Latest Post :
Recent Post
Showing posts with label Jamal Abdillah. Show all posts
Showing posts with label Jamal Abdillah. Show all posts

Jamal Abdillah Akui Tak Pandai Memikat Wanita

Jamal Abdillah

PETALING JAYA: Penyanyi Jamal Abdillah mengakui perasaan malu yang ada dalam hidupnya untuk memikat wanita membuatkan dia masih lagi solo walaupun sudah lebih daripada lima tahun menduda.

Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 53, berkata, perasaan itu membuatkan keinginannya untuk memiliki sebuah cinta terhalang dan sering berharap agar wanita yang disukai mengambil langkah memikatnya terlebih dahulu.

"Itulah masalah saya, tak reti nak pikat perempuan. Rasa malu itu lebih tebal daripada keinginan.

"Sebagai manusia normal, saya juga inginkan pasangan untuk menjadi teman hidup sehingga akhir hayat.

"Entahlah susah nak cakap. Saya melayan semua sebagai peminat. Tetapi apabila berkenan dengan seseorang dalam sesebuah majlis dan ingin memulakan perkenalan, saya risau dengan kata-kata negatif orang. Sudahlah saya ini pemalu, nak memikat pun tak reti," selorohnya.

Tambah Jamal, keadaannya yang semakin berusia juga antara penyebab dia semakin segan, tidak seperti di zaman mudanya dahulu.

Ditanya apakah ciri-ciri wanita idaman, penyanyi yang popular dengan lagu Aku Maafkan Kamu itu berkata, dia lebih senang berdamping dengan seorang wanita yang berilmu pengetahuan dan sedap mata memandang.

"Kalau boleh saya mahu seorang isteri yang lebih tinggi fizikalnya daripada saya. Mengikut kata orang tua-tua, wanita yang lebih tinggi daripada suaminya mampu membuatkan rumah tangga bertahan dan kekal sehingga ke anak cucu.

"Selain itu dia mestilah seorang yang lemah lembut. Karakter itu mampu meruntun hati terutamanya apabila saya dalam keadaan marah," ujarnya.

Mengenai perkembangan terbaru, Jamal sedang membuat persiapan bagi menjayakan Konsert Gemilang Malaysia bersama Datuk Ahmad Nawab dan Datuk Khadijah Ibrahim.

Ia akan diadakan di Dewan Jubli Perak, Kuantan, Pahang pada 29 September 2012 dan 13 Oktober di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Tiket yang berharga RM100 hingga RM500 boleh ditempah menerusi ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
{[['']]}

Jamal Abdillah Akui Pernah Mencipta Lagu Mengenai Ganja



Tahniah kami ucapkan pada Jamal Abdillah kerana masih lagi mewarnai industri hiburan tanahair dan juga kerana singlenya yang berjudul “Aku Maafkan Kamu” bersama Malique telah mencatat jumlah tontonan yang mengejutkan di laman Youtube.

Untuk pengetahuan, Jamal Abdillah telah meraikan hari lahirnya yang ke-53 pada 7 Mei lepas dan semalam, dia telah dikejutkan dengan parti harijadi yang dirancang oleh pihak Warner Music di Restoran Dareen, Solaris Mont Kiara. Kejutan ini turut diserikan lagi dengan persembahan mantap oleh beberapa orang peminat setia Jamal Abdillah.

Dalam pertemuan OHBULAN! bersama penyanyi yang cukup dikenali dengan vokalnya yang mantap ini, Jamal Abdillah telah mendedahkan beberapa perkara yang kami pasti bukan setakat umum tidak tahu malahan peminat dan orang yang juga rapat dengan dirinya.

Terkejut juga kami apabila mendapat tahu bahawa Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah pernah mencipta lagu berinspirasikan marijuana atau lebih dikenali sebagai ganja. Jamal yang pernah menjalani pemulihan dadah selama 5 tahun di Rumah Pengasih telah mengakui bahawa dia ada menyimpan lirik lagu berjudul “Kuhidu Bunga Berbisa” yang merujuk pada daun ganja.

“Tajuk lagu ini adalah berkenaan dengan sejenis bunga popi (opium) yang ditukar oleh manusia menjadi sesuatu yang beracun,” jelas Jamal Abdillah mengenai tajuk lagu tersebut.

Walaubagaimanapun, Jamal masih belum berfikir samada lagu itu akan dilancarkan secara rasmi kepada umum atau hanya akan disimpan secara peribadi olehnya.

Dalam pada itu, Jamal turut memberitahu bahawa dia tidak akan bersara dari dunia muzik walaupun umurnya semakin meningkat.

“Harapan saya, saya ingin berada di persada seni ini sehingga bila-bila. Saya tak mahu bersara,” tegas Jamal Abdillah.

Semoga Jamal Abdillah akan terus menghiburkan para peminat dengan lagu-lagunya yang sentiasa menjadi siulan ramai.

Kredit Sumber: www.ohbulan.com
{[['']]}

Nilai Eksklusif Jamal Abdillah Tidak Akan Hilang

 Jamal membuat persembahan penuh bertenaga di PWTC sempena minggu setiausaha.


KUALA LUMPUR: Penyanyi Jamal Abdillah menaruh keyakinan tinggi nilai eksklusif pada dirinya tidak akan musnah meskipun banyak artis baru muncul pada ketika ini.

Jamal,53, berkata, perbezaan yang ditampilkan dalam setiap persembahan adalah faktor dia berjaya mengekalkan populariti selepas kejayaannya dalam Bintang RTM pada tahun 1979.

“Saya yakin dapat mempertahankan nilai eksklusif diri saya. Saya mengadakan konsep persembahan berbeza dalam setiap acara yang saya lakukan.

"Peminat tidak akan melihat saya membuat persembahan yang sama dalam setiap konsert yang saya lakukan,” katanya kepada pemberita selepas menjayakan persembahan Minggu Setiausaha di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa.

Pada majlis itu Jamal menyanyikan lebih 20 buah lagu antaranya Aku Penghibur, Perjalananku, Kau Lupa Janji, Sepi Seorang Perindu, Keluhan Perantau dan Gadis Melayu.Artis Dee (Jangan Ketawa) bertindak sebagai pengacara sementara Isma (AF) sebagai penyanyi jemputan.

Dee (kiri) berjaya mencuit hati dengan aksi lucunya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PWTC Datuk Maxson Abdullah H. Jaafar dan Pengurus Komunikasi Korporatnya, Datin Fadzilah Said.

Jamal berkata, lagu-lagu lama nyanyiannya tidak akan luput biarpun ketika ini pelbagai karya baru dihasilkan dengan kreativiti yang berbeza.

Malah ujar Jamal, menjadi trend apabila lagu-lagu malar segar sekarang semakin popular dan sering berkumandang di corong radio.

“Sekarang kita tengok banyak lagu lama dipopularkan semula. Itu membuktikan bahawa lagu yang pernah hit suatu ketika dahulu tetapi akan menjadi popular walaupun zaman telah berubah,” ujarnya.

Bagaimanapun dia tetap menyesuaikan diri dengan keadaan muzik pada hari ini untuk memikat hati golongan muda seperti menghasilkan lagu “Maafkan Kamu”, kolaborasinya dengan komposer Malique.

Dalam pada itu Jamal berkata dia tetap bimbang peminat yang kerap menyaksikan persembahannya akan jemu sekiranya dia tidak tampil berbeza untuk menghiburkan mereka.

Peminat amat teruja dengan koleksi lagu-lagu pilihan Jamal.
 

Kebolehannya bermain beberapa instrumen seperti gitar, piano dan dram akan ditunjukkan untuk persembahannya pada masa akan datang.

“Ramai orang tak tahu saya boleh bermain beberapa alat muzik. Mungkin suatu hari nanti saya akan membuat persembahan dengan menggunakan alatan muzik itu,” katanya.

Bercerita mengenai persembahannya di PWTC itu Jamal agak kurang berpuas hati kerana merasakan corak penyampaiannya gagal untuk diterima oleh peminat.

Kata Jamal dia kecewa jika tidak mampu membuat peminatnya menangis ketika menyampaikan lagu-lagu yang menyentuh jiwa.

“Jika peminat tidak menangis melihat persembahan saya, ia mesti ada yang tidak kena. Itu yang saya takut. Sebab itu kalau saya membuat persembahan, saya mesti mahu ada jiwa dalam diri saya,” ujarnya.
Oleh NIEZAM ABDULLAH
{[['']]}

Jamal Abdillah Sedih Kerana Diarah Keluar Dari Rumah Pengasih



INILAH bangunan rumah Pengasih di Bukit Tunku, Kuala Lumpur tempat Jamal Abdillah berlindung sejak hampir lima tahun lalu.

KUALA LUMPUR - Selepas hampir lima tahun penyanyi Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali (gambar kecil) menjadi penghuni rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) di Bukit Tunku di sini, penyanyi tersohor itu dikatakan telah diarah keluar oleh pihak pengurusan pusat berkenaan pada awal November lalu.
Penyanyi itu dikatakan meninggalkan rumah tersebut pada awal November lalu setelah dia menerima surat arahan supaya keluar dari rumah perlindungan dan pemulihan akhlak itu yang disediakan untuk golongan penagih dadah.
Jamal, 52, yang ditemui selepas sidang akhbar Karnival Sehari Bersama Jamal Abdillah dan Pelancaran Album Raja Pop 2 di pejabat Warner Music Malaysia di sini semalam bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara tersebut tetapi mengaku lebih tenang duduk di luar berbanding di Pengasih.
"Saya lebih tenang berada di luar (Pengasih) daripada duduk di dalam. Kalau boleh saya tak mahu tumpang orang dan nak duduk di rumah sendiri.
"Saya minta maaf kerana tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara ini. Tunggulah nanti saya adakan sidang akhbar bagi menjelaskan isu ini," katanya yang kini menyewa sementara menunggu rumah baharunya yang dijangka siap pada bulan Februari tahun hadapan.
Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


‘Saya sedih, terkilan’


PETALING JAYA: Penyanyi popular, Jamal Abdillah akhirnya bersuara dan meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) hingga mendorong dia meninggalkan pusat kebajikan bekas penagih dadah itu bulan lalu, selepas menjadi ‘penghuni istimewa’ selama lima tahun.

Jamal berkata, dia sedih dan kecewa dengan pelbagai dakwaan dikeluarkan Presiden Pengasih, Datuk Yunus Pathi terhadapnya termasuk dia tidak banyak memberi sumbangan wang tunai biarpun dia satu-satunya penghuni yang tinggal di situ sehingga lima tahun berbanding penghuni lain yang tinggal cuma setahun.

“Sepatutnya Pengasih institusi yang memimpin semangat serta membimbing penghuni memerlukan bantuan dan bukannya menabur pelbagai dakwaan yang boleh menjatuhkan reputasi seseorang.

“Jika senario ini berterusan, saya yakin orang awam juga akan berfikir berkali-kali sebelum menghantar ahli keluarga atau teman yang memerlukan bantuan ke situ,” katanya ditemui pada sidang media Karnival Seharian Bersama Jamal Abdillah pada Januari depan, di sini, semalam.

Harian Metro pada 8 Disember lalu melaporkan Jamal meninggalkan Pengasih selepas lima tahun di situ dan tindakannya dipercayai ada kaitan dengan rasa tidak puas dengan pengurusan rumah kebajikan itu terutama Yunus.
Oleh Murshid Eunos
{[['']]}

Jamal Abdillah Dilepas Tanpa Dibebas Dalam Kes Ugut Bekas Isteri

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas tanpa membebaskan penyanyi Jamal Abdillah daripada tuduhan mengugut bekas isterinya, Fatimatuzahra Samad melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), tiga tahun lepas.
Majistret Norkamilah Aziz membuat keputusan itu selepas Fatimatuzahra yang merupakan saksi kedua pendakwaan gagal hadir untuk memberi keterangan pada perbicaraan hari ini.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim memberitahu mahkamah bahawa Fatimatuzahra tidak hadir hari ini kerana sapina tidak dapat diserahkan kepadanya, dan beliau memohon untuk memanggil saksi pendakwaan ketiga untuk memberi keterangan iaitu pegawai penyiasat kes itu.
Peguam bela Jamal, Ahmad Fariz Mohamed kemudian membantah permohonan pendakwaan dan memberitahu mahkamah bahawa pada 8 Disember lepas, Fatimatuzahra yang merupakan pengadu dalam kes itu dipanggil untuk memberi keterangan, tetapi wanita itu memberitahu bahawa dia tidak berminat untuk memberi keterangan tanpa memberikan sebarang alasan.
"Seperti puan majistret sedia maklum, untuk kes ugutan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, keterangan pengadu amat material berbanding mana-mana keterangan lain. Saksi pertama pendakwaan ialah pegawai penyiasat kes yang sudah beri keterangan. Keterangan saksi pertama dan saksi ketiga (seorang lagi pegawai penyiasat) adalah tidak bermakna dan sia-sia tanpa keterangan pengadu (Fatimatuzahra).
"Pengadu juga pada tarikh sebelum ini mengangkat sumpah dan pastinya beliau tahu hari ini ditetapkan sebagai tarikh sambung bicara. Jika teruskan juga perbicaraan, ia akan merugikan masa mahkamah, saya dan anak guam saya serta saksi-saksi lain.
"Jika pengadu tidak dapat dipanggil hari ini saya pohon supaya anak guam saya dilepas tanpa dibebaskan dan jika pendakwaan berjaya mengubah hasrat pengadu (kemudiannya) bolehlah panggil dan dakwa anak guam saya," katanya.
Siti Syakimah berkata arahan yang diterima daripada ketua unit pendakwaan sebelum ini adalah untuk meneruskan pendakwaan terhadap Jamal walaupun Fatimatuzahra sudah menghantar representasi pada 20 Disember lepas bagi menarik balik tuduhan terhadap bekas suaminya itu.
"Saya percaya saksi kedua pendakwaan (Fatimatuzahra) masih boleh dikesan dan pendakwaan bersedia dengan saksi-saksi lain," katanya.
Ditanya Norkamilah mengapa Fatimatuzahra tidak hadir pada hari ini, Siti Syakimah menjawab saksi itu tidak dapat dihubungi.
Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, Norkamilah kemudian memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Jamal daripada tuduhan kerana mahkamah tidak mempunyai alasan munasabah mengapa Fatimatuzahra tidak hadir sedangkan beliau sudah mengetahui bahawa hari ini ditetapkan untuk menyambung perbicaraan.
Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidullah Ali, 50, didakwa mengugut Fatimatuzahra, 26, menerusi SMS pada pukul 7.44 pagi 30 April 2007.
{[['']]}

Jamal Abdillah Tidak Amalkan Sikap Kacang Lupakan Kulit



Jamal Abdillah masih membuat persembahan secara percuma dalam majlis-majlis konsert amal bagi mengumpul dana untuk Persatuan Pengasih Malaysia.
PENYANYI Jamal Abdillah yang popular dengan gelaran ‘Raja Pop’ tanah air ternyata bukan penyanyi yang bersikap kacang lupakan kulit.
Setelah pulih daripada ketagihan dadah yang menjadi sejarah hitam dalam hidupnya, dia tidak melupakan tempat di mana dia berjaya membebaskan diri daripada najis tersebut iaitu Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih).
Penyanyi berusia 51 tahun itu mula mengambil dadah atas desakan promoternya yang mahu penyanyi itu berjaya dalam sesuatu persembahan dengan menawarkan dadah kepadanya suatu ketika dahulu.
Kini, dia masih membuat persembahan secara percuma dalam majlis-majlis konsert amal bagi mengumpul dana untuk persatuan itu.
Menurut Presiden Pengasih, Mohd Yunus Pathi, Jamal yang menyertai pertubuhan itu secara sukarela untuk mengubah cara hidupnya masih banyak membantu persatuan tersebut.
“Beliau masih berjasa kepada Rumah Pengasih walaupun telah bergelar alumni,” katanya dalam satu temu bual dengan mStar Online semalam.
Malah untuk Hari Raya Korban lalu, Jamal yang bercerai dengan bekas isterinya Fatimatuzahra Samad, 26, pada tahun sama menyedekahkan seekor lembu kepada persatuan itu.
Selain itu, tambah Mohd. Yunus, terdapat lima artis tempatan lagi yang pernah menerima rawatan pemulihan dadah di situ.
Namun, beliau enggan mendedahkan identiti artis-artis yang terbabit kerana adalah prosedur persatuan tersebut untuk tidak mendedahkan identiti klien mereka.
“Kesemuanya hanya menyertai sesi kaunseling sahaja dan berada dalam peringkat awal ketika mendapatkan rawatan.
“Mereka mencuba dadah apabila nama mereka mula meningkat naik.
“Pada mulanya, mereka mengambil dadah untuk kelihatan lebih berkeyakinan di hadapan orang ramai semasa membuat persembahan.
“Tetapi lama-kelamaan apabila mutu persembahan mereka mula terjejas kerana dadah, mereka membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat kaunseling,” tambahnya.
Bayaran yang dikenakan di persatuan terbabit pula adalah RM700 sebulan untuk sesi rawatan selama setahun dan harga tersebut meliputi kos makan dan tempat penginapan mereka di sana.
Manakala kos rawatan untuk kaunseling pula bergantung kepada sesi yang dihadiri.
{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger