konsert tersebut.
Bagi mereka yang tidak berkesempatan menyaksikan Konsert Ria 2010, ia akan disiarkan menerusi saluran Astro Ria pada 1 januari 2011, pukul 9 malam.
{[['']]}

Kereta Baru Shahir (AF8) Berpusing Lima Kali



Shahir terselamat dalam kemalangan jalan raya pada pukul 6.30 petang, Isnin di lebuh raya Bidor ke Sungkai semasa dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. - Foto oleh SHAARI CHE MAT
 
PETALING JAYA: Kereta jenis Nissan Fairlady berwarna putih milik juara AF8, Ahmad Shahir Zawawi, 22, berpusing sebanyak lima kali sebelum merempuh pembahagi jalan di lebuh raya antara Bidor ke Sungkai, Perak.
Kemalangan pada pukul 6.30 petang, Isnin itu berlaku semasa penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu dalam perjalanan pulang dari rumah keluarganya di Kampar, Perak ke Kuala Lumpur setelah menjalani penggambaran sebuah program terbitan Astro.
Menurut ibunya, Mahanum Osman, 45, tiada apa yang mampu diluahkan selain bersyukur ke hadrat Ilahi setelah mendengar berita anak sulungnya itu selamat daripada kemalangan tersebut.
Dia turut bersyukur kerana insiden berkenaan tidak melibatkan kenderaan dan orang lain.
Katanya, kereta yang berharga sekitar RM180,000 itu baru dibeli oleh Shahir pada bulan Ramadan baru-baru ini.
“Shahir dan kawannya, Aman yang berada dalam kereta itu selamat. Alhamdulillah. Cuma keretanya remuk teruk di bahagian belakang dan hadapan.
“Shahir cuma mengadu sakit-sakit badan dan bengkak sedikit di bahagian kepalanya akibat terhantuk. Dia sudah mendapatkan rawatan doktor dan membuat laporan polis. Alhamdulillah doktor kata dia okey dan memberikan ubat tahan sakit.
“Tetapi dia belum membuat rawatan x-ray. Bagaimanapun, saya berharap supaya dia tidak mengalami sebarang kecederaan dalaman. Sekarang, dia sedang berehat di rumah dan menghantar keretanya ke bengkel,” kata Mahanum ketika dihubungi mStar Online, Selasa.
Bercerita tentang bagaimana Shahir boleh terlibat dalam kemalangan tersebut, Mahanum berkata waktu itu hujan lebat dan cermin kereta Shahir menjadi kabur.
“Air hujan di tepi lebuh raya itu begitu banyak sehingga Shahir merasakan kereta yang dinaikinya itu seperti terapung-apung. Lantas dia menekan brek dan selepas itu keretanya berpusing sebanyak lima kali sehingga melanggar pembahagi jalan.
“Selepas itu terus dia berhenti ke tepi jalan sebelum mendapatkan bantuan. Nasib baik kereta yang lalu-lalang di situ sempat mengelak dan tidak terlibat sama dalam kemalangan tersebut. Walaupun keretanya rosak teruk, tetapi pada saya yang penting Shahir dan kawannya selamat. Saya anggap semua yang berlaku ada hikmahnya,” ujarnya lagi.
Sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, Shahir pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya dan ini merupakan kemalangan besar kedua berlaku dalam hidupnya.
{[['']]}

Shahir Mengaku Penat, Tiada Masa Untuk Keluarga



SEJAK menjuarai program realiti Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) pada Mei lalu, Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir mengakui belum pernah berpeluang bercuti untuk menghabiskan masa bersama keluarga.
Dia yang kini sibuk dengan jadual seninya memberitahu akan tetap mencuri masa berpuasa bersama keluarga pada bulan Ramadan ini.
"Sejak jadi artis saya belum pernah bercuti, rasanya memang sangat penat sehingga suara saya hilang namun saya tidak kisah fasal kerja. Apa yang saya ralat ialah kurang masa bersama keluarga.
"Kadang-kadang jika saya terlalu rindu dengan keluarga, saya sanggup balik sendiri ke Perak selepas habis kerja dan pulang semua ke Kuala Lumpur beberapa jam selepas itu. Biarpun sekejap tetapi saya dapat melepaskan rindu kepada mereka.
"Selain peminat, keluarga adalah kekuatan pada diri saya, jika lama tidak jumpa mereka saya mula lemah untuk bekerja," jelasnya.
Tambah Shahir seperti tahun-tahun sebelumnya, dia berjanji kepada keluarganya untuk menjalani ibadah puasa bersama-sama biarpun tidak seperti dahulu.
"Ada masa atau tidak saya akan tetap usahakan untuk balik berpuasa bersama keluarga. Biarpun pada Ramadan ini jadual saya agak padat dengan aktiviti berbuka puasa dan beberapa Road Tour yang akan dijalankan.
"Insya-Allah saya akan balik biarpun tak lama seperti tahun sebelum ini. Saya sangat teringin bubur gandum masakan emak," katanya.
Bercerita tentang kerjaya, Shahir yang sedang menjalani penggambaran filem terbitan KRU Production berjudul Karak juga akan muncul dengan drama Lawaknya Fantasia Raya pada Hari Raya ketiga nanti.
Dia yang mengakui masih kekok untuk berlakon bimbang menerima reaksi daripada peminat tentang hasil lakonannya.
"Saya rasa susah sangat berlakon, mungkin sebab saya baru. Saya tidak tahu bagaimana pandangan orang nanti dan sejauh mana saya boleh pergi dalam bidang ini.
"Jika ramai yang beri pandangan negatif saya mungkin akan menyanyi sahaja," ujarnya sambil tertawa.-mstar
{[['']]}

Ibu Beri Komen Tentang Shahir


KEMENANGAN Shahir dalam Akademi Fantasia kelapan (AF8) berjaya mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan di antara penyanyi itu dengan ahli keluarganya yang lain.
Sebagai bukti, salah seorang saudara Shahir bersedia untuk menjadi pengurus bagi mengendalikan segala aktiviti penyanyi itu di Kuala Lumpur.
Mahanum Osman menyediakan makanan untuk anak bujangnya, Shahir yang pulang ke Kampar pada 5 Jun lalu selepas menjuarai AF8. - Foto mStar oleh SITI AZIRA ABD AZIZ
Ibu Shahir, Mahanum Osman,45, berkata, kemenangan anaknya itu sebenarnya bagaikan satu tuah kerana dia mampu merapatkan lagi hubungan kekeluargaan sesama meraka apabila kelab peminat Shahir FC mahu diuruskan oleh anak sepupunya.
“Sebenarnya saya dan anak sepupu saya, Mohd. Helmi Basir tidak begitu rapat tetapi apabila dia menyuarakan hasrat untuk menjaga Shahir FC, saya rasa tidak ada salahnya kerana ia dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan,” katanya kepada mStar Online sewaktu ditemui pada majlis kenduri kesyukuran Shahir di Kampar, Perak Sabtu lalu.
Mahanum berkata, jika kelab peminat artis itu diuruskan dari kalangan ahli keluarga, dia yakin tiada akan berlaku masalah besar dan tentu sekali semuanya akan terjamin.
Mahanum memuji dan mengagumi sikap anaknya yang baik dan menghormati orang tua. - Foto oleh DARRAN TAN
Ketika diminta memberi komen tentang pandangannya sebagai seorang ibu terhadap Shahir, mulutnya tidak putus-putus memuji anaknya itu. “Dia rapat dengan saya dan apa-apa rahsia dia suka berkongsi dengan saya. Saya juga suka berkongsi masalah dengan dia. Dia bukan sahaja anak, malah seperti kawan dan kaunselor kerana kadang-kadang pandangannya boleh diterima,” cerita Mahanum.
Sebagai anak sulung, Shahir bukan sahaja boleh diharap untuk melakukan kerja di rumah malah dia juga seorang yang pemurah dan sentiasa menyayangi adik-adiknya yang lain.
Shahir katanya merupakan seorang yang penyayang, menyukai kanak-kanak dan menghormati orang tua. Dia sangat menyayangi adik-adiknya tetapi kadangkala dia akan menjadi tegas jika mereka melakukan kesalahan. Juara AF8 itu menetap di Kampar sejak kecil dan mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Kampar, Sekolah Menengah Kebangsaan Slim River dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang kejuruteraan.
Dalam keluarga, hanya dia seorang yang mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan betul-betul mengilap bakat itu untuk bergelar seorang penyanyi.
“Adik-adiknya yang lain juga minat menyanyi tetapi tidaklah seserius dia yang menjadi seorang penyanyi. Saya nampak bakat dia sejak berusia 5 tahun lagi iaitu ketika aktif menyanyi dalam kumpulan nasyid.
Mahanum di samping suami, Zawawi Abdullah, pengetua AF8, Norman Abdul Halim dan anaknya, Nor Suaidah ketika kenduri kesyukuran Shahir.
“Apabila dia belajar di UIA, baru kumpulan Saujana nampak bakat dia semasa dia menyanyi dalam sebuah majlis. Ketika dia bertanya pendapat untuk menyertai Saujana, saya tiada halangan,” ujarnya.
Sekarang, Shahir sedang mengumpul modal untuk membuka gelanggang futsal. Dia akan berusaha untuk membuka gelanggang futsal itu sebagai salah satu cabang perniagaannya.
“Saya sentiasa mendoakan Shahir untuk berjaya mencapai cita-citanya. Saya berharap dia tidak berubah dan menjadi Shahir seperti dulu. Sehingga masa akan datang, saya harap dia tidak lupa diri,” katanya lagi.
Dengan wajah yang kacak dan murah dengan senyuman itu, tidak mustahil Shahir menjadi kegilaan ramai anak-anak gadis.
Mahanum jelas tidak menolak mana-mana gadis yang mahu menjadi menantunya sekiranya itulah pilihan Shahir.
“Saya tahu dia pandai buat pilihan. Mana-mana perempuan yang dia pilih saya terima. Cukuplah jika perempuan itu seorang yang baik, hormat orang tua dan solehah,” katanya.-mstar
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger