Latest Post :
Recent Post
Showing posts with label Maharaja Lawak Mega. Show all posts
Showing posts with label Maharaja Lawak Mega. Show all posts

Johan & Zizan 'Juara Maharaja Lawak Mega 2012'

Zizan (kiri) dan Johan Juara Maharaja Lawak Mega 2012 yang berlangsung di Johor Baru.


Gelaran naib juara pula dimenangi oleh kumpulan Jambu yang disertai oleh Yus dan Tauke.


 
JOHOR BARU: Selepas sembilan minggu bertanding, gelaran juara Maharaja Lawak Mega 2012 (MLM 2012) menjadi milik kumpulan Jozan yang dianggotai Johan dan Zizan apabila mereka diumumkan juara dalam acara yang berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB), di sini malam Jumaat.

Kemenangan Jozan melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 dan trofi sumbangan Astro.

Dalam pada itu, Johan yang sebelum ini tidak dapat menyertai pertandingan berkenaan sejak dua minggu lalu akibat kecederaan ligamen membuat kejutan apabila muncul pada persembahan pusingan pertama.

Kemunculan Johan telah menggamatkan stadium yang dihadiri oleh hampir 5,000 penonton.

Gelaran naib juara pula dimenangi oleh kumpulan Jambu yang disertai oleh Yus dan Tauke. Mereka berkongsi hadiah wang tunai sebanyak RM250,000 berserta sebuah trofi.

Sementara itu kumpulan Shiro (Shahrol & Ajak) mendapat tempat ketiga dan mereka menerima hadiah berupa wang tunai RM150,000 berserta sebuah trofi.

Bagaimanapun Boboi (Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik & Nabil) yang pernah bergelar naib juara MLM 2011 sebelum ini terpaksa akur dengan kedudukan di tangga keempat.



Lawak Johan dan Zizan berjaya membawa tuah kepada mereka.
 

Mereka mendapat wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi.

Manakala kumpulan tunggal dari Indonesia iaitu Saywho (Eko, Bocil & Vicha) berada di tempat kelima. Mereka mendapat hadiah iaitu wang tunai RM15,000 berserta trofi.

Kesemua peserta peringkat akhir dikehendaki membuat dua persembahan bertemakan konsep bebas dan komedi muzikal.

Para peserta telah diadili dengan sistem pemarkahan yang masing-masing mewakili 70 peratus daripada juri tetap dan selebihnya undian penonton di rumah.

Empat juri tetap yang mengadili peserta pada MLM2012 akhir itu terdiri daripada Awie, Wulan Guritno, Najib Ali dan Lisa Surihani.

Ia dihoskan oleh Datuk AC Mizal.

Sementara itu mengulas kemenangan mereka, Jozan berkata, ia adalah rezeki buat mereka berdua dan tidak pernah meletakkan harapan untuk menang.

Bagaimanapun ia adakan berkat sokongan para peminat yang sentiasa menjadi pendorong untuk mereka memberikan persembahan mantap pada setiap minggu.

"Tanpa peminat yang tidak jemu memberikan sokongan kejayaan ini tidak akan bererti dan kemenangan ini adalah untuk mereka semua," jelasnya ketika ditemui selepas acara itu.

Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh bersama Pengurus Saluran Premium Astro, Nizam Sani dan Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai.

Pertandingan Maharaja Lawak Mega 2012 bersiaran secara langsung menerusi saluran Mustika HD (134) dan Astro Warna (132).

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
{[['']]}

Chef Wan Tak Jadi Tutup Akaun Facebook



KUALA LUMPUR – Selebriti terkenal, Chef Wan yang terkenal dengan sikap suka menegur secara terbuka mengambil keputusan untuk tidak menutup laman Fan Page Facebook miliknya setelah membaca ribuan komen-komen peminat yang memujuk dan menyokongnya.
Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail berkata, komen-komen positif dari peminat-peminat yang setia dan sentiasa berdiri di belakang beliau di laman ‘Chef Wan Fan Club’ itu menjadi faktor utama untuk beliau tidak sampai hati untuk berbuat demikian.
“Alhamdulilah after reading all your comments i tak sampai hati nak tutup this fan club especially for all the loyalty and kindness as well as understanding that u have shown me through out our friendship here.”
(Alhamdulillah, selepas membaca semua komen saya tak sampai hati nak tutup fan club ini terutamanya apabila melihat kepada kesetiaan dan kebaikan yang kamu (peminat) tunjukkan kepada saya di sepanjang persahabatan ini),” katanya di laman Facebook miliknya itu.
Beberapa hari sebelum tahun baru, Chef Wan mengumumkan akan menutup akaun Fan Page Facebook miliknya itu pada tahun 2012, kerana rasa kecewanya terhadap segelintir pihak yang tidak dapat menerima kritikannya secara terbuka dan menghinanya menerusi laman sosial itu.
Menurut Chef Wan lagi, beliau tidak akan mempedulikan kehadiran komen-komen buruk yang diterimanya dan akan memadamnya dari lama facebooknya itu.
“Just ignore all this Langaus sudah lah…hee hee i can hear they are coming now!Mereka ni sudah tentu suka jaga tepi kain orang and jadi batu api and will always remained with that attitude pun.
“Kita delete sahaja lah. Lagi pun when they hear this good new lagi la berulat hati mereka sampai bertarung lagi nak tengok i jadi ke tidak tutup fan club ini. Hee hee to them always remember u are trap! The wiseman will always have the last laugh! Peace Ya!,” katanya lagi.
Selebriti masakan yang terkenal dengan pengalamannya yang luas itu sebelum ini mengkritik majlis resepsi perkahwinan Norman Hakim – Memey yang dikatakan tidak sepadan dengan kosnya yang melibatkan lebih RM12 juta.
Seterusnya, kritikan-kritikan pedas Chef Wan itu terus menjadi perbualan hangat apabila beliau dilantik menjadi juri pengkritik tetap Maharaja Lawak Mega 2011 (MLM 2011) dan beliau dianggap sebagai juri yang paling ‘ditakuti’ para peserta program realiti anjuran Astro itu.
Kontroversi kritikan Chef Wan itu tiba dikemuncaknya apabila Adlin Aman Ramli mengisytiharkan ‘perang Facebook’ terhadapnya ekoran tidak berpuas hati dengan kritikan yang diberikan pakar resipi itu kepada pesembahannya di MLM 2011 yang berakhir baru-baru ini.
Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN
{[['']]}

Chef Wan Dan Afdlin Shauki Bergaduh Di Facebook



Nampakya sekarang ni Chef wan bergaduh pula dengan Afdlin Shauki. Kalau sebelum ni, Chef wan bergaduh dengan Adlin gara-gara tidak puas hati Adlin tentang komen pedas yang diberikan terhadap persembahan Adlin di Maharaja Lawak Mega.

Kali ni, masalah yang sama melanda Chef wan Dan Afdlin Shauki pula. Afdlin secara tidak langsung meluahkan rasa tidak puas hati terhadap juri Chef Wan di Facebook.Jom kita tengok screenshot FB mereka di bawah.


{[['']]}

Tahniah!! Osbon Juara Maharaja Lawak Mega


Osbon yang dianggotai oleh Os dan Abon berjaya mendapat gelaran juara di Maharaja Lawak Mega di Stadium Malawati, Shah Alam,malam Jumaat. 

SHAH ALAM: Selepas sembilan minggu bertanding, akhirnya gelaran juara Maharaja Lawak Mega berjaya menjadi milik kumpulan Osbon apabila mereka memperoleh markah tertinggi, dalam pertandingan tersebut yang berlangsung di Stadium Malawati, di sini malam Jumaat.

Kemenangan Osbon yang dianggotai oleh Mohd Yusof Abdul Hamid (Os) dan Sharizan Ahmad (Abon) itu melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM350,000 dan sebuah trofi sumbangan Astro.

Gelaran naib juara pula dimenangi oleh kumpulan Boboi (Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik) dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM250,000 berserta sebuah trofi manakala kumpulan tunggal daripada Indonesia, Saehu mendapat tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM150,000 dan sebuah trofi.

                                         Boboi mendapat tempat kedua.

Bagaimanapun, kumpulan Syok yang dianggotai oleh Ifa Raziah, Suhaimi Yusof dan Mohd Arif Shamsudin terpaksa akur dengan kedudukan di tangga keempat.

Mereka mendapat wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi.

Kesemua peserta peringkat akhir dikehendaki membuat dua persembahan bertemakan konsep bebas dan komedi muzikal.

Para peserta telah diadili dengan sistem pemarkahan yang masing-masing mewakili 70 peratus daripada juri dan selebihnya undian penonton di rumah.

                                           Saehu mendapat tempat ketiga.

Juri tetap terdiri daripada Datuk Redzuawan Ismail (chef Wan), Datuk Siti Nurhaliza dan Zainal Abidin Hassan.

Sementara itu mengulas kemenangan mereka Osbon berkata, kemenangan ini adalah rezeki buat mereka berdua dan tidak pernah meletakkan harapan untuk menang.

Bagaimanapun mereka katanya, sentiasa bersedia dengan pelbagai konsep dan idea berbeza setiap kali tampil di pentas.

"Pihak juri sentiasa memberikan komen yang pedas tetapi membina atas sebab itu kita sentiasa perlu bersedia dengan idea dan konsep baru untuk memenangi hati mereka dan penonton," ujar mereka.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani.

Pertandingan Maharaja Lawak Mega bersiaran secara langsung setiap Jumaat, pukul 10 malam menerusi saluran Astro Warna (Saluran 132) sejak 30 Oktober lalu.

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
{[['']]}

Kumpulan Osbon Dan Boboi Semakin Mengganas

                                         Kumpulan Osbon

Maharaja Lawak Mega (MLM) kini hampir tiba ke kemuncaknya apabila empat peserta iaitu kumpulan Boboi, Osbon, Saehu dan Syok mara ke gelanggang akhir yang akan berlangsung dari Stadium Melawati, Shah Alam minggu depan.
Berdasarkan pemerhatian penulis dan sambutan peminat MLM, Boboi dan Osbon dilihat calon terbaik untuk memenangi pertandingan itu sekaligus merangkul hadiah utama iaitu wang tunai bernilai RM350,000.
Ini kerana kedua-dua kumpulan ini dilihat begitu konsisten dalam mempersembahkan jenaka mereka sehingga membuatkan stadium dan dewan pertandingan sentiasa gamat dengan gelak tawa penonton.
“Lihat sahaja Osbon dan Boboi, mereka begitu konsisten dan menghiburkan. Penonton boleh rasai sendiri watak diketengahkan, mereka berlakon, berlawak dan punchline persembahan sangat baik,” kata juri tetap MLM, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian.
Contoh terbaik boleh dilihat dalam persembahan mereka di peringkat separuh akhir lepas.
Tatkala kumpulan Osbon dibarisi Os dan Abon muncul di pentas, penonton sudah ketawa geli hati melihat gaya mereka sebagai Bawang Putih dan Bawang Merah.
Lawak bersahaja bersulam dengan loghat bahasa ‘jawa’ Bawang Putih (Abon) yang enggan meminjamkan buaian kepada Bawang Putih (Os) untuk memikat Putera Raja, menggamatkan lagi suasana.
Penyudah persembahan dengan aksi Bawang Merah memanggil ibunya yang juga ‘ikan kaloi’, membuktikan kumpulan ini membuat homework yang cukup baik sehingga berjaya meraih pujian daripada barisan juri.
Persembahan pusingan kedua dengan bertemakan kisah hidup keluarga daripada Osbon juga tidak mengecewakan dengan menceritakan kehidupan antara seorang datuk bersama cucunya dengan prop berlatar belakangkan pondok di berdekatan ladang getah.

                                       Kumpulan Boboi.

Begitu juga dengan Boboi.
Kumpulan Boboi yang diterajui oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik, menampilkan persembahan yang tidak kurang hebatnya dengan kisah dongeng Puteri Gunung Ledang bersama Si Bongkok.
Manakala persembahan kedua mereka, dengan aksi bersahaja meniru program RM1,000,000 Money Drop yang diacarakan oleh pengacara sebenar, Datuk AC Mizal.
Malah pentas MLM menjadi gamat dengan hilai tawa penonton tatkala Harun muncul di pentas dengan gaya Puteri Gunung Ledang berserta lagu Asmaradana.
Tidak cukup dengan itu, mereka turut menggamatkan pentas dengan persembahan keduanya yang menampilkan jalan cerita mengenai seorang datuk yang bergaya rocker bersama cucunya.
Bagi penulis, bukan senang untuk membuatkan orang ramai ketawa tetapi Boboi dan Osbon nampak begitu mudah untuk ‘mencairkan’ baik hati penonton di dewan mahupun di rumah.
Melihat kelibat mereka saja sudah boleh membuatkan penonton tersenyum sendiri.
Dan satu perkara yang menarik, kedua-dua kumpulan ini tahu bagaimana untuk membuatkan persembahan mereka ‘hidup’, lancar dan teratur.
Ada saja modal untuk mereka jadikan bahan bagi membolehkan penonton tidak kering gusi.
Apapun segalanya akan terjawab minggu depan, keputusan siapakah yang akan muncul sebagai juara bergantung kepada aspek permarkahan yang melibatkan 30% undian penonton dan 70% markah dari juri.
Seperti biasa akan ada juri jemputan selain juri tetap iaitu Chef Wan, Datuk Siti Nurhaliza dan lagenda bola sepak, Zainal Abidin Hassan.
Siapakah pilihan anda agaknya?

Oleh SYAHRIL A. KADIR
{[['']]}

Chef Wan Enggan Berjumpa Dengan Adlin



PETALING JAYA: Tukang masak selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan enggan bersemuka dengan Adlin Aman Ramli ekoran rasa kurang senang pelakon itu terhadapnya selepas dikritik hebat sepanjang program Maharaja Lawak Mega (MLM) berlangsung.
Chef Wan berkata, tidak ada keperluan untuk menjernihkan keadaan selepas Adlin yang tersingkir daripada MLM pada minggu lepas, melancarkan 'perang status' di laman sosial Facebook.




"Saya tak akan merendahkan martabat diri saya sepertinya (Adlin) iaitu orang yang tidak matang. Lagipun, siapa dia untuk saya pergi berjumpa?," soalnya yang dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.
'Perang Facebook' yang dilancarkan Adlin pada Ahad lalu bermula apabila dia bengang dengan komen negatif dalam entri Facebook Chef Wan selain sering menerima kritikan pedas sewaktu melakukan persembahan di MLM.
Dalam entri tersebut, Chef Wan menyifatkan Adlin sebagai kurang sopan kerana pernah mempersendakan arwah bapanya sendiri iaitu pelakon A.R Tompel dalam persembahan yang dibawakan.
Adlin pula menolak dakwaan tersebut dan menganggap Chef Wan tidak faham dengan lawak yang dipersembahkan.
Bagaimanapun kata Chef Wan, sepatutnya Adlin yang mempunyai pengalaman sebagai juri program Akademi Fantasia (AF) tidak perlu melatah tentang komen yang diberikannya memandangkan dia juga seorang juri yang 'bermulut pedas'.
"Dia kritik orang boleh, tetapi tidak boleh pula terima kritikan orang. Karakternya sudah cukup menunjukkan dirinya yang sebenar.
"Sebagai seorang selebriti yang mempunyai pengikut yang ramai, dia perlu menunjukkan persembahan lawak yang positif dan secara amnya tidak membabitkan isu-isu keluarga, agama atau persendakan orang.
"Perlukah kita yang mempunyai adat dan budaya sopan yang tinggi mengikuti pelawak-pelawak Barat yang juga mampu membogelkan diri mereka untuk dijadikan bahan lawak? Pada pendapat saya, mana yang baik, kita ambil, yang buruk pula kita abaikan," tegas bapa kepada dua orang anak ini.
Terima anugerah
Sementara itu, Chef Wan telah menerima Anugerah Khas Menteri Pelancongan pada Malam Gala Anugerah Pelancongan Malaysia yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre, Selasa.
Katanya, ia merupakan penghormatan yang amat bermakna setelah 25 tahun memberi komitmen sepenuhnya dalam memperkenalkan masakan Malaysia kepada dunia.
"Terasa segala usaha, komitmen dan pengorbanan yang diberi dalam kerjaya ini berbaloi. Pengiktirafan yang diberikan memberikan semangat lebih untuk memperkenalkan masakan Malaysia kepada dunia," kata Chef Wan yang akan sibuk pada tahun depan mengendalikan beberapa program masakan di beberapa saluran televisyen.
Selain Chef Wan, pereka kasut terkenal Datuk Jimmy Choo turut menerima anugerah khas tersebut.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
{[['']]}

Aksi 'Anita Sarawak' Panaskan Pentas Maharaja Lawak Mega

Ifa Radziah berjaya memukau penonton dengan gaya penyanyi  Anita Sarawak dan ianya hampir 99 peratus sama.

Di awal minggu Maharaja Lawak Mega (MLM), kumpulan ini tidak begitu menonjol kerana persembahan yang diberikan tidak dapat menarik minat penonton dan juri.

Namun, prestasi mereka dilihat semakin menunjukkan peningkatan apabila teguran daripada juri tetap, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan diterima secara positif untuk memajukan diri.

Jika di awal pertandingan, mereka sering tersenarai sebagai tiga peserta terendah, namun bermula minggu keempat, mereka bangkit untuk terus memperjuangkan nama Syok di pentas MLM.

Dibarisi oleh nama besar seperti Ifa Radziah, Suhaimi Yusuf dan Ariff Sudin, membawa nama dua negara (Singapura dan Malaysia), Syok mula menunjukkan taringnya kepada penonton.

Minggu yang bertemakan ‘silent comedy’ dan tiru gaya artis ini dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Syok agar persembahan mereka tidak menghampakan.

Tepukan gemuruh harus diberikan kepada Ifa Radziah yang sebelum ini digelar ‘patung cendana’ oleh Chef Wan, berjaya memukau penonton dengan gaya penyanyi tersohor, Anita Sarawak dan ianya hampir 99 peratus sama.

Dengan kostumnya yang begitu menarik diserikan lagi dengan gaya tarian Anita yang sememangnya bertenaga. Tidak hairanlah jika suasana di dewan Royal Teater Selangor riuh rendah dengan bunyi sorakan penonton.

Tidak kurang juga dengan penampilan Suhaimi sebagai watak 'Terminator' dan Ariff Sudin, yang cuba meniru gaya dan suara rakannya dari kumpulan Bawel, Amin, yang telah tersingkir pada minggu lalu.

Nampaknya, Syok semakin bijak menggunakan peluang yang ada dengan menghasilkan idea yang kreatif dari minggu ke minggu.

‘Gaduh’ cari idea


Mengakui pernah bekerjasama sebelum ini, di Singapura untuk menjayakan sebuah persembahan, idea untuk bergabung adalah pilihan tepat bagi mereka kerana masing-masing telah mengenali antara satu sama lain.

Menurut Suhaimi, ketika ditawarkan untuk menyertai MLM, tiada lain yang berada di fikirannya kecuali Ifa Radziah dan Ariff Sudin.

“Walaupun kami saling mengenali antara satu sama lain sebelum ini, tidak semestinya kami mempunyai daya pemikiran yang sama. Di antara kami, ada perkara yang serupa tetapi tidak sama.

“Ada kalanya, untuk mencari idea, kami terpaksa ‘bergaduh’ dahulu untuk mendapatkan idea yang paling bernas.

“Masing-masing mempunyai corak pemikiran dan cara penyampaian yang berbeza. Tapi, setelah mendapat idea yang dicari, kami kembali baik seperti biasa. Gaduh-gaduh manja sahaja,” katanya yang baru sahaja menggondol anugerah, Best Comedy Performance, Asian TV

Awards di Singapura.

Tambahnya lagi, pada minggu awal MLM, mereka juga masih kabur dalam mencari genre dan konsep lawak yang diminati oleh masyarakat Malaysia.

“Memang kami dah lama kenal, sejak 2009 lagi, tapi kami tidak pernah bersama dalam satu kumpulan untuk bertanding. Jadi, itulah kesukaran yang perlu kami atasi.

“Masa di awal persembahan, masih ada perasaan malu dan kekok untuk beraksi bersama, namun setelah berbincang, perasaan itu perlu dibuang jauh-jauh supaya ia tidak mengawal tingkah laku kami untuk beraksi.

“Kini, kami semakin serasi di antara satu sama lain dan penonton juga sudah mula melihat persembahan kami. Mungkin juga penonton sudah mula mengenali kami,” katanya yang turut menyertai teater Inggeris di Singapura.

Berkorban demi MLM

Siapa sangka, tawaran demi tawaran telah diterima oleh ahli anggota Syok di sepanjang penglibatan dalam pertandingan ini, namun ianya terpaksa ditolak demi MLM.

Walaupun masyarakat Malaysia kurang mengenali nama Suhaimi Yusuf, namun jika di Singapura, namanya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Suhaimi berada dalam kelas yang tersendiri di negaranya, memandangkan pelbagai anugerah telah dirangkul sepanjang lebih 20 tahun bergiat dalam dunia seni.

“Saya memang pernah memasang impian untuk menyertai teater Inggeris bersama penerbit terkenal di Singapura. Tetapi, apabila peluang itu datang, saya harus menolak untuk MLM.

“Saya tidak sangka dua perkara yang sama-sama penting datang pada waktu yang sama. Ketika itu, memang sukar untuk membuat pilihan kerana kedua-duanya penting dan saya mengharapkannya.

“Akhirnya, setelah difikirkan masak-masak, saya pilih MLM kerana bagi saya, MLM adalah platform untuk saya memperkenalkan diri saya kepada orang Malaysia. Sebelum ini saya tidak pernah datang Malaysia, ini adalah kali pertama,” katanya yang akan meneruskan jenama
Syok ke peringkat yang seterusnya.

Bagi satu-satunya peserta wanita mewakili Malaysia di pentas MLM, Ifa Radziah, juga mengalami nasib sama seperti Suhaimi.

“Saya terpaksa tolak banyak tawaran termasuklah lakonan teater. Saya tidak boleh membuat beberapa perkara dalam satu masa.

“Saya akan hilang fokus untuk MLM jika saya berbuat begitu. Sebab itulah, sepanjang MLM, saya menolak semua tawaran lakonan.

“Saya hanya akan pergi ‘show’ pada hari Sabtu dan Ahad sahaja. Hari lain, memang saya fokuskan untuk persediaan menghadapi persembahan di MLM,” katanya yang mengakui waktu tidur dan rehatnya turut terganggu sepanjang terlibat dalam MLM.

Tiada penyingkiran

Setelah kumpulan Bawel dan 3G disingkirkan pada minggu keenam, minggu ini pula kesemua peserta berjaya untuk terus bertanding di minggu kelapan.

Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai, tiada penyingkiran pada minggu ini tidak menjamin kedudukan selesa pada minggu kelapan.

Kemungkinan besar, akan ada dua penyingkiran pada minggu hadapan dan bilangan peserta yang layak untuk ke peringkat akhir tidak diumumkan lagi.

“Perkara ini telah ditetapkan oleh Astro sejak awal lagi kerana tidak semestinya setiap minggu ada penyingkiran. Namun, ada juga penyingkiran yang dibuat lebih daripada satu.

“Peserta juga dinasihatkan untuk memberi mutu persembahan yang baik untuk mengelakkan daripada tersingkir di minggu-minggu terakhir.

“30 Disember ini adalah minggu akhir MLM dan penentu siapakah pemilik takhta tersebut,” katanya di dalam sidang media.

Bawal Power ditegur lagi!!

Jika sebelum ini, Chef Wan, sering menasihati peserta agar tidak menyinggung serta menimbulkan salah faham penonton, pada minggu ini Datuk Siti Nurhaliza pula peka dengan perkara ini dan menegur persembahan, Bawal Power (BP).

Bagi Siti, persembahan BP yang memaparkan kisah remaja yang menghadapi kesukaran untuk membuang air kecil kerana kecederaan teruk pada tangan, adalah kurang bijak untuk dipentaskan.

“Saya rasa, idea sebegini tidak perlu dipamerkan di atas pentas kerana ia agak sensitif bagi kalangan masyarakat kita.

“Banyak lagi isu lain yang boleh dibawa ke atas pentas. Persembahan pertama, amat menghiburkan tetapi yang kedua ini sensitif dan saya sendiri tidak tahu bagaimana nak jelaskan perkara itu.

“Saya berharap agar BP tidak akan mengulangi perkara yang sama di masa yang akan datang,” katanya.

Osbon kekal tertinggi





Tidak perlu dipertikaikan lagi kehebatan otai lawak, Osbon (Os dan Abon) yang sentiasa berjaya dalam menyediakan ramuan untuk penonton dan juri.

Pada minggu ini, Abon yang meniru gaya Mak Mah dan Os sebagai Bandi Amuk, juga tidak mengecewakan penonton yang hadir.

Persembahan kedua juga sangat memberangsangkan apabila konsep ‘silent comedy’ berjaya membuatkan penonton ketawa tanpa henti dengan ciptaan watak Ultraman dan Superman.Tidak hairanlah jika Osbon sekali lagi mengungguli carta pada minggu ini sebanyak 74 peratus.

Boboi di tempat kedua tertinggi

 
Boboi berada di tempat kedua tertinggi dengan undian sebanyak 68 peratus, diikuti peserta solo, Adlin Aman Ramlie sebanyak 64 peratus.

Tempat keempat pula ialah Saehu dengan 63 peratus, Syok (60), Bawal Power (56) dan Pimai (56).

Pada minggu ini, percaturan kumpulan Pimai seakan tidak menjadi dan meletakkan mereka di kedudukan paling bawah.
Oleh : AKMALIAH RAZAK

{[['']]}

Kejutan Dari Rancangan Realiti 'Maharaja Lawak Mega'

 BARISAN pelawak-pelawak otai tiga negara yang bakal bersaing menerusi Maharaja Lawak Mega.

MENYELITKAN elemen kejutan dalam sesebuah rancangan realiti TV dilihat antara langkah paling berkesan untuk menarik minat penonton serta mampu menaikkan lagi rating rancangan sebegitu.
Oleh yang demikian, rancangan Maharaja Lawak Mega yang menampilkan pelawak-pelawak otai dari tiga buah negara seperti Malaysia, Singapura dan Indonesia sudah melakukan satu kejutan menarik biarpun baru minggu pertama disiarkan.
Siapa sangka pihak Astro telah melantik tiga orang juri tetap yang bukan terdiri daripada pelawak profesional, sebaliknya mereka yang dilantik sebagai juri adalah penyanyi, chef dan pemain bola sepak terkenal.
Antara tiga orang juri tetap yang dilantik adalah penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, chef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan dan legenda bola Malaysia, Zainal Abidin Hassan.
Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani yang ditemui selepas rancangan tersebut berakhir berkata, memang daripada awal lagi pihaknya inginkan juri yang bukan terdiri daripada pelawak sendiri.
“Kalau kita memilih pelawak sebagai juri tetap, rasanya ia bukanlah satu tindakan yang tepat kerana mungkin ada di kalangan peserta yang bertanding adalah rakan baik dengan juri yang dilantik.
“Jadi kami merasakan adalah lebih baik sekiranya ketiga-tiga juri tetap ini adalah daripada bidang yang langsung tidak kena mengena dan komen yang diberikan adalah pandangan sebagai seorang penonton,” jelasnya.
Ditanya tentang pemilihan Siti, Chef Wan dan Zainal Abidin sebagai juri tetap Maharaja Lawak Mega, Nizam menganggap ia adalah sebagai satu tarikan istimewa memandangkan ketiga-tiganya memang terkenal dalam bidang masing-masing.
Jelasnya lagi, dengan persetujuan yang diberikan oleh mereka untuk menjadi juri, ia dilihat sebagai satu penghormatan yang tertinggi serta mampu menarik minat lebih ramai penonton untuk menonton rancangan tersebut.
“Dengan melantik mereka sebagai juri tetap, ini bermakna mereka perlu memberi komitmen selama 10 minggu rancangan ini disiarkan. Sedangkan kita tahu mereka sendiri turut mempunyai jadual yang cukup ketat.

“Misalnya, Datuk Siti Nurhaliza sendiri sebenarnya perlu membuat satu persembahan di tempat lain pada salah satu minggu. Namun, setelah perbincangan dibuat akhirnya jadual persembahan tersebut telah diubah dan beliau akan terus bersama Maharaja Lawak Mega sepanjang siaran ini berlangsung,” ujarnya.
Menurut Nizam lagi, selain ketiga-tiga juri tetap yang dilantik itu, pihak Astro akan turut mengundang seorang juri jemputan setiap minggu sama ada dari Singapura atau Indonesia.
Sementara itu, Siti menjelaskan dia menerima tawaran untuk menjadi juri tetap adalah disebabkan dia merupakan salah seorang peminat setia rancangan Raja Lawak dan Maharaja Lawak serta sering menantikannya pada setiap minggu.
Ujarnya, dia memang gemar dengan sesebuah rancangan yang menghiburkan dan menganggap kedua-dua rancangan tersebut telah mewujudkan satu fenomena dalam dunia komedi tempatan.
“Pada mulanya saya memang terkejut apabila ditawarkan untuk menjadi juri tetap dan tidak yakin dapat memberikan komen yang baik. Namun, setelah diterangkan oleh pihak Astro barulah saya menerima tawaran berkenaan.
“Bagaimanapun, saya tidak menganggap pemilihan saya semata-mata mahu menaikkan lagi rating kerana rancangan ini sebenarnya sudah pun mempunyai peminat yang cukup ramai termasuk saya,” ujarnya.
Seorang lagi juri iaitu Chef Wan pula menjelaskan dia sebenarnya adalah peminat setia rancangan komedi. Malah, dia kerap mengikuti pelbagai rancangan komedi luar negara.
“Memang komedi adalah bukan bidang saya, tetapi setiap komen yang saya berikan adalah berdasarakan kepada pengalaman saya sebagai penonton yang memang kerap menonton rancangan komedi sejak dahulu lagi.
“Pada masa yang sama, saya sangat mengharapkan agar kesemua peserta yang bersaing dalam rancangan ini dalam mempersembahkan satu bentuk komedi yang unik dan mampu menghiburkan penonton,” ujarnya.
Tiada penyingkiran
Memandangkan rancangan tersebut baru minggu pertama disiarkan, maka pihak Astro telah membuat keputusan untuk tidak melakukan sebarang penyingkiran dan semua peserta akan kembali bersaing untuk minggu seterusnya.
Kesemua 17 peserta yang beraksi di pentas Maharaja Lawak Mega rata-ratanya telah membuat satu persembahan yang cukup menarik termasuklah peserta dari Singapura dan Indonesia.
Bagaimanapun, kumpulan yang Boboi yang dianggotai Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik paling mencuri tumpuan sehingga mendapat peratusan yang tertinggi daripada juri dan penonton.
Begitu juga dengan dua peserta solo iaitu Jalil Hamid dan Adlin Aman Ramli yang berada di tangga kedudukan 10 terbaik, manakala kumpulan Bawel dari Indonesia pula menjadi peserta luar negara yang berada di tangga teratas iaitu di kedudukan kelima.

Barisan Peserta-Peserta Maharaja Lawak Mega


1. Pimai (Sathiya, Imuda dan Yassin Sulaiman)

2. Hiro (Hamdan, Ilya dan Ropie)
 
3. Boboi (Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik)
 
4. Anje (Achong & Joey)
 
5. Osbon (Mr. Os dan Abon)


6. Bawal Power (Bob Kuman dan Sobri) 


7. Rap (Aziz Kota, Pak Lah Cecupak dan Rama)


8. Comel (Radhi Khalid dan Bell Ngasri) 


9. Lanun (Jegan, Elyas dan Salman)


10. 3G (Yassin, Didie Alias dan Enot) 


11.  Adlin Aman Ramli


12. Jalil Hamid


13. Gebu (Hani dan Azian) – Singapura


14. Syok (Ifa Raziah, Suhaimi dan Arif Sudin) – Malaysia + Singapura.


15. Bawel (Dodon, Amin dan Dadang) – Indonesia


16. Saehu (Eko, Bocil dan Vicha) – Indonesia


17. Caer (Adetao, Mister Ibo dan Lugiana) – Indonesia


{[['']]}
 
Copyright © 2011. Gosip Terkini - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger