KUALA LUMPUR: Pelakon jelita Faezah Elai memberitahu kontroversi yang tercetus di antara dia dan pengarah Heykal Hanafiah telah menimbulkan bibit cinta mereka berdua. Jelas Faezah, dia dan Heykal mula rapat apabila sering bertemu bagi menyelesaikan masalah yang mengaitkan mereka. "Saya rapat dengan Heykal selepas kontroversi yang melanda kami, padahal sebelum kontroversi tersebut memang kami tiada sebarang hubungan langsung. "Pada asalnya kami hanya berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu tersebut dan akhirnya hubungan itu melahirkan satu perasaan lain," katanya ketika ditemui pada sidang media majlis pelancaran filem Tanda Putera, Perbadanan Kemajuan Filem Merdeka (Finas) di sini, Selasa. Kisah Faezah dan Heykal menjadi panas sebelum ini apabila mereka dikatakan mempunyai hubungan istimewa ketika lelaki tersebut mengarahkan sebuah drama lakonan pelakon wanita itu. Akibatnya Faezah dituduh menyebabkan keruntuhan rumah tangga Heykal Bagaimanapun, Faezah menegaskan dia sama sekali tiada kaitan dengan masalah rumah tangga pengarah drama Asmara itu.
"Saya rapat dengan dia selepas dia berpisah dengan isterinya, saya tiada kaitan dengan masalah rumah tangga mereka," tuturnya. Pasangan yang memilih tarikh 9 September untuk diijabkabulkan menganggap perkenalan dalam waktu singkat itu bukan penghalang untuk menjalani kebahagiaan dalam rumah tangga. "Biarpun hubungan percintaan kami singkat, namun saya yakin saya mengenali dia. Malah saya juga memahami apa masalah sebenar yang menyebabkan kegagalan rumah tangganya. "Saya yakin apabila hubungan kami direstui keluarga kedua-dua belah pihak, adalah lebih baik perkahwinan kami dijalankan segera," katanya. Ketika ditanya tentang tindakannya sebelum ini yang cuba menyembunyikan identiti bakal suami dan tarikh perkahwinannya, Faezah menjelaskan perkara itu dibuat atas permintaan bakal ibu mertuanya. "Saya tidak berniat untuk menyembunyikan perkara ini apabila ditanya wartawan, tetapi ia adalah permintaan ibu mertua saya yang tidak mahu ia diumumkan sebelum kad undangan siap dicetak. "Sekarang mungkin masa yang tepat untuk saya mengumumkan majlis tersebut kerana semuanya sedang berjalan dan ibu mertua sudah beri lampu hijau," katanya. Oleh KEMALIA OTHMAN
KETIKA gosip yang menuduh dirinya sebagai perosak rumah tangga orang bertebaran dan terus menjadi bualan, tiba-tiba si empunya diri membuat pengakuan bahawa dia sudah pun bertemu arjuna hati dan bakal menamatkan zaman gadisnya secepat mungkin.
Sebuah kenyataan yang dikira berani, tulus lagi ikhlas, lahir daripada bibir bentuk limau seulas milik pelakon jelita Faezah Elai walaupun mengetahui pengakuannya itu bakal mengundang kontroversi yang mungkin tiada penghujungnya. Kahwin 9 September TERLANJUR berani meluahkan isi hati, tertanya-tanya juga siapakah jejaka yang berjaya merebut cinta pelakon Senjakala ini? Apakah bakal suaminya itu lelaki yang sering digosipkan dengannya, ataupun jejaka lain yang selama ini memang bertakhta di hati Faezah. tetapi tidak diperkenalkan kepada mana-mana pihak?
Namun, sejak mengumumkan berita baik itu, persoalan siapakah jejaka yang bertuah itu masih dibiarkan tanpa jawapan pasti. Tiada sebarang pengesahan yang dibuat pelakon berasal dari Pulau Mutiara ini. Sebaliknya dia terus mengunci mulut rapat-rapat apabila ditanya identiti sebenar lelaki yang bakal menjadi suaminya.
“Tunggulah, bila tiba hari yang sesuai nanti saya akan umumkan siapakah lelaki yang bakal menjadi suami saya itu. Sebenarnya, kalau hendak diikutkan, saya tak kisah untuk mendedahkan siapakah lelaki itu. Namun sebagai menghormati permintaan keluarga pihak lelaki, biarlah identitinya didedahkan apabila tiba waktunya nanti,” kata Faezah sambil mengukir senyuman manis.
Tambahnya, sebagai seorang wanita adalah tidak manis untuknya menggembar-gemburkan perkara yang belum ada kesahihannya. Atas alasan itu jugalah dia lebih selesa berdiam diri dan tidak terlalu menghebohkan kisah perkahwinan berkenaan. Teguh sungguh pendirian gadis berusia 29 tahun ini. Walaupun cuba dikorek siapakah lelaki yang berjaya menawan hatinya itu, namun dia tetap mempertahankan amanah yang diberikan. Begitupun, apabila terlalu berahsia sangat, timbul pula rasa sangsi, apakah lelaki itu ialah pengarah yang pernah dikaitkan dengannya, sehingga Faezah tidak mahu berkongsi identiti lelaki pilihannya bersama peminat.
Apa pun, jika benar bakal suaminya itu ialah Heykal Hanafiah, seorang duda dan juga pengarah drama bersiri Asmara 2, tentunya Faezah bakal berdepan dengan cacian dan cemuhan kerana pilihannya itu seolah-olah mengesahkan semua gosip yang tersebar.
“Tidak ada apa yang perlu saya risaukan. Saya bukan perampas dan saya sudah bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan yang timbul. Seperti yang saya katakan tadi, tunggu saja bila tiba waktunya. Apa yang boleh saya katakan, saya memilih dia sebagai calon suami kerana dia amat memahami diri saya.
“Malah dia juga tidak pernah menyekat keinginan saya untuk terus aktif dalam bidang seni,” ujar pelakon filem Cun ini penuh yakin.
Bakal disatukan pada 9 September depan, Faezah berkata, untuk majlis belah keluarga lelaki, mereka memilih untuk mengadakan keraian di tepi pantai.
“Sebenarnya, majlis berkonsepkan persandingan pantai ini adalah atas kehendak saya, tetapi apabila mengenangkan jumlah saudara mara saya yang ramai, saya rasakan tidak sesuai untuk sebelah perempuan meneruskan hasrat itu. Jadi, untuk sebelah lelaki, konsepnya adalah pantai, manakala sebelah perempuan adalah berkonsepkan tradisional,” katanya yang akan mengenakan rekaan Rizman Ruzaini dan Hatta Dolmat untuk hari bersejarahnya itu.
Hampir mahu berhenti berlakon
SUATU waktu dulu, dia teruk dihentam media gara-gara lakonan kayunya dalam filem Otai. Disebabkan itu, Faezah cukup trauma untuk kembali berlakon dek bimbangkan kritikan pedas yang bakal dilemparkan kepadanya.
Namun, menyedari bakat seni kurniaan Tuhan itu tidak seharusnya dipersiakan, Faezah kembali memulakan langkahnya dengan aktif di layar kaca.
Pengalaman sebagai dramatis ternyata memberikan kelebihan kepada Faezah untuk mempamerkan lakonan memberangsangkan dalam filem Cun arahan Osman Ali. Watak Kuntom yang dilakonnya dalam filem itu cukup menyerlah dan mendapat pujian ramai.
“Saya akui sedikit trauma apabila lakonan saya pernah dihentam teruk oleh media. Walaupun hampir mematahkan semangat dan terasa seperti mahu berhenti berlakon, namun nasihat daripada kedua-dua orang tua saya membuatkan saya kembali bersemangat untuk meneruskan kerjaya saya dalam bidang lakonan,” katanya.
Dalam pada sibuk membuat persiapan untuk majlis perkahwinannya, Faezah juga kini giat menjalani latihan sebelum turun ke lokasi penggambaran sebuah filem epik arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba.
“Dalam filem ini, saya memegang watak isteri kepada seorang tokoh terkenal tanah air. Watak ini memang cukup mencabar kerana tidak banyak sumber yang saya dapat mengenai watak isteri kepada seorang tokoh ini. Kalau ada sekali pun, footage yang ada tidak banyak membantu saya untuk mengenali wanita berkenaan.
“Jadi, selain daripada pembacaan, saya cuba merealisasikan watak itu menerusi imaginasi saya,” ujarnya yang mengakui teruja kerana pertama kali diberi peluang berlakon dalam sebuah filem bergenre seperti itu. Oleh Farihad Shalla Mahmud
GARA-GARA cinta lokasi yang dikatakan terjalin antara aktres popular, Faezah Elai, 28, dengan pengarah drama terkenal, Heykal Hanifah, 37, rumah tangga sutradara yang banyak menghasilkan deretan drama bersiri itu termasuk Dalil Cinta, khabarnya berantakan. Difahamkan, Faezah dan Heykal kononnya mula menjalin hubungan ‘teman tapi mesra’ apabila kedua-duanya bekerja sama menerusi drama bersiri popular, Asmara yang kini bersiaran di TV3. Drama lain arahan Heykal termasuklah Cinta Balqis, Laila Asikin dan Noktah Erna, manakala Faezah baru saja menjayakan drama arahan Heykal, Dalca Mami Georgetown. Faezah juga bakal membintangi filem terbarunya, Halilintar akhir bulan ini dan drama bersiri arahan Heykal, Asmara 2 awal tahun depan. Gosip Faezah dan Heykal menjalin hubungan terlarang kini tersebar luas di beberapa blog dan laman web hiburan. Terbaru, ruangan pojok Alkisah... kelolaan Raja Nurfatimah Mawar, terbitan B*POP 21 November lalu, menerusi artikel ‘Faezah Elai main cinta suami orang?’ turut melaporkan khabar angin yang sama.
Antara lain gosip berkenaan melaporkan Faezah dan Heykal pernah dillihat berdua-duaan di lokasi penggambaran apabila gerak geri mereka dikatakan seperti pasangan kekasih. Selain itu, mereka juga pernah menghadiri satu majlis, namun sebaik terserempak dengan kru dan rakan artis, kedua-duanya melarikan diri!
Perkahwinan Heykal bersama isterinya, Rosmanizawani Nadzir atau Jaja, 37, yang juga bekas kaki tangan syarikat rakaman antarabangsa, EMI Music Malaysia selama 12 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata – Luqman Hakim, 10; Sarah, 8, dan Luq Adam, 11 bulan.
Pun begitu, penulis dimaklumkan oleh sumber, Heykal lulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, kononnya baru saja menceraikan Jaja dengan talak satu, kira-kira tiga minggu lalu! Menerusi risikan, dalang yang bertanggung jawab menyebarkan cerita kononnya Faezah dan Heykal mempunyai ‘skandal’ ialah bekas teman lelaki Faezah sendiri iaitu Azad Jazmin Johnlouis Jefri, 34, yang kini muncul menerusi filem terbarunya, Ngangkung terbitan MIG. Difahamkan, Jaja pernah menghubungi Azad untuk bertanyakan kesahihan hubungan sulit yang terjalin antara Faezah dan suaminya apabila kesempatan itu khabarnya digunakan Azad untuk menokok tambah cerita, sekali gus mengiyakan lagi ‘skandal’ Faezah bersama Heykal.
Faezah yang ditemui di Bangsar, Kuala Lumpur, Isnin lalu menafikan dia bermain cinta dengan suami orang, merujuk sebagai Heykal Hanifah seperti dilaporkan ruangan pojok Alkisah..., baru-baru ini.
Dia menjelaskan, hubungannya bersama Heykal hanyalah antara pelakon dan pengarah selepas mereka bekerjsama menerusi drama bersiri, Asmara. Tambahnya, hubungan berkenaan tidak pernah melangkaui batasan sehingga wujud perasaan cinta antara mereka.
“Dakwaan mengatakan saya dan Heykal pernah dilihat berdua-duaan di lokasi penggambaran, ia karut! Perkara itu boleh dirujuk kepada kru produksi Asmara, mereka tidak pernah melihat saya dan Heykal bermesra! Kami bertemu sekadar berbincang soal kerja. Tidak dinafikan, hubungan saya dan Heykal baik kerana selepas Asmara, saya turut berlakon satu lagi drama arahannya, Dalca Mami Georgetown. Namun, saya sedia maklum, Heykal sudah berkeluarga. Sekalipun baik dengannya, saya bukan manusia jenis suka ambil suami orang!,” katanya tegas.
Pun begitu, tanpa berselindung, Faezah mendakwa, cerita kononnya dia mempunyai ‘skandal’ dengan Heykal bermula daripada mulut Azad Jazmin. Akuinya, dia pasti segala-galanya berpunca daripada Azad apabila seorang sumber pernah memaklumkan kepada beliau, aktor berkenaan pernah mengiyakan dirinya memang ada ‘skandal’ bersama Heykal.
“Jika Azad ada masalah dengan Heykal, selesaikan sendiri, tak perlu nak babitkan diri saya. Hubungan saya dan Azad sudah lama berakhir, jadi dia tak perlu lagi mengganggu kehidupan saya,” katanya lagi.
Menceritakan insiden kononya dia dan Heykal melarikan diri dari sebuah majlis selepas terserempak dengan kru dan rakan artis, beliau menjelaskan memang benar dia menghadiri majlis rumah terbuka seorang persoanliti TV, namun tidak pernah melarikan diri, kecuali Heykal yang tidak mahu ikut serta selepas menyedari kehadiran Azad pada majlis sama.
“Saya hadir ditemani keluarga, Heykal pun ada di situ. Saya masuk dan bertemu tuan rumah, sebaliknya Heykal berpatah balik apabila ternampak kelibat Azad. Saya difahamkan, Heykal dan Azad ada masalah. Jadi, dakwaan saya dan Heykal lari dari majlis, cerita itu tidak benar!,” jelasnya.
Heyqal dakwa Azad dalang bawa cerita
HEYKAL ketika dihubungi B*POP mengakui, pada awalnya persahabatan dia dengan Azad baik selepas bekerjasama menerusi drama bersiri Cinta Balqis, namun selepas satu pertengkaran berhubung tawaran berlakon yang tidak berkesempatan dijayakan Azad bersama teman wanitanya, Eira Syazira Suhaimi, hubungan beliau bersama aktor berkenaan menjadi tegang.
“Apabila saya ternampak kelibat Azad pada majlis rumah terbuka personaliti TV berkenaan, saya tak jadi masuk, saya terus balik. Namun, Faezah tetap menghadiri majlis berkenaan. Kalau saya ada ‘skandal’ dengan Faezah, buat apa kami nak bertemu pada majlis keramaian seperti itu,” terangnya.
Ditanya sejauh mana hubungannya bersama Faezah, Heykal mengakui antara dia dan aktres berkenaan memang berkawan baik atas dasar profesionalisme, namun untuk menjalin hubungan cinta seperti digembar-gemburkan di internet mahupun menerusi ruangan pojok baru-baru ini, dakwaan itu tidak benar sama sekali.
Heykal yang berasal dari Kulim, Kedah, menjelaskan dia diberitahu Jaja bahawa Azad pernah mengiyakan beliau memang ada ‘skandal’ bersama Faezah selepas isterinya itu menghubungi aktor berkenaan untuk mengetahui sejauh mana kesahihan gosip itu.
“Dialah (Azad) dalang yang bertanggung jawab menyebarkan cerita berkenaan (skandal bersama Faezah),” kata Heykal tanpa berselindung.
Bagaimana pula dengan desas-desus yang mendakwa Heykal sudah melafazkan cerai terhadap Jaja baru-baru ini, dia menjelaskan, perkara itu terlalu peribadi untuk diperkatakan secara terbuka.
“Namun, apa yang boleh saya beritahu, buat masa ini, hubungan saya dan isteri, tidak elok. Kami sedang berusaha memperbaikinya demi keharmonian rumah tangga dan masa depan anak-anak,” katanya seperti cuba menyembunyikan sesuatu.
Azad yang dihubungi Rabu lalu, masih berada di Pulau Pinang selepas kematian adiknya baru-baru ini, menafikan sekeras-kerasnya dia adalah dalang yang bertanggung jawab menyebarkan fitnah kononnya Heykal dan Faezah menjalin hubungan cinta.
“Memang benar saya dan Heykal ada masalah berhubung soal kerja, namun saya bukanlah dalang yang menyebarkan cerita kononnya dia dan Faezah ada ‘skandal’ seperti didakwa mereka berdua. Saya tak nafikan, Jaja ada hubungi saya bertanyakan kesahihan hubungan cinta suaminya bersama Faezah. Saya tak tahu apa-apa kerana hubungan saya dan Faezah sudah lama berakhir.
“Saya hanya beritahu Jaja, apa yang saya nampak pada majlis rumah terbuka personaliti TV berkenaan yang turut dihadiri Faezah dan keluarganya bersama Heykal, itu saja. Namun, sebaik terpandang kelibat saya dalam rumah itu, mereka tak jadi masuk. Saya tak tahu kenapa. Kepada Faezah, janganlah cari publisiti murahan seperti ini. Saya ada banyak kerja lain lagi,” katanya. Oleh Zubir Mohd Yunus
Datuk Siti Nekad Tak Mahu Bertanding Lagi BUKAN merajuk dengan industri seni, sebaliknya penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza tetap bertegas dengan keputusannya untuk menarik diri dari bertanding Anugerah Bintang Popular ke-13 (ABP13) tahun depan atas alasan sendiri. Diikutkan, Siti telah membuat keputusan tersebut selepas memenangi anugerah Bintang Paling Popular pada tahun lalu. Menurut Siti, dia ingin menjadi seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menarik diri ketika berada di kemuncak kejayaan. Tambah Siti, adalah menjadi impiannya untuk menjadi penonton ABP, menyokong para penggiat seni lain yang bertanding.
Faeza Elai.
Faeza Elai Nafi Kekasih Pengarah TIDAK tahu daripada mana puncanya, tiba-tiba tersebar cerita tentang aktres Faeza Elai bercinta dengan seorang pengarah berstatus suami orang. Namun begitu dia dan pengarah itu menafikan mereka adalah pasangan kekasih sebaliknya mereka berdua hanya berkawan. Di sebalik kisah penafian ini, Faeza juga mengumumkan untuk bersara dari industri ini dalam tempoh empat tahun lagi. Johan Nikah Isteri 5 Tahun Lalu AGAK mengejutkan apabila Johan Raja Lawak mengakui bahawa dia dan isterinya, Ozlyn sebenarnya telah bernikah lima tahun lalu. Ianya berikutan ramai yang bertanyakan soal anak. Lantas Johan mengakui anak itu merupakan anaknya dengan Ozlyn selepas mereka bernikah sebelum dia menyertai pertandingan program Raja Lawak musim pertama.
Shahir.
AJL 25 Umum 12 Lagu Layak Bertanding ANUGERAH Juara Lagu (AJL) 25 menuju ke kemuncaknya apabila 12 buah lagu telah diumumkan layak untuk bersaing ke peringkat akhir. Antara lagu-lagu tersebut ialah Kebahagian Dalam Perpisahan (Shahir), Noktah Cinta (Hafiz), Cinta Sempurna (Yuna), Hanyut (Faizal Tahir), Tolong Ingatkan Aku (Ana Raffali), Jahat (Stacy) Kau Ada Aku (Adira) Berlari (Tomok) dan Sofea Jane (Black). Turut serta ke pentas final adalah lagu Pelita (A.P.I), Mencari Konklusi (Hujan), Extravaganza (Bunface), dan Drama King (Meet Uncle Hussain).